HARI ini setahun yang lalu, portal Senimalaya mula menemui pembaca secara atas talian. Sejak hari pertama kemunculannya, Senimalaya berhasrat untuk menyampaikan berita dan artikel mengenai seni tampak, filem, muzik, buku, tokoh seni dan banyak lagi kepada masyarakat Malaysia.
Dalam jangka masa yang singkat ini, Senimalaya berusaha untuk menjadi wadah yang berwibawa dan berpengaruh dalam dunia seni tanah air.
Biarpun Senimalaya bukanlah portal pertama yang menyiarkan kandungan berkaitan seni, tetapi hasratnya adalah untuk menjadi pengantara kesukaan ramai dan bertahan lama.
Dalam tempoh setahun ini juga, Senimalaya telah membuktikan dirinya sebagai portal yang komited dalam menyokong dan mempromosikan seni di Malaysia.
Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada pembaca dan komuniti seni. Dalam tempoh yang singkat, beberapa nama besar dalam bidang penulisan telah sudi untuk menyumbangkan artikel untuk disiarkan di Senimalaya. Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar antara yang aktif menulis di Senimalaya.
Selain Johan, mantan Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain, mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Muliyadi Mahamood, mantan Eksekutif Editor Astro AWANI, Noor Azam Shairi, penggiat teater, Fazleena Hishamuddin antara yang menyumbangkan tulisan untuk dihidangkan kepada pembaca Senimalaya.
Abdullahjones, seorang penulis yang sinis dalam satiranya juga banyak membantu menaikkan nama Senimalaya. Dr Jalaini Abu Hassan dan Dr U-Wei HajiSaari juga membantu portal ini dengan tulisan dan pandangan mereka.
Ada banyak nama yang tidak dapat disenaraikan satu persatu, tetapi segala jasa bakti mereka dalam tempoh setahun ini amat kami hargai dan akan terus dikenang selagi hayat dikandung badan.
Dalam tempoh setahun ini, Senimalaya telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam mempromosikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.
Senimalaya juga telah menjadi rakan media untuk pameran seni Colours For Gaza dan Sesat Di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir yang dianjurkan oleh Galeri Puteh.
Tidak lengkap rencana ringkas ini sekiranya penghargaan tidak diberikan kepada seniman Pyanhabib yang telah kembali ke rahmahtullah pada 4 Jun lalu. Allahyarham antara yang sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada Senimalaya.
Dengan aspirasi untuk terus berkembang dan memberikan liputan yang lebih menyeluruh, Senimalaya berjanji untuk terus menjadi suara utama dalam dunia seni Malaysia.
Semoga tahun-tahun mendatang membawa lebih banyak kejayaan dan kemajuan kepada portal ini dan industri seni tanah air secara keseluruhannya.
Meminjam kata-kata Chairil Anwar, “Senimalaya mahu hidup seribu tahun lagi”.
Terima kasih atas sokongan semua.
