DIARI mempunyai kuasa yang besar dalam pelayaran hidup saya. Sebagai anak kecil yang berusaha menghapus perasaan inferiority complex, diari menjadi penyelamat yang ideal. Pekerjaan menulis diari bukan sekadar mencatatkan peristiwa, tetapi lebih daripada itu–ia adalah cara untuk merenung dan mengarifi diri sendiri. Dengan mencatat segalanya, saya dapat melihat kembali pilihan-pilihan yang telah dilakukan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan saya. Juga sebagai medium menuangkan segala emosi yang tak mampu diselenggarakan dengan berkomunikasi.
Perkara paling berharga dengan menuliskan diari adalah ia menawarkan kebebasan untuk menjadi diri sendiri dan menuangkan segalanya tanpa berhati-hati. Saya sedar bahawa dengan rutin menulis di buku catatan inilah yang melorong perjalanan penulisan hingga ke hari ini. Saya bersyukur kerana diari kekal menjadi teman baik yang tak pernah memungkiri dan menghakimi.
Minggu lalu saya berpeluang mengunjungi Pameran Art Journaling 40450 2024: Time & Memories, yang berlangsung dari 9 November hingga 10 Disember lalu, di Artjamila Gallery & Museum di Shah Alam. Secara berkumpulan, pameran ini bekerjasama dengan College of Creative Arts di Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengedepankan seni journaling sebagai amalan kreatif yang progresif dan fleksibel, secara tidak langsung memberi manfaat yang berguna untuk masyarakat.

Journaling merupakan aktiviti mencatat yang dilakukan secara tersusun dalam sebuah jurnal atau buku catatan. Antara tujuan journaling adalah untuk merefleksikan perasaan, mendokumentasikan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan, mengungkapkan idea atau pemikiran sehinggalah meningkatkan proses penciptaan. Tidak hanya menulis teks, aktiviti ini mencakupi elemen visual seperti gambar, lukisan, kolaj atau bentuk kreatif lainnya. Paling utama, kegiatan ini tidak memerlukan keterampilan menulis yang hebat atau sempurna. Ini merupakan pekerjaan yang sangat peribadi dan setiap orang boleh menentukan masa, tujuan dan bentuk kreativiti masing-masing tanpa perlu mempelajarinya secara formal.
Dalam era di mana ciptaan kecerdasan buatan (AI) semakin mendominasi, seni journaling menjadi satu cara dan ruang penting untuk mengekalkan kemanusiaan. Mengingatkan kita bahawa nilai sentuhan peribadi, tidak boleh digantikan. Aktiviti sebegini turut menghubungkan kembali kepada akar kita–terutama di persimpangan antara kreativiti manusia dan kemajuan teknologi. Seni mencatat bukan sekadar ekspresi seni, tetapi juga pelindung identiti kita sebagai insan yang mampu berfikir, merasa dan mencipta dengan cara yang tersendiri.
Melangkah masuk ke dalam banglo dua tingkat, putih bersih dengan laman yang luas, begitu mendamaikan. Galeri ini baru sahaja dibuka secara rasmi sekitar tahun lalu. Karya pertama yang saya amati merupakan beberapa keping gambar imbasan anak di dalam rahim yang dikolajkan oleh ibunya seorang pensyarah UiTM. Begitu menyentuh dan mengharukan. Memutarkan kenangan saya saat menjalani prosedur IVF (In-vitro fertilization) untuk mendapatkan anak perempuan saya Kesuma Hati. Setiap imbasan di dalam rahim, waktu memulakan prosedur sehinggalah bertumbuhnya janin, diabadikan dalam sebuah buku catatan khas. Saya juga menuliskan seluruh perasaan di dalamnya–yang paling menyakitkan sehinggalah yang paling bahagia. Semoga Kesuma Hati boleh membacanya apabila dewasa nanti dan memahami sejauhmana perjalanan ibu bapanya untuk memilikinya.
Pameran ini menampilkan 29 seniman yang memberikan interpretasi masing-masing bagi tema ‘Masa dan Kenangan’ yang menggabungkan kenangan peribadi, proses dan perjalanan, refleksi hidup serta motivasi diri. Wan Jamila Wan Shaiful Bahri (22 tahun) atau lebih dikenali sebagai Artjamila, seniman autistik yang berpotensi besar dalam dunia seni halus Malaysia, turut mempamerkan karyanya. Ruang studio di Artjamila Gallery & Museum merupakan tempat remaja perempuan yang berbakat besar ini menempatkan dan menghasilkan karyanya yang telah banyak menerima pengikhtirafan.
Cetusan Pameran Art Journaling 40450 yang memaparkan 54 jurnal dan 50 karya seni ini adalah kesinambungan daripada bengkel yang dijalankan sebelum ini. Galeri Artjamila dan UiTM bekerjasama menganjurkan dua bengkel tentang seni journaling kepada karyawan, ahli akademik dan masyarakat awam. Bengkel yang dijalankan mendapat sambutan yang hangat, seterusnya memanjangkan matlamat dan visi bengkel ini dengan mempamerkan karya seni journaling yang membanggakan.
Pameran ini telah disusun dan dikurasi oleh Prof. Madya Dr. Mumtaz Mokhtar dari Fakulti Seni Halus UiTM dan Noor Sa’adah Mohd Noordin, pengurus seni Artjamila Gallery & Museum. Antara seniman yang terlibat mempamerkan karya adalah Mumtaz Mokhtar, Nurul Huda Din, Nabilah Mudzafar, Fazz Ramli, Mastura Haji Mohd Jarit, Nik Syahida Sabri, Malyanah Mohd Nasir, Nur Nafishah Azmi, Nor Azlin Hamidon, Nadiah Mohamad, Natasha Azim, Aezzaddin Aisyah Zainuddin, Noriza Arzain, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, Noor Sa’adah Mohd Noordin, Aini Amirah Hamidon dan ramai lagi. Acara ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden Amal THZ, Datin Hezeita Mohd Hafidz, yang mewakili Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj pada 9 November lalu.

Begitu terpaku dan mengujakan saat membelek dan memerhatikan karya catatan yang dipamerkan. Pelbagai bentuk dan cerita. Pelbagai eleman seni ditata dengan kreatif dan inovatif. Saya selalu melihat ada sisi romantis dalam diri seseorang yang suka mencatat, menyimpan dan mengabadikan segala pemikiran dan perasaannya. Seolah aktiviti ini menjadi wadah sebagai ruang aman untuk melepaskan kelelahan dan kegelisahan dunia yang begitu pantas, rapuh dan penuh ketidakpastian ini. Melalui pameran ini, saya terinspirasi untuk menyimpan segala resit perjalanan, tiket wayang dan pertunjukkan teater serta benda-benda random yang boleh disimpan dalam buku catatan atau jurnal. Yang selama ini kecenderungan saya lebih kepada menulis dan mencurahkan rasa dalam bentuk tulisan sahaja.
Mereka yang memperuntukan masa (di sela-sela kesibukan) dengan journaling cenderung memiliki keperibadian yang introspektif, kreatif, dinamik dan terbuka terhadap perkembangan peribadi. Kegiatan ini menjadi saluran bagi mereka untuk mengekspresikan emosi, merenung dan menggali pemikiran serta perasaan dalam diri mereka dengan cara yang teratur dan mendalam. Mereka juga sering kali mencari cara untuk memahami diri mereka lebih baik, mengatasi tentangan dan merayakan kehidupan mereka dengan cara tersendiri.
Pekerjaan ini ternyata memberikan banyak manfaat kepada masyarakat, seperti meningkatkan kesejahteraan mental, membangun kreativiti dan refleksi diri. Pameran ini dapat mendorong orang ramai untuk menjadikan aktiviti journaling sebagai hobi dalam menjalani rutin harian. Tanggungjawab petugas kesenian adalah dengan berusaha mewujudkan kesedaran bahawa aktiviti ini sesuatu yang menyenangkan, inklusif dan mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Kita mahu seni dilihat sebagai alat pendidikan yang mampu membangun dan memberikan kesejahteraan minda dan jiwa kepada masyarakat.
Sebelum pulang saya sempat meninjau pameran di tingkat atas galeri ini yang menyajikan karya seni dari Artjamila yang menawan dan mengesankan. Mungkin saya terlambat mengenali seniman muda ini, namun ketika masuk ke dalam ruang pameran ini, saya dibawa ke satu daerah perasaan yang begitu meruntun hati. Karya seni Artjamila merangkumi pelbagai bentuk seni visual, termasuk lukisan, kolaj, art journaling dan instalasi seni. Sebagai seorang artis yang menghidap autisme, karyanya tidak hanya mengandungi elemen estetik, tetapi juga banyak berfokus pada refleksi diri dan kenangan peribadi.
Remaja perempuan yang luar biasa ini menyedarkan saya bahawa seni berpeluang menjadi saluran terapi utama, yang mendorong dirinya untuk merawat dan mengatasi pelbagai pengalaman psikologi yang sukar sepanjang perjalanan hidupnya. Beliau juga banyak merakam situasi negara yang mencengkam, tentunya memberikan kesan besar pada dirinya juga secara peribadi. Seperti lukisannya tentang wabak Covid-19 yang menyerang dunia secara global yang menyuntik inspirasi dan pembelajaran bermakna. Mungkin satu hari nanti saya akan menulis panjang dan mendalam tentang seniman muda berhati waja ini.
Demikianlah saya menikmati setiap satu pengembaraan dan eksplorasi mendalam tentang masa dan kenangan melalui pameran ini. Saya percaya pameran ini mampu menawarkan perjalanan yang penuh inspirasi, mempertontonkan bagaimana seni dapat memotivasi dan merefleks diri serta mengungkapkan hubungan yang erat sesama manusia. Semoga ada lagi pameran seumpanya di masa akan datang. Terima kasih Galeri Artjamila untuk pengalaman yang menggugah ini.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

