PADA mulanya, saya tidak begitu berminat untuk mengunjungi France Miniature, sebuah taman yang menempatkan sejumlah model seni bina kenit bangunan-bangunan bersejarah, tempat, bandar dan kampung penting di Perancis dalam satu lokasi. Terletak kira-kira 44 km dari Paris, pada hemat saya, ini adalah sebuah lokasi pelancongan yang mungkin lebih memikat kalangan pengunjung kanak-kanak.
Namun, setelah diyakinkan isteri dan adiknya, saya akhirnya bersetuju menurut kehendak mereka untuk ke taman itu yang terletak di Elancourt, berhampiran bandar Versailles, kira-kira 20 minit perjalanan dengan kereta, dari tempat saya menginap sepanjang di Perancis daripada pertengahan Jun hingga Julai yang baru lalu.
Seperti kebanyakan lokasi tarikan pelancong di Paris, contohnya muzium dan galeri seni, tempat parkir kereta kebiasaannya sentiasa penuh, tambah-tambah lagi cuti sekolah musim panas baru saja bermula.
Di samping kereta, ada bas dan van yang membawa pelancong serta rombongan berkunjung ke sini, termasuklah kumpulan orang kelainan upaya.

Mujur taman yang luas ini disediakan dengan pelbagai kemudahan untuk mereka, termasuklah kerusi roda. Ciri-ciri keselamatan dan prasarana untuk kegunaan pelbagai jenis pengunjung ada di sini, memenuhi kriteria asas sebuah tempat awam.
Setelah membeli tiket berharga 27 euros, iaitu sekitar RM125 untuk seorang dewasa, kami bertiga mula berjalan kaki mengelilingi taman miniatur Perancis, yang dikenali dengan slogan “Melawat seluruh Perancis dalam sehari” itu.
Nampaknya harga tiket untuk melawat taman ini lebih mahal berbanding dengan harga tiket untuk memasuki muzium atau galeri seni, ataupun Taman Monet di Giverny.
Namun, harga tiketnya sama sahaja untuk pelancong tempatan mahupun luar negara, tidak seperti beberapa lokasi tarikan pelancong di negara kita. Mungkin ini selaras dengan prinsip negara Perancis, “Liberte, Egalite, Fraternite” iaitu “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan.”
Taman miniatur ini seperti negara Perancis yang sebenarnya, dengan kedudukan setiap bangunan dibina pada lokasi yang mengambil kira aspek geografi negara itu.
Jelasnya, bangunan itu diletakkan pada bandar atau tempatnya, taman ini juga seperti negara atau peta Perancis versi miniatur.
Sambil bergerak daripada satu model bangunan ke bangunan-bangunan lain, pengunjung dapat menghirup udara segar dan nyaman, serta menikmati landskap taman yang indah, bersih dan kemas.
Taman dan bunga memang menjadi kesukaan masyarakat Perancis secara umumnya, dan hal ini dapat dilihat di kawasan-kawasan pendalaman, ataupun pada pasu-pasu bunga beraneka warna yang disangkut atau digantung di balkoni atau tingkap rumah dan apartmen di kota, malahan Istana Versailles itu sendiri memang terkenal dengan keindahan tamannya.
Semua bangunan penting lagi bersejarah ada di France Miniature, seperti Notre-Dame of Paris, Arc de Triomphe, Eifel Tower, Chateau of Versailles, Cathedral of Orleans, Masjid Besar Paris, Moulin Rouge, Stade de France dan Pont du Gard, jambatan tua era Rumawi. Kesemua 116 monumen ini dibina dengan skala 1:30 daripada ukuran asal.

Hal ini memungkinkan setiap model ditampilkan seterperinci mungkin dari aspek bentuk, ciri-ciri dan sifat asalnya, seperti reka corak pada dinding dan jubin, reka bentuk pintu dan tingkap, arca, taman dan kedudukan bangunan itu sendiri. Hal ini amat menarik di samping menunjukkan ketelitian dan kemasan seni binaan yang luar biasa.
Taman ini mencerminkan gabungan disiplin pelbagai seni yang membentuk kreasi yang memikat dan hebat, daripada seni bina dan hiasan dalaman, disiplin seni visual lain, sehinggalah kepada seni halus, seni arca, seni reka bentuk bandar dan seni taman. Gabungan kepakaran ini mewujudkan pengalaman penghayatan yang luar biasa lagi menyeronokkan.
Di antara model-model miniatur pelbagai bangunan dan monumen yang dibina rapi ini, pengunjung dapat melihat aliran kenderaan di jalan raya dengan kesan bunyi yang mewujudkan suasana realisme serta rantaian gerabak kereta api kenit bergerak di rel sepanjang empat kilo meter tanpa henti.
Taman miniatur seluas lima hektar yang dibuka pada tahun 1991 dan merupakan taman miniatur terbesar di Eropah itu memang menjanjikan pengalaman yang mempersonakan lagi mengujakan.
Dari sudut yang lain, France Miniature bukanlah hanya sebuah lokasi santai untuk dikunjungi, malahan merupakan sebuah taman “edutainment” yang menemukan kepelbagaian bidang seni dan kreativiti, serta memainkan peranan dalam mempromosikan sejarah dan memelihara warisan negara Perancis.
Kreativiti yang sering kali dihubungkan dengan faktor-faktor imaginasi, emosi, aspek kognitif dan deria fokus manusia, pengalaman, persekitaran dan budaya itu diperkukuhkan dengan kesan kejutan yang dijelmakan menerusi realisme model-model bangunan kenit yang dibina.
Bergerak daripada satu bangunan ke bangunan-bangunan lain, pengunjung boleh membaca latar sejarah dan penerangan mengenai setiap binaan.
Di sini, aspek pendidikan sejarah dan warisan diterapkan secara santai dan menyeronokkan. Bagi pengunjung kanak-kanak, ada taman dan aktiviti permainan untuk mereka lakukan di samping mengenali sejarah tempat dan seni bina negara itu.
Saya lihat, banyak pengunjung merakam memori di sini, bergambar di pelbagai binaan yang mereka minati dan antara yang paling popular ialah Menara Eifel.
Bagi mereka yang meminati seni fotografi, mengambil gambar dari sudut yang pintar di taman ini akan menghasilkan rakaman suasana yang realistik sifatnya, bagaikan fotografi mencipta realitinya sendiri.

Sarjana Perancis, Claude Mollard dalam karya terpentingnya, Rekayasa Kebudayaan (ITBM, 2015) menekankan peri pentingnya kesemua pemain budaya, iaitu para pembuat dasar seperti pemerintah dan institusi; seniman; moderator seperti penulis, pengkritik, jurnalis dan sejarawan seni; dan khalayak memainkan peranan masing-masing bagi mewujudkan suatu sistem kebudayaan yang lengkap.
Biasan konsep dan gagasan itu dapat dihayati di taman France Miniature, di mana kreativiti dan seni bukan sahaja menjadi sebahagian daripada dokumentasi sejarah, warisan dan memori, malahan bertemu dengan ekonomi.
Dengan jumlah pengunjung sekitar 200,000 orang setahun serta modal bernilai 1,809,300.00 euros (franceminiature.fr/en/mentions-legales-dossier), taman ini bukan sahaja mengenai keindahan dan ketelitian rupa bentuknya, tetapi juga mengenai kaedah serta strategi pentadbiran dan pengurusan seninya.
Akhirnya, saya tidak menyesal berkunjung ke sini!
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

