SENI Visual ialah satu bentuk seni, yang memfokuskan kepada penciptaan karya dengan impak visual, seperti lukisan, ilustrasi, fotografi, cetakan, arca dan juga filem. Cara utama yang menghubungkan penglihatan dan minda adalah melalui ‘sengatan’ dan pemerhatian mata. Pengalaman visual manusia tentang dunia sangat dipengaruhi oleh bahasa bukan lisan yang digunakan. Malah, melalui ‘bahasa’ ini, seni dan seniman berkomunikasi, berinteraksi malah mengekspresikan diri. Seni melibatkan soal tafsiran, melangkaui mereplikasi imej. Kuda di dunia nyata, lukisan kuda dan arca kuda, setiap satunya berdiri pada tahap intipatinya sendiri. Oleh itu, bagi setiap realiti yang dicipta, jelas terdapat perbezaan antara satu sama lain. Pelukis akan menggambarkan apa yang mereka lihat di dunia nyata, kemudian objek itu diubah, digubah atau dicipta bentuk baru, yang tidak dilihat secara semula jadi (natural). Ironinya kebanyakan artis atau pereka cuba mengajak pemerhati dan penghayat seni untuk melihat di luar penampilan semata-mata. Istilah representasi, abstrak dan non representasi kemudiannya digunakan untuk menjelaskan hubungan antara karya seni dengan kepelbagaian dunia realiti.
Seni Representasi
Secara umumnya telah dipersetujui, bahawa manusia mengetahui, memahami dunia dan realiti melalui praktik memberi nama, yakni melalui bahasa serta representasi. Terma representasi wujud daripada maksud dan pentafsirannya. Dalam konteks teori, istilah ini biasanya diperjelaskan melalui tiga cara iaitu:
I. Untuk meniru atau menyerupai sesuatu
II. Untuk memperjelaskan terhadap sesuatu atau seseorang
III. Untuk mempersembahkan buat kali kedua
Seni representasi dimulai dengan teori awal kesusasteraan, iaitu berdasarkan gagasan Plato dan Aristotle. Selanjutnya, ia telah berkembang menjadi komponen penting di dalam pengkajian ilmu bahasa, semiotik dan komunikasi. Aristotle telah membahaskan representasi di dalam tiga keadah iaitu:
Objek: Simbol yang diwakili.
Maksud: Cara simbol itu direpresentasi.
Saranan: Bahan yang digunakan untuk mewakilinya.

Konsep representasi yang diutarakan Rudolf Arnheim (1954), menyatakan bahawa representasi melengkapi persamaan, perantara khusus dan konsep visual yang berhasrat untuk divisualisasikan. Selanjutnya, ia mencari manifestasi luaran karya-karya pada pensel, berus dan pahat. Formasi konsep representasi amat penting berbanding yang lain. Ia berupaya membezakan citra utama seorang seniman dengan bukan seniman. Adakah pengalaman hidup para seniman berbeza dengan manusia yang lain? Tiada alasan kukuh untuk berfikiran sedemikian. Sebagai kepastian, seseorang harus mendalami dan menjiwai pengalamannya, serta mempunyai kebijaksanaan untuk mencari kepentingan dalam pengalaman yang berlaku, iaitu dengan memahaminya sebagai simbol serta kebenaran universal. Representasi pada gagasan pemikiran Harold Osborne (1970), memperjelaskan proses menggambar semula secara natural (nature representational art) yang menempati karya-karya kesusasteraan dan seni drama, manakala dalam catan seni visual dan arca, representasi mungkin berlaku, tetapi tidak semestinya dijelmakan secara representasi alami. Seni Bina dan Seni Muzik pula, pada tilikan Osborne, tidak berada dalam kelompok representasi alamiah (not in their nature representational arts). Seni representasi (kadangkala disebut sebagai seni figuratif atau objektif), menggambarkan penjelmaan benda. Ia dipersembahkan, yakni dijelmakan kembali sebagai objek yang yang terdapat di dunia realiti. Objek yang direpresentasikan disebut subjek. Seni representasi mengandungi pelbagai gaya, dari ‘realisme yang menipu pandangan’ karya William Harnett, imej-imej ekspresif karya Rembrant hingga kepada karya herotan (distortion) Romare Bearden’s.


Seni Abstrak
Abstrak atau mujarad, mengusung erti pengekstrakan ‘zat’ objek atau idea. Dalam konteks ilmu seni, istilah abstrak membawa maksud sama ada karya tersebut tidak merujuk kepada objek alamiah atau karya yang menggambarkan objek yang telah dipermudahkan (simplified), diherot-benyotkan (distorted) atau diperbesar-besarkan (exaggerated). Dalam seni abstrak, seniman mengubah penjelmaan objek alami, dengan memberi penekanan atau mendedahkan kualiti-kualiti tertentu. Sepertimana pelbagai pendekatan yang terhasil dalam seni representasi, begitu juga halnya dengan seni abstrak. Kita mungkin dapat mengenal pasti isi (subject matter) pada karya abstrak dengan mudah, atau dengan beberapa petunjuk (tajuk karya umpamanya). Interaksi di antara bagaimana objek yang sebenar kelihatan, dan bagaimana sesetengah seniman mempersembahkannya menjadi sebahagian daripada keseronokan serta cabaran dalam seni abstrak. Secara dasar, semua seni adalah mujarad, kerana mustahil untuk seniman mempersembahkan bentuk secara sempurna tentang apa yang dilihatnya dalam alam. Darjah abstraksi (varying degrees) dapat disemangati pada siri karya Theo Van Doesburgs, “Abstraction Of A Cow”. Dalam siri ini, sang seniman cuba untuk memperjelaskan kepada khalayak, sejauh mana proses abstraksi itu dapat dijelmakan, yakni melalui kajian komposisi terhadap seekor lembu yang sedang melalui proses pengekstrakan, namun masih menampakkan imej haiwan tersebut secara simbolis.

Seni Non-Representasi
Seni non-representasi (kadangkala disebut non-objektif atau non-figuratif), mempersembahkan bentuk visual tanpa sesuatu rujukan yang spesifik. Seperti mana kita memberi respon kepada bentuk bunyi-bunyian asli dalam seni muzik, begitu juga tatkala kita berinteraksi dengan karya visual dalam seni non-representasi. Sewaktu Seni non-representasi dilihat sulit untuk difahami konsep dan nilainya berbanding seni representasi dan seni abstrak, ia justeru menawarkan kaedah baru dalam upaya manusia melihat (seni visual). Ketiadaan bahan subjek (subject matter), sebenarnya memperjelaskan bentuk-bentuk visual yang boleh dieksploitasi oleh para seniman. Setelah mempelajari cara membaca ‘bahasa visual’, kita mampu untuk berkomunikasi dengan seni dan dunia, melalui pemahaman yang memesona, mengagumkan serta sarat dengan ‘inspirasi’ estetika. Contoh karya seni non-representasi dapat kita cermati di dalam arca karya pelukis-pengarca America, Nancy Graves, ‘Metaphor & Melonymy’ (1995), yang menggabungkan media cat minyak dengan elemen aluminium berwarna, yang seolah-olah memberi ilusi seperti imej ‘mengepak-ngepak’, selanjutnya mendatangkan makna signifikan kepada metafora pergerakan organik nan penuh bersemangat.

Sekilas Rumusan
Realiti dan representasi saling berhubungan dalam merealisasikan konsep seni visual. Representasi menjadikan satu persembahan karya seni itu bermakna dan mempunyai nilai-nilai estetika yang khusus. Berinteraksi dengan representasi menuntut pengamatan yang menyeluruh melalui kuasa penglihatan (sight). Begitu juga halnya dengan perkembangan intelek, psikologi dan keupayaan sensori motor para seniman, yang semacam ‘menyalurkan’ tenaga berkuasa bagi merepresentasikan material simbolik dalam penghasilan karya-karya seni
RUJUKAN:
Freud, Anna (1966-1980). The Writings of Anna Freud: 8 Volumes. New York: IUP.
Gardner, Howard (1993). Multiple Intelligences:The Theory in Practise. LosAngeles: The Getty Center of Educations in The Arts.
Harold Osborne (1970). The Art of Appreciation. London: Oxford University Press
Otto G. Ocvirk,Robert E. Stinson,Philip R.Wigg,Robert O.Bone,David L.Cayton (1994).Art Fundamentals. London : Calmann & King LTD
Preble. S & Preble.D. (2000). Art Forms (sixth ed.). New Jersey.Prentise Hall
Rudolf Arnheim (1954). Art and Visual Perception. London: University of California Press

