“Air ni mahal pakcik, 18 ringgit” kata budak perempuan yang menjaga kaunter gerai itu. Kami terlihat sebuah gerai dalam sebuah mall yang menjual air buah markisa dan mahu mencubanya.
Kami memang gemarkan buah tersebut dan jika nanti kamu bertemu buah markisa, maka petiklah tatkala warnanya sudah bertukar ungu dan simpan sehingga ia sedikit keriput sebelum memakannya.
Buah markisa yang belum keriput biasanya agak masam, namun setelah sedikit ranum, rasanya manis dan berbau wangi. Kami menjadi arif mengenai buah markisa kerana sentiasa menanamnya walau dimana pun kami berada.
Mungkin kerana tidak nampak seperti orang kaya, budak perempuan itu kasihan dan memberitahu kami harga minuman tersebut, mungkin bimbang kami kesuntukan wang, atau dia gusar di viral orang, wallahualam, walhal di dalam kocek kami ini ada 22 ringgit, lebihan dari upah menulis di portal ini.
Di dalam hati kami ingin berkata,“boleh beli separuh?, pakcik nak cuba” biar nampak lebih miskin dari sebenarnya, dan mana tahu dia kasihan dan memberi sedikit diskaun. Namun kami batalkan niat tersebut dengan mengatakan, “tak apa, pakcik cukup duit“. Dia pun menyediakan minuman tersebut dan kami menyukainya. Isi buah markisa yang digaul bersama air soda dan ais batu memang tidak akan mengecewakan terutama semasa cuaca panas.
Baik, selesai melengah-lengahkan masa bagi melengkapkan jumlah perkataan untuk artikel kali ini, kita balik kepada kisah perjalanan ke Langkawi.
Untuk pengetahuan, kami sudah melunaskan hutang untuk menulis mengenai BMS26 sejurus pulang dari acara tersebut. Artikel tersebut sudah disiarkan di portal KolumpoArt yang gagah berani itu sejurus kami tiba di tanah besar Malaya. Jadi jangan nak mengata bahawa kami lambat menulis mengenai BMS26.
“A Lannister always pays his debts” dan selalunya kami tidak menunggu lama untuk membayarnya. Tulisan ini hanya sebagai bonus kepada acara tersebut dan kami juga berterima kasih kepada pihak Balai Seni Negara yang sudi menjemput KolumpoArt
Baik, kita mulakan sekali lagi.
Walaupun sudah agak lewat, Zuriyadi dan Faez memberi cadangan supaya semua dibawa melawat ke Taman CHOGM dimana terdapat tiga atau empat buah karya yang dipamerkan dan setelah dipersetujui, kami pun bergerak dengan van yang disediakan. Disana kami melihat tiga karya dan bertemu dengan salah seorang seniman yang mengambil bahagian.
Apabila BMS26 mengambil ‘site specific’ sebagai tema, maka kami mengandaikan yang semua karya mesti mengambil kira ‘site’ yang dipilih sebagai sebahagian dari sebab mengapa karya itu dihasilkan. Dan apabila ini berlaku, penglibatan komuniti juga adalah penting. Namun kami dapati hal ini tidak menjadi agenda utama semua karya yang dipersembahkan.‘Site’ disini hanya menjadi pentas atau ‘prop’ yang tidak semestinya bekerjasama dengan karya.
Ini adalah pandangan peribadi dan kerana itu kami dapati semua karya yang dipamerkan di Taman COGHM boleh saja dipamerkan di mana-mana tanpa perlu di-‘site specific’-kan. Jika pemilihan taman berkenaan adalah untuk mempromosikannya maka ada sedikit kejayaan disana bila kami melihat ramai pengunjung yang datang dan melihat-lihat semua karya.
Ini adalah baik jika kita mengambilnya sebagai usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan karya seni. Setelah habis melihat karya, maka hari pun hampir senja, kami kemudian dibawa ke sebuah Café untuk makan malam.
OK, kami menulis hingga paragraf di atas sebelum kami terbaca tulis Ku Syafiq seluar besar di portal ini tempoh hari.
Kami berhenti menulis artikel diatas untuk beberapa lama kerana kesibukan mempopularkan lagi portal KolumpoArt yang menurut sesetengah orang adalah portal seni visual nombor satu negara.
Persoalan yang dikemukakan tentang mengapa kami belum menulis mengenai BMS26 telah dijawab sebelum ditanya sebenarnya seperti diparagraf atas sana. Maklumlah, orang tasawuf. Maka telah kami tahu apa dihati mereka sebelum datang kepada makna. Kami tidak faham apa maksudnya ayat terakhir tersebut namun kerana ia kedengaran seperti ‘dalam’ lalu kami gunakan untuk mengelabui mata pembaca akan kejahilan kami ini.
Balik kepada Pulau Tuba.
Seperti yang diceritakan oleh Ku Syafiq, di pulau tersebut kami diberkati dengan kehadiran Dr. Jalaini Abu Hassan. Kumpulan wartawan lain dibawa dengan van manakala kami pula dibawa dengan buggy berwarna kuning yang sepatutnya hanya dikhaskan untuk Dr. Jalaini. Merasa juga diri ini sedikit dihargai walaupun hanya menumpang karisma Pengerusi Lembaga Pengarah yang baru dilantik itu.
Buggy ini dibentuk seperti sebuah kereta lama zaman British. Seperti Pahang yang masih sibuk dengan pondok telefon merah tinggalan British yang diletak di banyak kawasan pelancongan, pulau Tuba juga masih terkenang akan kebaikan pemerintahan kolonial.
Di Pulau Tuba, kami sempat melihat dua atau tiga karya. Kami tertarik dengan karya yang dipersembahkan di sebuah kedai dobi. Semasa kami disitu, ada seorang lelaki sedang tidur dalam sebuah ‘hammock’ dekat dengan karya yang dipertandingkan, sangkaan kami ia adalah sebahagian dari karya namun ini tidak berlaku kerana lelaki berkenaan hanya orang tempatan yang sedang berehat. Ini pada kami adalah peluang yang dilepaskan.
Seperti yang kami kata, kami mengharapkan semua karya ada partisipasi orang tempatan dan juga kepentingan mengapa tapak itu dipilih. Karya dirumah dobi ini menceritakan kisah yang peribadi dan tidak semestinya ada kena mengena dengan orang tempatan dan juga site yang dipilih. Kemudian kami dibawa ke satu sawah yang sudah lama terbiar.
Seperti yang dikatakan oleh Ku Syafiq, kumpulan wartawan terpaksa berjalan agak jauh dalam cuaca yang sangat panas sedang kami dan juga Dr. Jalaini sedikit beruntung kerana buggy yang kami naiki boleh muat lorong kecil untuk ke lokasi karya. Jika ditakdirkan kami juga terpaksa berjalan ke lokasi, sayugia kami katakan yang kami akan hanya mampu melihat karya tersebut dari jauh kerana banyak faktor.
Dengan faktor kami maksudkan ialah kami ini tidak cukup kuat untuk berjalan sejauh lebih kurang satu atau dua kilometer dalam cuaca yang panas. Dan walau apa pun yang dikatakan mengenai Dr. Jalaini, kehadirannya pada hari tersebut sedikit sebanyak menyumbang kepada keadaan kesihatan kami. Terima kasih Tuan Doktor.
Bila diterangkan yang kerja-kerja yang dipamerkan di sawah terbiar tersebut dari dari hasil kanak-kanak sekolah yang berdekatan, kami agak terhibur kerana ada penglibatan orang tempatan dalam karya. Dan yang lebih menggembirakan adalah apabila karya-karya ini datang hanya dari idea seniman terbabit melalui pertanyaan “apa akan jadi pada tanah ini dimasa akan datang?” atau sekurang-kurang itu yang kami faham.
Kami merasakan seniman terbabit hanya bertindak menyediakan bahan dan kemudian setelah semuanya tersedia, memacakkan karya-karya tersebut di sawah berkenaan. Dan ini sebenarnya adalah kerja seorang seniman yakni membuka idea dan biarkan ia berkembang secara semulajadi. Lalu didalam hati, kami katakan jika kami mempunyai kuasa memilih maka kami akan memilih karya ini sebagai pemenang.

Di dalam hal yang sedikit berkaitan, ada sebuah karya oleh seorang artis kontemporari Perancis bernama Pierre Huyghe yang diberi judul ‘Exomind’ (Deep Water).
Karya tersebut menggambarkan sebuah patung wanita dalam posisi mencangkung dengan kepalanya digantikan sepenuhnya oleh struktur sarang lebah hidup yang menempatkan koloni lebah madu yang sebenar. Rekaan tubuh arca ini diadaptasi daripada karya artis Jepun, Tobari Kogan (1882 – 1927 – Sculptor, Printmaker dan Illustrator).

Struktur kepala sarang lebah tersebut dibentuk daripada konkrit yang di acuankan menyerupai bentuk sarang, kemudian dilitupi lilin lebah bagi membolehkan lebah sebenar membina sarang mereka secara semula jadi di atasnya. Kerana itu, karya tersebut sentiasa berubah bentuk mengikut aktiviti lebah, cuaca dan musim.

foto: estherschipper.com

Kami menyebut karya ini sebagai contoh bagaimana sebuah karya berkerja dengan lapangan dan ini yang kami rasa tidak ada dalam semua karya yang kami lihat semasa di Langkawi. Mungkin ada namun kami tidak berkesempatan melihatnya.
Satu hal lagi yang tidak kelihatan adalah karya-karya yang lebih global sifatnya. dimasa dunia sedang huru-hara dengan perang dan keadaan ekonomi yang carca-marba, hampir semua seniman yang terlibat lebih fokus kepada hal peribadi dan tempatan.
Mungkin ada benarnya, adalah penting untuk kita melihat di belakang rumah sendiri dari rumah orang lain, namun untuk menghasilkan karya kita dijeling masyarakat antarabangsa, maka karya kita juga harus lebih semesta.
Setelah selesai di Tuba, Dr.Jalaini mengajak kami untuk berjalan-jalan melawat Pulau Langkawi. Kami agak keletihan namun bila memikirkan yang kami akan menaiki kereta hanya berdua dengannya serta pemandu, kami gagahkan jua. Bukan senang mahu duduk di kerusi belakang dengan orang besar. Cuma kami sedikit terkilan kerana tidak merokok di dalam kereta berkenaan. Terlepas peluang mahu kelihatan seperti seorang ‘tuan’.
Kami melawat studio Suhaimi Fadzil dan juga minum di Mawat. Tidaklah kami berniat untuk menceritakan hal tersebut dalam tulisan kali ini. Mungkin akan kami ceritakan di tulisan yang lain atau pun mungkin kita…
Abdullahjones merupakan seorang pelukis dan penulis yang kini sedang berusha untuk mengerjakan ladang buah Markisa demi menyahut seruan serta saranan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Kunjungi pameran berkumpulan beliau ‘LiBÈ•RATiON’ di Atelier Kuantan Art dari 1 – 31 Aug 2026
Nota Editorial:
“A Lannister always pays his debts” adalah petikan kata-kata yang selalu diungkap oleh Tyrion, Tywin, dan Cersei dari ‘House Lannister’ dalam siri novel A Song of Ice and Fire atau siri TV Game of Thrones karya George R. R. Martin. Masih tidak dapat dipastikan dari mana penulis mengetik kalimat Bahasa Inggeris tersebut, sama ada dari bacaan, tontonan atau pun dari Cikgu Lokman Bin Lazim.
