SENI visual ada kaitan dengan perjuangan dunia ketiga – negara-negara bekas jajahan kuasa besar dunia. Itu antara hal yang saya belajar ketika menemu bual Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad.
Kata Amerrudin, British ketika menjajah Tanah Melayu tak mahu rakyat negara ini memahami seni visual. Kerana seni visual ada kuasa untuk menggerakkan penentangan.
“Kolonial mahu sentiasa pastikan masyarakat kita tak faham seni visual. Sebab dengan visual ini, mereka yang buta huruf pun boleh faham, hanya perlu melihat saja. Jadi mereka (kolonial) mahu pastikan kita tak faham.
“Berbeza dengan negara yang menentang imperialis, mereka menggunakan visual yang kuat (untuk memarakkan penentangan) sebab dia tahu negara mereka terpisah-pisah, bahasa dan budaya berbeza,” cerita Amerrudin.
Beliau mengambil contoh Indonesia dengan poster-poster buluh runcing yang menyampaikan mesej penentangan terhadap penjajah Belanda. Ia boleh difahami di seluruh kepulauan, tanpa perlu kenal apa-apa huruf yang dibawa peradaban Barat ke sini.
Sebab itu pergerakan seni di Indonesia juga kuat pada era penjajahan, dengan penubuhan Persatuan Ahli-Ahli Gambar Indonesia (PERSAGI) oleh S. Sudjojono dan Agus Djaja pada 1938 dan perkembangan seni visual realisme sosial.

“Di tempat kita, British bijak. Dia tahu, jadi dia kekang awal-awal,” katanya.
Amerrudin mengulas hal itu ketika menerangkan peranan Balai Seni Negara yang tidak sepatutnya disamakan dengan galeri swasta atau institusi pembangunan seni di negara lain.
Jambatan kepada masyarakat
Balai Seni Negara berfungsi dalam sektor GLAM (Gallery, Library, Art and Museum). Sebagaimana perpustakaan yang berfungsi memelihara pengetahuan dalam bentuk manuskrip dan muzium dalam bentuk artifak, Balai Seni Negara berperanan memelihara ilmu serta pengetahuan dalam bentuk seni visual.
Sehubungan itu, pemilihan karya dalam koleksinya serta aktiviti-aktiviti yang dijalankannya perlu menjadi jambatan untuk seni visual sampai kepada masyarakat.
“Kami Balai Seni Negara, ada ‘negara’ di belakang. Fungsi kita (untuk) negara.
“Jadi, apa saja bentuk, apa saja maklumat yang ada, ia perlu sampai kepada bukan saja peminat seni, bukan saja kolektor, bukan saja pelukis, bukan saja pelajar seni, tetapi makcik-makcik, pakcik-pakcik kita juga perlu tahu,” kata Amerrudin.
Beliau mengambil contoh lukisan Ikan Kering (1940) oleh Georgette Chen yang mengandungi maklumat tentang situasi dan persekitaran zamannya, yang kini ada dalam koleksi Balai Seni Negara.
Saiz lukisan yang kecil dikaitkan dengan situasi Chen yang terpaksa berpindah-randah ketika zaman perang. Lukisan yang besar sukar nak dibawa ke mana-mana. Subjek ikan kering pula berkaitan kepentingan makanan tertapai yang lebih tahan lama pada zaman tersebut.
Maklumat-maklumat tersebut terkandung dalam sebuah lukisan kecil. Ia perlu diterangkan supaya masyarakat biasa boleh merasakan hubungan dengan seni tersebut; bukan sekadar tentang teknik, bahan, gaya dan harga bidaan.
Junjung naik kearifan tempatan
Peranan sebagai jambatan antara seni dengan masyarakat meresap dalam operasi Balai Seni Negara. Ia dapat dilihat dalam susunan aktivitinya yang tidak hanya tertumpu kepada pameran dan acara dalam galeri.
Pendekatan Balai Seni Negara lebih cenderung kepada mengangkat kearifan tempatan dalam seni sebagai cara untuk mencabar kefahaman seni dalam kalangan masyarakat.

Menurut Amerrudin, hasrat Balai Seni Negara adalah supaya aktiviti dan penghasilan seni tidak hanya berpusat di bandar-bandar tertentu seperti Kuala Lumpur. Disebabkan itu, inisiatif Jejak Seni Malaysia digerakkan agar produk-produk seni di seluruh negara dapat diakses dengan lebih mudah.
Melalui inisiatif tersebut, ekosistem seni di seluruh negeri di Malaysia dapat dipetakan dan lebih banyak karya awam, lorong seni, persatuan, komuniti serta kolektif seni dapat dikenal pasti.
“Apabila kita ke luar (Kuala Lumpur), ada banyak lagi karya seni yang dihasilkan masyarakat tempatan.
“Kita ada kearifan sendiri dan ia perlu diserlahkan. Zaman sekarang, orang yang datang ke sini mahu melihat apa yang tak ada di tempat dia. Dia mahu lihat apa yang kita ada di sini,” katanya.
Sehubungan itu, Balai Seni Negara menggalakkan seniman untuk terlibat dalam masyarakat dan memasukkan nilai-nilai tempatan dalam karya mereka.
Sebagai contoh, kata Amerrudin, masyarakat tempatan dahulu mengamalkan cara hidup komunal yang berasaskan komuniti serta amalan gotong-royong. Nilai tersebut, jika dimasukkan dalam karya, boleh menghidupkan semula kearifan tempatan yang unik dan tidak ditemui di kawasan lain.
“Sebab itu, apabila kita buat Bakat Muda Sezaman, kita tak lagi buat pameran dalam galeri, kita buat dengan komuniti.
“(Supaya) seniman tahu masalah masyarakat dia, terlibat dengan masyarakat dia. Bukan lagi bercerita tentang kesusahan tapi dia duduk dalam studio,” katanya.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
