KERAJAAN komited dalam memperkasakan seni, budaya, dan sastera negara sebagai langkah penting dalam membangunkan masyarakat Madani yang progresif, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) dan melancarkan 123 buah buku yang diterbitkan dibawah Projek Buku PENA – Malaysia MADANI, Muhammad Kamil menjelaskan bahawa ilmu dan pemikiran kritis adalah asas utama dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera dan berkemajuan.
“Mana mungkin kita dapat membentuk masyarakat yang progresif dalam pemikiran dan tindakan jika kita mengenepikan ilmu,” katanya.
Muhammad Kamil berkata, biarpun peruntukan yang diberikan untuk Projek Buku PENA – Malaysia Madani ini hanya satu jumlah yang kecil namun ia sangat bermakna yang besar.
Beliau menekankan bahawa ilmu bukan sahaja terhad kepada bidang akademik, tetapi juga merangkumi seni dan sastera yang dapat merangsang minda serta membentuk jati diri bangsa.
“Bagaimana satu jumlah kecil ini dapat memberi seribu makna kepada kelompok masyarakat,” katanya, menambah bahawa pelaburan dalam seni dan sastera adalah pelaburan dalam pembangunan manusia dan peradaban.
Muhammad Kamil menegaskan, kerajaan melalui Belanjawan 2025 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk memperkasakan seni dan sastera negara.
Beliau juga menekankan peranan penting penulis dan sasterawan dalam usaha kerajaan untuk membina masyarakat madani.
Penulis, menurutnya, berfungsi sebagai agen perubahan yang dapat mencabar pemikiran masyarakat, mengangkat nilai budaya, serta memberikan kritikan yang konstruktif kepada pembangunan negara.
“Peranan penulis sasterawan cukup penting dalam usaha kerajaan membina masyarakat madani,” tambahnya.
Peruntukan RM50 juta ini diharapkan dapat menyokong pelbagai program yang memperkasakan bidang seni dan sastera, termasuk sokongan kepada penerbitan buku, aktiviti seni, serta pembangunan karya-karya sastera yang dapat memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan rakyat.

