SENI dan identiti adalah dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Setiap karya yang dicipta pastinya mempunyai sentuhan unik seseorang artis yang menghasilkan karya ciptaannya dalam bentuk apapun seperti lukisan, puisi, cerpen dan lagu. Dalam artikel ini saya ingin berkongsi karya seni lukisan bertemakan identiti diri sebagai anak Malaysia yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Tiga lukisan berjudul Akar, Mentera dan Bunga telah dihasilkan sewaktu saya melanjutkan pelajaran di University of Oxford manakala lukisan Darah pula telah dihasilkan pada tahun 2016 sewaktu saya berkerja sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta Tanjung Rambutan.
Lukisan Akar adalah salah satu lukisan daripada Koleksi Suratan. Ia merupakan satu simbolik identiti yang ingin saya ketengahkan sebagai anak Malaysia yang lahir di Johor. Johor mempunyai kawasan hutan paya bakau yang unik seperti Taman Negara Pulau Kukup yang menjadi tempat persinggahan burung air dalam Laluan Asia-Australasia sewaktu bermigrasi. Akar pokok bakau dijadikan sebagai rujukan dalam naratif yang ditulis kerana ia mempunyai keupayaan luar biasa untuk hidup dalam persekitaran yang mencabar. Ia bukan sahaja mampu untuk terus hidup dalam persekitaran air masin yang membunuh kebanyakan tumbunan, malah akar pokok bakau teguh berdiri walaupun dilanda ombak dan badai.

Akar tersebut dijadikan sebagai satu sumber inspirasi untuk terus berjuang bagi menggapai impian walau apapun rintangan yang dihadapi. Ciri daya tahan yang tinggi seperti akar pokok bakau adalah satu sifat penting dalam kehidupan kita. Daya tahan membolehkan seseorang bertahan dan kembali pulih daripada kesukaran yang dihadapi dalam tempoh yang singkat. Sewaktu saya melanjutkan pelajaran di peringkat PhD, daya tahan yang tinggi membolehkan saya menyelesaikan isu-isu yang dihadapi berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Strategi-strategi yang dirangka dalam tempoh kritikal juga membantu saya untuk tamat pengajian PhD dalam tempoh tiga tahun.
Dua lukisan lain yang dikongsikan dalam tulisan ini diambil dari Koleksi Kiriman yang diwujudkan untuk menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan Yang Esa yang telah mengurniakan segala nikmat selama ini. Koleksi ini juga merupakan satu penghargaan terhadap insan-insan yang penting dalam perjalanan saya untuk menggapai cita-cita bagi menggenggam segulung ijazah dari University of Oxford. Mereka adalah ibu dan bapa saya yang telah memberikan sokongan yang berterusan, bermula daripada kehidupan saya dalam kandungan ibu sehingga kini.

Lukisan Bunga daripada Koleksi Kiriman membawa elemen restu dan doa ibu bapa yang sememangnya penting dalam masyarakat Melayu. Masih segar dalam ingatan sewaktu pencarian penyelia bagi mendapatkan tempat di universiti-universiti ternama dunia sekitar tahun 2020–2021. Perjalanan itu berliku kerana kesulitan mendapatkan penyelia yang dapat menawarkan tempat, kepakaran dan projek penyelidikan di universiti yang diingini. Pada ketika itu, Mak dan saya mempunyai pandangan berbeza mengenai perancangan saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Setelah perbincangan hati ke hati dan akal ke akal, Mak akhirnya merestui keputusan saya untuk berbuat demikian.
Saya percaya bahawa rezeki dalam mendapatkan surat tawaran dan biasiswa-biasiswa (Yayasan Khazanah, Kementerian Pengajian Tinggi, MARA) adalah kerana limpah kurnia-Nya dan doa ibu bapa yang memudahkan lagi semua urusan tersebut, selain daripada usaha yang dicurahkan. Bunga adalah judul diberi yang membawa maksud keberkatan dan restu ibu bapa menjadikan kejayaan yang diperolehi berbunga-bunga atau berganda-ganda.
Lukisan yang diberi judul Mentera dalam dari Koleksi Kiriman mengetengahkan elemen padi yang merupakan satu simbol penting dalam masyarakat Melayu. Tumbuhan ini bukan sahaja menjadi sumber makanan utama dalam masyarakat Melayu, tetapi mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan bahasa, adat dan budaya Melayu. Terdapat lebih daripada 30 peribahasa yang menggunakan padi dan unsur-unsur lain yang berkaitan dengan padi seperti bernas dan antah. Sebagai contoh, “ilmu padi, makin berisi makin tunduk” dan “ada padi, segala menjadi” adalah peribahasa yang sering dipakai dalam masyarakat Melayu. Peribahasa-peribahasa Melayu yang menggunakan padi sebagai kiasan adalah penting untuk menyampaikan pesanan-pesanan berkaitan dengan hubungan kekeluargaan, pembentukan keperibadian yang tinggi, rezeki, dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Turut diinspirasikan oleh lagu Mentera Semerah Padi ciptaan M. Nasir, semangat kemelayuan dijadikan pemangkin dalam penghasilan karya Mentera. Sebagai seorang pendatang yang berkelana di Bumi Inggris, saya harus kuat berjuang untuk menggapai impian dan memanfaatkan segala peluang yang datang. Peluang pameran yang ada saya gunakan untuk mengetengahkan pesanan-pesanan yang membawa elemen bahasa, adat dan identiti, selain daripada kesihatan mental.
Lukisan Akar, Bunga dan Mentera pernah dipamerkan di beberapa tempat termasuk University of Oxford, Royal Lancaster London dan National Army Museum London. Pameran di National Army Museum London merupakan salah satu titik penting dalam perjalanan seni saya kerana majlis yang diadakan adalah sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-66, Hari Malaysia ke-60 dan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 yang berlangsung pada 12 Oktober 2023. Anugerah Pengiktirafan Kesaksamaan Bangsa 2024 oleh University of Oxford dan Anugerah Bitara 2024 bagi kategori seni visual oleh Universiti Kebangsaan Malaysia juga merupakan satu pengiktirafan besar yang pernah saya perolehi. Saya tidak pernah menyangka bahawa karya lukisan yang pada awalnya bermula dengan minat seni untuk mengisi masa lapang dapat dikembangkan sebagai satu produk yang dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Lukisan Darah pula adalah lukisan yang dihasilkan pada tahun 2016. Lukisan ini mempunyai ciri yang agak berbeza berbanding tiga lukisan lain yang dijelaskan di atas. Berbeza dengan tema abstrak, lukisan ini mempunyai gambaran objek yang jelas iaitu seokor kambing biri-biri. Lukisan biri-biri merah ini diberikan judul darah sebagai satu simbolik terhadap darah yang tumpah sewaktu pejuang-pejuang tanah air sewaktu mempertahankan negara daripada ancaman penjajah. Biri-biri pada lazim mempunyai bulu berwarna putih. Dalam naratif lukisan Darah, saya menginterpretasikan biri-biri yang berlumuran darah itu sebagai penjajah. Interpretasi ini adalah berdasarkan fakta di mana Inggris dan wilayah-wilayahnya (Australia dan New Zealand) mempunyai populasi biri-biri terbesar dunia.
Kesimpulannya, identiti dalam pelbagai bentuk merupakan satu elemen penting yang patut menjadi kebanggaan kita. Seni lukisan dan tulisan adalah salah satu landasan yang boleh digunakan sebagai ‘kiasan’ untuk membawa pesanan-pesanan penting di persada kebangsaan dan antarabangsa.
– Dr Fitri Fareez Ramli merupakan Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian beliau menumpukan pada kesihatan mental seperti gangguan mood dari aspek perubatan dengan ubat-ubatan. Selain itu, beliau juga turut mempunyai minat untuk menjalankan penyelidikan berkaitan dengan seni-seni yang dapat digunakan untuk meningkatkan kesihatan mental.
