Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang baru berlalu meninggalkan banyak kenangan kepada banyak orang termasuklah penggiat serta peminat seni komik dan kartun. Bagi diri saya, antara yang paling bermakna ialah pelibatan saya sebagai ahli panel dalam forum “Lepak Kartun: Dari Sosiobudaya ke Budaya Kecerdasan Buatan AI” bersama kartunis Zunar dan Dr. Leen Mafea dan dimudahcara oleh Dr. Razeef Razak anjuran Balai Seni Negara, di samping dapat bertemu dan menimba ilmu daripada beberapa kartunis veteran lagi berpengalaman seperti Pak Hassan Muthalib, Ujang, Dato’ Imuda, Gayour, Ben Wong dan CEO Komik-M Wan Zuhairi Wan Zainuddin.
Inisiatif penganjuran forum kartun oleh Balai Seni Negara itu amat menarik dan bermakna dalam mencerminkan keprihatinan institusi seni negara itu terhadap kepelbagaian cabang seni visual, bukan semata-mata terhadap seni kontemporari. Malahan, ini merupakan julung kalinya Balai Seni Negara menganjurkan sesi forum di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Dalam sesi forum sekitar satu jam itu, banyak soalan telah diajukan kepada barisan panel oleh pemudahcara, termasuklah juga soalan daripada hadirin petang itu. Meskipun forum itu berlangsung pada hari terakhir Pesta Buku itu iaitu Ahad, 7 Jun 2026 dari jam empat hingga lima petang, hadirinnya agak ramai memenuhi kesemua tempat duduk di pentas utama, meskipun di tengah-tengah pelbagai keriuhan promosi harga buku pada hari terakhir pesta.
Dalam sesi forum tersebut, antara persoalan-persoalan yang perlu saya tangani ialah apakah perubahan budaya masyarakat yang paling jelas dapat dilihat dalam karya-karya kartun sejak era 1950-an hingga kini; adakah ruang untuk berkarya dalam media sosial pada hari ini memberi lebih kebebasan atau lebih banyak cabaran kepada para kartunis berbanding pada masa lalu ketika mereka perlu bergantung kepada akhbar dan penerbit; dan dari perspektif budaya dan media, apakah implikasi teknologi kecerdasan buatan kini yang mampu menghasilkan ilustrasi, komik dan imej visual melalui arahan teks terhadap masa depan kartun.
Kita biasa mendengar ungkapan “seni tidak lahir dalam ruang yang kosong” atau “seni tidak lahir di dalam vakum” sebagaimana kata sejarawan seni Arnold Hauser dalam The Social History of Art (1951). Jelasnya, kesemua karya seni tidak terhasil secara semula jadi atau bersendirian, tetapi dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran seperti sosiobudaya, politik, zaman, sistem nilai masyarakat dan dalam konteks seni komik dan kartun, tentunya dasar-dasar penerbitan media yang menerbitkannya.
Dalam konteks seni kartun tempatan, kartun editorial dan kartun lerang adalah dua jenis kartun yang biasa ditemui dalam akhbar sebelum kemerdekaan. Kartun editorial adalah kartun politik atau kartun yang menggarap isu-isu sosiopolitik semasa, sementara kartun lerang atau strip cartoons mempunyai watak-watak dan jalan cerita yang khusus serta dipersembahkan secara bersekuen atau berturutan.
Sejak sebelum merdeka pada tahun-tahun 1930-an hingga 1950-an, kartun editorial lazimnya menggarap isu-isu berkaitan semangat kebangsaan atau nasionalisme, penentangan terhadap kuasa penjajah dan berusaha memberi kesedaran kepada pembaca tentang nasib bangsa pada masa itu dan masa hadapan.Kartun editorial menjadi semacam suatu bentuk senjata atau wadah untuk memberi kesedara n kepada pembaca tentang peri pentingnya mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa dan negara, serta merancang strategi untuk pembangunan dan kelestarian hidup masa hadapan. Hal ini dapat dilihat contohnya dalam kartun terbitan akhbar Majlis “Tegapkan perdirian bangsa dengan kaki sendiri” (27 Januari 1948) dengan saranan untuk menguasai politik, ekonomi dan perpaduan bangsa. Dari satu sudut yang lain, kartun-kartun tersebut semacam menjadi suatu bentuk alat propaganda.
Peranan ini lebih nyata selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Selaras dengan dasar-dasar penerbitan akhbar dan kerajaan, karya kartun mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan antara kaum dalam mempertahankan demokrasi yang baru dicapai selepas kemerdekaan. Hal ini contohnya tercermin dalam kartun Peng dalam akhbar Berita Harian (19 Julai 1958) yang menggambarkan masyarakat berbilang bangsa saling bergandingan tangan mempertahankan demokrasi daripada ancaman Komunisme.
Pada tahun-tahun 1980-an, isu penjajahan dilihat dari perspektif yang berbeza, bukan tentang ketenteraan atau penindasan, tetapi penjajahan dan pencerobohan budaya. Itulah yang digambarkan oleh Lat dalam kartun editorial “Scenes of Malaysian Life” dalam akhbar The New Straits Times pada 13 Julai 1987 dengan kapsyen “Hollywood Comes to Malaysia” yang merujuk kepada penggambaran krew filem Hollywood di Malaysia ketika itu. Ia diibaratkan sebagai suatu kejutan budaya. Sebelum itu, menerusi kolum ini juga Lat mendokumentasikan pelbagai acara dan adat tradisi pelbagai kaum di Malaysia sebagai suatu inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan warisan dan budaya.
Pada tahun-tahun 1990-an pula, kartun editorial lebih banyak menumpukan kepada isu-isu sosiobudaya, seperti kelemahan budaya kerja penjawat awam dan gejala rasuah. Bentuk jenaka dan kritikan dalam kartun kelihatan agak sederhana, berbeza dengan kartun-kartun editorial pada alaf baharu dan era reformasi politik yang kelihatan lebih keras dan berterus terang. Hal ini menunjukkan sikap masyarakat yang menjadi lebih terbuka pada alaf baharu berbanding dengan era-era sebelumnya.
Bagi kartun lerang pula, di samping berperanan sebagai bahan hiburan untuk menarik minat pembaca selepas kemerdekaan, siri kartun seperti “Keluarga Mat Jambul” nukilan Raja Hamzah memperlihatkan kecenderungan baharu terhadap tema kemodenan dalam kartun, berbanding dengan tema desa dan kampung serta cerita hantu dan seram yang biasa dilihat dalam karya sebelum merdeka. Siri kartun ini sebenarnya adalah karya adaptasi daripada kartun Inggeris berjudul “The Gambols” oleh Barry Appleby dengan watak-watak dan jenakanya telah dimelayukan bukan hanya kerana sifatnya yang terlalu keinggerisan tetapi juga bagi disesuaikan dengan cita rasa pembaca tempatan.
Pada era pascakemerdekaan, akhbar-akhbar Melayu banyak menyiarkan kartun-kartun import dari Barat yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hal ini telah mendorong Lat untuk menghasilkan siri kartun “Keluarga Si Mamat” (Berita Minggu, 1968) sebagai suatu usaha menghasilkan karya-karya beridentitikan tempatan. Hal ini kemudiannya diperkukuhkan dengan kemunculan karya terpentingnya “The Kampung Boy” pada tahun 1979.
Dari situ, berkembanglah dunia kartun lerang Melayu dengan orientasi bentuk, makna dan cerita lokal sejak dekad 1990-an, seperti dilihat dalam “Din Teksi” oleh Nan, kemudiannya “Konstable Jabit” oleh Rossem, “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” oleh Imuda, “Hello Boss” oleh Dee, “Mamak Cyber” oleh Maro dan banyak lagi. Dalam konteks ini, siri kartun lerang telah beralih daripada karya adaptasi dan terjemahan, kepada kisah-kisah setempat oleh kartunis-kartunis tempatan sendiri, daripada tema-tema desa dan kekeluargaan, kepada profesion dan kehidupan seharian.
Pada dekad 1980-an, kemunculan pelbagai majalah kartun yang dipelopori oleh Gila-Gila pada 1 April 1978, diikuti oleh penerbitan majalah-majalah lain seperti Gelihati, Mat Jenin, Batu Api, Telatah, Ujang, Gempak dan lain-lainnya telah menjadikan dekad 1980-an dan 1990-an sebagai era kegemilangan majalah kartun. Kecenderungan kepada gaya manga atau japonisme pada akhir dekad 1990-an dan alaf baharu mencerminkan pengaruh kartun dan budaya global dalam seni komik dan kartun tempatan, sebagaimana kartun dan budaya popular Barat, khususnya Amerika Syarikat menjadi asas glokalisasi majalah Mad kepada Gila-Gila pada akhir dekad 1970-an sebelum itu. Hal ini menunjukkan bahawa fenomena transnasionalisme dan glokalisasi telah berlaku sejak perkembangan awal sejarah kartun di Malaysia.
Tinjauan umum perubahan bentuk dan tema seni kartun ini menunjukkan perubahan sosiobudaya masyarakat yang pada awalnya cenderung kepada suatu bentuk hidup bermasyarakat sebagaimana dilihat dalam kehidupan desa kepada masyarakat yang lebih terbuka kepada asimilasi budaya, corak dan pandangan hidup baharu dan moden. Hal ini sudah tentu dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran, termasuklah dasar-dasar kerajaan dan media, budaya membaca, fenomena globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat, yang antara lain kemudiannya ditandai dengan kemunculan penggunaan media sosial.
Ini selanjutnya membawa kepada persoalan kedua yang diajukan, iaitu adakah ruang untuk berkarya dalam media sosial pada hari ini memberi lebih kebebasan atau lebih banyak cabaran kepada para kartunis berbanding pada masa lalu ketika mereka perlu bergantung kepada akhbar dan penerbit. Jawapannya, kedua-duanya ada. Dalam konteks kebebasan, ia dapat dilihat dari sudut kebebasan editorial, hubungan terus atau langsung dengan audiens, dan kebebasaan untuk menjana pendapatan.
Berkarya dalam media sosial seperti Instagram dan facebook memberi kebebasan kepada kartunis kerana mereka tidak terikat dengan dasar-dasar penerbit atau editor penerbitan tempat mereka bertugas. Segala-galanya dibuat sendiri dengan tanggungjawab sendiri.Merekalah pelukis, kartunis, editor, dan penerbit yang memuatnaik hasil kerja mereka ke media sosial tanpa apa-apa sekatan daripada orang lain. Hal ini bererti mereka menikmati kebebasan editorial.
Berkarya dalam media sosial memungkinkan kartunis berhubung secara langsung atau terus dengan audiens atau khalayak pembaca dan peminat mereka. Hal ini memungkinkan mereka membina komuniti peminat yang besar bukan sahaja dalam negara, malahan di peringkat global. Kartunis juga akan dapat menikmati maklum balas yang cepat atau segera daripada audiens, berbanding berkarya dalam media cetak yang memerlukan jangka masa lama untuk menerima respons khalayak pembaca. Contohnya, jika berkarya dalam majalah yang diterbitkan sebulan sekali, maklum balas pembaca hanya akan dapat diketahui sebulan kemudian dalam keluaran majalah yang berikutnya.
Membina komuniti peminat pula bermakna membina persahabatan dan potensi penjanaan pendapatan, bukan sahaja melalui penjualan karya dalam bentuk buku yang dicetak daripada antologi atau kopilasi karya yang dimuatnaik dalam media sosial selama ini, tetapi juga menjual produk atau “merchandise” iaitu barangan dagangan jenama sendiri.
Sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19, ramai kartunis berkarya dalam media sosial dan hasilnya kompilasi karya mereka terbit dalam bentuk buku sebagaimana dilakukan oleh kartunis Aku Napie dalam buku Satu Kenangan (Anithink Consultant Sdn Bhd, 2023) dan Mie dalam Pandemie (Rumah Kartun & Komik Malaysia, 2022). Ini satu pendekatan yang menarik dan mencerminkan bukan sahaja kebebasan editorial, tetapi juga kebebasan mendekati khalayak dan menjana pendapatan.
Namun begitu, berkarya dalam media sosial juga mempunyai beberapa cabaran yang besar, antaranya berkaitan isu hak cipta, persaingan dengan bentuk dan lambakan karya lain, tiada pendapatan yang tetap dan kesan negatif daripada reaksi serta-merta khalayak. Dalam konteks hak cipta, berkarya dalam media sosial mendedahkan karya kartunis kepada plagiarisme, diplagiat, diterbit semula tanpa izin dan menjadi sebahagian daripada pembinaan data besar AI. Semua gejala ini di luar batas kawalan kartunis, berbeza jika mereka berkarya di bawah penerbit tertentu yang mungkin boleh melindungi mereka daripada hal-hal sedemikian, termasuklah perlindungan undang-undang sekiranya karya mereka mengundang masalah perundangan ataupun menerima kecaman ramai. Dengan kata lain, mereka ada tempat untuk mengadu dan berlindung di samping mempunyai pendapatan atau gaji yang lebih tetap.
Persaingan dengan lambakan kandungan lain, bukan sahaja kartun, malahan video pendek dan meme juga boleh menggugat penerimaan karya di kalangan khalayak yang mempunyai banyak pilihan dalam pelbagai platform media sosial. Di samping itu, maklum balas serta-merta daripada pembaca juga boleh bersifat sama ada positif mahupun negatif, dengan budaya mengecam keterlaluan atau tanpa usul periksa boleh meruntuhkan kredibiliti kartunis dan karya mereka.
Rentetan daripada itu, timbul persoalan apakah implikasi teknologi kecerdasan buatan kini yang mampu menghasilkan ilustrasi, komik dan imej visual melalui arahan teks terhadap masa depan kartun. Hal ini boleh dilihat dari tiga sudut utama, iaitu pengkaryaan, pengedaran atau kaedah penyampaian dan akhirnya penghayatan atau apresiasi karya di kalangan khalayak.
Dari sudut kaedah pengkaryaan, terdapat tiga kelompok besar pengkarya, pertama yang menggunakan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan untuk menghasilkan produk akhir, yang kedua menggunakan teknologi ini sebagai alat bantu pengkaryaan dan yang ketiga menolak sepenuhnya teknologi ini.
Dari satu sudut, teknologi kecerdasan buatan memberi ruang kebebasan berkarya merentasi pelbagai tema, gaya, genre dan isu dalam jangka masa masa yang singkat dan pantas, namun berdepan dengan isu-isu hak cipta dan kepengarangan. Sesetengah pengkarya menganggap hasil kerja AI bukanlah karya seni tulen, kerana karya jenis ini tidak mampu mengungkapkan atau menterjemahkan emosi dan ekspresi pengkarya. Justeru itu, apabila majalah Gila-Gila menggunakan karya kecerdasan buatan untuk ilustrasi kulitnya bagi keluaran ke 867 pada Julai 2024, ia menerima pelbagai kecaman sehingga penerbit majalah itu terpaksa memohon maaf kepada khalayak.
Bagi mereka yang menentang, imej terhasil menerusi arahan teks, bukan melalui proses kreatif yang melibatkan kreativiti pengkarya tidak boleh dianggap sebagai karya seni. Namun pada hari ini kita lihat banyak buku dan majalah menggunakan ilustrasi janaan AI untuk hiasan kulit dan ilustrasi dalaman penerbitan, seolah-olah pendekatan ini sudah menjadi kebiasaan dan diterima. Banyak kartunis juga sudah mula berjinak-jinak dan mengadapatasi teknologi ini dengan karya-karya mereka, sebagaimana dapat dilihat dalam video-video animasi pendek di media sosial.
Dari sudut lain, penjimatan masa dan kos produksi yang rendah mencetuskan persaingan bukan sahaja di kalangan penggiat profesional, tetapi juga dengan khalayak ramai yang seolah-olah juga boleh secara bebas berkarya dengan menggunakan teknologi ini. Justeru itu, identiti sendiri amat penting diwujudkan dan dipertahankan agar apa yang dihasilkan itu benar-benar unik dan berbeza daripada yang lain. Dalam banyak hal, penggunaan teknologi kecerdasan buatan perlu juga dinilai berdasarkan objektif dan tujuan ia digunakan. Justeru itu, pengkarya dan penghayat ada hak untuk memilih.
Kaedah penyampaian dan pengedaran karya juga menjadi lebih pantas dalam bentuk digital dan secara dalam talian dengan pencapaian pembaca sasaran yang lebih luas dan bersifat global. Pada masa kini sahaja telah wujud pelbagai platform komik dalam talian seperti Webtoon yang memungkinkan akses seluruh dunia, justeru menghasilkan pengalaman membaca atau apresiasi komik yang berbeza. Pembacaan, penghayatan atau apresiasi komik kini menjadi lebih interaktif sifatnya, dengan potensi masa hadapan yang di luar jangkaan.
Komik dan kartun dibaca menerusi pelbagai alat peranti termasuklah telefon bimbit dengan keupayaan skrol secara vertikal yang berbeza daripada kebiasaan membuka lembaran muka surat digital mahupun versi cetak dari satu muka surat ke helaian-helaian berikutnya. Hal ini juga sering menimbulkan tanda tanya, apakah komik dan kartun versi cetak masih boleh bertahan dan mempunyai permintaan serta pasaran pada masa hadapan.
Dalam konteks ini, beberapa pandangan dan kupasan mengenai seni komik yang diketengahkan oleh Scott McCloud dalam buku pentingnya Reinventing Comics (Paradox Press, 2000) wajar diberi perhatian sebagai asas menghadapi masa depan komik, antaranya melihat kedudukan komik sebagai kesusasteraan dan seni; meneliti hal-hal berkaitan hak cipta pengkarya, inovasi dalam industri, persepsi khalayak, peranan institusi, keseimbangan gender, representasi kelompok minoriti, kepelbagaian genre, produksi dan pengedaran komik secara digital.
Kemunculan teknologi kecerdasan buatan menuntut komitmen pengkarya dan khalayak terhadap isu-isu berkaitan etika dan estetika. Etika dan rasa tanggungjawab harus dijadikan teras dalam pengkaryaan bagi mendukungi ketulenan karya serta menghindari pelbagai isu yang mungkin timbul berkaitan kepengarangan, pemilikan dan hak cipta karya. Pengkarya perlu mengenali keunikan dan kekuatan diri serta mencari kelainan untuk bertahan dan membina komuniti penghayat dan peminat. Daripada banyak contoh yang boleh ditimba setakat ini, identiti bangsa dan budaya sering kali menjadi senjata dan perisai yang ampuh dengan syarat disesuaikan dengan bentuk dan genre karya, objektif, penceritaan dan pembaca sasaran dengan teknologi kecerdasan buatan hanya berperanan sebagai alat bantu dalam proses pengkaryaan.








