PERANG Dunia Kedua telah menyaksikan Studio Cinecittà di Rome musnah, dan daripada reruntuhan itu, aliran Neo-Realisme muncul sebagai simbol penentangan kepada kejatuhan keangkuhan rejim totalitarian Benito Mussolini.
Aliran Neo-Realisme menandakan kebangkitan semula sinema Itali, tetapi dengan wajah baharu dengan menampilkan sebuah gaya yang menolak glamor artifisial studio. Aliran ini sebaliknya menekankan realiti rakyat kecil menggunakan pendekatan sinematik yang meminggir gaya stailistik. Paradigma ini menolak estetika stailistik yang berlebihan, namun secara paradoks melahirkan bentuk estetika baharu yang akhirnya menjadi identiti sinema Itali pasca-pe.
Dari titik sejarah inilah, sinema Itali tumbuh semula dan menjalar membentuk tradisi sinematik yang mengubah bukan sahaja identiti nasional sinema Itali, tetapi juga seluruh landskap sejarah filem dunia. Neo-realisme muncul sealiran bersama gerakan German expressionism, Surrealism, Soviet Montage dan French New Wave.
Dari sudut sejarah, filem-filem Neo-Realisme lahir bukan dari era kegemilapan studio perfileman Itali, tetapi dari sisa-sisa Cinecittà. Dari jalanan Rome yang luka, dan dari wajah rakyat kecil yang menjadi pelakon tanpa nama dan akibat keterbatasan itu muncul suara sinema yang intim, dan jujur kesan realiti pasca perang dunia kedua. Filem-filem Neo-Realisme merekodkan trauma sebuah bangsa, mengubah wajah sinema dunia melalui filem-filem seperti Rome, Open City (1945, Roberto Rossellini), Paisà (1946, Roberto Rossellini), Shoeshine (1946, Vittorio De Sica), Bicycle Thieves (1948, Vittorio De Sica), La Terra Trema (1948, Luchino Visconti), dan Umberto D. (1952, De Sica). Filem-filem ini menempatkan manusia kecil sebagai pusat naratif sejagat dan merekodkan trauma sebuah bangsa. Kota Rome menyaksikan sebuah kota musnah, ekonomi lumpuh, rakyat hidup dalam kesempitan. Kekangan ini melahirkan generasi pembikin filem yang jauh dari studio. Mereka memilih kamera di jalanan, wajah-wajah rakyat biasa, dan kisah kehidupan seharian sebagai subjek utama.
Jalan Ampas sebagai Pusat Sinema Melayu
Penulisan ini bagaimanapun, bukan bertujuan mengulang kisah sisa-sisa Cinecittà, tetapi menilai bagaimana gema persimpangan trauma sesebuah bangsa itu menyapa ke kota Temasik atau versi modennya ‘Singapura’. Penulisan ini melihat suara-suara rakyat kecil yang cuba bangkit pada pasca-perang Dunia ke II melalui filem Seniman Bujang Lapok (1961) terbitan studio Malay Film Production (MFP), Jalan Ampas. Secara umumnya, para intelektual dan peminat filem sering mengiktiraf Seniman Bujang Lapok sebagai sebuah teks budaya yang menghiburkan, dan filem ini turut dibaca sebagai rakaman budaya awal era studio di Tanah Melayu, khususnya ketika Tanah Melayu menjadi hub perfileman rantau ini.

Realisme Sosial dalam Seniman Bujang Lapok
Babak pembukaan filem Seniman Bujang Lapok dimulakan dengan eksposisi Statut Thomas Stamford Raffles, pegawai kolonial British yang terkenal sebagai pengasas kota moden Singapura. Babak ini membawa penonton kepada panorama kota Singapura dengan deretan panggung wayang yang gah sebagai metafora kepada ledakan hiburan dan aspirasi kemodenan pasca perang. Capitol Theatre, dengan paparan poster filem barat bertajuk The Great Imposter antara panggung wayang sebaris dengan Lido milik Shaw Brothers di Singapura, muncul simbol kemodenan landskap Singapura. Sementara poster-poster lukisan tangan gah menghiasi dinding pawagam menandakan betapa budaya penontonan filem sudah mengakar dalam kehidupan kota. Babak pembukaan dalam filem ini seolah-olah menandai, bahawa Tanah Melayu sembuh dengan sempurnanya ketika Pascaperang.
Namun di sebalik wajah modernisasi yang melatari pembukaan filem ini, Seniman Bujang Lapok secara halus menyingkap sisi lain. Seniman Bujang Lapok membalut realisme sosial dengan genre komedi yang menghibur namun dalam masa yang sama memantulkan hakikat bahawa di balik gedung-gedung panggung yang berskala mega dan dunia glamour perfileman wujud realiti getir masyarakat kecil yang sedang berjuang untuk hidup akibat daripada kelumpuhan ekonomi selepas Perang Dunia II.
Penonton kemudiannya diperlihatkan bagaimana dari kota moden, babak lori promosi filem ditemani dengan pemuzik langsung dari lori memasuki ke kawasan pinggiran kota menonjolkan sisi kekurangan dan kehimpitan masyarakat perbatasan kota.
Tanah Melayu: Trauma Pasca Perang
Trauma pasca-perang ditonjolkan seawal pembukaan babak yang menampilkan Ramlee, Aziz, dan Sudin, tiga bujang lapok yang tidak mempunyai wang dan kerja. Pada babak pembukaan, Sudin yang terkejut mendengar bunyi letupan tayar lori pecah, lalu secara refleks menyangkakannya sebagai bom peninggalan tentera Jepun. Reaksi spontan Sudin yang menyorok di bawah meja diolah dalam bentuk komedi. Realisme sosial dengan lapisan humor yang mengundang ketawa penonton. Namun di sebalik jenaka itu tersirat ingatan kolektif terhadap pengalaman ngeri Perang Dunia II yang meninggalkan trauma psikologi yang masih membayangi kehidupan seharian masyarakat ketika era pasca-perang. Adegan ini memperlihatkan kepekaan P. Ramlee dalam menggabungkan satira dan realisme, sekali gus mengekalkan hubungan antara hiburan popular dengan sejarah sosial traumatik.
Dalam filem ini juga, audien ditonjolkan dengan kehidupan kelompok masyarakat yang meneruskan kelangsungan hidup dengan dengan menetap di rumah yang mempunyai bilik-bilik sewa kecil yang dikenali sebagai komunal login atau rumah cubit-cubit. Di Singapura, rumah cubit-cubitmenjadi kediaman golongan masyarakat setempat dan pekerja migran. Dalam keadaan serba padat, berkongsi kemudahan asas seperti tandas dan dapur dan serta ruang membasuh demi kelangsungan hidup. Fenomena ini memperlihatkan realiti sosioekonomi kelas pekerja di Singapura sekitar awal hingga lewat 1950an. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, rumah cubit-cubit ini berfungsi sebagai medan simbolik menggambarkan keterikatan komuniti pinggiran bandar serta ketegangan antara tradisi dengan moderniti kolonial.
Dari sudut stailistik, realisme itu tidak hadir melalui eksperimentasi sinematik yang kompleks, tetapi melalui dialog seharian. Filem Seniman Bujang Lapok menggunakan naratif linear yang mengalir tanpa gangguan dramatik, serta penggambaran watak-watak marhaen dalam konteks sosial yang mudah difahami. Establishing shot pada beberapa babak sepanjang naratif filem bergerak, merakamkan suasana kehidupan seharian masyarakat kampung pinggiran kota digarap hampir menyerupai gaya dokumentari. Disebalik kesederhanaan gaya stailistik, filem ini mewacanakan kesusahan masyarakat bawahan yang mengenengahkan komentar sosial sarat dengan humor tetapi berakar pada realiti getir kehidupan moden pasca perang.

Neo-realisma melalui filem filem arahan Victoria De-Sica umumnya menggunakan pelakon bukan dari kalangan pelakon profesional. Berbeza dengan Seniman Bujang Lapok, pelakon-pelakon popular Era Emas dari Studio jalan Ampas seperti P. Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin diangkat sebagai tiga bujang lapok yang merepresentasikan ‘subjek’ kelas bawahan yang sentiasa terperangkap dalam kesempitan kewangan dan berusaha mempertahankan kelangsungan hidup. Ketiga-tiga bujang lapok ini tidak bercita-cita menjadi popular, tetapi hanya kelangsung untuk terus hidup melalui peluang pekerjaan yang ada di sekitar. Termasuklah menjadi pelakon filem walaupun tanpa bakat dan pengalaman.
Dari sudut ideologinya, selaras dengan tradisi realisma dalam sinema, Seniman Bujang Lapok mengangkat persoalan pertimbangan moral tanpa menjerumuskannya ke dalam kerangka penghakiman yang mutlak. Antara babak signifikan ialah ketika Aziz membayar tambang beca dengan jumlah yang tidak mencukupi. Penarik beca dalam adegan tersebut tidak ditampilkan sebagai mangsa mahupun pelaku antagonistik, sebaliknya situasi itu dibiarkan terbuka untuk memperlihatkan realiti hubungan sosial yang kompleks dalam masyarakat yang serba terdesak, tanpa campur tangan institusi atau undang-undang. Sebagai contoh, adegan ini sejajar dengan estetika Bicycle Thieves karya De Sica, khususnya adegan ketika Antonio menyerang pencuri basikal, namun akhirnya dilepaskan kerana kedua-duanya berkongsi keadaan hidup yang terdesak. Kedua-dua filem, meskipun lahir daripada latar budaya dan gaya penceritaan yang berbeza, memperlihatkan denyut nadi Neo-Realisma. Penekanan terhadap survival, kemiskinan, serta dilema moral rakyat bawahan.
Dalam kerangka ini, Seniman Bujang Lapok walaupun tidak sepenuhnya menggunakan estetika sinema neo-realisma, tetapi tetap mengandungi fahaman atau roh Neo-Realisma. André Bazin menegaskan, filem harus menangkap realiti sebagaimana adanya, tanpa manipulasi berlebihan. Dari sudut teknikaliti pembikinan filem, Bazin menegaskan long take dan deep focus supaya penonton dapat mengalami dunia seperti realiti sebenar. Cesare Zavattini pula menekankan bahawa filem seharusnya mengangkat “peristiwa kecil” dan kehidupan harian sebagai naratif utama, kerana di situlah tersirat makna kemanusiaan. Ini jelas dipaparkan dalam filem Seniman Bujang Lapok. Walaupun, ketika penghasilan filem ini, studio filem Jalan Ampas berdiri kukuh dan sebahagian babak menggunakan studio, filem ini cuba mengimbangi lokasi luar dan penggunaan studio. Shaw Brothers yang terkenal dengan pengawalan aktiviti pengambaran luar studio dalam usaha mengurangkan kos, dilihat memberi kelonggaran untuk teraju utama P. Ramlee, berkarya di lokasi luar studio.
Filem ini dapat dibaca bukan sekadar genre komedi yang diraikan sebagai filem era emas atau sebagai filem arahan seniman Agung, tetapi keupayaan filem sebagai teks budaya yang meneguhkan dialog sinema Melayu dengan tradisi global. Filem ini juga mungkin tidak dilihat sebagai anti perang, namun Ia adalah refleksi realiti masyarakat Melayu pascaperang yang berdepan dengan urbanisasi, jurang kelas, dan keterbatasan hidup.
Perlu ditegaskan bahawa Seniman Bujang Lapok bukan sekadar sebuah karya komedi klasik, tetapi juga menandai gandingan terakhir P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Satar di Singapura, sebelum terciptanya wajah baharu sinema P. Ramlee menerusi trilogi Do Re Mi (1966) di Kuala Lumpur. Perpisahan tiga bujang lapok ini berlangsung serentak dengan gelombang perubahan besar dalam landskap politik rantau ini, ketika Malaysia giat membentuk Persekutuan bersama Sabah dan Sarawak, yang akhirnya membawa kepada pemisahan Singapura sebagai sebuah entiti politik berdaulat pada tahun 1965. Melangkaui bingkai filem Seniman Bujang Lapok, layar perak Tanah Melayu ketika itu turut memperlihatkan kecenderungan bernuansa neorealis yang menjadi simbolik kepada pemisahan sinema kepada dua arus utama: Sinema Malaysia dan Sinema Singapura. Identiti kedua-duanya dibentuk melalui lensa sosiobudaya yang sarat dengan dinamika politik serantau, dan proses inilah yang akhirnya membentuk serta mengubah secara mendalam arah perubahan sinematik baharu sinema di kedua-dua negara.
Pandangan ini diakhiri dengan menegaskan bahawa Seniman Bujang Lapok (1961), terbitan Studio Jalan Ampas, memperlihatkan keupayaan industri perfileman Tanah Melayu berdialog dengan tradisi sinematik antarabangsa, khususnya aliran Neo-Realism. Kemampuan ini sekali gus meneguhkan kedudukan filem arahan P. Ramlee bukan sekadar sebagai karya hiburan popular, tetapi sebagai artefak budaya yang sarat dengan nilai kritis dan wacana pemikiran sejagat. Dalam hal ini, Seniman Bujang Lapok terbitan Jalan Ampas tidak hanya tampil sebagai pelakon atau penghibur, tetapi sebagai sinema yang me fungsi sinema sebagai medium refleksi masyarakat dan wahana intelektual. Seniman Bujang Lapok dengan demikian menyatukan dua dunia melalui budaya tempatan Melayu dengan tradisi sinema antarabangsa, seraya meneguhkan tempatnya dalam sejarah sinema serantau.
– MASTURA MUHAMMAD merupakan seorang pensyarah di UiTM
