“Manusia sering terperangkap di dalam jerat dan jaring-jaring makna” – Maurice Marleau-Ponty
Di dalam pengistilahan ilmu-ilmu sosial dan kemanusiaan, manusia sering dirujuki dengan istilah ‘haiwan sosial’ (social animal). Hal ini disebabkan kita, merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang mampu berbicara dan menterjemahkan segala simbol-simbol. Lantas daripada segenap pencerapan simbolis ini, manusia lalunya dapat mengatasi hidupan-hidupan lain di dunia, bahkan berupaya pula untuk menguasainya.
Bahasa atau pun teks sebagai medium ‘makna’, tidak selamanya mampu memberikan pengertian yang sama di antara beragam latar belakang. Sekalipun teks atau pun bahasa itu menunjukkan makna yang terang, perbezaan mungkin sahaja muncul, akibat cara kita merespon, bertindak balas, berinteraksi dan menghayati informasi yang bersangkutan.
Isu bahasa ini turut menjadi bahan perbincangan ahli falsafah ‘logical positivism’, Ludwig Wittgenstein melalui karyanya ‘Philosophical Investigation’ (1958), yang menyatakan pandangan:
“Aku mendapati kata-kata, seolah-olah memberikan kita suatu gambaran tertentu, tentang intisari bahasa manusia, yakni perkataan individu dalam ‘bahasa’, untuk menamakan objek-objek dan ayat. Di dalam gambaran Bahasa, kita menemui asal-usul idea berikut, iaitu setiap perkataan yang dipertuturkan mempunyai ‘makna’. Makna itu pula, berkolerasi dengan perkataan. Lantaran demikian, ‘makna’ merupakan objek yang mewakili perkataan, teks, simbol, tingkah laku, seni, budaya dan sebagainya”.
Mendefinisikan eksegesis
Daripada perspektif ‘heuristik’ (sebuah seni atau suatu ilmu pengetahuan yang berhubungan dengan sesuatu penemuan baru atau ikhtiar yang dapat merungkaikan segala permasalahan), kata interpretasi, hermeneutik dan eksegesis merupakan tiga istilah yang merujuk kepada kajian dan perkembangan pelbagai kaedah atau prinsip-prinsip, yang dapat membantu seseorang untuk menemukan erti serta pemaknaan daripada sesuatu teks.
Eksegesis, berakar daripada bahasa Yunani, “ἐξηγεῖσθαι” (eksigisthe) yang bererti ‘membawa ke luar atau mengeluarkan’. Dalam maksud yang lebih mendasar, dapatlah kita mengatakannya sebagai suatu usaha, praktis, prosedur malahan kaedah untuk kita menafsirkan sesuatu.
Kata benda eksegesis berasal daripada kata kerja ‘exegeomai’ yang bermaksud ‘memimpin’, ‘menuntun’, ‘mengeluarkan.’ Secara literal, eksegesis boleh kita definisikan sebagai ikhtiar ‘membawa keluar’ atau ‘mengeluarkan’. Daripada sudut pandang sejarah, tradisi eksegesis dimulai pada pentafsiran kitab-kitab suci agama-agama wahyu, terutamanya di dalam kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru (The Old and New Testaments).
Apakah yang diertikan dengan hermeneutik?
Manusia adalah makhluk hermeneutis, kerana keupayaan kita untuk ‘memahamkan’ teks, yang mencangkupi lapangan teologi, falsafah, kebudayaan, sejarah, kesusasteraan, ekonomi, seni, malahan perkara-perkara yang berkisarkan mitos atau cerita dongeng.
Memahami, amatlah berbeza dengan mengetahui. Juga terdapat sedikit pergeseran erti dengan tafsiran dan interpretasi. Kita mampu serta berupaya mengetahui akan sesuatu perkara, namun untuk ‘memahami’ sesuatu, justeru menuntut pendekatan serta kaedah-kaedah hermeneutik yang rencam.
Hermeneutik, secara dasar, diambil dari kata Yunani ‘hermenuein’, yang bererti menerjemahkan atau bertindak sebagai penafsir. Membawa sesuatu perkara dari dalam ‘kegelapan’ menuju cahaya ‘pencerahan’. Asal muasalnya, kata ini dinisbahkan kepada intisari daripada mitologi kuno Greek. Ia berkenaan Dewa Hermes, yang ditugaskan menyampaikan pesan-pesan Dewata kepada umat manusia. Namun, sebelum berita tersebut sampai ke pengetahuan manusia, sang dewa (Hermes) perlulah ‘memahamkan’ dahulu inti-inti pesanan yang tersurat mahu pun yang tersirat, agar makna dapat ditangkap dengan jelas dan wajar.
Daripada kegiatan Hermes itu, sudah terlihat akan kerumitan aktiviti memahami. Pertama, pihak yang menyampaikan pesan harus memahami maksud pesan itu. Kedua, agar maksud pesan dapat disampaikan, pengirim pesan pesan juga, harus membuat artikulasi yang sesuai dengan maksud yang ingin disampaikan. Kesenjangan di antara pemberi pesan, penyampai pesan dan penerima pesan, kemudiannya dirapatkan oleh satu kaedah, yang dikenal dengan nama ‘Hermeneutik’.
Tokoh Hermeneutik dan Gagasan-gagasannya
I) Friedrich Daniel Ernst Scheleiermacher (1768-1834) – Hermeneutika Romantik
Hermeneutika romantik ‘tekstual sejagat’, membuka panggung ‘seni menafsir’ melalui gagasan Friedrich Schleiermacher, pemikir era romantisme abad ke-18, yang cuba mengembalikan ‘citra manusiawi’ sebagai sebuah reaksi kepada kegempitaan zaman Àüfklarung (Zaman Pencerahan), yang kian meluas di Eropah.
Schleiermacher gemilang dengan mengemudi interpretasi gramatis dan interpretasi psikologi, pada teks-teks kuno, kitab suci serta karya-karya sasterawi.
Tugas interpretasi adalah mengatasi kesenjangan (jurang) waktu, di antara pembaca dan teks yang dibacanya. Ia disebutkan dengan kaedah empati psikologi atau inspirasi Ilahi, yakni dengan membayangkan diri seolah-olah penulis teks itu, sebagai satu kaedah untuk memahami maksud asli, sesebuah teks yang tertulis.
Hermeneutik Schleiermacher dapat membantu pembaca untuk melampaui makna literal teks, dengan memahami konteks produksi sesuatu teks. Lalunya, Scheleiermacher mengambil inspirasi pentafsiran kitab-kitab suci agama wahyu, untuk ‘disuntik’ semangat pentafsiran dan pemahaman dalam usaha untuk memberi makna kepada karya-karya sastera yang gemilang.
II) Wilhelm Christian Ludwig Dilthey (1833-1911) – Hermeneutika Kaedah
Berbeza dengan Scheleiermacher, Wilhelm Dilthey mendasarkan ilmu-ilmu sosial-kemanusiaan (Geisteswissenschaften) kepada sebuah kaedah khusus daripada ilmu-ilmu alam yang dikenal dengan konsep ‘memahami’ (Verstehen), yang dilihat melampaui takrif ‘menjelaskan’ (Erklären).
Dilthey membidik hermeneutiknya dengan membuka perspektif antropologi dan ontologi, tentang pensejarahan umat manusia. Dilthey juga dikenal antara filsuf yang mengumandangkan ‘Leben-philosophie’ (falsafah berkenaan pandangan hidup).
Manusia adalah makhluk sejarah, makanya ia tidak memiliki ‘hakikat’ atau ‘kudrat’ yang tetap. Ia berubah, seiring dengan peredaran masa. Begitu jugalah halnya dengan makna, ia bukanlah suatu ‘zat’ yang kekal melainkan terus berjalan secara historis, yang pastinya akan turut berubah seiring berjalannya zaman.
III) Martin Heidegger (1889-1976) – Hermeneutika Fakta
Tidak seperti dua tokoh pendiri hermeneutik sebelumnya, Heidegger tegak dengan hermeneutik berfakta (berasaskan kenyataan-ontologi) sebagai teras falsafahnya. Sebagai seorang filsuf sekaligus ahli fenomenologi, Heidegger menggunakan kaedah hermeneutik dalam memahami dunia, pada tataran ‘dasein’ (being there, yakni yang ‘ada’ di situ).
Untuk memahami, seseorang akan berada dalam kondisi pra-struktur memahami, kemudiannya berada dalam keadaan pra-kognitif, selanjutnya berada di ranah kognitif sebelum satu-satu fenomena benar-benar difahamkan.
Makna teks tidak dapat dipersembahkan semula, seperti mana yang dianjurkan oleh hermeneutika romantik gagasan Friedrich Schleiermacher, kerana sifat ‘memahami’ itu sendiri berciri projektif.
Makna menyingkapkan diri kepada pembaca, kerana hal memahami bukanlah proses kognitif semata-mata, namun terkait juga dengan kondisi kewujudan (eksistensi). Ertinya, kebenaran bukanlah suatu saling hubungan di antara makna teks dan kenyataan, juga bukanlah suatu perkaitan (coherent) di dalam teks itu sendiri, melainkan sebuah peristiwa penyingkapan makna yang berlangsung dalam perjumpaan eksistensi pembaca dan teksnya.
Hans Georg Gadamer (1900-2002) – Hermeneutika Horizon
Sebagai mahasiswa kepada Heidegger, Gadamer dipesonai oleh pemikiran gurunya, untuk membangunkan falsafah hermeneutik yang tersendiri. Bermula dengan menyetujui fikiran-fikiran Heidegger, namun akhirnya Gadamer sampai kepada satu pendirian bahawa hermeneutik bukanlah sekadar kaedah semata-mata, tetapi sebuah pengalaman perjumpaan dengan ‘yang lain’.
Gadamer menggagaskan hermeneutiknya dengan istilah ‘horizon’, iaitu satu takrif yang telah diperkenalkan oleh Friedrich Nietzsche dan dikembangkan pula oleh Edmund Husserl, daripada sudut pandang fenomenologi. Ini membawa maksud, pemahaman kita antara satu sama lain, akan membentuk sebuah ‘horizon’ yang melampaui subjektiviti kita, dan ‘horizon’ itu, merupakan sebuah ruang yang memiliki batas-batas, sama ada memungkinkan atau pun yang menghalangi (bahkan mungkin juga berlaku serentak di antara kedua-duanya), dalam usaha kita untuk memahami sesuatu perkara.
Hermeneutik dalam perkembangan budaya dan sastera Nusantara
Hermeneutik telah membuka ruang untuk pemahaman yang lebih dalam tentang makna simbolik, budaya, dan sejarah yang terkait dengan teks-teks sastera di Nusantara. Ia menjadi medium yang signifikan dalam menafsir dan menganalisis karya-karya sastera, disamping membantu memahami pesan serta makna yang terkandung di dalamnya. Misalnya, sewaktu memberi pentafsiran terhadap teks sejarah ‘Hikayat Hang Tuah’ dan karya sastera ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’, surat-surat karangan R.A. Kartini di Indonesia, beberapa hal perlu dipertimbangkan.
Persoalan bahasa, latar sejarah, konteks, peristilahan dan peribadi sosok yang dibicarakan menjadi pendekatan utama, bagi menjembatani segala kesejangan dalam upaya menyampaikan makna secara hermeneutik.
Justeru dalam menafsirkan karya-karya ini, berikut adalah beberapa maklumat tambahan:
1. Kerumitan dalam Tafsiran: Hermeneutik menekankan kerumitan dalam tafsiran. Karya-karya sastera seringkali kaya dengan lapisan makna, simbolisme, dan silang budaya yang memerlukan pendekatan pentafsiran bagi mengungkapkan makna yang lebih mendalam.
2. Konteks Budaya dan Sejarah: Dalam hermeneutik, penting untuk memahami konteks budaya dan sejarah di mana karya sastera itu ditulis. Ini termasuk pemahaman terhadap nilai-nilai, norma, dan peristiwa sejarah yang mungkin mempengaruhi penulis dan karya tersebut.
3. Peranan Pembaca: Hermeneutik juga menekankan peranan pembaca dalam tafsiran. Setiap pembaca dapat membawa pengalaman, pandangan, dan pengetahuan mereka sendiri ke dalam proses pembacaan, yang dapat mempengaruhi pemahaman mereka terhadap teks.
4. Teknik Analisis Teks: Analisis teks dalam hermeneutik melibatkan penelitian bahasa, struktur naratif, gaya penulisan, dan elemen-elemen sastera lainnya dalam karya sastera Melayu. Ini membantu mengungkapkan makna-makna yang tersirat dalam teks.
5. Kritik Sastera: Dalam kajian kesusasteraan, hermeneutik sering digunakan dalam kerangka kritik sastera, di mana teks-teks sastera dinilai dengan mendalam untuk memahami makna-maknanya.
Kesimpulan
Jika hermeneutik difahamkan sebagai ilmu, interpretasi sebagai proses dan produk, maka eksegesis pula difahami sebagai hal yang praktis, prosedur dan kaedah yang digunakan oleh sesorang untuk memahami dan menentukan makna sebuah teks.
Eksegesis adalah momen penjelasan (explanations) daripada proses interpretasi (pentafsiran). Memahami teks bererti mengaitkannya dengan makna hidup, dan kita mendasarkan teks dengan makna-makna kehidupan, iaitulah melalui refleksi.
Jadinya, tidak ada interpretasi tanpa refleksi. Seni memahami (hermeneutik) tidak dapat tidak, semestinya berurusan dengan literalisme, malah sejak berawal lagi.
Namun bagaimanakah hermeneutik sebagai satu sistem dan landasan, justeru berupaya menantang literalisme secara harfiah, yang kadangkala mengeram serta menelurkan sengketa, ataupun membangkitkan radikalisme fundamentalis.
Pemahaman makna secara literal, khususnya pada pembacaan teks-teks autoritatif, kitab suci umpamanya, yang makna ke atas teks dikawal secara total oleh sesuatu autoriti bagi membenarkan makna teks, dikhuatiri bakal melahirkan para radikalis, fundamentalis, kaum fanatik dan ekstremis, jika tidak ditangani dengan sewajarnya.
Dengan kata lain, tradisi keagamaan yang bermatlamatkan membawa kebenaran pun, dapat mengandung kekuatan-kekuatan autoritatif dan represif, yang boleh menyelewengkan kebenaran.
Kandungan normatif kitab suci, sekiranya ia difahami secara bertanggungjawab, jujur dan telus dengan landasan hermeneutik, nescaya dapat menjadi sumber kritik ideologi yang kritikal serta tajam.
Rujukan
Francis Budi Hardiman (2015). Seni Memahami Hermeneutik Dari Schleiermacher Sampai Derrida. Yogyakarta: P.T Kanisius.
Hashim Ismail (2010). Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ludwig Wittgenstein (19920. Penyiasatan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Martin Heidegger (1963). Being and Time (terjemahan oleh John Macquarrie dan Edward Robinson). New York: Harper-Collins Publishers.
Maurice Merleau-Ponty (2002). Phenomenology of Perception. London: Routledge.
Saiful Akram Che Cob (2022). Gapura Wacana: Mengenal Filsuf & Karya-Karyanya. Petaling Jaya: The Biblio Press.

