SENI merangkumi tafsiran dan definisi yang subjektif. Pengkarya mahupun seniman meluahkan hasil karya seni dalam pelbagai dimensi. Di antaranya, adalah garapan karya yang menjurus kepada tatanan emosi dan intelektualisme. Karya seni merupakan ekspresi perasaan, tetapi tetap terkait jua dengan hal keintelektualan. Paradigma emosi serta intelek pada karya seni, mungkin berbeza di antara orang kebanyakan dan seniman.
Intelek secara asasnya, dibatasi oleh daya intelektual daripada pemikiran orang seni dan bukan seni. Bagi konteks orang biasa, tatkala berbicara soal di dalam wilayah kesenian, mereka cenderung menanggapinya sebagai perkara yang bersangkutan dengan perasaan serta emosi, berbanding inspirasi inteleknya. Namun, benarkah demikian? Intelek memang wujud dalam setiap karya seni,tanpa mengira daripada aliran mana sesuatu karya itu tercipta. Justeru, intelektualisme seni wujud beriringan dengan kesan emosi. Makanya, tidak salah untuk kita menyatakan bahawa seni itu adalah ’persembahan’ intelektual, sekiranya dicermati daripada konteks seni itu sendiri. Yang menjadi pertanyaan, di manakah hendak memposisikannya, adakah seni itu diletakkan pada ’sendi-sendi’ emosi atau mahu ditempatkannya pada dimensi intelektual?
Takrif Seni dalam kerencaman definisi
Seni, secara definitif memuarakan sebuah pernyataan, kreativiti atau imaginasi. Takrif seni itu sendiri, asal-muasalnya diambil daripada kata latin “ars”, yaknipenyusunan. Seni kebiasaannya difahami sebagai praktik penghasilan karya, yang dikaitkan dengan dorongan kreativiti manusia. Bidang kesenian dianggap sebagai cerminan, pengutaraan nilai serta simbol di dalam sesebuah tamadun, bangsa serta kebudayaan.
Seni menjadi manifestasi dan pancaran rasa keindahan, pemikiran, kesenangan serta perasaan yang lahir daripada seniman. Wujud atau lahirnya sesebuah karya atau objek seni, merupakan percikan idea-idea sang seniman, yang berlandaskan daya imaginasi, pengetahuan, pendidikan, inspirasi serta kudrat tubuhnya. Justeru, dalam membicarakan tentang kesenian, beragam makna yang dapat kita fahamkan.
Menurut Herbert Read (1949), seni adalah usaha untuk menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Leo Tolstoy pula dalam bukunya ‘What is Art?’ (1896), menyatakan seni merupakan hasil pengalaman dan perasaan yang tercerna melalui garis, warna, gerak, bunyi, kata-kata, bahasa serta rupa bentuk yang dikongsi bersama orang lain. Frihjof Schoun (1947) di sisi lain menjelaskan bahawa, seni mempunyai peraturan yang menggunakan undang-undang kejadian dan prinsip sejagat kepada alam, untuk melahirkan ‘gaya’ kepada sesuatu peradaban. Gaya ini, selanjutnya dapat menjelmakan bentuk-bentuk fikiran peradaban itu secara tetap.
Danto (1968) menghujahkan, seni adalah bentuk semula jadi yang wujud dalam jiwa pencipta. Asasnya ditandai pada tiga peringkat fikiran pencipta – iaitu pada alat, bahan dan penerimaan. Terakhir, R.G. Collingwood (1972), mendefinisikan seni sebagai satu ekspresi daripada satu aktiviti yang melibatkan pengeluaran rasa emosi sang pengkarya. Jadinya, seni dapatlah kita tanggapi sebagai cerminan ekspresi kreatif seniman, yang berinteraksi terhadap karya-karya yang mereka hasilkan.
Mencerap makna Emosi
Emosi merupakan salah satu ciri jiwa manusia, sebagai manifestasi perasaan kuat yang didorong oleh tanggapan psikologi atau mental seseorang. Emosi dapat berlaku secara naluri bergantung pada situasi. Daniel Goleman (1995) memperjelaskan berkenaan emosi, melalui bukunya ‘Emotional Intelligence’, yang berjaya membangkitkan kesedaran orang ramai tentang konsepsi emosi dan kecerdasan.
Secara dasar, takrif emosi sebenarnya agak sukar untuk ditafsirkan, kerana ia lebih banyak merujuk kepada hal peribadi manusia. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Terdapat tiga aspek emosi yang dapat dijelaskan dengan perkataan,seperti mimik muka, bahasa badan, postur dan physiological-biochemical, yakni yang melibatkan aktiviti otak,suhu badan serta kadar denyutan jantung. Sehubungan demikian, aspek behavior-expressive, justeru dapat dilihat dengan jelas, manakala dua aspek yang lain biasanya sukar untuk dicerap.
Emosi juga berkait rapat dengan ekspresi (expression). Ekspresi dapatlah dijelaskan sebagai hubungan dengan cara bagaimana membangkitkan perasaan orang lain,yang melihat dan menikmati sesuatu, misalnya seseorang yang sedang mengamati karya seni.
Secara sederhana, emosi dapatlah kita huraikan sebagai suatu rangsangan psikologi yang menzahirkan pelbagai bentuk perasaan seperti marah, sedih, gembira, takut dan lain-lain. Emosi juga boleh dilihat daripada aspek perlakuan fizikal seperti koordinasi bahasa tubuh (body language) dan juga daripada sudut perasaan dalaman (affective), yakni behavior-expressive.
Seni, antara emosi dan intelek
Emosi dan intelek, telah menjadi medium karya-karya seni semenjak ’Renaissance’ di Itali menggegarkan ’panggung dunia’. Kepesatan era pembaharuan, telah menyumbangkan pelbagai kemajuan di dalam segenap bidang termasuk politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kesenian, falsafah hidup dan teologi. Secara langsung, perkembangan ini meninggalkan kesan yang amat ketara kepada bidang seni.
Era ’Renaissance’ telah menggelorakan perkembangan ranah kesenian,yang menyumbang kepada peningkatan intelektual karya seni, sastera dan seni bina. Seniman masyhur seperti Leonardo Davinci, Michaelanglo Buanarroti, Raphael, Titian dan seangkatannya, menjadi bukti bahawa karya seni itu, disarati dengan ’sepuhan-sepuhan intelektualisme’.
Karya Leonardo Davinci yang berjudul Proportions of the human figure (after vitryvius), c. 1485-90, menjadi bukti intelek dan emosi terjelma di dalam sesebuah karya seni. Selanjutnya, dampak kepesatan perdagangan telah melahirkan para hartawan, pemilik bank dan pedagang yang kaya raya. Golongan yang dimaksudkan disebut para penaung (patronage), misalnya seperti keluarga Medici. Mereka ini membayar harga yang tinggi kepada pelukis dan pengukir untuk melukis potret, menghiasi bandar, memperindah rumah kediaman, gereja dan bangunan-bangunan awam. Contoh yang popular adalah catan Fresco yang berjudul The Creation of Adam dan The Last Judgement karya Michaelanglo Buanarroti.
Sebelum ’Renaissance’,para seniman menghasilkan karya mereka di atas nama keagamaan secara sukarela. Unsur-unsur emosi dan intelek tidaklah menjadi subjek utama dalam penghasilan sesuatu karya seni. Secara halus, dapat kita renungkan bahawa melalui karya-karya seni, sang seniman berupaya menjelmakan jalan hidup yang lebih realistik, yang mana manusia ditanggapi sebagai individu istimewa serta berkebolehan. Tujuannya, adalah untuk mengubah falsafah dan cara pemikiran masyarakat agar lebih terbuka serta dapat menerima perubahan,lebih-lebih lagi setelah Eropah digempur serta dikecamukkan oleh era Zaman Gelap yang fatalis.
Konsep emosi dan intelek dalam berkarya, turut menjadi subjek buat para seniman pasca ’Renaissance’ seperti aliran Impresionisme, Post Impresionisme, Cubisme, Surrealisme dan Abstrak Ekspresionisme.
Karya litografi, The Scream (1896), hasil sentuhan Edward Munch memperihalkan kesan yang penuh dengan emosi nan dramatik. Kita juga dapat melihat penelitian komposisi warna, daripada artis Abstrak Ekspresionisme, Wassily Kandinsky yang menunjukkan elemen intelek yang terdapat pada siri catan Composition (1909 – 1923). Sebagai seorang seniman dan ahli teori, beliau memainkan peranan dalam perkembangan seni abstrak. Kandinsky merupakan orang pertama menemui prinsip non-representasi (pure abstraction).
Mungkin pada konteks serta pengamatan orang awam atau yang bukan ahlinya, seni hanya dianggap sebagai persembahan atau representasi semata-mata, tanpa dapat mereka cermati secara mendalam akan konsep serta falsafah dalam sesebuah karya. Pada mereka, sesuatu karya seni itu dinikmati hanya daripada sudut pengamatan, tanpa mengisyaratkan konsep-konsep intelektualisme yang ada padanya. Jika hal sedemikian terjadi, apresiasi karya hanyalah dinisbahkan kepada emosi semata-mata. Justeru, tatkala buaian emosi melampaui hakikat dan nilai intelektual,di saat itulah tanggapan bahawa karya seni itu tidak mempunyai daya intelek akan keras ’bergema’.
Kita misalkan tatkala menelusuri catan Pablo Picasso, Guernica (1937), lukisan ini merakamkan peristiwa kezaliman perang, dalam bentuknya yang abstrak. Bagi pengamat yang kurang arif, berkemungkinan mereka menuntut karya berbentuk representasi realisme, agar mudah dimengerti bahkan dapat pula menerbitkan rasa emosi, namun apabila dijelmakan dalam pendekatan abstrak, apresiasi terhadap karya berkemungkinan tidak berlaku secara tuntas. Lalunya,ia terus dihukum tiada membawa nilai intelek, bahkan sukar pula untuk difahami.
Jika diamati akan fenomena di dalam landskap senirupa tanah air, dapat jua kita renungkan betapa tebalnya nuansa emosi dan intelek yang terbias,sepertimana yang dijelmakan oleh Yusof Ghani melalui catan-catan bersiri seperti siri Tari (1984-1991), siri Topeng (1992-1996), siri Wayang (1996-1998), siri Hijau (1998-2002) dan Segerak (sejak 2002). Tak dilupakan,karya-karya daripada Syed Ahmad Jamal,yang bergengsi dengan siri catan landskap ’Gunung Ledang’ (bermula dari tahun 1978), sebagai representasi beliau terhadap citra emosi, perasaan, kesedihan, nilai kecendekiawanan dan simbolisme alam Melayu, yang teguh berakar menunjangkan cita-cita bangsa.
Secebis renungan
Emosi dan intelek memainkan peranan yang penting terhadap sesuatu karya seni. Seniman berkarya dengan sepenuh daya emosi dan inteleknya, yakni ’wasilah’ dalam pencitraan informasi visual kepada khalayak. Karya-karya bersifat intelek serta penuh emosi, memerlukan apresiasi sewajarnya daripada khalayak pemerhati.
Seni tidak dianggap seni, malah tidak akan jua bernilai jika tiada pihak yang mendukung serta menjulang apresiasinya. Persoalan dan permasalahan yang wujud, adalah bersebabkan kelompok khalayak sendiri yang tidak dapat memahami secara menyeluruh, apatah lagi untuk mengungkapkannya secara emosi serta intelek.
Jika diinsafi sejarah awal tamadun manusia dan zaman-zaman selepasnya, golongan seniman sememangnya terpandang istimewa di dalam garis susunan masyarakat. Mereka dianggap sebagai manusia berkebolehan dan kreatif dalam menyampaikan informasi, merakam peritiwa serta menjadi sumber kepada perkembangan intelektual. Menoktahkan kalam, wajarkah kita bertanya, dimanakah hendak diletakkan hakikat serta posisi seni itu, adakah mahu diletakkan pada sandaran emosi atau inginkan ia teguh bertempat dalam cakerawala intelektual?
Rujukan
Collingwood, R.G. (1972). The Principles of Art. Cambridge, Massachusetts: Harvard Univerity Press.
Frithjof Schoun (1947). The Feathered Sun: Plain Indians in Art & Philosophy. Bloomington: World Wisdom Books.
Gardner, H. (1983). Frames of Mind: Theory of Multiple Intelligences. London: Heinimann.
Goleman, D. (1995). Emotional Intelligence. New York: Bantam.
Leo Tolstoy. (1960). What is Art. Los Angeles: Prentice Hall.
Muliyadi Mahamood. (2004). Segerak: Yusof Ghani. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Read, H. (1949). Education Through Art. New York: Pantheon Books.
Spencer and Dante. (1968). Two Pictorial Representatives of Evil, Melvin Goldstein.
Jurnal daripada Aesthetic Education, Vol. 2, No. 3, Special Issue: Art, Morals, and Aesthetic Education pp. 121-129.
William, R. (1982). The Sociology of Culture. California: Schocken Books
