PENYATUAN di antara istilah seni dan propaganda merupakan terma penjalinan yang agak keras, radikal serta amat kurang digunakan secara meluas pada awal perkembangannya. Perkara ini menjadi sesuatu hal yang agak canggung, apatah lagi sekiranya mahu dikaitkan ia dengan wilayah dan daerah kesenian.
Seni, secara harfiah adalah ’percikan jiwa’ yang sering dihubungkan dengan estetika, keluhuran, kreatif, temperamen, bahkan diulit oleh ’kuntum-kuntum’ sentimental. Namun, dalam pada menyampaikan pesan dan maklumat yang memerlukan penegasan terhadap sesuatu perkara yang dianggap penting, elemen propaganda mula ’mencuri’ masuk ke dalam ranah seni, sebagai suntikan nilai energetik serta efektif.
Tujuannya satu, yakni untuk sesuatu pesanan itu tertanam teguh dalam minda khalayak pemerhati, lalu mempengaruhi jiwa mereka. Seni dan Propaganda, bolehlah dianggapkan sebagai jentera hadapan (frontier), untuk sesuatu mesej itu diterima dengan sewajarnya.
Dalam perjalanan sejarah, tidak dapat ditentukan secara tepat dan terperinci, bilakah ’penyatuan’ ini mula menceroboh ke gelanggang sejarah. Namun, sebuah peristiwa yang berlaku ada abad ke-15, bolehlah dianggapkan sebagai cetusan pemula akan tradisi seni dan propaganda ini pada sandaran sejarahnya.
Ernest Gombrich, seorang sejarawan dan kritikal seni lewat penulisannya dalam jurnal The Listener, pada 7 Disember 1939 berjudul “Art and Propaganda”, telah menuliskan catatan bahawa Seni dan Propaganda dimulai daripada ucapan lisan yang disampaikan oleh perawi dari Republik Czech, yakni Vaclav Hajek (1541).
Hajek meriwayatkan bahawa dalam tahun 1404, dua orang pelajar Teologi Kristian, iaitu Jacobus dan Conradus daripada ‘Kandelburg’ (Canterbury), telah berziarah ke Universiti Prague. Natijah daripada lawatan tersebut, mereka lalunya telah mengkritik kepincangan institusi gereja dan salah laku Ketua Paderi (Pope), yang terang-terangan sudah menyeleweng serta mengamalkan korupsi di atas nama agama.
Justeru, kedua-dua penziarah ini merencanakan hasrat untuk menghiasi bilik penginapan mereka di ‘Black Scythe’ dengan eskpresi imej dan mesej propaganda. Representasi visual ini memanifestasikan lukisan perbandingan di antara sosok piktorial kesederhanaan Nabi Isa (Jesus Christ), dengan imej kemewahan serta keangkuhan para pemuka gereja, agar dapat dipertontonkan kecurangan ini kepada khalayak umum.
Kritikan yang tajam dan keras di ‘Black Scythe’ ini, seterusnya menurut Gombrich menjadi katalis kepada tercetusnya sinergi di antara seni dan propaganda, dalam upaya menyebarkan pesan-pesan radikal. Berlanjutan daripada itu, hal ini telah membawa kepada apa yang diistilahkan oleh Gombrich sebagai Propaganda Pro, iaitu sesuatu mesej harus terus menusuk ke dalam jiwa rakyat dan Propaganda Anti, yang ditanggapi sebagai senjata yang sentiasa aktif, dalam mempersembahkan representasi-representasi yang bergelora.

Gombrich turut membahaskan mengenai seni dan propaganda, sebenarnya berdiri pada asas serta tataran yang sama. Elemen retorik pada pengamatan Gombrich, merupakan estetika klasik yang membawa erti bahawa seni perlu ditanggapi sebagai wahana yang berupaya membawa pengaruhnya secara verbal.
Propaganda bergambar, walaupun tidak sama tingkatnya dengan tatanan retorik (seni berbicara), namun keupayaan praktisnya sering dan selalu sahaja digunakan. Gombrich turut mempercontohkan pemaknaan propaganda sebagai satu usaha perang risalah oleh Martin Luther (1483–1546) dan Lucas Cranach, dalam menyatakan protes terhadap penyelewengan gereja.
Ia seakan-akan mengulang jejak serta inspirasi peristiwa ‘Black Scythe’, yang telah berlaku lebih awal sebelum tercetusnya Reformasi Lutheran di Witternberg, Jerman.Justeru, bertitik tolak daripada inisiatif Martin Luther, masyarakat dapat melihat fungsi gambar sebagai sebuah keunggulan memujuk (superiority of picture’s appeal), yang memberi justifikasi aksiologis, yakni perkaitan di antara seni dan propaganda.

Selain itu, pengabsahan yang jelas juga dapat dicermati melalui penggunaan propaganda bergambar yang sudah pun bermula dari era Napoleon, membawa ke zaman seniman ‘Romanticism’ Francisco Goya (Gombrich, 1939). Gombrich mendatangkan dalih, bahawa sesuatu imej atau visual berfungsi dalam konteks sosial, satu fenomena yang beliau istilahkan sebagai ‘The Ecology of Art’.
Rujukan:
Gombrich, E. H. (1939). Art and Propaganda dalam majalah The Listener, 7 Disember 1939 (m/s 1118-1120).
Gombrich, E. H. (1962). Art and Illusion: A Study in the Psychology of Pictorial Representation. London: Phaidon Press.
Gombrich, E. H. (1963). The Cartoonist’s Armoury. In Mediations on a Hobby Horse and Other Essays on the Theory of Art. London: Phaidon Press.

