Art Under 500: ‘Miss It And You’ll Die Standing’, kata poster pameran atau lebih tepat pesta jualan seni lukis yang terbesar yang pernah diadakan di pantai timur. Dan kamu tidak salah apabila meneka ini adalah kerja yang dilakukan oleh kumpulan Rajawali yang terkenal itu.
Tidak ada pesta seni sebesar ini pernah diadakan di sebelah pantai timur pada waktu itu dan dengan beraninya kami katakan bahawa belum lagi diadakan setelah itu.
Idea untuk mengadakan pameran ini datang apabila Rajawali sudah agak dikenali. Waktu itu kami sudah acap kali mengadakan pameran dipremis sendiri. Kami mengadakan pameran hampir setiap bulan dan penumpuan pada waktu itu untuk memberi peluang kepada semua artis yang duduk dibawah bumbung studio kami untuk mengadakan pameran solo. Ini adalah usaha untuk menaikkan nama pelukis-pelukis yang sudi bergadung dengan studio Rajawali.

Pameran solo pertama yang diadakan adalah untuk Abu Yusof. Abu memilih ‘Out Of The Blue’ sebagai judul pamerannya. Setelah itu kami mengadakan beberapa lagi pameran sehinggalah terbit idea untuk mengumpul seramai mungkin pelukis untuk sebuah pameran. Dan ‘Art Under 500’ adalah hasilnya.
Mengenai Abu Yusof, dia kini semakin sihat dan sewaktu kami menulis artikel ini, dia masih belum dibenarkan pulang. Abu terkena jangkitan kuman yang menyebabkan tulangnya menjadi rapuh.
Asalanya pameran tersebut mahu diadakan di premis kami sendiri namun apabila berita tersebut sampai kepada exco pelancongan pada masa tersebut, dia telah mencadangkan supaya acara tersebut dibuat di satu tempat yang lebih besar.

Mulanya kami agak keberatan. Walaupun kami ini kelihatan seperti mat belia 4B yang biasa kamu temui tetapi percayalah, kami ini sebenarnya seorang ‘punk’. Jadi bila diminta untuk mengadakan pameran tersebut di suatu tempat yang agak kerajaan, kami pun tidak mengindahkannya.
Namun dek kerana sambutan yang kami terima adalah di luar jangkaan dimana lebih dari seratus artis dari seluruh negara bersetuju untuk mengambil bahagian dan dengan lebih 300 karya yang perlu dipamerkan, ditambah pula dengan keinginan untuk tidak dilihat sangat anti establishment, kami jadi akur dengan cadangan tersebut.
Pameran ini datang dengan cabarannya sendiri namun itu untuk satu artikel lain.
Namun apa yang boleh kami ceritakan adalah dimana kerja-kerja menggantung semua lukisan tersebut kami serahkan kepada si Acai yang lagenda itu. Kami lupa samada dia melakukannya berseorang atau pun dengan pertolongan Ali Adenan. Ali pada masa ini adalah kanak-kanak yang senang digula-gulakan. Dan dia pula sangat mendewakan Acai. Lalu apa saja yang dikatakan oleh Acai adalah wahyu yang perlu diikut. Hari ini Ali adalah lelaki yang kecewa dengan Acai.

Seperti yang selalu kami ulang-ulang, memberi kepercayaan kepada Acai adalah suatu kerja yang menyesakkan dada. Satu hari sebelum pameran dan tidak ada sekeping pun lukis yang digantung. Kami panik namun Acai masih bertenang. Dek kerana panas hati, kami meninggalkan dia sendirian menguruskan kerja-kerja tersebut.

Esoknya dengan penuh debaran kami ketapak pameran dan dengan gembiranya kami boleh beritahu disini yang Acai telah berjaya menyusun semua lukis yang jika tidak silap perkiraan berjumlah lebih 300 keping. Semuanya dilakukan dalam masa satu malam. Tambahan pula dia melakukannya dengan teramat baik. Disinilah kelebihan Acai. Jika dia bersungguh maka dia dapat melakukannya. Dan lihat saja bagaimana dia ‘melakukan’ kamu semua. Dan kamu pula sehingga hari ini bila bertemu kami akan bertanya, Acai mana? Memang legenda Acai ini.

Tidak cukup dengan lebih 100 pelukis dari seluruh negara, kami bawa pula Pyanhabib, Meor Pesta Jiwa dan juga band The Keladak sebagai tetamu. Buat acara tempat kerajaan, jemput pula puak-puak kaki kritik kerajaan, kalau tak punk tak tau la…

Art Under 500 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Jika hasil jualan yang menjadi mercu tanda kejayaan maka pameran ini adalah pameran yang paling berjaya di pantai timur. Dan oleh kerana memang sudah terkenal sebagai kumpulan yang kaya raya, kami tidak mengenakan sebarang bayaran kepada peserta. Malah tidak ada sebarang komisyen juga diambil dari peserta. Lalu apabila pihak kerajaan yang memberi tempat teduh karya-karya yang dipamerkan meminta bahagian mereka hasil dari jualan, tidaklah dapat kami penuhi tuntutan tersebut.
Jika hal tersebut dinyatakan sebelum dari kejadian, mungkin kami boleh memenuhi permintaan tersebut. Kerana itu kami dapati, perbincangan atau lebih tepat mesyuarat adalah penting.
‘Art Under 500: Miss It And You’ll Die Standing’ kekal sehingga hari ini sebagai sebuah pesta jualan seni lukis terbesar di sebelah pantai timur dan memang tidak dapat dielak bila semua anggota Rajawali Art Group Internationale kembang hidung bila bercakap mengenainya.

Sebenarnya, kami tidak ada modal untuk menulis mengenai ‘2026 – Ruang Teduh Art Fair Exhibition – Twenty -Twenty Six’ yang sedang berlangsung itu. Lalu kami perkudakan kerja-kerja lama kami. Dan seperti sepatutnya, kamu mesti datang kepada acara tersebut.
Ini adalah pameran dan jualan yang mengabungkan seniman seniman ternama dengan mereka yang sedang membina kedudukan. Malah terdapat juga seniman yang pertama kali berpameran dalam acara ini.

Ucapan terima kasih tentu saja kepada nama-nama besar seperti Johan Marjonid, Zaim Durulaman, Fauzin Mustafa, Jalaini Abu Hassan, Calvin Chua, Mohd Noor Mahmud, Elly Nor Suria, Ade Putra Masri, Lok Kerk Hwang, Zainon Abdullah, Shireen Lee, Hamdan Shaarani, Zaharin Mohammad, Rosli Zakaria, Rim Sahat dan juga nama nama lain dengan penyertaan sebanyak 88 artis seperti yang tertera pada poster diatas. Sokongan mereka amat memberikan semangat kepada semua seniman yang baru menaik.
Pameran Ruang Teduh Art Fair 2026 ini ideanya datang dari si Rahim ‘good morning’ dan kami hanya membantu sedikit dimana perlu. Pameran tersebut sedang berjalan dari 14 Februari 2026 sehingga 14 March 2026.
Nota Editor:
Untuk pameran ‘2026’ ini semua karya yang dipamerkan cuma berharga dari RM2026 dan kebawah!
Kunjungi Pameran ‘2026’ – Ruang Teduh Art fair Exhibition yang bertempat di:
Ruang Teduh Gallery
Lot UG 31 & 32, Menara Exchange 106, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur.
T: 011 5758 8500 E: ruangteduhgallery@gmail.com
www.instagram.com/ruangteduhgallery/
– Abdullahjones– Pelukis, penulis, pemuisi dan juga kurator ini sedang dalam gundah-gulana dan remuk-redam hatinya kerana telah kehilangan ‘art piece’ berupa sebuah arca, mahakarya dari Pamannya. Beliau kini sedang mencari guru mursyid untuk menghilangkan ‘wahn’ serta mengembalikan sifat zuhud di qalbunya.
