SAYA menerima kiriman dua buah buku melalui pos laju oleh Ku Seman Ku Hussain. Kedua-dua buku itu karya Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang atau lebih dikenal dengan nama samarannya Tongkat Warrant. Buku pertama merupakan anotlogi puisi Ke Makam Bonda dan yang kedua novel tunggal Usman berjudul Tulang-Tulang Berserakan.
Tulang-Tulang Berserakan mengembalikan pelbagai nostalgia pada saya. Fikiran saya kembali merayau bukan sahaja pada novelnya tetapi juga manusia di luar novel itu. Bagi banyak pembaca novel itu tentang kisah dua sahabat karib – Leman dan Majid – yang menjadi anggota polis pada zaman Darurat.

Kedua-dua sahabat itu juga terdedah dengan suasana kebangkitan rakyat menentang penjajahan. Kedua-duanya juga – seperti anak muda yang lain pada zaman itu – menghabiskan masa di tempat hiburan dan juga di pentas Bangsawan.
Salah seorang daripada mereka (Majid) jatuh hati pada seorang guru bernama Rubiah, seorang lagi (Leman) pula menaruh hati pada pelakon dan penyanyi Wayang Bangsawan Star Opera bernama Aini. Aini adalah anak tauke Bangsawan bernama Encik Badar. Kumpulan Bangsawan itu bermain di City Park, Melaka pada masa itu.
Begini penampilan Aini dari kacamata Leman seperti yang dicatatkan oleh Usman dalam Tulang-Tulang Berserakan:
“Gadis itu keluar ke muka pentas. Tirai kain satin kuning yang berlabuh di belakangnya berlaga dengan warna baju biru-hitam yang dipakainya.”
“Gadis berbadan kecil itu perlahan-lahan mengambil hatinya.”
Demikian tulis Usman tentang perasaan Leman terhadap Aini.
“Dalam diam dia memupuk rasa senang yang nyaman ini seperti bunga-bunga yang dirangkaikan menjadi karangan indah.”
Bagi Leman yang berjiwa halus menjadi polis tidak lebih daripada sekadar alat penjajah bagi mempertahankan kepentingan mereka dan pengusaha yang mereka lindungi. Leman tersentuh dengan penderitaan yang dilalui oleh banyak keluarga Cina yang secara paksa dipindahkan. Beliau juga terusik oleh tangkapan beramai-ramai yang dibuat ke atas “musuh rakyat” yang termasuk di dalamnya kelompok nasionalis dan pejuang kebangsaan. Leman mendekati tokoh nasionalis seperti Cikgu Alimin dan mengenal puisi orang yang bernama “Anuar.”
Sajak “Semangat Merdeka” karya Anuar menyentuh consciencenya.
Siapakah sebenarnya Leman, Majid dan Aini? Leman, Majid dan Aini tidak muncul dalam vakum. Sebaliknya mereka adalah jelmaan kreatif dari manusia yang real – manusia sebenar yang menjadi asas watak-watak ini. Leman adalah Usman, Majid adalah Majid dan Aini adalah Rohani B.
Saya mengenal sosok ketiga-tiga orang itu, up, close and personal, sekiranya saya boleh meminjam satu ungkapan Inggeris.


Saya telah menulis tentang hubungan mereka ini dalam kolum saya dalam akhbar New Straits Times (“Tale of a Friendship Cloaked in Reticence”, 19 Ogos 2006) and juga rencana dalam Dewan Budaya yang saya kembangkan menjadi Bab Ke-11 (“Usman Awang, Rohani B dan Majid”) dalam buku saya Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad.
Leman dan Majid dalam novel ini sebenarnya adalah Usman dan sahabat karibnya dalam dunia nyata bernama Majid, kedua-duanya menjadi polis seperti yang dirakamkan dalam novel ini. Mereka sama-sama masuk polis, mendaftar pada masa yang sama. Majid diberikan nombor polis 8421 sementara Usman 8422.

Aini, anak tauke Wayang Star Opera sebenarnya adalah watak jelmaan dari “seri panggung” terkenal kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera yang bernama Rohani B. Dalam novel itu tauke panggung Star Opera adalah Encik Badar, dalam dunia nyata, pemilik Bangsawan Bintang Timur Opera adalah Bakar M.
Semuanya bermula di kampung saya
Saya berusia kira-kira 11 tahun apabila Bintang Timur Opera pertama kali datang bermain di kampung saya, Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor. Di sebelah rumah saya, berseberangan sungai adalah tanah lapang milik ayah kawan saya. Di situlah tempat bermainnya Bintang Timur Opera. Mereka datang beberapa kali ke kampung saya. Mungkin tempat itu strategik maka banyaklah penonton di situ.
Di situlah saya mengenal keluarga Bangsawan Bakar M. Anaknya yang tertua bernama Rahman B (yang saya panggil Bang Rahman). Adik Rahman B yang aktif di pentas adalah Rahim B dan Rohani B. Isteri Rahman B adalah Rohaya B.

Selama berbulan-bulan mereka bermain di situ. Oleh sebab saya tinggal paling hampir dengan tempat itu maka saya menjadi budak upahan membelikan barang-barang keperluan untuk pelakon dan juga petugas atau kru panggung. Sayogia diingat, ada semacam peraturan tidak bertulis bahawa anak-anak wayang dan petugas panggung tidak bergaul dengan orang tempatan. Maka jaranglah pemain Bangsawan atau kru keluar ke pekan. Makanan mereka dikontrakkan pada seseorang, yang menghantar makanan malam. Untuk sarapan dan makan tengah hari, mereka masak sendiri.
Sayalah yang menjadi errant boy membelikan rokok dan barang keperluan dapur untuk mereka.
Saya juga mula diberikan kepercayaan menyediakan pakaian dan peralatan untuk Rahman B. Beliau seorang yang serius di pentas. Beliau akan menyediakan pakaian serta keris dari awal lagi. Sayalah yang membawa barang-barang itu ke panggung. Saya juga diberi tugas menarik tirai untuk adegan hutan.
Saya amat rapat dengan Rohani B, malah menjadi orang kepercayaannya. Antara lain tugas saya adalah membacakan surat-surat yang diterimanya dari peminat seluruh Malaya. Setiap hari ada sahaja surat yang diterima oleh beliau. Tugas membaca surat kepada beliau amat menyeronokkan. Ada kalanya surat-surat itu merupakan curahan hati yang tulus, ada juga yang menulis hal-hal yang tidak senonoh di dalamnya.
Selalunya saya hanya membaca sebahagian daripada surat yang isinya kotor atau lucah. Rohani B kadang-kadang hairan mengapa surat yang nampaknya panjang tapi pendek sahaja saya baca. Jawaban saya selalunya, banyak ulangan kandungannya. Sejak berumur 11 dan 12 tahun lagi saya sudah membuat censorship!
Demikian masyhurnya Rohani B ketika itu, sesiapa yang sekadar menulis “Rohani B, Bintang Timur Opera, Muar, Johor” surat itu akan sampai kepadanya.
Ada sepucuk surat yang selalu Rohani minta saya bacakan. Juga sebuah sajak dari penulis surat yang sama. Saya tidak mengetahui siapa penulisnya ketika itu, yang saya tahu menurut Rohani, “seorang polis” yang beliau kenal semasa bermain di Melaka. Surat dan sajak itu tentulah amat istimewa baginya, beliau tidak jemu-jemu meminta saya membacakannya, dan wajahnya selalu berseri-seri setiap kali saya berbuat demikian.
Rohani B bukan sebarangan jelitanya ketika itu. Saya yang masih kanak-kanak masa itu pun mengakui kejelitaannya. Malah beliau merupakan tarikan utama bagi kumpulan Bangsawan milik ayahnya. Saya diberitahu kemudian banyak tawaran untuk beliau berlakon di filem tetapi beliau memilih untuk kekal di pentas Bangsawan. Tanpa beliau hilanglah pemanis dan seri bagi Bintang Timur Opera.
Pada masa itu filem Melayu berada di puncak kegemilangannya. Banyak pelakon Bangsawan masuk ke filem tetapi tidak Rohani B.
Dalam buku saya Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad ada saya ceritakan bagaimana kumpulan Bangsawan ini terpaksa pulang sehelai sepinggang ke Kuala Lumpur meninggalkan peralatan dan props yang sangat berharga. Tapi itu cerita yang lain.
Di kampung saya terdapat seorang bekas polis bernama Majid bin Ibrahim. Beliau ada hubungan kekeluargaan dengan gadis yang saya kahwini – Majid adalah sepupu kepada ibu mertua saya. Di kampung beliau dikenal sebagai Pak Majid Polis. Majid kacak orangnya walapun pada usia tuanya.
Usman adalah boss saya sewaktu saya mula berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada bulan Julai 1977. Beliau adalah Timbalan Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS).
Ketua BPPS pada masa itu adalah Baharuddin Zainal atau Baha Zain. Di situlah berhimpunnya para sasterawan hebat. Bayangkan nama-nama seperti Usman dan Baha Zain, Abdullah Hussein, Muhammad Kamal Abdullah (Kemala), Shamsuddin Jaafar, Suhaimi Haji Muhammad, Wan Umar Ahmad (Sutung Umar RS), Anwar Rithwan, Ismail Ahmad (Ajikik) dan Che Shamsuddin Othman (Dinsman) dan ramai lagi.
Selama dua tahun saya di tempatkan sebilik dengan Abdullah Hussein atau Bung Dollah. Beliau kemudiannya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang ke lapan pada tahun 1986. Beliau salah seorang daripada enam orang Sasterawan Negara yang berasal dari DBP. Daripada 14 orang Sasterawan Negara setakat ini, enam dari DBP, kesemuanya merupakan mantan karyawan BPPS.
Saya mengenal Usman lama sebelum saya berkhidmat di DBP. Saya sudah mendengar namanya sejak di bangku sekolah lagi. Oleh sebab saya bersekolah Inggeris maka tidak banyak nama-nama sasterawan tempatan yang saya kenal. Tapi saya pernah mendengar sajak “Ke Makam Bonda” dibacakan dalam satu majlis Bulan Bahasa Kebangsaan di sekolah saya. Saya amat menyukai sajak itu.
Pada tahun 1970 guru Bahasa Melayu kami di Sekolah Menengah Semerah (SMS) bernama Mokhtar Talib atau Pak Matlob membawa kami ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan “Malam Mengenang Jimy Asmara” di DBP. Pak Matlob telah mengasaskan Persatuan Penulis Sekolah Menengah Semerah, saya percaya persatuan penulis pertama yang ditubuhkan di mana-mana sekolah di Malaysia pada masa itu. Beliau memang terkenal sebagai munsyi bahasa selain sasterawan.
“Malam Jimy Asmara” dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 dengan kerjasama DBP. Kami menumpang tidur di rumah Kadir Ahmad, wartawan Utusan Melayu ketika itu. Wartawan Salleh Hamzah juga turut menjadi pandu kami. Pada malam itu kami menemui banyak sasterawan terkenal di Kuala Lumpur.
Jimy Asmara atau nama sebenarnya Jaafar Haji Muhammad adalah salah seorang pengasas Asas 50. Beliau juga terkenal sebagai novelis dan penulis cerpen. Beliau pernah bekerja dengan akhbar Melayu Raya dan penerbitan Qalam.
Saya “ditemui” oleh Usman Awang
Pada tahun 1975, sewaktu Malam Berbunga Sajak II yang dianjurkan oleh Kumpulan Kesenian Universiti Malaya atau Kesuma, saya telah mementaskan drama saya “Kotaku Oh Kotaku.” Malam Berbunga Sajak merupakan acara tahunan Kesuma di mana terdapat bacaan puisi, mainan muzik serta drama. Pada malam itu, Usman turut hadir. Beliau agaknya tertarik dengan drama saya. Malah beliau mengucapkan tahniah pada saya pada malam itu. Saya berasa cukup bangga. Lebih memeranjatkan saya pada bulan November 1975, kulit depan Dewan Sastera, majalah yang dipimpinnya memaparkan drama “Kotaku Oh Kotaku.”
Usman sebenarnya adalah orang yang “discover” atau “menemui” saya dalam bidang sastera.

Saya menjadi terkenal kerana Usman meletakkan drama saya pada kulit Dewan Sastera. Saya mendapat semangat luar biasa oleh tindakan Usman. Itu merupakan penghormatan paling tinggi bagi penulis muda seperti saya.
Demikianlah saya mengenal Usman, Majid dan Rohani B dalam dunia nyata. Kisah luar biasa yang mana saya turut terseret di dalamnya.
Pada awalnya memang saya tidak tahu siapakah orang yang suratnya selalu diminta baca oleh Rohani B. Saya tidak tahu makna Majid dalam hubungan tiga orang itu. Apabila saya pulang ke kampung saya sering menemui Majid di kedai kopi kawan saya, Ali Yaho.
Majid jenis orang yang tidak banyak bercakap. Suaranya juga tidak pernah tinggi. Tetapi beliau suka mengambil tahu buku-buku sastera Inggeris yang saya baca, terutamaya drama-drama Shakespeare. Beliau mengakui Bahasa Inggeris tak begitu baik. Kami selalu bercakap tentang sinopsi drama-drama Shakespeare. Beliau paling suka drama Macbeth, Hamlet dan Julius Caeser.
“Semuanya tentang persahabatan, cinta dan penghianatan,” katanya.
Saya tidak faham apa maksudnya ketika itu.
Lama selepas itu baharu dia bertanya di bahagian mana saya bekerja di DBP. Saya katakan, saya bekerja di BPPS. Saya sebutkan nama-nama sasterawan besar yang bekerja di situ. Tentunya saya menyebut nama Usman.
“Kirim salam pada Tongkat,” katanya pada satu hari. Tidak selalu orang luar merujuk nama samaran Usman itu.
Saya tidak berfikir banyak. Mungkin beliau juga peminat Usman. Siapa yang tidak?
Secara bersahaja saya menyampaikan salam itu pada Usman.
Tiba-tiba Usman berubah wajahnya apabila saya menyebut nama Majid, orang kampung saya, bekas polis. Dia tidak bertanya pula tentang kesihatan Majid atau apa-apa yang berkaitan dengan Majid.
“Johan kenal Majid?” Itu sahaja soalannya.
Beberapa waktu kemudian, giliran Usman pula meminta saya menyampaikan salam pada Majid. Majid hanya tersenyum.
Begitulah kirim mengirim salam yang berlaku di antara keduanya selama beberapa lama. Saya mulai mengesyaki sesuatu. Usman dan Majid tentu punya hubungan di antara satu sama lain. Hubungan yang tentunya luar biasa atau istimewa.
Pada satu hari Majid bertanya saya, “Johan dah baca novel Tulang-Tulang Berserakan?”
Sudah tentu saya sudah membacanya. Saya mengkagumi novel itu. Saya tersentuh membacanya. Bagi saya novel itu salah sebuah yang terbaik dalam sastera Melayu.
Tiba-tiba saya teringat watak-watak utama dalam novel itu – Leman, Majid dan Aini. Saya mulai melihat hubungan tiga watak dalam novel itu – Leman dan Majid serta watak seri panggung Bangsawan bernama Aini dalam novel itu. Saya lalu ingin tahu apakah hubungan di antara Majid dan Rohani B serta Usman yang yang terjelma sebagai Majid, Aini dan Leman dalam novel itu.
Saya cuba bertanya pada Usman tetapi Usman hanya tersenyum.
“Tanya Majid,” katanya.
Apabila saya meminta maklumat dari Majid dia berkata, “Tanya Tongkat!”
Saya menemui Pak Bakar M, tuan punya Bintang Timur Opera. Tambahan pula saya selalu melihat Pak Bakar M datang menemui Usman di DBP. Pada masa itu saya tidak mengetahui hubungannya dengan Usman. Beliau juga tidak banyak mendedahkan hubunganya dengan Majid dan Usman.
Beliau hanya mengatakan, “Majid budak hensem, Usman suka menolong.”
Demikianlah kisah tiga insan
Saya memang rapat dengan anaknya Rahman B. Rahman B pernah menjadi penasihat sewaktu saya mengarahkan drama Shahrom Hussein, “Si Bongkok Tanjung Puteri” di Dewan Tunku Canselor pada tahun 1977. Pada masa itu Jabatan Pengajian Melayu (JPM) merayakan ulang tahun ke-25. Saya dan mendiang Krishen Jit (yang dikenal dengan nama samarannya Utih) diminta menjadikan penyelaras festival drama sempena JPM 25 tahun.
Saya diberikan amanah untuk mementaskan drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” sementara drama saya “Angin Kering” dipentaskan oleh kumpulan dari Institut Teknologi Mara (ITM).
Untuk tujuan itu saya membawa dua orang pelakon dari kampung saya yang pernah aktif bersama-sama saya dalam kumpulan Sendiwara yakni Hashim Mohd Yassin dan Hassan Haji Yaakub. Apabila Rahman B pertama kali melihat keris dan pakaian yang dibawa dari kampung saya beliau amat terkejut. Saya memaklumkan padanya bahawa semua peralatan itu adalah tinggalan Kumpulan Bintang Timur Opera yang gulung tikar di kampung saya 17 tahun sebelum itu.
Seorang guru bernama Misdi Abu Bakar telah menyelamatkan sebahagian pakaian serta peralatan. Barang-barang itulah yang digunakan oleh kumpulan Sendiwara yang diberi nama Badan Bestari Sungai Balang. Saya percaya barang-barang kumpulan Bangsawan yang dilihatnya di Dewan Tunku Canselor UM itu amat mengharukan Rahman B.
Dari peristiwa itulah saya rapat dengan Rahman B, hingga ke akhir hayatnya.

Rahman B sendiri tidak banyak bercakap tentang apa yang berlaku di Sungai Balang. Mungkin episod itu amat menyayat hatinya dan keluarga Bangsawannya. Mereka tidak pernah bankrap seperti itu. Apa yang berlaku di Sungai Balang amat pahit untuk diterima. Malah dalam buku Biografi Seniman Negara Rahman B yang ditulis oleh Zakaria Ariffin, Rahman B tidak bercerita banyak tentang apa yang berlaku di Sungai Balang.
Bagaimanapun Rahman B lebih terbuka tentang hubungan di antara adiknya Rohani B dengan Usman dan Majid. Menurut Rahman B, memang Usman dan Majid pengunjung tetap Bintang Timur Opera sewaktu mereka bermain di Melaka. Dua anak muda polis ini sama-sama menaruh hati pada Rohani B. Rohani B khabarnya lebih cenderung pada Majid. Tetapi keluarga lebih senang dengan Usman. Usman juga banyak membantu mencarikan cerita untuk pementasan Di antara keduaya, Usman lebih dekat pada seni.
Tidak ada siapa yang mengetahui sebenarnya apa yang berlaku dalam hubungan dua sahabat akrab ini. Menurut Rahman B, Usman pernah bertunang dengan Rohani B. Khabarnya Majid terluka. Apabila meninggalkan polis, Usman berhijrah ke Singapura pada tahun 1952. Beliau bersama-sama Jamil Sulong ikut screen test di Malay Film Production (MFP). Kedua-duanya gagal uji bakat jadi pelakon. Jamil bagaimanapun menjadi pembantu penulis skrip sementara Usman masuk ke Utusan Melayu sebagai wartawan.
Jamil banyak membantu pengarah filem yang didatangkan dari India ketika itu. Beliau mendapat kesempatan mengarahkan filem pertama Batu Belah Batu Bertangkup pada tahun 1959.
Ada perkara yang menjarakkan Usman dan Majid. Mereka menutup mulut dalam hal ini. Usman yang lahir pada tahun 1929 meninggal dunia pada tahun 2001 pada usia 72 tahun sementara Majid meninggal dunia pada 2 Ogos 2006 pada usia 80 tahun. Majid tiga tahun lebih tua dari Usman.
Saya diberitahu oleh Majid bahawa selepas meninggalkan pasukan polis mereka hanya bertemu sekali pada tahun 1966 dalam satu majlis perkahwinan di Kuala Lumpur. Usman pula hanya bertemu Rohani B semula pada tahun 1998 di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Saya juga meminta Wahab Hamzah, seorang petugas DBP untuk menemui Majid. Dalam wawancara itu juga Majid tidak banyak bercerita tentang apa yang berlaku di antara beliau dan Usman.
Cuma dalam novel itu, tidak seperti di dunia nyata, Majid jatuh hati pada Cikgu Rubiah sedangkan Leman jatuh cinta pada Aini, seri panggung Bangsawan Star Opera. Dalam dunia nyata, Usman dan Majid sama-sama jatuh hati pada Rohani B, gadis jelita dan seri panggung Bangsawan Bintang Timur Opera.
“Tongkat mulanya nak dedikasikan novel itu untuk aku. Aku yang baca manuskripnya dulu. Dia minta aku komen. Asalnya aku tak mati, yang mati mungkin Jalil, Ujang atau Mamat bersama Mahmud. Tapi dia bunuh aku!”
“Dia marah kat aku tu!” katanya lagi.
Saya masih teringat Majid ketawa terbahak-bahak menceritakan hal itu di kedai kopi Ali Yaho di Sungai Balang tidak lama sebelum dia meninggal dunia.
Terima kasih Ku Seman dan penerbit Cempakasari kerana membawakan kembali kenangan silam yang amat istimewa bagi saya melalui Tulang-Tulang Berserakan!
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau menghasilkan Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad terbitan bersama DBP dan Balang Rimbun Sdn Bhd yang melakarkan kisah pembabitannya dalam dunia seni selama lebih 50 tahun.


Cerita Tan Sri Johan menarik. Walaubagaimanapun, ada yang mungkin berbeza jalan ceritanya.