“Artis mende macam ni,” getus hati kami ketika pertama kali diperkenalkan kepada Ismadi Sallehudin. Waktu itu, beliau memegang jawatan Pengarah Balai Seni Negeri Pahang.
Sebagai seseorang yang terkenal dengan membuat fitnah dan sangka buruk, kami memandang rendah akan kesenian yang dimiliki oleh tuan pengarah tersebut.
Dia yang agak gempal dan juga agak gelap itu tidak membawa aura seorang seniman. Ditambah pula dengan loghat Ulu Dong yang pekat, dia langsung tidak membawa bersama imej seorang seniman yang urban. Tak hipster langsung pada pendapat kami. Dan lagi, gaya dia berpakaian waktu itu tidak ada bezanya dengan mamak roti canai Taj Café yang terkenal di Kuantan.
Mana dengan perutnya berlumba mahu keluar dari baju dan jeansnya yang mungkin dibeli di bundle Centre Point yang terkenal itu. Matanya juga kelihatan agak lebam. Kami yang bukan kaki bertumbuk ini melihat matanya dengan amat geram dan terasa sangat ingin untuk menumbuk matanya bagi menambah lebamnya itu. Dia kelihatan lebih parpu daripada kari.

Sebelum itu, sebagai makluman, Pahang adalah pemegang rekod sebagai satu-satunya negeri di dunia yang telah merobohkan balai seninya untuk dijadikan tempat letak kereta. Sehingga hari ini, Pahang tidak memiliki balai seni. Ini adalah bukti betapa Pahang adalah sebuah negeri yang sedey.
Cara menyebut perkataan tersebut ialah ‘say day’. Tanya kawan-kawan kamu yang berasal dari Pahang akan maksudnya. Jika dia pun tak tahu, maka katakan kepadanya, “wan aok itang.”
Pahang ada sebuah galeri seni yang gah, namun kami tidak boleh bercerita mengenainya kerana takut kena sumpah. Sumpah di sini maksudnya dimaki.
Kawasan menjual pakaian terpakai yang kami sebutkan di atas tadi kini dikenali sebagai Ubi Street. Ini juga bukti sekali lagi yang Pahang adalah sebuah negeri yang ‘waber’, yakni dalam sibuk memperjuangkan tulisan jawi dan dalam masa yang sama sibuk buat papan tanda dalam Bahasa Inggeris.
Bahkan ada beberapa papan tanda yang ditulis sebagai alternative road to Kuantan city’ di sekitar bandar tersebut sedangkan mat saleh yang terakhir dilihat di bandar tersebut ialah pada tahun 1957.
Ismadi kemudiannya memperkenalkan kami kepada Abdullah Hamdan dan juga Tuan Wil. Mereka bertiga bertanggungjawab ke atas balai seni tersebut. Kami kenal Tuan Wil sejak dia menjual ikan di pasar besar Kuantan lama dulu, namun ini adalah pertama kali kami kenal Abdullah Hamdan. Dia juga agak gelap orangnya, bahkan kesemua mereka yang bertugas di balai berkenaan sebenarnya berkulit gelap. Segelap masa depan balai seni negeri Pahang, gamaknya.
Cuma waktu itu, mereka belum nampak masa depan, maka mereka kelihatan agak bersemangat dalam menjalankan tugas.
Abdullah Hamdan kemudiannya bersama kami di Rajawali Art Group Internationale, manakala Tuan Wil kini giat berkarya di studionya yang terletak di Serambi Teruntum, sebuah mall ala Pekan Rabu di Alor Setar sana.
Tuan Wil juga rajin mengikut program yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia, manakala Abdullah Hamdan pula entah apa yang dirajinkannya sekarang ini. Katanya dia menjual popia basah di Gombak, namun kami tidak pernah lagi bertemu dengannya setelah dia mungkir janji untuk sama-sama menonton wayang satu masa dulu.
Tiket sudah kami beli dan dia tidak muncul sehingga habis filem ditayang. Selain tiket, kami juga menyediakan bertih jagung dalam saiz besar dan juga minuman berkarbonat saiz jumbo untuknya. Namun, dia tergamak menghampakan kami. Baser.
Ismadi kemudiannya menjadi lebih besar dalam erti kata yang berlapis. Setelah meninggalkan balai seni Pahang, dia kemudiannya pergi ke ASWARA sebagai tenaga pengajar dan juga beberapa tempat lain.
Namun, kerana kecenderungannya untuk berbakti kepada masyarakat, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya di Ulu Dong, Raub.

Di sana, dia telah membuka sebuah studio yang dinamakan sebagai Art Garden Madi. Kami amat suka dengan apa yang dilakukan oleh Ismadi di studionya itu. Hampir semua acara yang diadakan di studio tersebut melibatkan masyarakat sekeliling. Yang terbesar, tentu saja ‘Kenduri Seni’ yang diadakan beberapa tahun yang lalu. Program ini turut melibatkan Balai Seni Negara dan juga badan-badan pelancongan setempat.
Ada sebuah pameran yang jika kami tidak silap digelar sebagai ‘Aok Ada?’, dimana artis yang dibawa untuk mempamerkan karya adalah penduduk kampung berkenaan. Penduduk yang mengambil bahagian datang dengan bahan-bahan yang di luar daripada pemikiran kita mengenai hasil seni. Pameran ini juga telah menepis kata-kata yang orang awam tidak faham seni.
Ini juga membuktikan bahawa orang awam juga ada seninya sendiri dan tinggal kita untuk meraikannya atau tidak.
Art Garden Madi juga adalah sebuah projek residensi jangka panjang. Sejak ditubuhkan, residensi tersebut telah menerima berpuluh-puluh seniman yang datang dari seluruh dunia. Selain berkarya, seniman-seniman yang datang ini juga menjalankan projek bersama penduduk tempatan.
Mereka sering dilihat melakukan gotong-royong membersih kawasan kampung dan mereka sangat peka pada budaya setempat.

Penghargaan harus diberikan kepada Ismadi yang berjaya menyatukan dua budaya yang asing di tempat yang terpencil itu. Dia berjaya memanggil mereka yang entah tidak pernah tahu akan kewujudan Raub, datang dan jatuh cinta kepadanya. Sementelah pula, Ismadi ini katanya suka sangat dengan apa-apa sahaja yang terkait mat saleh jika dilihat dari gaya hidup dan juga kenderaan yang dimilikinya, maka padanlah dengan perjuangannya itu.
Yelahhh, orang Ulu Dong, kalau dapat berkawan dengan orang putih hebat laaa…
Art Garden Madi adalah sebuah studio yang mesti dilawati dan dialami oleh semua orang yang mahu bertanggungjawab terhadap kegiatan seni di negara kita.
Setelah pertemuan pertama yang penuh dengan syak wasangka itu, kami kemudiannya diperkenalkan kepada hasil karya Ismadi. Dan kami terpaksa menelan kahak sendiri di atas kebobrokan kami yang memandang rendah artis hebat ini.
Jika kamu mencari karya yang Malaysiana, maka kami katakan yang karya-karya Ismadi sangat mewakili bahagian berkenaan. Kami gemar hampir kesemua karya-karya yang dihasilkan.
Ismadi pernah mengecap zaman emas dalam dunia catan Malaya, namun dek kerana tersilap percaturan, namanya kini sedikit tercalar.
Namun, jika kamu adalah seorang peminat catan yang tulen, yang tidak terlalu memikirkan keuntungan bila memiliki karya, maka karya-karya yang dihasilkan oleh Ismadi seharusnya menjadi rebutan.
Kami berani mengatakan yang karya-karya Ismadi adalah karya-karya jiwa Malaya yang kita cari selama ini.
Jika Ismadi membaca catatan ini, maka kami katakan, “Takan kas tulih ssajer, maca biase weh, musang king dua rager.”
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis berasal dari Pahang tetapi berbangga dengan Pekan Nilai.

Semoga Allah permudahkan segala urusan pak long ismadi dunia dan akhirat inshallah Aamiin Ya Rabball Alamin 🤲🤲🤲