“Sesiapa yang mencipta/melukiskan gambar (makhluk bernyawa), maka pada Hari Kiamat dia akan disuruh memberikan nyawa padanya, sedangkan dia tidak mampu.”
(Hadis Sahih Al-Bukhari, No. 5963)
Seni visual, yang mengupayakan aktiviti melukis figura atau makhluk bernyawa, sering sahaja ditantang polemik, menerjang beragam gugatan, malah terpencar dihimpit kemajmukan kontroversi, terutamanya dalam kalangan penganut agama Islam. Hal ini tercetus, kerana terdapat sebahagian ulama yang melarang umat Muslim melakar atau melukis imej-imej yang representatif. Ia berlandaskan pesan daripada hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari, seperti yang dinukilkan pada bingkisan pembuka karangan ini. Namun demikian, bersesuaian dengan gerak zaman dan perjalanan sejarah tamadun Islam, citra lukisan yang dihasilkan oleh para seniman, telah mempersembahkan ‘sebahara’ kekayaan hasil seni lukis, ilustrasi figura dalam manuskrip, seni bina, dan korpus karya-karya kesusasteraan yang membuai pesona estetika. Jadinya, artikel pada kali ini mencuba untuk mengangkat kepentingan seni visual dalam konteks pegangan Islami, sekaligus meninjau-ninjau jua sekilas pandangan daripada para hukama, baik itu ijtihad tradisional mahupun kontemporer, yang mengharuskannya dengan syarat, meski wujudnya larangan berdasarkan ungkapan hadis di atas. Seyogia, tafsiran daripada mafhum hadis ini sering dijadikan hujah untuk melarang sebarang bentuk penggambaran makhluk bernyawa. Namun, para ulama klasik dan kontemporari, tetap menekankan betapa perlunya kita untuk memahami konteks serta tujuan pengharaman tersebut. Antara tafsiran yang dikemukakan adalah:
I. Imitasi Kuasa Penciptaan Allah: Larangan melukis figura berkait dengan risiko manusia ‘menyaingi’ sifat Allah sebagai Pencipta. Namun, ini tidaklah bererti kesemua bentuk lukisan diharamkan, tetapi lebih tertumpu kepada niat serta penggunaan karya tersebut.
II. Pencegahan Syirik: Pada zaman Nabi SAW, patung dan gambar sering dikaitkan dengan penyembahan berhala. Larangan melukis adalah bertujuan untuk mencegah kesyirikan, bukan mengharamkan ekspresi seni secara mutlak.
III. Perbezaan Media: Sebahagian ulama masyhur seperti Ibn Hajar al-Asqalani, di dalam kitab Fathul-Bari membezakan di antara lukisan 2 Dimensi (seperti lukisan di atas kertas atau kanvas) dan patung 3 Dimensi. Ada keringanan hukum terhadap lukisan 2 Dimensi, bersandarkan kepada alasan bahawa ia tidak sepenuhnya ‘menyetarai’ ciptaan Tuhan yang Esa.
Di dalam landskap perkembangan serta kesedaran seni visual di negara ini, ia sebenarnya sudah pun ditanggapi sebagai salah satu media dalam menyampaikan informasi, berita, perakaman sesuatu peristiwa dan catatan harian, yang telah dikesan kewujudannya sejak dari abad ke-19. Misalkan, ilustrasi yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah (1849), merakamkan pengalaman di tempat beliau belajar dan juga beberapa peristiwa serta isu penting, seperti ilustrasi ‘Usongan raja di-raja’, ‘Jenis-jenis hukuman’, ‘Ilustrasi pedang’ dan ‘Ilustrasi polong’, menjadi bukti wujudnya perkembangan seni visual sebagai salah satu sumber media di Malaya pada abad ke -19. Lalunya di sini, seni visual secara hakikat menciptakan sinergi, sembari memainkan peranannya yang tersendiri di dalam menyalurkan sebarang bentuk maklumat serta pesan-pesan bergambar. Kesedaran terhadap perkembangan dan peranan visual, sebagai salah satu saluran media dapat diterima oleh masyarakat di Malaysia yang berbilang bangsa serta agama. Walaupun terdapat regangan yang dibangkitkan oleh bangsa Melayu (majoritinya beragama Islam) mengenai larangan ‘menggambar’, yang dianggap tabu dalam ajaran agama Islam. Ditilik dalam lintas sejarah, ada semacam kerisauan nan meresah daripada para ibu-bapa, tatkala anak-anak mereka mengambil mata pelajaran seni lukis di sekolah pada waktu itu, dengan alasan bahawa akidah serta pegangan agama mungkin akan tergelincir.
Namun demikian, gusar dan kehampaan ini akhirnya dapat dirungkai berdasarkan karangan daripada Syed Syeikh Al-Hadi di dalam akhbar Al-Ikhwan bertarikh 16 April 1929, dengan pernyataan bahawa fungsi visual amat berguna sebagai sumber perekodan persejarahan bagi kemajuan umat manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu, sekiranya karya seni visual itu dihasilkan bukan bertujuan untuk disembah atau pun dipuja. Pandangan yang dikemukakan Syed Syeikh Al-Hadi ini, bukanlah perkara yang tiada berdasar mahupun mencarik dogma. Menjengah ke dekad-dekad yang lebih terbuka dan moden, cendekiawan hukum dan ulama kontemporari, Prof. Dr. Syeikh Wahbah al-Zuhaili, melalui kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, ada mengisyaratkan bahawa tegahan menggambar sepertimana yang termaktub di dalam Sahih Bukhari ini tertumpu pada mereka yang melukis dengan niat berlaku sombong atau ingin menyaingi kekuasaan Allah SWT. Jika nawaitunya baik serta tidak melanggar batas-batas syarak (untuk tujuan pendidikan misalnya), risiko ini tidaklah berlaku. Melengkapi apa yang telah tersurat, bolehlah jua kita iktibarkan hujah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatawa Mu’asirah, yang menjelaskan bahawa melukis figura manusia atau haiwan itu harus, sekiranya ia tidak melibatkan sebarang unsur-unsur syirik, karya visual tidak digunakan untuk penyembahan atau menggalakkan maksiat, bertujuan mendidik, berhibur secara sihat, atau memartabatkan ekspresi seni Islam. Secara hakikat, segenap pandangan ini sebenarnya beriringan teguh dengan kaedah dasar fiqh, yakni ‘hukum asal sesuatu adalah harus, melainkan ada dalil yang melarang’.
Seni Visual mengintimi keniscayaan beragama (Islam)
Melukis atau menghasilkan karya seni visual dapat ditanggapi sebagai percikan manifestasi terhadap nilai kreativiti dan ekspresi diri. Namun, dalam konteks akidah Islami, tercetus aneka pandangan berkenaan dengan hukum melukis imej atau figura. Ada golongan yang berpendapat bahawa melukis imej atau figura adalah haram, apabila ia dinisbahkan oleh pelbagai hadis yang merujuk kepada larangan mencipta gambar makhluk hidup. Walau bagaimanapun, tidak kurang pula yang berpandangan bahawa hukum melukis ini ditarafkan harus, asal sahaja ia tidak melanggar prinsip-prinsip asas ajaran Islam atau menggambarkan objek yang boleh menyebabkan kemusyrikan atau kesalahan akidah (seni patung misalnya). Dalam konteks ini, ulama berpendapat bahawa seni lukisan yang tidak melibatkan gambaran makhluk hidup, atau lukisan yang bertujuan untuk menghiasi dan memperindah seni, tidaklah dilarang. Islam sangat menekankan niat dalam setiap perbuatan. Makanya, jika seseorang seniman melukis untuk tujuan seni, pendidikan, atau mengembangkan bakat kreatif yang tidak berseberangan dengan akidah, maka hukumnya adalah harus. Ini termasuklah lukisan-lukisan landskap, abstrak, atau seni yang tidak melibatkan elemen makhluk hidup (*meski ada khilaf terbuka yang membahaskan persoalan ini dengan lebih dialektis).
Walaupun wujud gelora perdebatan, sanggahan dan perbezaan sudut pandang, seni visual tetap jua ‘berpanggung’ dalam tradisi perkembangan Islam, terutamanya daripada ranah pendidikan, kebudayaan, kesusasteraan, falsafah dan dakwah. Antaranya, dapatlah diinsafi sebagaimana misal berikut:
- Pendidikan Ilmiah: Ilustrasi anatomi manusia dalam manuskrip perubatan Islam seperti karya Ibnu Sina (Al-Qanun fi al-Tibb) membantu perkembangan sains.
- Seni Kaligrafi: Seni tulisan khat menggabungkan estetika visual dengan ayat Al-Quran, menjadi mediasi utama seni Islam yang diiktiraf secara universal.
- Dakwah Kreatif: Penggunaan ilustrasi dalam buku kanak-kanak atau video animasi Islamik membantu menyampaikan mesej agama secara efektif.
Bahkan, tamadun Islam klasik seperti Dinasti Abbasiyah dan Empayar Uthmaniyyah, dengan megahnya telah menghasilkan karya seni figura dalam manuskrip cerita atau catatan sejarah, menunjukkan adanya ruang fleksibiliti dalam menafsirkan segenap larangan yang termaksud.

Memanfaati hujah yang sudah diperjelaskan, lalunya dikongsikan jua satu contoh sederhana, menyangkut betapa signifikannya seni visual memuarakan ekspresinya dalam membawa gambaran asas untuk umat Islam melakukan ritual wuduk dan bersolat. Rata-ratanya kita di Malaysia ini, paling tidak pasti pernah memegang, membelek-belek bahkan membaca naskah ‘Muqaddam’ (Surah Al-Quran di juzuk ke-30, yakni bahagian terakhir yang juga disebutkan sebagai Juz Amma). Jika ditelusuri pada halaman-halaman penghabisan kitab Muqaddam ini, apakah inti maklumatnya? Nah, tentunya kita akan ditemukan dengan jujukan lukisan serba ringkas, namun begitu inspiratif malah bermakna, terutamanya untuk ‘memandu’, ‘mengajar’ serta ‘mengasuh’ para pembaca dini atau saudara baharu (muallaf), bagi melaksanakan tuntutan penting, ‘tiang’ buat tegaknya niscaya beragama iaitu solat. Biarpun telah tersedia panduan dalam bentuk teks-teks bertulis, namun tatkala visual ‘mengintimi’ arahan literasi, pada masa yang sama, pemahaman pembaca malah lebih mudah tercerna, dek sengatan ‘langgam piktorial’ yang representatif!


Khatimah
Walaupun terdapat perbahasan getir mengenai hukum melukis, tidak boleh dinafikan bahawa seni dan visual tetap punya peranan, bukan hanya dalam sejarah perkembangan ketamadunan Islam, tetapi bergelintar dalam kosmologi pendidikan, penyebaran ilmu, kebudayaan, falsafah dan juga dakwah. Karya seni yang dihasilkan dengan niat yang ikhlas berserta tujuan yang baik boleh berfungsi sebagai alat pengembangan pengetahuan efektif, menginspirasi, malah bersulamkan semangat-semangat keestetikaan yang tiada berlanggar dengan perintah syarak. Justeru, larangan melukis figura dalam Islam perlu difahami secara kontekstual, bukan sekadar ditanggapi sebagai sebuah pengharaman mutlak. Seni visual yang bermanfaat, beretika, dan tidak membawa kepada syirik tetap jua mempunyai ruang, bahkan mengintimi agama, bukan menjadi seteru yang menyempitkan. Menarik kesimpulan secara didaktik, hukum melukis dalam Islam adalah bergantung kepada niat dan konteks penghasilan sesuatu karya seni visual itu sendiri. Meskipun terdapat bingkisan hadis yang mengingatkan kita mengenai akibat fatal buat mereka yang mencitrakan imej-imej makhluk hidup, harus diingat bahawa seni yang bertujuan untuk mengampuhi nilai moral, melestari pendidikan, menunjangkan ketinggian akal budi, mencaknai budaya dan menginspirasi pancaran estetika yang tidak melanggar prinsip dan fiqih Islam, adalah harus. Menoktahkan karangan, kita ibrahkan jua madah mengagumkan daripada Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali:
“Seni adalah cermin kebijaksanaan; ia menjadi buruk jika disalahgunakan, tetapi mulia jika dimanfaatkan untuk kebaikan.”
Rujukan:
Abdullah bin Abdul Kadir (1970). The Hikayat Abdullah, an annotated translation by A.H. Hill. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Ahmad Suhaimi Mohd Noor (2007). Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Tg Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Imam Az Zabidi (2008). Ringkasan Sahih Al-Bukhari. Kuala Lumpur: Crescent News.
Wahbah Al-Zuhaili, (2010). Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
Yusuf Al-Qaradawi (1992). Fatwa-Fatwa Semasa (Fatawa Mu’asirah). Kota Bharu: Pustaka Aman Press.
