Saban kali menjelang Ogos, gelombang frekuensi radio, skrin televisyen dan media sosial di seluruh negara dihujani dengan alunan muzik yang gah serta bait-bait seni kata yang menyemarakkan patriotisme dan semangat cinta pada tanah air.
Rendisi ikonik Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad menerusi lagu ‘31 Ogos’ ini menjadi sebahagian daripada suasana sambutan kebangsaan yang didengari, malah dinyanyikan oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia.
Namun, di sebalik kehangatan lagu yang begitu sebati dengan sambutan hari bersejarah, tersimpan persoalan sejarah yang menarik.
Lagu yang lahir daripada pengalaman kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 itu telah mengalami perubahan pada tajuk dan seni katanya sebelum dipopularkan semula dalam sebuah negara yang sudah berubah.
Seperti yang tertulis dalam sejarah, 31 Ogos 1957 ialah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala 16 September 1963 merupakan tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia.
Kedua-duanya merupakan dua peristiwa yang saling berkaitan, namun berbeza dan dipisahkan oleh perubahan politik, perlembagaan dan sejarah.
Jadi, bagaimanakah perubahan pada tajuk dan seni kata sebuah lagu dapat mempengaruhi cara sebilangan besar masyarakat Malaysia mengalami dan mengingati fakta bersejarah tersebut?

Akar sejarah lagu ‘Tanggal 31’ Ahmad C.B dan Versi Sudirman
Sebelum lagu ini dipopularkan semula oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad, karya ini telah dicipta, ditulis dan dinyanyikan oleh Ahmad Chass Barra, atau lebih dikenali sebagai Ahmad C.B.
Beliau dilahirkan pada tahun 1907 di Medan, yang pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Hindia Belanda.
Rakaman lagu ini pula dilakukan di Singapura, yang pada era tersebut merupakan salah satu pusat penting perkembangan industri muzik dan filem Melayu serantau.
Kelahiran karya ini merupakan manifestasi daripada cetusan kegembiraan setelah Ahmad C.B. mendapat khabar bahawa Tanah Melayu (Malaya) bakal mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Dalam penciptaan asalnya, beliau memasukkan bait lirik yang menyebut angka tahun “tiga puluh satu bulan lapan lima puluh tujuh”.
Penggunaan angka dan tarikh secara langsung ini memberikan sifat yang mudah diingati, khususnya bagi masyarakat yang sedang menantikan detik kemerdekaan tersebut.
Berbeza dengan versi yang lebih dikenali hari ini, versi asal ciptaan Ahmad C.B. dinyanyikan dalam tempo yang lebih perlahan, dengan pengaruh rentak tradisional dan gaya yang seakan-akan lagu berkawad tentera (marching band song).
Namun, dalam perbincangan ini, konteks ‘31 Ogos 1957’ adalah titik fakta yang sangat penting. Kerana lagu tersebut dicipta merujuk kepada tarikh tersebut, iaitu khusus kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, bukannya kepada pembentukan Malaysia yang wujud kemudian.
Pada ketika bait-bait lagu ini digubah oleh Ahmad C.B., gagasan mengenai Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan rasmi belum wujud.
Walaupun idea mengenai hubungan dan penyatuan antara Tanah Melayu dengan wilayah-wilayah di Borneo dan Singapura telah muncul dalam wacana politik sebelum 1963, idea tersebut tidak boleh disamakan dengan kewujudan Malaysia sebagai sebuah entiti politik dan perlembagaan yang tersendiri.
Kedudukan ini mula berubah apabila gagasan tersebut dikemukakan secara terbuka oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961, sewaktu beliau menyampaikan ucapan di Foreign Correspondents’ Association of Southeast Asia (FCA) di Hotel Adelphi, Singapura.
Cadangan tersebut kemudiannya melalui proses rundingan yang panjang sebelum membawa kepada pemeteraian Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Perbezaan ini penting kerana lagu tersebut kemudiannya diwarisi dalam konteks sejarah yang berbeza.
Sebuah karya yang lahir daripada pengalaman kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 telah terus hidup dalam sebuah negara berdaulat yang terbentuk pada 1963.
Peralihan penting berlaku apabila Allahyarham Sudirman Haji Arshad memilih untuk merakamkan semula karya Ahmad C.B. tersebut bagi album Abadi pada 1982.
Sudirman bukan sekadar mengambil peranan sebagai penyanyi, tetapi turut meminta S. Atan melakukan penggubahan semula terhadap susunan muziknya.
Susunan asal yang lebih perlahan dan berentak kawad (marching) kemudiannya diberikan bentuk yang lebih rancak dan bersifat pop, menjadikan lagu tersebut lebih dekat dengan gaya persembahan Sudirman serta pendengar generasi baharu.
Rakaman versi baharu ini kemudiannya menjadi antara rendisi yang paling dikenali dan terus dikaitkan dengan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.
Pengaruhnya tidak terhad kepada rakaman studio, sebaliknya berkembang melalui persembahan Sudirman di hadapan khalayak.
Antaranya termasuk persembahan beliau di Konsert Nescafé Classic, 1985 serta konsert di Tapak Ekspo Ayer Keroh, Melaka, pada 9 Mac 1991.
Konsert di Ayer Keroh tersebut kemudiannya dikenali sebagai konsert berskala besar beliau yang terakhir, dan persembahan lagu ‘31 Ogos’ dalam acara tersebut menjadi antara rakaman persembahan yang penting dalam legasi beliau.
Dalam konteks persembahan tersebut, lagu ini hadir bukan lagi semata-mata sebagai karya yang lahir daripada suasana kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, tetapi sebagai sebahagian daripada pengalaman patriotik masyarakat Malaysia.
Persembahan Sudirman, termasuk penggunaan unsur visual dan simbol kebangsaan dalam penampilannya, memperlihatkan bagaimana lagu tersebut telah memperoleh kedudukan baharu dalam ruang budaya dan ingatan kebangsaan.
Dengan demikian, perjalanan lagu ini memperlihatkan satu peralihan yang menarik – daripada karya Ahmad C.B. yang lahir dalam konteks kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, kepada rakaman semula Sudirman yang disusun oleh S. Atan, sebelum terus hidup melalui persembahan dan pengulangan dalam konteks Malaysia.
Sebahagian besar keaslian lagu tersebut terus kekal dan dikenali, tetapi ia telah wujud dalam wajah yang baharu.
Di sinilah persoalan artikel ini bermula – apakah yang berlaku kepada makna sebuah karya apabila konteks sejarah yang melahirkannya berubah, tetapi karya itu terus diwarisi?
Daripada ‘Tanggal 31’ kepada ‘31 Ogos’: Perubahan Teks dan Konteks
Evolusi yang dilalui oleh lagu ini dapat dilihat melalui dua perubahan utama pada teksnya, iaitu perubahan tajuk daripada ‘Tanggal 31’ kepada ‘31 Ogos’, serta perubahan lirik daripada ‘bangsaku’ kepada ‘negaraku’.
Kedua-dua perubahan ini kecil dari segi bentuk, tetapi telah menghasilkan satu kesan yang ketara pada cara sebilangan masyarakat Malaysia memahami sejarah tanahair setelah ia dinyanyikan dalam tiap perayaan kebangsaan Malaysia.
1. Perubahan Tajuk: ‘Tanggal 31’ kepada ‘31 Ogos’
Perubahan judul daripada ‘Tanggal 31’ kepada ‘31 Ogos’ mungkin kelihatan sederhana dan kecil.
‘Tanggal 31’ bersifat lebih umum dan puitis, manakala ‘31 Ogos’ secara langsung menamakan tarikh tertentu.
Penggunaan perkataan ‘tanggal’ dalam konteks ini juga membawa nuansa bahasa Melayu yang lebih lama atau klasik, berbanding penggunaan ‘tarikh’ yang lebih lazim dalam bahasa Melayu moden.
Perubahan tersebut mungkin sahaja merupakan penyesuaian artistik atau bahasa yang lebih mudah dikenali oleh pendengar pada zaman kemudian.
Tanpa bukti dokumentari yang jelas, niat asal perubahan ini tidak dapat dipastikan. Namun, dari sudut makna, perubahan tersebut tetap menarik.
Apabila tajuk ‘31 Ogos’ menjadi identiti dominan lagu, tarikh tersebut menjadi penanda utama yang mengikat lagu dengan satu peristiwa sejarah negara yang penting.
Persoalannya kemudian bukan semata-mata apakah tarikh yang dirujuk, tetapi bagaimanakah tarikh tersebut difahami oleh generasi yang mewarisi lagu itu selepas pembentukan Malaysia?
2. Perubahan Seni Kata: ‘Bangsaku’ kepada ‘Negaraku’
Perubahan yang lebih signifikan berlaku pada seni kata ini. Dalam rakaman asal Ahmad C.B., liriknya berbunyi: “Hari mulia, bangsaku merdeka.”
Dalam versi yang dipopularkan oleh Sudirman: “Hari mulia, negaraku merdeka.”
Perubahan satu perkataan ini mengalihkan medan rujukan ayat tersebut. ‘
Bangsaku’ memberi tumpuan kepada bangsa atau masyarakat yang mengalami dan meraikan kemerdekaan. ‘Negaraku’ pula meletakkan negara sebagai subjek yang merdeka.
Dalam konteks asal 1957, ungkapan tersebut hadir dalam suasana kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Apabila ‘negaraku’ digunakan dalam versi yang dipopularkan selepas Malaysia terbentuk, perkataan tersebut telah menerima medan makna yang baharu.
Siapa yang mengubah perkataan tersebut dan mengapa ia diubah tidak dapat dipastikan secara jelas berdasarkan bukti yang ada.
Adakah ia sekadar penyesuaian bahasa, atau mencerminkan perubahan cara masyarakat memahami negara dan identiti kebangsaan selepas 1963? Persoalan ini dikekalkan sebagai persoalan terbuka di sini.
Namun, kesan tekstualnya tetap dapat dianalisis.
‘31 Ogos’ menamakan tarikh secara langsung, manakala ‘negaraku’ menjadikan negara sebagai subjek kemerdekaan.
Apabila kedua-duanya kemudiannya digunakan secara meluas dalam konteks Malaysia, sebuah lagu yang lahir daripada pengalaman kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah diterima melalui kerangka sejarah yang berbeza.
Di sinilah garis masa sejarah perlu dikekalkan dengan jelas.
31 Ogos 1957 ialah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala 16 September 1963 ialah tarikh pembentukan Malaysia.
Malaysia bukan sekadar pertukaran nama atau penjenamaan semula Persekutuan Tanah Melayu.
Pembentukannya melibatkan proses politik, rundingan dan persetujuan yang menghasilkan sebuah susunan persekutuan baharu.
Justeru, persoalan artikel ini bukanlah untuk menentukan bahawa perubahan satu perkataan itu dengan sendirinya ‘mengubah sejarah’.
Persoalan yang lebih menarik ialah bagaimana perubahan teks yang kecil, apabila bertemu dengan konteks sejarah yang baharu dan pengulangan budaya yang berterusan, boleh menghasilkan ruang makna yang berbeza.
Memori, Ritual dan Pembentukan Makna dalam Naratif Kebangsaan
Untuk memahami bagaimana sesuatu pengalaman sejarah diwarisi dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kesedaran kebangsaan, konsep ‘memori kolektif’ (collective memory) dan memori kebudayaan menjadi penting.
Maurice Halbwachs menjelaskan bahawa ingatan tentang masa lalu tidak terbentuk secara terasing dalam fikiran individu, tetapi dipengaruhi oleh kerangka sosial sesebuah masyarakat.
Jan Assmann pula memperluas persoalan ini melalui konsep ‘memori kebudayaan’ (cultural memory), iaitu bagaimana masyarakat mengekalkan dan mewariskan ingatan melalui teks, simbol, imej, ritual dan bentuk budaya yang merentasi generasi.
Paul Connerton seterusnya menunjukkan bahawa proses mengingati tidak berlaku melalui representasi semata-mata, tetapi turut dikekalkan melalui bodily practices atau ‘amalan tubuh badan’.
Ritual, upacara, pergerakan, nyanyian dan amalan yang dilakukan secara berulang bersama-sama boleh menjadi medium yang membantu mengubah dan mengekalkan ingatan sosial.
Kerangka ini menunjukkan bahawa masyarakat tidak mengingati sejarah melalui buku teks sahaja.
Lagu, simbol, upacara dan pengalaman bersama turut menjadi medium yang menghubungkan generasi masa kini dengan masa lalu.
Dalam konteks ini, ‘31 Ogos’ bukan sekadar sebuah lagu yang merujuk kepada peristiwa tahun 1957, tetapi turut menjadi medium yang mengaktifkan dan mewariskan memori kebangsaan setiap kali ia digunakan dalam sambutan kebangsaan.
Apabila sebuah lagu yang lahir dalam konteks kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 terus digunakan dalam ritual kebangsaan Malaysia selepas 1963, memori tentang 1957 tidak lagi diterima semata-mata dalam konteks asalnya, tetapi dibaca melalui pengalaman sejarah Malaysia yang terbentuk selepasnya.
Proses pengulangan ini dapat diperjelaskan melalui konsep invented tradition Eric Hobsbawm.
Menurut Hobsbawm, pengulangan amalan, simbol dan ritual tertentu dapat menghasilkan rasa kesinambungan antara masa kini dengan masa lalu sehingga sesuatu amalan kelihatan sebagai tradisi yang semula jadi.
Dalam konteks ‘31 Ogos’, pengulangan lagu tersebut dalam sambutan Hari Kebangsaan, nyanyian beramai-ramai, siaran media serta penggabungannya dengan Jalur Gemilang dan perbarisan menjadikannya sebahagian daripada ritual kebangsaan yang terus menghubungkan masyarakat dengan peristiwa kemerdekaan 1957.
Bagi generasi yang lahir jauh selepas 1957, hubungan dengan peristiwa tersebut terbentuk bukan melalui pengalaman langsung, tetapi melalui cerita, pendidikan, lagu, simbol dan ritual yang diwariskan.
Dengan demikian, pengulangan bukan sahaja mengekalkan ingatan, tetapi turut membentuk cara sesuatu masa lalu dibayangkan oleh generasi kemudian.
Namun, pengulangan tidak semestinya mengekalkan makna asal secara sempurna.
Di sinilah pemikiran Roland Barthes menjadi penting. Barthes membantu menjelaskan bagaimana sesuatu tanda boleh memperoleh lapisan makna baharu apabila digunakan dalam konteks budaya, sejarah dan ideologi yang berbeza.
Sesuatu tanda yang pada asalnya mempunyai rujukan sejarah tertentu boleh, melalui pengulangan, kelihatan membawa makna yang semula jadi dan tidak lagi dipersoalkan.
Kerangka ini membuka ruang untuk melihat semula kedudukan ‘31 Ogos’ dalam naratif kebangsaan.
Lagu tersebut lahir dalam konteks kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, tetapi terus digunakan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.
Perubahan daripada ungkapan ‘bangsaku’ kepada ‘negaraku’, misalnya, tidak hanya menarik sebagai perubahan teks, tetapi juga kerana kedua-duanya mengarahkan perhatian kepada subjek yang berbeza.
‘Bangsaku’ menumpukan perhatian kepada bangsa yang mengalami kemerdekaan, manakala ‘negaraku’ mengarahkan perhatian kepada entiti negara.
Persoalan ini menjadi signifikan kerana kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu, sedangkan Malaysia hanya dibentuk pada 16 September 1963.
Oleh itu, persoalan yang perlu diberi perhatian bukan semata-mata siapa yang mengubah perkataan tersebut, tetapi juga apakah kesan perubahan tanda itu terhadap cara masa lalu difahami oleh generasi kemudian.
Apabila ungkapan ‘negaraku’ terus dinyanyikan dalam konteks negara Malaysia, hubungan antara 31 Ogos, kemerdekaan dan pembentukan Malaysia menjadi semakin kabur dalam kesedaran masyarakat, walaupun peristiwa sejarah yang dirujuk pada tarikh 1957 tersebut berlaku sebelum pembentukan Malaysia.
Dalam pengertian Barthes, di sinilah proses pembentukan mitos dapat difahami.
Mitos tidak semestinya merujuk kepada penipuan yang disengajakan. Ia berlaku apabila sesuatu yang mempunyai sejarah pembentukan tertentu kehilangan keterlihatan sejarah tersebut dan mula hadir sebagai sesuatu yang biasa, semula jadi dan tidak lagi dipersoalkan.
Justeru, ‘31 Ogos’ boleh dilihat bukan sahaja sebagai sebuah lagu yang mengingati masa lalu, tetapi sebagai tanda budaya yang melalui proses diwarisi, diulang dan dimaknai semula dalam konteks kebangsaan yang diubah.
Persoalan ini turut mempunyai dimensi geografi dan politik.
‘31 Ogos’ mempunyai akar yang kuat dalam pengalaman sejarah Persekutuan Tanah Melayu dan, dengan itu, lebih dekat dengan sejarah politik moden Semenanjung. Sabah dan Sarawak pula mempunyai pengalaman kolonial, perkembangan politik serta proses menuju pembentukan Malaysia yang tersendiri.
Selepas 1963, pengalaman sejarah yang berbeza ini dihimpunkan dalam satu ruang politik dan kebangsaan. Melalui pendidikan, media, lagu, upacara dan simbol negara, sesuatu pengalaman sejarah yang asalnya khusus kepada Persekutuan Tanah Melayu telah bergerak melampaui konteks asalnya dan menjadi sebahagian daripada naratif kebangsaan Malaysia.
Dengan demikian, persoalan terhadap ‘31 Ogos’ bukan semata-mata sama ada lagu tersebut ‘mewakili Malaysia’ atau tidak kerana Semanjung Malaysia itu juga sebahagaian dari entiti yang membentuk Malaysia.
Persoalan yang lebih penting ialah bagaimanakah sebuah karya budaya yang lahir daripada satu pengalaman sejarah tertentu akhirnya menjadi simbol dalam pengalaman kebangsaan yang lebih luas, dan apakah yang berlaku kepada maknanya dalam proses tersebut?
Jawapannya tidak terletak pada lagu itu sahaja, tetapi pada keseluruhan ekologi budaya yang mengelilinginya – teks yang berubah, ritual yang berulang, simbol yang mengiringi, institusi yang mewariskannya dan masyarakat yang menerimanya.
Siapakah ‘Negaraku’?
Jika kita bertanya – jika ‘negaraku merdeka’, seperti yang dinyatakan dalam lirik terkini dan dikaitkan dengan 31 Ogos 1957, siapakah sebenarnya ‘negaraku’ itu?
Persoalan ini tidak terhenti pada siapakah yang dimaksudkan dalam seni kata tersebut.
Perubahan daripada ‘bangsaku’ kepada ‘negaraku’ telah mengubah hubungan antara bahasa, tarikh dan subjek kemerdekaan.
Lagu yang asalnya lahir dalam konteks kemerdekaan Tanah Melayu kemudiannya dihidupkan semula dan dipopularkan dalam ruang kebangsaan Malaysia, khususnya melalui rakaman dan persembahan Allahyarham Sudirman.
Dalam proses inilah, sebuah lagu bukan sekadar dinyanyikan semula, tetapi turut memasuki konteks ingatan yang baharu.
Apabila tafsiran tersebut diulang melalui persembahan, media dan ritual kebangsaan sehingga asal-usul serta proses pembentukannya tidak lagi dikenali, apakah yang berlaku kepada tafsiran tersebut apabila ia mula diterima sebagai sesuatu yang semula jadi?
Di sinilah persoalan ‘31 Ogos’ menjadi lebih besar daripada persoalan sebuah lagu.
Ia membawa kita kepada persoalan tentang bagaimana sesebuah masyarakat mengingati masa lalunya, bagaimana sesuatu tafsiran diwariskan, dan bagaimana pengulangan boleh menjadikan sesuatu yang pernah ditafsir seolah-olah tidak lagi mempunyai sejarah tafsiran.
Dalam perjalanan itulah nama Ahmad C.B. dan Allahyarham Sudirman hadir pada dua titik yang berbeza, seorang mencipta, seorang menghidupkan semula, sementara makna lagu itu sendiri terus bergerak merentasi zaman dan konteks.
Apabila sesuatu tafsiran telah diwarisi begitu lama sehingga tidak lagi dikenali sebagai tafsiran, apakah yang sebenarnya kita pertahankan ketika kita mempertahankan ‘sejarah’ – peristiwa yang pernah berlaku, atau makna yang telah kita warisi tentang peristiwa itu?
Dr. Mohd Fuad Md Arif (Fuad Arif) merupakan seniman visual dan ahli akademik adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau aktif dalam bidang seni visual, penyelidikan, pameran, kuratorial dan penyeliaan akademik.
