BERKARYA, buat seniman muda adalah satu perjalanan sungguh jauh merentasi ufuk pengalaman, melewati denai-denai kepayahan sambil memunggut putik-putik kematangan dalam mencari keserasian diri dengan persekitaran baru yang asing. Kejauhan daerah pengalaman ini amat bergantung juga kepada daya ketelusan seniman menggorak langkah-langkah artistiknya.
Persekitaran yang kondusif sepanjang pengembaraan meneroka daerah kreativiti ini tidak harus diabaikan kerana nilai karya seni dan kerja-kerja kreatif itu amat bergantung kepada pengalaman sosial dan lapisan-lapisan kontek persekitaran dalam mana seorang seniman itu berkarya. Ini kerana sejak awal pertengahan abad ke-20 seni dan peranan masyarakat mulai menjadi perbincangan pokok dalam dunia intellektualisme moden dengan mencabar tradisi pensejarahan seni lama. Faktor-faktor sosial, politik, budaya, linguistik dan antropologi dilihat mempunyai peranan penting dalam mengangkat darjat seni dan peranannya dalam perkembangan sejarah seni moden.
Nah, ternyata seni itu tidak pernah tercipta dalam kelompong yang vakum. Kerangka kontektual (contextual framework) yang menjadi tulang belikat karya seni itu terbina di atas tiang sosiologi yang secara langsung juga menjadi sumbu kreativiti seniman.
Maka itu, seni dilihat sebagai cerminan masyarakat yang dibendung oleh keunikan sosiobudaya yang disemai kesuburannya sepanjang tempoh sejarah yang bermusim-musim. Lalu kecerminan masyarakat itu sendiri menurut Herbert Read berlaku di dalam fabrik di mana masyarakat itu beraksi kerana seni itu bukan sekadar biasan masyarakat tetapi juga acuan pembentuk masyarakat itu. Lantas isu-isu kemasyarakatan terus menjadi wacana pokok dikalangan pengkritik seni seperti Roger Fry, Clive Bell dan Clement Greenberg dalam membahas tentang teori-teori sosial dan peranan institusi dalam mengorak hala tuju pembentukan masyarakat maju.
Kesedaran ini menjadi faktor pencetus program residensi seni Iltizam Seni oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebagai salah satu kegiatan program tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility) dalam arena kesenian yang julung-julung kali dijalankan. Program berwawasan jauh ini bermodulkan residensi seni yang melibatkan tujuh seniman muda lapangan seni halus yang dipilih menjadi residen seni untuk berkarya selama lima bulan. Mereka terdiri dari bakat-bakat baru yang belum berpeluang diberi tapak yang kemas untuk kelancaran praktik mereka sebagai individu kreatif. Dalam tempoh yang cukup krusial para seniman muda ini melalui bukan saja proses artistik/pengkaryaan tetapi juga pembangunan kendiri sebagai individu berilmu.
Justeru untuk mendakwa program ini sekadar platfom membantu pelukis-pelukis muda agar berkerjaya dalam industri kreatif amatlah simplistik dan longgar bila fungsi kualitatifnya ternyata lebih jauh dari itu. Kesedaran moral, pembentukan nilai sosiologi dan tanggung jawab insaniah menjadi teras utama kerana sememangnya sesebuah karya tidak terhasil dalam kekosongan, tetapi sebaliknya melalui proses interaksi antara alamiah dan insaniah.
Walau bagaimanapun, sebagai unit masyarakat, seniman mempunyai fungsi dan juga pertalian yang komplek yang tidak mudah dibendung oleh organisasi sosial atau badan-badan institusi. Ini kerana kegiatan seni itu bersifat autonomi, yang dipengaruhi bukan saja oleh kondisi material tapi tata cara ilmu (mode of knowledge) yang mempunyai dimensi realiti tersendiri yang turut berkait rapat dengan pola budaya, sejarah, agama dan politik . Lalu sebagai mode reaksi, seniman bertindakbalas dengan persekitarannya demi memberi makna kemaknusiaan di alam ini.
Melatih seniman muda bak mengais semaian berbaja. Kesuburan benih semaiannya digembur dek kederat, disiram dek semangat dan dituai dek ketelusan hasrat. Putik-putik karya lalu tumbuh menjadi paksi untuk jatidiri dalam merai menifestasi naluri.
Di premis studio yang sebumbung itu tatkala bayang-bayang rupa terbentuk dari rasa tersentuh ketika berteduh, berkawan dan berimpian, sang seniman muda mulai mengatur gerak kuasnya dengan ide dan struktur baru.
Fudhail Said sentiasa mencari-cari, bukan jalan keluar tetapi jalan masuk ke dalam dirinya sebagai seniman yang bersemangat juang. Dalam perjalanan yang sunyi ini, baginya tidak ada jalan lain selain dari membuka ruang bicara kedalam diri (internal monologue) yang mampu membiaskan rasa hati, naluri dan emosi. Mencari ilmu kemaknusiaan nun jauh ke dalam diri merupakan tugas berat untuk pelukis muda ini kerana kesuntukan pengalaman dan tempoh kematangan. Namun Fudhail petah menggunakan bahasa visual yang tekun dipungut sepanjang musim berguru di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Teknologi MARA. Dalam pada itu pengembaraan artistik menemukan beliau dengan bentuk-bentuk lazim seperti figura manusia, binatang, teks dan tumbuhan yang dikupas, disusun dan diatur menjadi rangkaian symbol/metafora yang merungkai simpul-simpul makna dari sang seniman.
Mengimbau kenangan lalu bak menambat mimpi baru buat Azim Rodi. Mimpi-mimpi indah yang membawa ketenangan dari kekalutan alam dewasa yang penuh pancaroba menjadi pencetus makna karya-karya beliau. Dalam mengungkit sejarah keluarga dan pengalaman alam remaja yang serba kekurangan Azim tidak lupa akan keupayaan meneroka dan mencipta (the act of creating) yang memang tumbuh sebati dengan akar naluri beliau. Membesar dikalangan keluarga pekedai runcit di Baling Kedah, mendedahkan Azim dengan persekitaran komersialisme yang terpencil dimana subjek/objek konsumer menjadi pencetus ide-ide nakal (whimsical) beliau. Kotak-kotak ‘packaging’ menjadi kotak inspirasi menyimpan segala memori dan narratif masa lampau. Keupayaan menggubah format-format catan di luar kebiasaan dengan kekuatan susunan komposisi dan ilusi 3 dimensi meletakkan Azim di luar kelompok kebiasaan dari pelukis-pelukis sengakatannya. Karya-karya komikal beliau sungguh mencuit hati para penonton yang dari jauh sudah digamit perhatian.
Ayu Juman juga meninjau tingkap kenangan silam keremajaan beliau sebagai pencetus inspirasi yang bukan sahaja menjadi pendorong kerja-kerja kreatif malah sebagai pertanda perjalanan kehidupan yang melalui berbagai lapisan kematangan. Ayu seorang seniman pengarca muda yang mewarisi kerja tangan keluarganya (datuk) sebagai penganyam ‘Wakid’ – raga tradisi kaum pesawah di Sabah. Bentuk asas butir beras menjadi metafora yang relatif diangkat sebagai subjek utama diolah/dianyam menjadi bentuk boimorfik linear berstruktur rotan yang membawa saranan perjalanan masa silam (tradisi) dan akan datang (innovasi). Arca gandingan tradisi dan kontemporari ini membawa pernyataan perihal tranformasi ruang dan masa, pengalaman dan cita-cita dianyam rapi sebagai simbol pertumbuhan (growth).
Fenomena dalam landskap sebaliknya mengingatkan Shahnaz Azlin akan asal usul beliau dari daerah terpencil di Kuala Ketil. Namun bukan lokasi yang dicari tetapi misteri yang menanti sebelum digodek oleh jari-jari realiti. Shahnaz menggubah landskap atmosferiknya melalui ruang-ruang gelap yang sesekali ditebuk sinar cahaya dari ufuk atau meleser di celah kepolan awan gelap. Langkah ini bertujuan membentuk ruang paradok antara intuisi dan emosi, antarafantasi dan realiti, dan antara yang pasti dan sangsi. Semua gejala-gejala kehidupan ini menurut Shahnaz, menjadi isyarat peringatan penting dalam kekalutan mengejar impian. Landskap ternyata mampu memujuk jiwa yang buntu sekali gus membawa petua kearah hari-hari dewasa yang dilalui seniman muda.
Biru itu warna rindu kalau disiram cahaya mentari. Kerinduan yang datang melulu bila bentuk-bentuk baru mulai bersatu. Alya Nabiha tidak serik-serik bergelumang di bawah terik mentari untuk menjemur catan ‘cyanotype’nya di bawah sinaran UV. Satu proses mencatan yang tidak selalu kita temui dikalangan pencatan-pencatan seangkatan beliau. Kerja-kerja di dalam dan di luar studio saling bersilih ganti mengikut musim-musimnya. Benih-benih abstrak lantas menetas bila disiram air, perlahan-lahan tumbuh menjadi siri catan kebiruan yang menawan. Karya Alya merupakan mimikan alam tentang keindahannya yang dimenifistasikan melalui proses cyanotype. Usaha meneroka proses cetakan tradisional yang mengabungkan bahan kimia yang sensitif cahaya ini ternyata memberi nafas baru dalam kerja-kerja kreatif Alya. Pengalaman ini tentunya mengasuh beliau menjadi antara seniman muda yang bercita-cita besar dalam melihat bahan/material sebagai bukan sahaja sekadar teknik tapi juga medium yang mampu menjadi penterjemah makna-makna baru, selari dengan kehendak senirupa kontemporari.
Bahana seni kontemporari tentunya semakin terasa dengan kemelimpahan pengaruh media massa/sosial dalam kehangatan iklim konsumerisme masakini. Karya-karya seni generasi muda-mudi terutamanya, sungguh petah menggunakan lingo semasa (contemporary lingo) ini sebagai pendekatan popular dalam praktik pengkaryaan. Aiman Hafizal tidak terlepas peluang dari mengadaptasi ‘trend’ ini dalam karya-karya terbaru beliau. Gejala ini juga sebenarnya bersimpul rapat dengan sejarah zaman kedewasaan beliau yang dibendung dek persekitaran budaya popular (Pop Culture) seperti komik, animasi, alam cyber, permainan video, filem dan penangan media sosial. Aiman menggarap inspirasinya dari ketaksuban beliau terhadap budaya popular Jepun terutamanya ‘anime”. Seperti kebanyakan generasi kontemporari beliau, pengaruh ‘anime’, ‘manga’ dan ‘doujinshi’ menjadi pencetus inspirasi dalam kebanyakkan kegiatan kesenian mereka. Karya-karya Aiman adalah adaptasi dari budaya pop dan sosial media negara matahari terbit yang digandingkan dengan karekter-karekter ciptaan beliau sendiri bagi mengajak penonton leka bermain sambil meneka-neka di pentas visual.
Ridhwan Yusoff membuat penonton tercegat berdiri di hadapan karya-karya beliau yang tidak berkompromi langsung akan pengagihan makna-makna simbolisnya. Ini kerana setiap subjek/objek yang dipilih mempunyai fungsi semiotik yang relatif dan dinamik. Tambahan pula keupayaan olahan gaya hiper realisme (hyper realism) beliau sungguh menakjubkan sehingga mengaburi tumpuan penonton terhadap pencarian makna-makna yang cuba disarankan. Ini merupakan satu strategi yang tidak mampu dikendalikan oleh kebanyakkan pelukis muda. Ridhwan juga bermain dengan illusi ruang cetek dalam menyusun atur objek-objek yang dipilih bagi mewakili tema kehidupan dan kematian. Seniman muda berbakat besar ini ternyata berupaya bukan sahaja memukau audien tapi juga mententeramkan diri beliau dengan kesembuhan dari keperitan pengalaman lalu. Karya-karyanya juga menurut beliau sebagai penawar, diolah menjadi tugu-tugu peristiwa/peringatan dalam usha mencari, memperingati dan melestari kehidupan baru ini.
Kesemua tujuh peserta residensi ini membawa iltizam yang tinggi sebagai mewakili generasi muda dalam carta perkembangan seni rupa tanah air. Karya-karya mereka berbicara tentang cerita-cerita yang dikupas dari kerak-kerak kosmologi sosiobudaya dan intipati masyarakat dengan menggunakan bahasa simbol dan bahan. Keramahan bercerita bergantung kepada kemahiran mereka menyulam motif dan naratif sambil bermain dengan bentuk dan sosok dalam karya-karya majmuk. Simbol, metafora dan alegori menjadi kiasan dan bidalan penyeri taman estetika. Ternyata pelukis-pelukis generasi baru ini begitu menampakkan minat dalam memperkatakan isu-isu sosial dan budaya tempatan dalam karya-karya mereka.
Pameran ‘First Chapter’ Iltizam Seni oleh Ekuinas ini bukan saja menjadi petanda akan kesuburan bakat-bakat muda program tapi juga sebagai testimoni keberuntungan bila mana kesungguhan beberapa pihak seperti Ekuinas dan Galeri Puteh berperanan sebagai katalis perubahan dalam usaha mengaitkan seni, amal dan masyarakat. Sesungguhnya persimpangan tiga penjuru ini mampu dihalakan ke arah perubahan dinamik dalam pembangunan ilmu seni, rohani, jasmani dan ekonomi.
***************************
Tulisan ini juga dimuatkan dalam katalog pameran seni ‘First Chapter’ yang berlangsung di Galeri Puteh pada 4-26 Mei.
