Dalam dunia seni, ketiadaan jarang benar-benar sebuah kekosongan.
Ada karya yang tidak dipamerkan, artis yang tidak dipanggil, isu yang tidak disentuh, komuniti yang tidak diwakili dan ada juga bentuk seni yang hanya muncul apabila ia sudah cukup selamat untuk dijadikan bahan pameran, wacana atau pasaran.
Missing from the Scene, pameran solo Sharon Chin di The Back Room, tidak memberikan jawapan secara terus terhadap persoalan ini.
Sebaliknya, ia meletakkan persoalan yang mengganggu di tengah ruangan: “What is missing from your scene?”, sebuah permainan kata dari ‘mise-en-scène‘, yang menyiratkan bahawa ketiadaan menjadi latar yang membentuk kehidupan yang dijalani hari ini.
Soalan itu boleh dilihat sebagai pertanyaan ekologi, tetapi dalam konteks seni visual di Malaysia ia juga sukar dipisahkan daripada politik kehadiran.
Siapa yang membentuk scene? Siapa yang mendapat ruang? Dan apakah yang berlaku kepada mereka yang tidak sesuai dengan logik institusi atau pasaran?
Berlangsung dari 26 September hingga 1 November 2026 dan dikuratorkan oleh Eric Goh, Missing from the Scene adalah pameran pertama Sharon Chin di Kuala Lumpur sejak 2017,
Pameran ini menghimpunkan patung bayang-bayang berbentuk haiwan, cetakan kolagraf dan lino, serta imej langsung cerobong flare stack kilang penapisan minyak yang dilihat dari kediamannya di Port Dickson.
Ia turut disertakan dengan sebuah penerbitan zine yang memuatkan esei oleh Eric Goh, Azzad Diah dan Nau Suter, serta sebuah soal selidik yang mengajukan soalan kepada khalayak: “What is missing from your scene?””
Siri Missing Actors menampilkan haiwan melalui cetakan lino, tetapi habitatnya hadir tanpa penghuni. Dalam Holding Form, patung haiwan dibuat daripada kotak Tetra Pak dan dawai keluli.
Restless Spirits pula menterjemahkan bentuk tersebut ke dalam cetakan kolagraf. Tubuh berubah menjadi bayang, bayang menjadi imej, dan imej akhirnya menjadi bukti kepada sesuatu yang tidak lagi hadir.

Ia merupakan strategi yang sederhana, tetapi cukup berkesan. Dia tidak perlu menunjukkan bangkai, hutan yang musnah atau landskap bencana. Ketiadaan sudah memadai.
Pameran ini bergerak daripada persoalan alam sekitar kepada sesuatu yang lebih dekat dengan struktur budaya.
Habitat yang kosong mempunyai persamaan dengan ‘scene’ seni yang kehilangan ruang untuk bentuk-bentuk tertentu. Kedua-duanya tidak semestinya kelihatan sebagai krisis, kekosongan boleh kelihatan seperti keadaan biasa.
Peryataan pameran turut menyebut “holes” dalam ‘scene’ seni Malaysia yang ditinggalkan oleh dasar dan kecenderungan pasaran. Ini mungkin pernyataan yang paling penting dalam keseluruhan projek, justeru ia juga yang paling wajar diperiksa dengan lebih mendalam.
Pasaran seni tidak sekadar menentukan harga, ia turut mempengaruhi jenis karya yang mudah diedarkan, dikoleksi dan dipamerkan.
Institusi pula bukan sekadar menyediakan ruang, tapi juga turut menentukan konteks, bahasa dan hala tuju yang membolehkan sesuatu karya memasuki naratif seni tempatan.
Apabila kedua-duanya bergerak dalam arah yang sama, bentuk seni tertentu dapat memperoleh keterlihatan dengan cepat dan dalam masa yang sama juga mungkin berlaku keterabaian atau keterpinggiran dari bentuk seni yang lain tanpa disedari.
“Scene” sering dibayangkan seolah-olah ia sebuah ruang terbuka yang tersedia untuk semua, tapi pada hakikatnya, setiap scene juga mempunyai pintu masuk, hierarki serta mekanismenya yang tersendiri.
Sharon Chin bukan seorang pemerhati neutral terhadap keadaan ini.
Sejak awal kerjayanya, praktik serta amalanya berkait rapat dengan persoalan kuasa, penapisan, imigresen dan politik, beliau juga terlibat dalam seni persembahan dan mengasaskan Buka Kolektif, yang menganjurkan festival seni persembahan di Balai Seni Negara pada 2011.
Karya-karya berasaskan penyertaan dan projek yang berkaitan dengan gerakan Bersih turut meletakkan tubuh, komuniti dan tindakan politik dalam pusat praktiknya.

Latar ini menjadikan Missing from the Scene lebih kompleks daripada sebuah pameran mengenai biodiversiti.
Ia datang daripada seorang artis yang sudah lama bekerja di luar definisi sempit tentang apa yang sepatutnya dilakukan oleh seni kontemporari, dan kini kembali ke Kuala Lumpur untuk mempersoalkan siapa yang menentukan definisi tersebut.
Namun pameran ini juga berhadapan dengan paradoksnya sendiri.
Apabila seni politik masuk ke galeri, kritikan terhadap institusi boleh dengan mudah menjadi kandungan institusi. Persoalan tentang marginaliti boleh menjadi tajuk forum.
Kritik terhadap pasaran boleh menjadi objek koleksi, bahkan ketiadaan boleh diberi nilai apabila ia diterjemahkan kepada bahasa kuratorial yang bersesuaian.
Inilah risiko yang tidak boleh diabaikan apabila karya yang bersifat sosial dan politik dipamerkan dalam ekosistem seni yang sama yang sedang dipersoalkannya. Institusi boleh menampung kritikan terhadap dirinya tanpa semestinya berubah kerananya.
Missing from the Scene tidak menyelesaikan paradoks ini, dan mungkin ia tidak perlu.
Tetapi pameran akan menjadi lebih menarik jika persoalan tersebut dibiarkan terbuka: apabila sebuah galeri mempamerkan karya tentang apa yang hilang daripada scene, apakah rantaian reaksi yang akan berlaku setelah pameran berakhir?
Persoalan ini menjadi lebih kritikal apabila melihat hubungan Sharon dengan Port Dickson.
Perpindahan beliau dari Kuala Lumpur pada 2011 secara beransur-ansur membawa praktiknya ke dalam hubungan yang lebih dekat dengan bandar tersebut.

Selepas 2020, kerja seni dan aktivismenya semakin tertumpu kepada persoalan tempatan, termasuk isu alam sekitar.
Pada 2024, dengan sokongan Prince Claus Fund Mentorship Award for Cultural and Artistic Responses to Environmental Crisis, usaha Sharon berkaitan alam sekitar menyumbang kepada pengurangan pelepasan asap daripada kilang penapisan minyak Port Dickson sehingga berada dalam had peraturan.
Ini membuktikan bahawa seni tidak sekadar “mengangkat kesedaran”, ia juga bersentuhan dengan situasi dan keadaan sebenar serta dapat memperoleh sebuah hasil yang boleh diukur.
Tetapi keberkesanan seperti ini juga menimbulkan persoalan terhadap scene seni yang lebih luas: berapa banyak karya yang bercakap tentang perubahan sosial benar-benar beroperasi di luar ruang representasi?
Pameran kontemporari hari ini mudah menghasilkan bahasa tentang komuniti, ekologi, keterpinggiran dan penyertaan, akan tetapi bahasa tersebut boleh menjadi sangat selesa. Ia membolehkan institusi kelihatan progresif tanpa perlu mengambil risiko yang setara dengan isu yang dibincangkan.
Dalam konteks ini, Missing from the Scene paling kuat bukan ketika ia menjelaskan kehilangan, tetapi ketika ia menghala kita untuk memikirkan infrastruktur yang menghasilkan kehilangan tersebut.
Habitat tidak hilang dengan sendirinya. Artis tidak menjadi tak kelihatan secara kebetulan. Karya tidak terkeluar daripada sejarah seni hanya kerana ia kurang penting. Ada keputusan, struktur dan kepentingan yang terlibat.
Tetapi pameran ini juga tidak menawarkan romantisisme mudah bahawa segala yang berada di luar institusi secara automatik lebih radikal.

Ketiadaan sendiri perlu dibaca secara kritikal. Siapa yang memilih untuk tidak berada di dalam scene? Siapa yang dinafikan akses? Dan siapa yang boleh keluar kerana sudah mempunyai modal budaya yang membolehkannya kembali apabila keadaan berubah?
Program seperti forum, lawatan dan penerbitan zine yang mengiringi pameran memberi ruang untuk persoalan ini berkembang.
Namun nilai sebenar pendekatan tersebut bergantung kepada sejauh mana perbincangan itu boleh bergerak melampaui ritual biasa dunia seni, bercakap tentang masalah, mengadakan forum, menghasilkan penerbitan, kemudian kembali kepada keadaan asal.
Pada akhirnya, Missing from the Scene bukan sekadar pameran tentang apa yang hilang. Ia lebih berguna jika dibaca sebagai pameran tentang mekanisme kehilangan.
Ketiadaan bukan lawan kepada kehadiran. Dalam banyak keadaan, ia adalah hasil daripada kehadiran kuasa tertentu: institusi yang memilih, pasaran yang menilai, dasar yang mengatur, pembangunan yang mengubah habitat dan budaya yang menentukan apa yang patut diberi perhatian.
Oleh yang demikian, soalan “What is missing from your scene?” tidak sepatutnya dijawab dengan senarai objek, haiwan atau artis yang tidak kelihatan.
Soalan yang lebih mendesak ialah: siapa yang mempunyai autoriti dalam menentukan apa yang dianggap sebagai scene sejak awal?
Dan jika Missing from the Scene mempunyai satu tuntutan yang benar-benar penting, ia bukan supaya kita mengisi semua ruang kosong.
Sebaliknya, ia meminta kita melihat siapa yang mencipta ruang itu, dan siapa pula yang akan memperolehi manfaat apabila ia kekal kosong.
Missing from the Scene by Sharon Chin berlangsung dari 26 September hingga 1 November 2026 di The Back Room – The Zhongshan Building – 80A, Jalan Rotan, Kampung Attap Kuala Lumpur.

Sebarang pertanyaan sila email ke Liza Ho: hello@thebackroomkl.com
www.thebackroomkl.com
