KADANG malas datang juga untuk menulis mengenai seniman-seniman kita ini. Mungkin kerana kami ini tidak begitu berwibawa dan suka mengata orang maka ada masanya bila kami meminta sedikit informasi tidak dilayan mereka.
Bimbang diburuk-burukkan oleh kami gamaknya. Macamlah kami ini tak ada hati perut dibuatnya.
Baser.
Pembukaan tulisan ini kami dengan ikhlas tujukan kepada seorang pelukis negeri Perak. Dia sahabat kami dan sentiasa melayan kami dengan penuh kasih sayang. Setiap kali bertemu, kami dipeluk dan diciumnya bak kekasih yang paling dirindu. Dan kami juga mencintai dia sebagai seorang sahabat kerana Allah.
Kami juga ingin merahsiakan namanya tetapi nama dia Midon.
Bukan mudah untuk menulis mengenai seniman kita. Ada yang suka cerita mereka disebar dan ada pula yang hanya mahu kekal sebagai seorang pelukis kemudian mati dan dilupakan.
Tidak ada salahnya mereka ini dan kami menghormati pendirian mereka sementelah hidup ini hanya sementara dan dikenang atau tidak bukan tiket untuk ke sorga.
Cuma kami secara peribadi berpendapat jika kita sedia berkongsi apa saja yang mungkin memberi sedikit manfaat kepada orang keliling tentu saja ianya adalah lebih baik.
Seniman kita juga mungkin sudah terbiasa tidak dikenang maka apabila sedikit ruang dibuka untuk mereka bercakap mengenai karya misalnya mereka jadi berat untuk ikut serta.
Ada seniman yang mempersoalkan peri pentingnya mereka bercakap mengenai karya-karya mereka. Menurut sesetengah seniman karya mereka saja sudah kuat tanpa perlu lagi diperkatakan. Dan mereka juga mungkin benar jika begitu kata mereka.
Pun begitu, izinkan kami berkongsi mengapa para seniman perlu bercakap mengenai karya mereka.
Pertama-tama dengan bercakap atau sekarang ini menulis mengenai karya-karya mereka, mereka boleh menerangkan idea, objektif dan mungkin juga makna dalam setiap karya mereka yang tidak mungkin dapat disampai semuanya melalui hasil catan mereka.
Setelah dari itu, dengan bercakap seniman juga boleh merapatkan jurang di antara mereka dengan penggemar karya catan. Dengan hal demikian para penggemar ini akan lebih mudah untuk memahami proses kreatif seorang seniman.
Dengan bercakap atau sibuk bercerita mengenai karya mereka para seniman ini akan lebih mendorong kecintaan yang lebih mendalam kepada karya-karya catan oleh mereka yang melihatnya dan ianya juga akan membuatkan mereka lebih menghargai satu-satu karya.
Karya-karya yang diperkatakan juga dapat membuka ruang perbincangan dan juga pertukaran idea. Ianya membolehkan khalayak ramai membuka ruang baru bila bercakap hal-hal kesenian.
Dan yang tidak kurang pentingnya, bercakap atau menulis mengenai satu-satu karya juga menjadi suatu rakaman sejarah seni. Ianya memungkinkan karya tersebut menjadi rujukan generasi akan datang tentang penting atau mungkin juga tidak kepada generasi tersebut.
Jika kamu memilih untuk tidak bercakap atau menulis mengenai idea, objektif dan juga proses kreatif kamu itu maka bersedialah untuk selamanya duduk dalam kepompong yang kamu sendiri bina itu. Ini kerana untuk dilihat professional kamu perlu tahu dan mahu bercakap mengenai karya-karya yang kamu hasilkan.
Mereka yang mengumpul karya dan para galeris misalnya mahu berdiri di sebelah seniman yang terlihat tahu mengenai karya mereka berbanding dengan mereka yang menyerahkan nasib kepada bakat.
Bakat bukan aset yang besar jika kamu serius mahu memajukan diri dalam dunia catan. Lihat sekeliling dan kamu akan dapati atau seribu lagi manusia yang lebih hebat bakatnya dari kamu.
Bina sejarah sendiri, mana tahu nanti kamu dan karya kamu akan lebih dirai. Ini tentu lebih baik dari sibuk mempersoalkan mengapa karya-karya kamu tidak dihormati sedangkan kamu seorang seniman yang menurut kamu mempunyai bakat yang teramat besar.
