Khemah yang tersusun sebelum mengambil tempat duduk di dalam Grey Box di GMBB, menarik perhatian saya. Sebelum pementasan bermula, dua pengarahnya, Jazzie Lee Jin Jye, dan Ho Lee Ching tampil memperkenalkan diri sambil memperincikan semua fungsi akses yang disediakan malam itu dengan sangat welcoming. Khemah tadi merupakan ruang bertenang untuk sesiapa sahaja yang merasa overwhelming, atau tempat untuk melepaskan tics tanpa perlu ditahan-tahan akibat kondisi neurodivergen.

Low sensory tents atau “khemah bertenang” di ruang legar panggung adalah manifestasi tertinggi terhadap nilai empati dan akses inklusif yang sejati. Sebuah zon selamat (safe space) yang direka khas untuk mengurangkan rangsangan deria yang melampau (sensory overload). Di dalam ruang yang minim pencahayaan dan bebas daripada hiruk-pikuk ini, penonton neurodivergen, seperti individu autistik atau ADHD, diberikan kebebasan mutlak untuk memproses emosi, melepaskan tics atau stims, mahupun berehat tanpa perlu rasa terancam oleh penghakiman sosial masyarakat tipikal.
Bagi saya, pengenalan sebegini terasa sangat manusiawi. Satu peringatan halus bahawa kita semua ini pada akhirnya adalah orang yang sama, cuma cara kita memproses persekitaran sahaja yang berbeza. Malah, komitmen mereka terhadap aksesibiliti tidak terhenti pada khemah bertenang sahaja. Produksi ini menyediakan ekosistem tontonan yang sangat inklusif, daripada integrasi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) di atas pentas, sarikata dwi-bahasa, hinggalah kepada khidmat Audio Description (AD) untuk membantu penonton cacat penglihatan ‘melihat’ pementasan melalui audio. Ini bukan sekadar pementasan tentang inklusiviti; mereka benar-benar mempraktikkannya secara total di ruang panggung.
Tindakan produksi ini mencerminkan rasa hormat yang mendalam kepada komuniti OKU. Sebagai manusia yang diberikan kesempurnaan fizikal, saya benar-benar tersentuh dengan nilai empati yang mereka bentangkan sebelum drama bermula lagi.
Pementasan oleh kolektif Teater Untuk Semua sempena KL Festival 2026 ini (yang dipentaskan semula selepas mendapat sambutan tahun lepas) dibawakan dengan bersahaja tetapi impaknya berlapis-lapis. Kolektif yang bermula sejak tahun 2024 sebagai projek penyelidikan latihan teater inklusif ini kini berkembang menjadi sebuah wadah penting yang mencabar tembok diskriminasi ‘ableisme’ dalam landskap teater tempatan.
Ceritanya ringkas, berlatarkan sebuah perhentian bas di mana para pelakon menanti Bas 801 sebuah bas yang dicanangkan kononnya mesra pengguna dan boleh diakses semua. Dari metafora penantian bas ini, mengalirilah siri babak dan monolog jujur yang ditulis serta dilakonkan sendiri oleh tujuh pelakon OKU yang hebat, Ameera Ramlee, Dino N. Hassan, Fndrocka Notapurba, Gejaletchumi Murugaya, Lavinia A., Nuna Wan dan Nur Aisyah Shahimee. Di atas pentas, pergerakan mereka dibantu oleh tiga Creative Support Persons dan diiringi alunan keyboardist serta jurubahasa isyarat, Aw Wei Chun, yang menghidupkan suasana perhentian bas tersebut.

Tajuk Siapa Cacat? itu sendiri memegang terlalu banyak lapisan makna jika diperhalusi. Perkataan “cacat” itu bunyinya sangat perit, kasar, dan sering dihindari dalam perbualan harian kerana stigma. Namun, produksi ini dengan beraninya cuba menuntut semula (reclaim) istilah tersebut. Daripada sekadar kata nista (slur) yang merendahkan, ia diangkat menjadi sebuah simbol pemerkasaan (empowerment).
Teater ini menolak pandangan kasihan; sebaliknya mereka membuktikan bahawa ketidakupayaan (disability) itu sendiri adalah sebuah budaya, estetika, dan ekspresi kreativiti yang sah di atas pentas. Kisah yang dibentangkan adalah satu kejujuran mutlak dari lubuk hati dan fikiran mereka yang selama ini hidup dalam diskriminasi dan ketidakadilan yang tidak didendangkan.
Naskhah ini secara halus membalikkan cermin ke muka penonton: Adakah kecacatan itu milik mereka, atau sebenarnya sistem kita yang tempang di mana-mana? Ataupun, masyarakat kita sendiri yang sebenarnya “buta dan pekak” terhadap keinginan, keperluan, dan rasa hati golongan OKU. Kita sering melihat mereka sebagai beban atau objek simpati, bukannya manusia yang mempunyai hak yang setara.
Secara lebih kritis, pementasan “Siapa Cacat?” ini berjaya mendedahkan satu realiti yang sering diabaikan oleh pembuat dasar: bahawa isu sebenar yang dihadapi oleh golongan OKU adalah kelemahan sistem, bukannya kekurangan individu itu sendiri. Melalui analogi penantian Bas 801, penonton disedarkan bahawa kecacatan yang paling besar bukanlah terletak pada anggota tubuh para pelakon, tetapi pada kegagalan infrastruktur, sistem pengangkutan awam, dan birokrasi negara yang gagal berfungsi dengan inklusif.
Menariknya, pada penghujung pementasan, Bas 801 yang dinanti-nantikan itu langsung tidak pernah tiba sampai ke sudah. Ini adalah simbolisme paling kuat dan tragis dalam keseluruhan naskhah. Kegagalan bas itu untuk sampai menelanjangkan hakikat bahawa semua kempen mesra OKU atau polisi inklusif di atas kertas selama ini hanyalah sebuah performative activism—janji palsu institusi yang hanya direka-reka.
Sistem ini sengaja membiarkan golongan OKU tersadai menanti sesuatu yang tidak wujud. Ia juga membongkar satu kebenaran yang pahit: dunia kapitalis hari ini menganggap masa hidup golongan OKU sebagai “murah”. Struktur sosial kita tidak pernah peduli sama ada mereka mampu bergerak maju ke destinasi hidup atau terus ditinggalkan di belakang. Apabila sebuah kota gagal menyediakan akses, kota itu yang sebenarnya ‘cacat’. Kolektif Teater Untuk Semua tidak meletakkan watak mereka sebagai mangsa biologi, sebaliknya mereka menuntut akauntabiliti daripada struktur yang meminggirkan mereka.

Satu perkara fundamental yang membezakan “Siapa Cacat?” dengan kebanyakan projek melibatkan OKU sebelum ini adalah konsep “disabled-led” atau kepimpinan oleh komuniti OKU itu sendiri. Dari perspektif sosiologi seni, pementasan ini menolak keras naratif “projek kebajikan” (charity model). Dengan gandingan Jazzie Lee Jin Jye yang autistik dan Ho Lee Ching yang neurodivergen di kerusi pengarah, komuniti OKU di sini bukanlah penerima bantuan yang pasif atau sekadar boneka yang digerakkan oleh pengarah ‘normal’ untuk meraih simpati modal politik. Mereka adalah pencipta, pemilik cerita, dan pengemudi utama naskhah ini.
Mereka memiliki agensi (agency) dan autonomi penuh terhadap bagaimana identiti dan perjuangan mereka mahu dipersembahkan di atas pentas. Kepimpinan rentas-kurang upaya (cross-disability leadership) ini memulangkan semula maruah (dignity) kreatif kepada para pengamal seni OKU. Mereka membuktikan bahawa estetika teater tidak sepatutnya ditentukan oleh standard tubuh tipikal sahaja. Seni yang lahir daripada perspektif kurang upaya mempunyai bahasa visual, ritma, dan keindahan tersendiri yang sangat kaya jika kita sudi meraikannya tanpa prejudis.
Ini adalah sebuah persembahan yang sangat ikhlas, sehingga saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana proses latihan (rehearsal) mereka digerakkan. Logiknya, ia pasti menuntut kepayahan yang berlipat ganda berbanding kita yang memiliki tubuh sempurna. Pergerakan di atas pentas, penghafalan skrip, keselarasan cues pencahayaan dan bunyi, semuanya memerlukan komunikasi rentas-kurang upaya yang sangat rumit.
Saya sempat berbual dengan salah seorang pelakonnya, Ameera Ramlee selepas beberapa hari dari pementasan yang juga merupakan sahabat lama saya. Beliau berkongsi cerita peribadi yang merobek tanggapan saya: beliau perlu menjalani rawatan dialisis yang memeras tenaga, dan kemudiannya terus menggagahkan diri datang ke sesi latihan dalam keadaan badan yang tersangat penat. Namun, atas dasar semangat setiakawan kolektif ini yang saling membantu dan tidak pernah putus asa, Ameera tekad mahu memberikan yang terbaik. Tiada penyesalan dari suaranya, cuma sebuah perkongsiaan yang ikhlas.
Dedikasi seperti inilah yang memberi “roh” kepada pementasan ini; ia bukan lagi sekadar lakonan untuk memenuhi slot festival, tetapi sebuah perjuangan untuk menuntut ruang dalam industri seni. Keserasian (chemistry) antara Ameera dan tujuh pelakon hebat yang lain, Dino N. Hassan, Fndrocka Notapurba, Gejaletchumi Murugaya, Lavinia Abirami, Nuna Wan, Nur Aisyah Shahimee, dan Sharifah Nur Jahan, sangat luar biasa. Walaupun datang daripada latar belakang kecacatan yang berbeza, mereka saling melengkapi.

Mereka menggunakan humor, satira yang tajam, dan gaya untuk menyindir kepalsuan birokrasi dan masyarakat. Mereka membuatkan kita tertawa melihat betapa kalut dan hipokritnya orang yang berpura-pura prihatin, dan dalam tawa itu, penonton dibawa ke satu ruang introspeksi yang dalam menyedari keistimewaan (privilege) yang kita nikmati setiap hari tanpa fikir panjang.
Pementasan ini juga membawa dimensi teknikal yang mencabar deria penonton secara langsung. Bunyi loceng yang mendadak, jam berdetik (clock ticking) yang berterusan, alunan muzik papan nada, serta perubahan pencahayaan yang dinamik digarap bukan sekadar sebagai pelengkap estetika teater, tetapi sebagai simulasi kepada rangsangan deria melampau (sensory overload) yang sering dihadapi komuniti neurodivergen. Malah, dengan adanya amaran kandungan (content advisory) berkaitan rujukan dewasa dan seksual, produksi ini membuktikan bahawa mereka memperlakukan barisan pelakon OKU dan penontonnya secara matang. Mereka tidak berselindung di sebalik naratif kanak-kanak yang naif; sebaliknya berani meneroka topik realiti kehidupan yang kompleks, menjadikannya sebuah naskhah yang matang dan profan.
Melihat kepada ekosistem Grey Box malam itu, yang dilengkapi interpretasi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang kreatif di mana penterjemahnya turut menjadi sebahagian daripada watak, creative captioning yang artistik, audio description, dan keterbukaan penuh terhadap stims serta tics, saya sedar bahawa mereka telah berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh panggung teater konvensional. Mereka telah meruntuhkan tembok etik panggung yang rigid dan mencengkam.

Di dalam kebanyakan teater elit, penonton dipaksa duduk kaku dan senyap, seolah-olah sebarang bunyi luar jangka adalah satu dosa besar. Namun di sini, suasana terasa sangat membebaskan. Keterbukaan ruang ini dalam mengalu-alukan stims dan tics bukan sahaja memberi keselesaan kepada komuniti neurodivergen, tetapi secara tidak sedar turut membebaskan penonton tipikal daripada kepura-puraan. Malam itu, di dalam Grey Box, tiada sesiapa yang perlu menyembunyikan kelemahan fizikal atau mental mereka. Semua orang diberikan hak, rasa hormat, dan ruang yang setara untuk merasai pementasan tersebut sebagai seorang manusia yang utuh.
Secara kritis dan konstruktif, naskhah “Siapa Cacat?” ini wajib dibawa keluar sebagai satu siri jelajah (tour). Ia tidak sepatutnya berakhir apabila festival ini tamat. Karya ini perlu dipentaskan di mana-mana sahaja ruang yang ada, sama ada di dewan-dewan universiti, sekolah-sekolah, di serata ceruk dalam negara, mahupun di pentas antarabangsa.
Kesedaran terhadap isu OKU tidak akan pernah berkembang jika kita terus membiarkan karya sebegini berada di dalam kelompok atau ‘bubble’ komuniti seni yang kecil sahaja. Para penggubal dasar, perancang bandar, kementerian berkaitan, pendidik, dan masyarakat awam perlu melihat pementasan ini. Mereka perlu dipaksa duduk dan menonton untuk belajar makna sebenar kemanusiaan, akses, dan inklusiviti yang sejati. Kita perlu sedar bahawa membaiki sistem yang tempang adalah tanggungjawab bersama, bukannya beban yang harus dipikul sendirian oleh komuniti OKU.
“Siapa Cacat?” tidak hanya teater yang menghiburkan hujung minggu saya. Ia adalah sebuah manifesto sosial, tamparan realiti, dan sebuah naskhah agung kemanusiaan yang mendidik kita untuk berhenti menjadi masyarakat yang cacat minda dan empati.
Persembahan Teater Siapa Cacat? telah berlangsung di The Grey Box, GMBB KL pada 23-24 May 2026 yang lalu.
