DALAM suasana ekosistem seni tempatan yang sering kali dirasai terpisah antara sekolah, komuniti, kementerian dan para seniman, Kakiseni tampil dengan langkah paling berani dalam dua dekad kewujudannya: memperkenalkan Hari Seni Untuk Semua, satu inisiatif yang didefinisikan presidennya, Low Ngai Yuen, bukan sebagai program, tetapi sebagai gerakan nasional. Bagi Yuen, pada satu titik negara perlu berhenti sekadar bercakap tentang pentingnya seni dan mula meletakkan seni kembali ke tangan rakyat, khususnya generasi muda yang kian hidup dalam dunia serba digital dan terasing daripada pengalaman seni yang sebenar.
Dalam temubual eksklusif bersama Senimalaya, Yuen menjelaskan bahawa gerakan ini lahir daripada keperluan mendesak untuk menjadikan seni sebahagian daripada pembinaan insan, bukan aktiviti sampingan di pinggir sistem pendidikan. Menurutnya, seni ialah bahasa bersama — bahasa yang menghubungkan pelajar, guru, ibu bapa, seniman, industri dan pihak korporat dalam rangka kerja yang sama. Dengan sokongan Yayasan Sime Darby dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Hari Seni Untuk Semua disusun sebagai ekosistem yang hidup, rendah halangan dan benar-benar inklusif, agar setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, dapat mengalami seni secara langsung.
Lebih daripada sekadar satu acara, Hari Seni Untuk Semua digagaskan sebagai titik perubahan budaya. Yuen melihat seni sebagai alat pembina empati, daya cipta dan kemanusiaan — kualiti yang semakin hilang dalam dunia yang dibentuk oleh automasi, tekanan akademik dan pengetahuan segera. Melalui gerakan ini, beliau membayangkan masa depan di mana sekolah harian, sekolah luar bandar dan komuniti paling kecil sekali pun meraikan seni setara dengan sambutan Hari Sukan: secara serentak, terbuka, menyeluruh dan yang paling penting — untuk semua.
Ikuti temubual bersama Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen tentang Hari Seni Untuk Semua yang akan diadakan pada 29 dan 30 November ini di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
Senimalaya: Apa yang mendorong Kakiseni untuk memperkenalkan sambutan Hari Seni Untuk Semua buat pertama kali tahun ini?
Low Ngai Yuen: Kerana pada satu titik, kita perlu berhenti hanya bercakap tentang pentingnya seni — dan mula meletakkan seni betul-betul ke tangan rakyat. Kakiseni sudah lebih dua dekad memperjuangkan seni, tetapi Hari Seni Untuk Semua ialah detik di mana kita kata: “Ini bukan lagi acara — ini satu gerakan.” Dan jujurnya, saya sangat percaya: kalau kita tak mulakan sekarang, generasi seterusnya akan belajar seni daripada skrol Tik Tok, bukan daripada pengalaman sebenar yang menghidupkan empati dan kreativiti.
Senimalaya: Dalam kenyataan media disebut bahawa sambutan ini adalah “pergerakan nasional”. Boleh saudari jelaskan apa yang dimaksudkan dengan pergerakan nasional dalam konteks seni dan pendidikan ini?
Low Ngai Yuen: Pergerakan nasional bermaksud seni bukan lagi “program sampingan kementerian”, tetapi arus perdana dalam pembentukan masyarakat. Ini bukan kempen poster. Ini transformasi — meletakkan seni sebagai bahasa bersama antara guru, pelajar, ibu bapa, seniman, industri, korporat… seluruh ekosistem kita. Kalau negara lain ada gerakan STEM atau literasi, Malaysia perlukan gerakan seni yang membina manusia.

Senimalaya: Apakah visi jangka panjang yang ingin dicapai melalui Hari Seni Untuk Semua dan bagaimana ia berbeza daripada program seni sedia ada di Malaysia?
Low Ngai Yuen: Visi jangka panjangnya ialah menjadikan seni komponen wajib pembinaan insan, bukan aktiviti ko-kurikulum cantik di atas kertas. Berbeza dengan program sedia ada, Hari Seni Untuk Semua melihat seni bukan sebagai produk tetapi alat sosial — alat untuk membina kemahiran abad ke-21: imaginasi, empati, daya cipta dan kemampuan memimpin.
Senimalaya: Program ini memberi tumpuan kepada pelajar dan guru. Mengapa penting untuk seni diletakkan kembali di tengah sistem pendidikan kita?
Low Ngai Yuen: Kerana pelajar sekarang sangat pintar… tapi semakin penat. Seni memberi ruang untuk bernafas, untuk menyoal, untuk rasa. Dalam dunia AI, automasi dan tekanan akademik — seni adalah medium manusia kekal manusia. Kalau pendidikan kita mahu melahirkan pelajar yang berfikir, bukan menghafal, jawabannya ialah seni.
Senimalaya: Bagaimana Kakiseni melihat seni sebagai alat untuk membentuk empati, kemanusiaan dan pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar?
Low Ngai Yuen: Seni memaksa kita melihat dunia melalui mata orang lain. Bila seorang pelajar melukis, menari atau berlakon, mereka belajar bahasa emosi — sesuatu yang tak ada dalam silibus peperiksaan. Bila pelajar bertanya “kenapa?” dalam seni, mereka juga belajar bertanya “bagaimana?” dalam hidup. Empati bukan diajar — ia dialami. Seni ialah pengalaman itu.
Senimalaya: Adakah Kakiseni merancang agar inisiatif ini menjadi acara tahunan di semua sekolah seni atau diperluas ke sekolah harian biasa?
Low Ngai Yuen: Niat kami sangat jelas: ini mesti keluar dari pagar sekolah seni. Kalau nama programnya “Untuk Semua”, maka kita mesti sampai ke sekolah harian, sekolah luar bandar, sekolah yang tak ada auditorium pun. Satu hari nanti, saya mahu melihat Hari Seni Untuk Semua diraikan serentak seperti Hari Sukan — cuma kali ini, untuk jiwa.
Senimalaya: Program ini disokong oleh Yayasan Sime Darby dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Bagaimana kerjasama antara sektor korporat, kerajaan dan organisasi seni seperti Kakiseni dapat memperkukuh ekosistem seni negara?

Low Ngai Yuen: Kita semua ada puzzle pieces masing-masing. Kementerian ada kapasiti struktural. Korporat ada kemampuan dan rangkaian. Komuniti seni ada jiwa, ilmu dan pengalaman. Bila ketiga-tiganya bersatu, barulah wujud ekosistem yang hidup — bukan bergantung pada dana semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama.
Senimalaya: Apakah bentuk sokongan atau penglibatan yang diharapkan daripada pihak lain seperti guru, ibu bapa dan komuniti seni tempatan?
Low Ngai Yuen: Daripada guru — keberanian mencuba. Daripada ibu bapa — kepercayaan bahawa seni bukan “buang masa”. Daripada komuniti seni — kesediaan turun padang, berkongsi ilmu, bukan hanya menonton dari jauh. Kalau semua ini bersatu, kita boleh mengubah budaya negara dalam satu generasi.
Senimalaya: Apakah jenis aktiviti atau pengalaman yang boleh dijangka oleh peserta sepanjang sambutan Hari Seni Untuk Semua nanti?
Low Ngai Yuen: Kami mahu pelajar merasa seni, bukan sekadar melihat. Aktiviti akan merangkumi bengkel kreatif, persembahan mini, pameran ekspresif, pengalaman interaktif, dan ruang untuk pelajar bereksperimen. Bukan “kelas seni” biasa — tetapi hari yang benar-benar membuka pintu imaginasi.
Senimalaya: Bagaimana Kakiseni memastikan bahawa program ini benar-benar “untuk semua”, termasuk mereka yang mungkin tidak mempunyai latar belakang seni?
Low Ngai Yuen: Kami merancang pengalaman yang rendah halangan, mudah disertai, dan tidak memerlukan bakat sedia ada. Seni untuk Semua tidak menilai siapa paling pandai — ia meraikan siapa paling berani mencuba. Fokusnya ialah penyertaan, bukan prestasi.

Senimalaya: Tema “Seni untuk Semua, Semua untuk Seni” membawa makna yang luas. Apakah erti sebenar frasa ini bagi Kakiseni sebagai sebuah organisasi?
Low Ngai Yuen: Bagi Kakiseni, ia adalah ikrar. Seni bukan untuk elit, bukan hanya untuk yang belajar muzik atau tari. Seni untuk Semua bermaksud setiap rakyat Malaysia layak merasai keindahan ekspresi. Semua untuk Seni bermaksud kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga, memupuk dan memajukan seni.
Senimalaya: Dalam jangka panjang, bagaimana saudari melihat seni dapat memainkan peranan membentuk masyarakat Malaysia yang lebih inklusif dan berperikemanusiaan?
Low Ngai Yuen: Seni lembut, tapi kuasanya besar. Sebab itu, seringkali dikenali sebagai Soft Power. Ia menyembuhkan luka, menyatukan perbezaan, memberi wajah kepada suara yang jarang didengari. Jika Malaysia mahu menjadi negara yang benar-benar maju dan berjiwa besar, seni adalah wacananya — ia mendidik kita melihat manusia sebelum melihat perbezaan.
