Mukadimah: Mendefinisikan semula takrif ‘Seni’
Dalam tradisi, sejarah dan perkembangan falsafah Barat, yang tentu-tentunya bertumbuh di wilayah Yunani, perkara estetika sering sahaja bergulir dengan pertanyaan klasik; apakah yang dinamakan seni itu? Sebermula daripada kecurigaan Plato terhadap mimesis (peniruan alam), hingga ke dasar fikiran Kant yang berteguh dengan dalil ‘pertimbangan selera tanpa sebarang kepentingan’ (disinterested judgement), seni tentu sahaja kita fahamkan melalui ‘roh’ estetiknya, yakni menisbahkannya dengan hal keindahan, bentuk, keharmonian, bahkan jua pengalaman rasa.
Namun demikian, tatkala menjengahnya abad ke-20, takrifan ini secara tersirat mulai dibongkar malah digugat. Kemunculan aliran-aliran reaksionari semisal Fauvisme (sekitar 1905-1908), Futurisme (sekitar 1909-1914), Dadaisme (sekitar 1916-1924), Surrealisme (sekitar 1924-1966), Pop Art (sekitar 1950-an-1970-an), dan Seni Konseptual (bermula sekitar 1960 hingga penghujung 1970-an), sedikit sebanyak telah mencetuskan singgungan radikal.

Apakah yang membezakan karya seni daripada objek-objek seharian? Sekiranya sebuah urinal (Fountain cetusan Marcel Duchamp), atau kotak sabun (Brillo Box, karya Andy Warhol), turut terpamer sebagai hasilan seni, maka pertanyaan yang lebih mencolok, apakah dasar ontologinya? Justeru, dalam keresahan menuai maknanya, dari sinilah pemikiran teoritikus seni kelahiran Amerika, Arthur C. Danto sedang mengeluarkan ‘sengat’ keestetikaan di zaman baharu yang serba rencam!

Memaknai “The Artworld”: Ontologi Seni sebagai saranan Teori
Pada tahun 1964, Danto menerbitkan sebuah risalah monumental dengan judul “The Artworld”. Beliau berhujah bahawa sesuatu objek itu dianggapkan sebagai karya seni bukan disebabkan oleh sifat fizikalnya, tetapi kerana ia berada dalam rangka tafsiran yang tersendiri, yakni berlandaskan segenap gagasan teori, sejarah, dan wacana seni.
Danto memisalkan ini dengan sebuah dalih klasik, melalui karya seniman Pop-Art, Andy Warhol yang berjudul ‘Brillo Boxes’. Secara fizikal, kotak tersebut sememangnya tidak ada apa-apa perbezaan dengan kotak yang dijual di gedung-gedung umum. Namun, saat ia dipamerkan di galeri Seni, nilai, makna serta interpretasinya sudah berkebalikan. Perbezaannya bukan lagi pada pengamatan visual, sebaliknya tetapi ‘jurang-jurang’ konseptual. Danto menulis bahawa untuk melihat sesuatu sebagai seni, seseorang memerlukan daya ‘lingkungan pemikiran teoritis tentang wilayah kesenian’ (an atmosphere of artistic theory), ataudengan nada yang sederhana, seni itu adalah ‘makna kewujudan’ (aboutness), yang bukan sekadar objek-objek fizikal.
Perkara ini mengundang dampak yang signifikan dalam ‘cakerwala’ kesenian. Seni tidak lagi dipaksikan oleh piawai estetika yang formalistik. Sebaliknya, ia merupakan entiti yang sedang menggarap interpretasi! Dunia seni (para kritikus, penghayat, kurator, sejarah, teori dan persekitaran) menjadi syarat kepada ontologi seni itu sendiri.
“After The End of Art”: Sejarah Seni yang berpenghujung?
Tatkala Danto mengerjakan karya After the End of Art (1997), ‘geger’ berkumandang suatu tesis yang mendakwa bahawa sejarah seni sebagai naratif serta horizon yang linear, sedang menuju jalan pengakhirannya. Secara tersirat, Danto seolah-olah cuba membugarkan semula gagasan dialektika Hegelian, yang mencermati sejarah seni sebagai sebuah perjalanan kesedaran diri roh (geist). Namun, bagi tilikan Danto, seni moden sudah pun mencapai tahap di mana tiada lagi ketentuan sesuatu aliran (isme) yang dominan atau terutama.
Setelah memuncaknya era Pop Art, segala macam ‘isme’ boleh wujud secara beriring, bahkan serentak. Sudah tidak terdengar ‘isme-isme’ yang berkesinambungan, sebagaimana berlanjutnya aliran Renaissance ke Baroque, lalu berterus-terusan hingga mencapai Modernisme! Bukanlah bermaksud seni sudah sampai ajalnya, namun sebaliknya, ia mula mendewasa, lalu menerokai pula zaman pasca-sejarah (post-historical period), di mana semangat pluralisme sedang ‘menggoda’, ‘memesona’, selanjutnya ‘menguasai’! Justeru, jika kita renungi secara insaf dan saksama berdasarkan konteks semasa, maka masuk dek akal apabila seni digital, token tidak sepiawai (NFT), instalasi, dan seni kecerdasan buatan (A.I) mula mekar, wujud tanpa diperlukan legitimasi formalistik tradisional.
Tatanan estetika tunggal mula melebur, diserap edaran masa dan kritik seni mulai dibahaskan secara interpretatif berbanding normatif. Dalam era media sosial dan karya berasaskan kecerdasan buatan, teori Danto menjadi semakin relevan. Apakah beza karya digital dan karya ciptaan manusia?

Arthur C. Danto, After the End of Art (1997).
Danto dan Peralihan daripada Estetika ke ‘Permainan’ Bahasa
Berbeza dengan Kant yang menekankan pengalaman rasa tatkala membahas persoalan estetika, Danto sebaliknya lebih mengintimi tradisi analitik serta falsafah bahasa. Beliau sangat terinspirasi, bahkan dipengaruhi oleh gagasan Ludwig Wittgenstein, khususnya idea bahawa makna bergantung pada penggunaan dalam konteks bahasa.
Sepertimana bahasa, seni juga berfungsi dalam ‘permainan’ makna tertentu. Oleh itu, Danto berpandangan bahawa seni bukan hanya berbicara tentang hal yang ‘indah’ atau ‘tidak indah’, tetapi turut menyoroti segenap inti maksud, apa yang dirujuknya dan apa pula pendirian ontologinya? Sesebuah karya seni adalah pencitraan “tentang sesuatu”, lalunya ia memiliki kandungan makna yang menuntut kecerdasan menafsir. Dalam kata lain, estetika melalui fikrah Danto bukan lagi teori tentang keindahan, namun teori pembentukan dan penciptaan makna.
Danto dan kritik terhadap gagasannya
Biarpun karangan-karangannya berjaya mempengaruh, bahkan mengubah sudut pandang dalam ranah estetika, Danto tentunya tidak terlepas daripada kritik dan komentar yang menggugat, antaranya;
i) Tuduhan elitisme institusi
Jika seni bergantung kepada “artworld” semata-mata, maka siapakah yang bakal menentukan legitimasinya? Adakah ini secara tidak langsung akan membuka ruang elitisme kuratorial?
i) Pengabaian fungsi deria
Beberapa pengkritik berpendapat bahawa Danto terlalu menekankan aspek konseptual, sehingga mengabaikan pengalaman inderawi dan afektif.
iii) Pluralisme tanpa pedoman
Sekiranya Dante mendakwa sejarah seni telah menemui jalan penghabisan, maka apakah implikasinya terhadap nilai dan kritik? Adakah semua bentuk seni mahu dianggap setara? Namun demikian, sumbangan Danto tetap jua bernuansa, kerana beliau membantu kita untuk memahami fenomena seni kontemporari yang tidak lagi terikat pada kriteria serta aturan tradisi yang formalistik, rigid dan ketat.


Nukilan hujung: Estetika sebagai Kesedaran Diri Seni
Pada akhirnya, sumbangan besar Arthur Danto bukan sekadar menambah satu lagi teori dalam sejarah estetika, tetapi mengubah arah pertanyaannya. Jika tradisi estetika klasik sering mempersoalkan apa yang indah, Danto mengajak kita bertanya sesuatu yang lebih mendalam: apakah makna seni di dalam kesedaran sejarah manusia? Dengan itu, seni tidak lagi berdiri sebagai objek yang sekadar memesona pancaindera, tetapi sebagai refleksi estetik, tempat kebudayaan memandang serta mempertanyakan dirinya sendiri.
Di titik ini, dapat jua kita merenungi anjakan yang halus namun mendasar. Sekiranya Immanuel Kant membahaskan proposisi pertimbangan selera dan estetika, maka Danto sedang menyingkap tirai horizon yang berlawanan. Estetika adalah kesedaran kepada sejarah. Seni tidak lagi terikat oleh satu pendekatan absolut, tidak juga erpasung dalam bentuknya yang sangat keras. Ia mulai ‘mengalir’ dalam ruang pemaknaan yang lebih rencam, lebih plural, dinamik, bahkan sentiasa menafsir dirinya kembali.
Lantaran itu, pemikiran Danto mengingatkan kita bahawa seni telah melampaui dirinya sebagai sekadar gaya serta rupa visual. Ia menjadi bahasa refleksi, suatu wacana di mana kebudayaan merakam pergulatannya sendiri dengan makna, sejarah, dan identiti. Barangkali juga, di sinilah letaknya paradoks yang cuba mencarik makna tradisi. Seni mungkin mencapai titik ‘akhir’ sebagai sebuah naratif yang disedari oleh sejarahnya sendiri, namun pada waktu yang serupa, ia sentiasa bermula daripada sesuatu yang lebih lama, bahkan lebih terbuka. Seni, dalam renungan filosofis, merupakan perjalanan roh manusia yang tidak pernah mahu berhenti untuk mencari serta memaknai akan dirinya sendiri!
Rujukan
Danto, A. C. (1964). The artworld. The Journal of Philosophy, 61(19), 571–584.
Danto, A. C. (1981). The transfiguration of the commonplace. Harvard University Press.
Danto, A. C. (1997). After the end of art: Contemporary art and the pale of history. Princeton University Press.
Hegel, G. W. F. (1975). Aesthetics: Lectures on fine art (terjemahan oleh T. M. Knox). Oxford University Press. (karya asal diterbitkan pada 1835).
Kant, I. (2000). Critique of the power of judgment (terjemahan oleh P. Guyer & E. Matthews). Cambridge University Press. (karya asal diterbitkan pada 1790).
