
SEJAK dari zaman primitif hingga ke hari ini, manusia merupakan penghasil dan pembuat imej. Keampuhan daya imaginasi, mula ‘disemai’ serta ‘dituai’ oleh kemampuan kognitif dan intuisinya. Tujuan utama penghasilan imej adalah sebagai sumber perekodan komunikasi serta perakaman segenap peristiwa, seputar manusia menjalani hidup.
Mengambil kira apa yang dimaksudkan, fenomena serupa juga berlaku, malah ditiru dalam peringkat konsep dan pemikiran zaman kanak-kanak. Ditilik barang sekilas, kanak-kanak adalah seniman serta pengkarya awal yang polos dalam merepresentasikan segenap cerapan imej. Jadinya, secara tidak langsung ia menyamai konsep simbolik lukisan-lukisan gua umat manusia terawal.
Kanak-kanak mempraktikkan seni konsepsual, berbanding seni persepsi. Maka, representasi imej yang dijelmakan itu, adalah ekspresi visual yang tidak akan sama bagi setiap individu. Ekspresi visual seseorang pelukis, pengarca atau pereka terhadap sesuatu objek yang dihasilkan misalnya, merupakan suatu penjelmaan (manifestasi) yang boleh dianggap sebagai luahan pernyataan, disebut dengan istilah ‘ekspresi’. Seorang pemikir seni, H. Gene Bloker ada melontar pandangan;
“The expressionist uses the term expression simply to record the obvious fact that art has something to do with human emotions and feelings. But by articulating this in term of “expression” a special and by no means obvious slant is placed on this intuitively obvious assumption which suggests that art is the venting or exhibition of emotion. And this slant is largely determined by ordinary meaning of the term expression”.
(Terjemahan; Para ekspresionis menggunakan istilah ‘ekspresi’ hanya untuk merakamkan fakta yang jelas bahawa seni mempunyai hubungannya dengan emosi dan perasaan manusia. Tetapi dengan menyatakan bahawa kata ‘ekspresi’ ini adalah suatu yang istimewa dan sama sekali tidak jelas untuk ia diandaikan secara intuitif, yang menunjukkan bahawa seni merupakan suatu luahan atau ‘pertunjukan’ emosi. Lalunya, kecenderungan ini sebahagian besarnya akan ditentukan oleh makna biasa daripada istilah ‘ekspresi’ itu sendiri).
Sekiranya ditinjau pula letak duduk teori ekspresi, seperti yang diungkapkan oleh pujangga dan ahli fikir Rusia Leo Tolstoy, beliau menganggap ekspresi itu datangnya daripada peranan yang dimainkan oleh seni dalam masyarakat dan perkembangan sejarah manusia.
Seni muncul melalui segenap kehidupan serta mempunyai keupayaan untuk menyatukan manusia sebagai sebuah komuniti. Ekspresi dalam seni merupakan satu bentuk komunikasi, seperti mana yang terdapat di dalam ilmu linguistik (bahasa).
Seyogia, berdasarkan kepada konsep ekspresi visual ini, setiap orang melukis atau mencipta imej, bersesuaian dengan tanggapan daripada apa yang mereka tahu dan lihat. Hal ini tentunya tertakluk kepada persepsi serta daya tafsiran manusia yang berbeza-beza. Dalam erti kata lain, sebarang ungkapan yang terpancar melalui imej yang diciptakan, ialah apa yang dirasai oleh sang seniman, sebagai satu ekspresi internal yang berupaya untuk mempengaruhi ekspresi visualnya.
Lain pula hujah yang dikumandangkan oleh R.G. Collingwood. Pada beliau, ekspresi adalah perhubungan yang rapat di antara perasaan pelukis dan hasil kerjanya. Pelukis tidak perlu meluahkan perasaannya kepada khalayak. Collingwood mempunyai teori yang tersendiri yakni ‘Korupsi Kesedaran’ (Corruption’s of Consciousness). Emosi sebegini sebenarnya tidak berlaku jujur dan telah difahami sebagai pernyataan pelukis. Khalayak pula tidak berhajat untuk mengalami perasaan itu.
Bagi Collingwood, karya seni yang sama memiliki kualiti ekspresi yang berlainan. Contohnya kerja seni yang sama boleh berkongsi kualiti ekspresi tentang keriangan, kemurungan dan kebimbangan, juga boleh menggambarkan situasi kontradik, ketenangan misalnya. Alhasil, Collingwood melihat perasaan yang sebenarnya adalah bersifat individual dan kontekstual.
Jika kita telusuri teori ekspresi daripada konteks pengajaran dan pembelajaran pula, ahli teori seni Laura Chapman (1985), ada menyatakan bahawa terdapat tiga aspek yang menentukan perbezaan ekspresi, iaitu daya intuisi, persepsi dan konsepsi. Ketiga-tiga aspek ini mempunyai pengertian yang berbeza, bahkan terdapat pelbagai faktor yang akan membawa kepada perbezaan bentuk-bentuk ekspresinya.
Konsep ekspresi visual pada sebuah lukisan atau rekaan umpamanya, boleh menterjemahkan beragam maksud bergantung kepada citra penghasilnya. Secara jernih, terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh manusia bagi tujuan ekspresi, antaranya melalui pernyataan lisan, perasaan, emosi, tulisan, bahasa, rekaan, bahkan penghasilan pergerakan.
Yang paling lazim dan tradisional ialah membuat penggambaran visual. Misalnya bagi kanak kanak, seperti yang telah dihuraikan pada perenggan di atas. Dengan menjalankan aktiviti-aktiviti seni, secara tidak langsung menjadi kaedah yang paling asas bagi kanak-kanak untuk mengembangkan daya imaginasi, kreativiti serta mampu untuk menghasilkan ekspresi visual (pernyataan hasrat atau ekspresi diri).
Di Norway, karya litografi yang masyhur seantero dunia, ‘The Scream’ (1893-1896) hasil sentuhan seniman ekspresionis Edward Munch (1863-1944), merupakan contoh signifikan dan artistik, dalam upaya kita memperihalkan kesan yang penuh dengan ‘percikan’ emosi. Dalam buku catatan hariannya dengan judul “Nice 22 January 1892”, Munch menulis:
“Suatu malam aku sedang berjalan, kota berada di satu sisi dan Fyord di bawah. Aku merasa lelah dan sakit. Aku berhenti dan melihat ke Fyord – matahari terbenam, dan awan berubah menjadi merah darah. Aku merasakan jeritan melewati alam; Aku merasa seperti mendengar jeritan tersebut. Lalu, aku melukiskan lukisan ini, citraan awan sebagai darah yang sebenarnya. Warna itu menjerit. Inilah ekspresi yang memanifestasi karya The Scream.”

Kepentingan Ekspresi di dalam Seni Visual
Dalam disiplin seni visual, ekspresi dapatlah kita kaitkan dengan intipati keindahan secara praktis. Ekspresi merupakan manifestasi integral yang dihubungkan oleh representasi dan imaginasi pada permulaannya.
Rudolf Arnheim dalam bukunya yang berjudul ‘Art and Visual Perception’ (1954) mendefinisikan ekspresi dalam komunikasi visual melibatkan dua entiti utama iaitu; persepsi dan estetika. Justeru, dalam bidang seni visual, ekspresi itu merupakan proses pembentukan fikiran atau perasaan seseorang yang dipersembahkan secara bergambar (visual).
Ia boleh kita ertikan juga sebagai suatu model, cadangan atau penggunaan representasi mahupun usaha pemaparan imej-imej simbolisme yang signifikan, sebagai suatu indikasi yang tepat, jelas atau sebagai cerminan gambaran pernyataan rasa hati.

Rujukan
Collingwood, R.G. (1972). The Principles of Art. Cambridge, Massachusetts: Harvard University Press.
Frithjof Schoun (1990). The Feathered Sun: Plain Indians in Art & Philosophy. Bloomington: World Wisdom Books.
Leo Tolstoy. (1960). What is Art. Los Angeles: Prentice Hall.
Martin Suryajaya (2016). Sejarah Estetika: Era Klasik Sampai Kontemporer. Jakarta: Gang Kabel.
Read, H. (1949). Education Through Art. New York: Pantheon Books.
Rudolf Arnheim (1954). Art and Visual Perception. Berkeley: University of California Press.

