SENI visual tumbuh serta berkembang secara dinamik, tatkala ‘fajar’ abad ke-21 menerobos masuk, yakni dengan pemaduan progresif di antara gencarnya perkembangan teknologi, seni, sastera dan kebudayaan. ‘Serpihan’ utama yang meresap ke segenap ‘liang’ serta ‘sendi’ kemanusiaan dan dunia pada hari ini, apabila teknologi Kecerdasan Buatan (AI) telah menjadi nilai nan terutama.
Jika dicermati apa yang telah dibahaskan oleh Peter Norvig dan Stuart J. Russell dalam buku ‘Artificial Intelligence: A Modern Approach (2016),’ kepintaran buatan dapatlah dimaknai sebagai pemaduan di antara citra saintifik, keampuhan tingkat kejuruteraan serta betapa rancaknya gagasan teknologi maklumat, yakni dampak langsung daripada penciptaan mesin dan program-program komputer pintar. Lebih menarik, ‘menetas’ pula potensi ‘Adi-Kecerdasan’ (Superintelligence), seperti mana yang diperincikan oleh ahli falsafah Sweden, Nick Bostrom melalui karya ‘Superintelligence: Paths, Dangers, Strategies (2017)’. Di sini, Bostrom memberi tumpuan kepada implikasi kecerdasan buatan yang sangat pantas bergerak dalam beragam kehidupan manusia, termasuklah resapannya ke dalam wilayah seni visual. Justeru, tercetus beberapa ‘pergeseran’ yang bukan sekadar melibatkan persoalan teknikal dan estetik, namun menyangkut jua perihal etika, hak cipta, bahkan identiti dalam penghasilan seni.
Tidak dinafikan, majunya fikrah serta kreativiti manusia itu, perlu beriringan dengan kecepatan praktik teknologi. Namun, di samping keterujaan kita ‘menjemput’ kepintaran-kepintaran moden yang diperkasai oleh keberhasilan suntikan teknologi, sememangnya akan menimbulkan suatu keasyikan, keterpesonaan, bahkan rasa kekaguman. Tetapi, ia juga sekali gus bakal menyerlahkan jua ketakutan yang kelam resah dan hampa. Makanya, risalah ringkas ini mencuba untuk membicarakan implikasi kecerdasan buatan dan adi-kecerdasan terhadap seni visual, serta tantangan yang mendepani para penggiat seni di alaf digital yang serba berkecamuk.
Kecerdasan Buatan ‘mencurangi’ Kreativiti Manusia
Salah satu kesan paling jelas tatkala munculnya kecerdasan buatan dalam dunia seni visual, adalah keupayaannya untuk menghasilkan karya yang setara, bahkan lebih baik daripada ekpresi kreatif hasilan para pereka atau seniman.
Aplikasi seumpama Midjourney Ai, DeepArt, DALL-E, dan Artbreeder membolehkan sesiapa sahaja menciptakan ‘rupa’ visual yang kompleks, menarik, dan lengkap ‘langgam’ estetikanya. Lebih mengujakan, ia dipersembahkan tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang mendalam dalam ranah seni lukis atau rekaan.
Berkat kecepatan teknologi, kecerdasan buatan justeru sudah dilatih dan ‘diasuh’ menggunakan jutaan data imej, (apa yang disebutkan sebagai ‘machine learning’ dan ‘deep learning’), bagi memungkinkan perangkat ini menghasilkan karya seni, yang bukan sahaja mampu untuk meniru gaya klasik, namun berupaya mencipta gaya baharu yang unik. Akan tetapi, kemajuan ini bakal beriring dengan sebuah pertanyaan sentral; Adakah kecerdasan buatan boleh ditarafkan mempunyai inspirasi kreatif sebagaimana ‘geliganya’ manusia? Sekiranya mesin-mesin mekanistik kecerdasan buatan boleh menghasilkan karya seni yang ‘seiras’ bak ciptaan manusia, akan terjejaskah nilai seni manusiawi?

Lalunya, di dalam perbahasan Superintelligence, Bostrom mengingatkan bahawa kecerdasan buatan berpotensi untuk mencapai tahap kreativiti yang melampaui kebolehan manusia itu sendiri, menjadikan peranan manusia semakin tidak relevan. Menjengah dengan lebih mendasar, Bostrom juga ada membincangkan soal implikasi etika yang timbul apabila kecerdasan buatan menjadi semakin pintar.
Menyoroti perkembangan semasa di Malaysia, sudah terdapat pergerakan yang semakin meningkat dalam penggunaan seni digital, di mana beberapa seniman muda kini sedang mengintegrasikan alat-alat digital dalam segenap gerak kerja kreatif mereka.
Kecerdasan buatan telah memberi peluang kepada para seniman untuk menerokai bentuk seni yang lebih kompleks dan eksperimentatif. Perisian seperti Deep Dream, yang memanipulasi imej berasaskan algoritma yang telah dilatih untuk mengenal pola tertentu, mampu untuk menciptakan imej luar biasa, selanjutnya mencabar sudut pandang kita untuk mencerap serta memahami ekspresi estetik sesebuah karya visual. Namun, dengan perkembangan semasa, timbul persoalan sama ada karya seni yang dihasilkan oleh mesin ini boleh diterima atau pun sebaliknya? Pada pengamatan sederhana, komuniti seni di negara ini masih lagi mempunyai ikatan yang kental terhadap seni tradisional serta nilai estetika setempat, walaupun tidak secara menyeluruh. Oleh itu, cabaran kontemporari yang dihadapi oleh dunia seni, ialah bagaimana untuk mengiktiraf nilai representasi visual yang dicipta oleh mesin, dan apakah kriteria yang perlu digunakan untuk menilai karya tersebut.
Identiti Seni Visual yang Bersinar atau Sirna?
Masa beredar, waktu berdetik, zaman berlabuh, dari dekad ke dekad dan bernafas dari tahun ke tahun, menempuh beraneka perkembangan serta perubahan. Begitu jugalah dengan susur masa bermuaranya karya-karya seni visual yang membentuk serta mencorakkan pengamatan manusia. Seni visual sering dikaitkan dengan ekspresi peribadi, pengalaman hidup, dan pandangan dunia individu sang seniman. Seni adalah refleksi daripada identiti sosial serta budaya penciptanya. Namun, apabila kecerdasan buatan dilibatkan dalam proses penciptaan, identiti pengkarya menjadi kabur dan samar-samar. Ada sebuah pertanyaan yang menghambat, siapakah yang sewajarnya diberikan kredit terhadap karya seni yang terhasil oleh perangkat algoritma? Adakah seniman yang mengendalikan perisian atau pembangun kecerdasan buatan yang mencipta sistem itu, lebih layak dianggap sebagai pencipta utama? Masalah ini semakin menggusar, di saat kita mempertimbang serta mengenangkan potensi adi-kecerdasan (Superintelligence), yang di dalam pengamatan Bostrom, boleh mengatasi kecerdasan manusia dalam hampir semua aspek. Menginsafi konteks ini, seni pada dasarnya bukan lagi hasil kreativiti manusia, tetapi produk sistem yang jauh lebih sofistikated. Ray Kurzweil, melalui bukunya yang berjudul ‘The Singularity is Near’ (2005), ada mengungkapkan tentang paradigma ‘transhumanisme’, yakni satu gerakan intelektual yang percaya bahawa masyarakat global harus menggunakan teknologi dan inovasi saintifik untuk menambah serta meningkatkan kemampuan manusia, baik secara badani mahupun secara spiritual.
Secara jernih, dapatlah difahamkan bahawa kepintaran buatan menyasarkan suatu integrasi pelbagai jenis teknologi serta inovasi saintifik, yang boleh dikelompokkan kepada tiga bidang utama yang digelar ‘GNR’ iaitu genetik, nano-teknologi dan robotik. Hal yang kedengarannya amat lunak, terkehadapan serta progresif di satu sisi dan mengundang kemunduran serta kehampaan humanisme di sisi yang lain. Alhasil, bagi dunia dan wilayah seni visual, perkara yang termaksud boleh membawa kepada hilangnya nilai humanistik dalam sesebuah pengkaryaan, bahkan mungkin mengubah definisi serta norma seni itu sendiri. Penciptaan seni menjadi lebih mekanikal, tanpa kehadiran unsur-unsur subjektif yang membentuk pengalaman seni itu sendiri, di era pra-kecerdasan buatan.
Adi-Kecerdasan dan Tantangan Masa Mendatang
Menduga rentang zaman yang menggelora, apabila tiba waktunya inspirasi kecerdasan buatan mula menanjak menjadi adi-kecerdasan, yakni paradigma mekanistik yang mempunyai kebolehan intelektual jauh lebih tinggi, malah melampaui kesedaran manusia, pasti jua pengaruhnya terhadap seni visual akan jauh lebih bergelombang.
Adi-Kecerdasan punya keampuhan untuk mencipta bentuk seni yang belum pernah dibayangkan oleh manusia, memperkenalkan pendekatan baharu dalam ranah estetika dan persepsi visual. Oleh yang demikian, kita telah dihadapkan dengan cabaran terbesar bagaimana upaya manusia untuk berinteraksi dengan seni yang dihasilkan oleh entiti yang jauh lebih pintar ini.
Adakah manusia akan terus dapat menghargai seni ciptaan mesin yang terencana, atau adakah kita akan kehilangan daya untuk menghargai hasil karya yang tidak lagi dicipta oleh manusia, sebagai petanda awal berakhirnya kendali manusia ke atas alam? Jawapannya sudah pun dinukilkan Bostrom, saat pemikir ini memberi amaran bahawa kemajuan dalam kecerdasan buatan dan adi-kecerdasan bakal merambah kepada fenomena ‘ketunggalan’ (singularity), yakni satu titik di mana teknologi berkembang dengan sebegitu pantas, hinggakan manusia boleh kehilangan kawalan terhadapnya. Bostrom mendalilkannya dengan takrifan ‘adi-kecerdasan pantas’ (speed superintelligence), ‘adi-kecerdasan kolektif’ (collective superintelligence) dan ‘adi-kecerdasan unggul’ (quality superintelligence), yang mengatasi daya ikhtiar manusia dalam segala perkara.
Perenungan dan Refleksi
Kemunculan kecerdasan buatan dan adi-kecerdasan telah membuka pelbagai kemungkinan dalam dunia seni visual, tetapi juga menimbulkan cabaran besar yang perlu dihadapi oleh para seniman, pengkarya dan penggiat seni.
Isu utama seperti kreativiti, identiti, hak cipta, dan etika mengandalkan kepada tatanan pemikiran, perenungan serta refleksi mendasar, agar kepesatan teknologi tidak ‘memandul’ atau ‘membunuh’ citra inderawi yang humanis dalam semangat kesenian.
Sebagai masyarakat yang semakin bergantung kepada daya sumber teknologi, perenungan dan pendefinisian semula apa yang dianggap seni wajar ‘dipertengkar’ dalam medan dan ‘balairung’ wacana. Juga, bagaimana kita dapat menjaga keseimbangan di antara inovasi dan apresiasi terhadap nilai-nilai manusia yang telah terbentuk selama berabad-abad. Maka, sebagai renungan yang memadahkan iktibar, Nick Bostrom mengikhtisarkan pesan sebagai pedoman yang mengingatkan kita tentang potensi bahaya daripada perkembangan adi-kecerdasan, dan dunia seni turut tidak terlepas daripada gugatan ini;
“Sebelum adanya kemungkinan ledakan kecerdasan, umat manusia seperti anak kecil yang bermain dengan bom. Kita tidak mengetahui dengan jelas bilakah ledakan akan terjadi, namun jika kita merapatkan bom tersebut ke telinga, akan kedengaran bunyi detak-detak halus yang sedang berdetik”.
(Before the prospect of an intelligence explosion, we humans are like small children playing with a bomb,” he writes. “We have little idea when the detonation will occur, though if we hold the device to our ear we can hear a faint ticking sound.”).
Rujukan
Andrew Feenberg (2002). Transforming Technology: A Critical Theory Revisited. New York: Oxford University Press.
Hubert L. Dreyfus (1993). What Computers Still Can’t Do; A Critique of Artificial Reason. Boston: MIT Press.
Klaus Schwab (2019). Revolusi Industri Keempat. Jakarta: PT Gramedia.
Nick Bostrom (2017). Superintelligence: Path, Dangers, Strategies. Oxford: Oxford University Press.
Peter Norvig dan Stuart J. Russell (2016). Artificial Intelligence: A Modern Approach; 3rd Edition. Essex: Pearson.
Ray Kurzweil (2005). The Singularity is Near. London: Penguin.
