Walaupun TikTok sudah ada di peringkat global pada tahun 2018, tetapi saya hanya aktif menontonnya pada 26 Februari 2026 sebaik saja meletus Perang Amerika-Israel ke atas Iran.
Tujuan saya menggunakan TikTok adalah untuk mengikuti perkembangan perang.
Sebelum itu saya mengelak diri daripada menggunakan platform itu walaupun aktivis-aktivis politik banyak menggunakan.
Maka kerancakan saya menggunakan menonton hinggakan boleh dikatakan sebagai ketagih.
Apa yang saya dapati daripada ketagihan TikTok itu ialah saya kurang membaca.
Sedangkan membaca merupakan suatu amalan seni dan sekaligus merangkap kemahiran Iaitu seperti mendengar muzik dan memerhati lukisan.
Terdapat seninya yang juga memerlukan kemahiran untuk melakukan apresiasi terhadap karya prosa.
Saya menganggap perkara ini amat serius sehingga saya mengambil keputusan untuk menghentikan kegemaran saya menonton TikTok.
Lalu, saya membuang aplikasi TikTok daripada telefon saya.
Perkara itu saya lakukan pada 1 Ogos 2026. Semua aplikasi media sosial saya keluarkan dari telefon pintar saya. Selain TikTok, aplikasi media sosial lan ialah X, Facebook, Instagram dan Threads.
Sebelum TikTok, saya pernah ketagihan Facebook. Sebelum Facebook, saya pernah ketagihan Twitter. Tetapi TikTok yang paling kuat tarikan ketagihannya mengatasi aplikasi media sosial lain.
Twitter tidak menjejaskan daya pembacaan saya. Tetapi saya menghentikan penggunaannya kerana saya dapati penggunaannya itu membuang masa atau lebih tepat lagi mencuri masa membaca saya.
Selepas itu, saya menggunakan Facebook agak lama iaitu sejak tahun 2011, iaitu serentak dengan popularnya telefon pintar Blackberry. Saya hanya menghentikan tabiat menggunakan Facebook apabila ada TikTok.
Ada dua penyebab mengapa TikTok adalah lebih “kuat” berbanding Facebook. Pertama, ia menggunakan video pendek (short form video) yang sudah direkabentuk untuk mempengaruhi penghasilan dopamin dalam manusia.
Dopamin pula adalah pembawa pesan dalam bentuk bahan kimia bergelar ‘monoamine neurotransmitter’ dan juga merupakan hormon yang dihasilkan dalam otak dan membawa isyarat-isyarat ke dalam sel-sel saraf.
Ia seringkali disebut sebagai “bahan kimia untuk merasa seronok (feel-good chemical)” yang peranannya adalah menggerakkan motivasi bagi mendapatkan ganjaran (reward).
Jadi apabila seseorang menonton TikTok, ia mendatangkan keseronokan kerana dopamin itu dihasilkan.
Jangka waktu video yang begitu pendek, hanya beberapa saat mendatangkan keseselesaan dan ia menyebabkan dorongan bagi seseorang untuk terus menatal dengan harapan akan muncul paparan yang lebih seronok seterusnya.
Perkara kedua, algoritma yang diletakkan pada TikTok menepati kegemaran khusus seseorang penonton menjadikan hantaran video itu dirasakan relevan sedangkan sebahagiannya adalah hal berulang-ulang yang tidak menambah pengetahuan atau memberi manfaat kepada pengguna.
Algoritma merupakan satu kumpulan prosedur langkah demi langkah yang disusun secara teratur menurut logik bagi mencapai sesuatu matlamat.
Pada media sosial, ia bermatlamatkan untuk memenuhi kegemaran atau keperluan seseorang pengguna seperti mana yang digariskan oleh data yang dikumpulkan daripada para pengguna.
Maknanya, sebaik saja saya mendaftar TikTok, mereka memperoleh data damiri saya termasuk maklumat mengenai kegemaran saya, dengan berpandukan pada profil saya seperti usia dan lokasi, dan dari situ ia akan memasukkan hantaran-hantaran yang sesuai dengan kegemaran saya.
Lebih banyak saya menggunakan TikTok, mala lebih khusus ia memperoleh data mengenai saya umpamanya daripada hantaran mana yang saya suka, kongsi dan lebih-lebih lagi jika saya memberi komen.
TikTok menyalurkan hantaran-hantaran yang saya minat seperti mengenai politik, geopolitik, hal ehwal semasa, pengetahuan am, pengetahuan akademik khususnya sains, sastera, seni, teknologi, falsafah, agama, sejarah dan isu-isu serius yang lain.
Dalam pada itu mereka juga memasukkan hantaran yang seperti memancing minat saya seperti hiburan, komedi, kucing dan gosip.
Bila saya menekan butang suka, maka ia menambahkan lagi data mengenai saya. TikTok menghantar video-video dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia kepada saya.
Apabila saya menghentikan penggunaan TikTok, pada mulanya terasa amat sukar untuk menjalani kehidupan tanpa media sosial.
Saya seolah-olah melalui seperti perokok tegar yang tiba-tiba berhenti menghisap rokok. Maka saya berasa amat tidak selesa dan gelisah seperti melalui proses “cold turkey”.
Rasa kekosongan dan kebosanan masuk ke dalam diri. Memang ternyata saya telah ketagihan TikTok. Ini kerana perasaan yang sama tidak berlaku terhadap aplikasi media sosial yang lain.
Saya hanya kekalkan YouTube kerana mahu mengikuti podcast.
Saluran podcast dalam YouTube tidak mendatangkan ketagihan. Ada pihak yang menggolongkan YouTube sebagai media sosial juga kerana pengguna boleh mengirim hantaran, suka, kongsi dan komen.
Tetapi tentunya ia dalam kategori berbeza kerana videonya panjang dan kesannya kepada dopamin juga berlainan.
Namun begitu, seperti Facebook yang mempunyai Reels, YouTube mempunyai Shorts. Kedua-duanya adalah video pendek yang bergelagat seperti TikTok juga.
Maka apabila saya membuka YouTube, saya lebih terdorong juga menonton Shorts lebih daripada podcast.
Walaupun ia juga boleh mendatangkan ketagihan, tetapi ia tidak sekuat TikTok. Maka saya tidaklah ketagihan Shorts. Ini kerana hantaran-hantarannya tidak begitu memukau seperti TikTok.
Setelah beberapa hari saya hidup tanpa TikTok, dorongan dan keupayaan membaca saya pun pulih.
Apabila saya katakan “membaca”; ia bermaksud “membaca buku”. Jadi membaca akhbar atau rencana tidak dikira sebagai “membaca buku.” Apatah lagi jika membaca hantaran dalam platform media sosial.
Tindakan membaca buku pula bermaksud ‘membaca sebuah buku secara serius dan penuh iaitu dari kulit ke kulit. Maknanya dari bab satu hingga akhirnya. Jika membaca sekerat jalan, itu adalah pembacaan yang tidak sempurna.
Saya adalah pembaca buku bersiri sejak darjah lima iaitu pada tahun 1970.
Apa yang saya maksudkan dengan membaca buku bersiri ialah saya sentiasa membaca buku, iaitu apabila habis sesuatu tajuk saya memulakan dengan membaca buku lain secara berterusan, dan sedang terus berlaku ke hari ini, iaitu dari usia 11 tahun hingga sekarang ini berusia 67 tahun, tanpa putus.
Buku pertama yang saya baca ialah novel remaja, The Mystery of Secret Messages oleh Enid Blyton.
Jadi sepanjang 56 tahun itu, saya membaca buku dari pelbagai jenis, fiksyen dan bukan fiksyen, tipis dan tebal, dari pelbagai bidang, dalam bahasa Melayu, Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris, bertulisan jawi dan rumi, ejaan lama dan baharu.
Ada buku yang saya beli, ada yang dipinjam dari perpustakaan ada yang pula dari pemberian orang.
Tentulah keupayaan membaca mula menurun selepas usia mencecah 65 tahun dengan adanya pula penyakit kronik. Keupayaan melhat sememangnya merosot. Cermin mata menjadi begitu tebal hingga mencecah maksimum.
Tetapi cabaran itu boleh diselesaikan dengan melakukan pembedahan lasik. Maka mata tidak menjadi masalah. Tetapi cabarannya adalah dengan keupayaan otak.
Saya sudah tidak boleh menghabiskan sebuah buku dalam sekali duduk. Kalau waktu muda, saya boleh membaca semalaman hingga ke subuh. Kini setelah baca empat atau lima halaman, saya sudah menguap kerana otak saya penat.
Saya perlu berehat, buat kerja lain dan kemudian kembali meneruskan pembacaan. Tetapi ia tetap tidak menghalang usaha pembacaan saya dan saya boleh terus membaca buku hingga ke sudah.
Cabaran yang besar datangnya dari gangguan telefon pintar. Ada tiga perkara yang menyebabkan telefon pintar mengganggu pembacaan buku. P
ertama, telefon pintar merupakan peranti yang jauh lebih menarik daripada buku. Dengan itu, ia lebih kuat menarik perhatian dan mengisi ruang waktu pengguna.
Tetapi cabaran menjadi lebih besar ialah dengan adanya media sosial yang turut termasuk kumpulan WhatsApp selain TikTok, X, Facebook dan Instagram.
Ini kerana ia mendatangkan tarikan dan ketagihan selain daripada menyebabkan media massa seperti sama ada bercetak dan elektronik tidak relevan.
Kesan dari media sosial ini ialah mengalihkan daya fokus seseorang ditambah mengurangkan keupayaan memahami ayat panjang-panjang apabila paparan visual dan audio dirasa lebih mudah untuk diproses oleh otak.
Saya membesar dengan membacan teks bercetak dalam dunia tanpa media elektronik visual. Jadi pada tahun 1970, kampung saya tidak ada bekalan elektrik, maka tiada televisyen. Peranti elektrik hanyalah radio.
Drama radio, dokumentari raduo dan berita radio memberikan saya maklumat dan pengetahuan. Saya perlu berimaginasi untuk memahami untuk disampaikan.
Tetapi imaginasi yang lebih kreatif datang dari teks. Celik huruf membawa kepada kemahiran membaca dalam pengertian lebih mendalam.
Dengan tabiat membaca buku berpuluh-puluh tahun tentulah tidak sama dengan orang yang hanya celik huruf tetapi tidak biasa membaca buku.
Kini dengan media digital yang memberi keutamaan kepada audio dan visual, maka terdapat kepercayaan bahawa maklumat dan pengetahuan sudah tidak memerlukan teks.
Apa yang sebenarnya berlaku penggunaan audio dan visual yang amat banyak menghakiskan dan menghalang berkembangnya kemahiran membaca buku.
Lebih-lebih lagi dengan adanya kepintaran buatan (AI) yang boleh meringkaskan kandungan sesuatu bahan bacaan, malah boleh menjadikannnya dalam bentuk video yang cantik dan jelas. Jadi apa perlunya membaca?
Maka dalam satu generasi saja manusia akan kehilangan kemahiran, kemampuan dan kehendak untuk membava buku.
Serentak itu, manusia akan kehilangan daya imaginasi dan kreativiti untuk membayangkan pelbagai ciptaan minda. Akhirnya semua imaginasi diserahkan kepada agen AI.
Malah untuk membuat “prompt” pun, manusia tidak akan berupaya.
Nota Editorial:
Kerajaan Sweden mengumumkan bahawa sekolah-sekolah di negara itu akan kembali kepada asas pembelajaran, dengan memberi penekanan kepada kemahiran seperti membaca dan menulis, khususnya pada peringkat awal persekolahan.
Selepas sekian lama diketepikan, buku fizikal kini diperkenalkan semula ke dalam bilik darjah. Murid-murid juga kembali mempelajari kaedah penulisan tradisional, iaitu menulis menggunakan pensel atau pen di atas kertas.
Kerajaan Sweden turut merancang untuk menjadikan sekolah-sekolah di seluruh negara bebas telefon bimbit.
Sumber: undark.org
Why Swedish Schools Are Bringing Back Books
