Pada asalnya semua manusia adalah sama. Sampailah ras tiba-tiba muncul menjadi warna yang memutuskan perhubungan manusia. Sehingga agama berubah menjadi alat pemisah, sampaikan batas politik ditimbun dengan lambakan identiti kepartian yang sempit dan memecah-belahkan.
Semenjak itu manusia yang pada asalnya adalah satu dan sama sudah tidak dapat lagi hidup bahagia secara setara. Malah hingga kekayaan pun turut dijadikan modal untuk mengasingkan manusia sampai dikelas-kelaskan demi kepentingan yang sengaja direka-reka.
Kita sering jadi bingung. Entah mengapa orang Melayu senantiasa merasakan kemelayuan dan keislaman mereka di tanah Melayu ini selalu dikekang dan diancam oleh politik kecinaan.
Sukar untuk kita memahami. Entah mengapa orang Melayu akan selalu merasakan kelebihan ekonomi dan keistimewaan sosial mereka akan senantiasa hendak diranjau oleh kaum minoriti lain yang telah dijelaskan haknya dalam perlembagaan.
Apa jawapan yang boleh kita berikan. Kalau ada seorang anak kecil yang mempertanyakan mengapa Anwar Ibrahim seorang Perdana Menteri Melayu dan Islam yang sangat anti korupsi itu sangat diperangi oleh parti Islam dan parti Melayu sendiri?.
Apa alasan yang hendak kita berikan. Bilamana Chong teman baik sejak zaman persekolahan yang asyik diacum dengan istilah kafir harbi mengajak kita keluar minum lalu mempertanyakan.
Mengapa kerajaan perpaduan yang mengajak amalan Islam yang rahmah, berperadaban dan berpemikiran itu sebaliknya diancam dengan kata-kata kebencian?.
Tanya Chong ada seseorang yang ‘so called’ agamawan pernah mengungkapkan.
“Penubuhannya menipu rakyat dan seluruh dunia. Meletakkan jenama Kerajaan Perpaduan adalah menyalahi istilah ilmu politik, iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk.”

Tanya Chong lagi, kata-kata yang mahu disorot selepas ini bukan disebut oleh macai politik yang setiap saat hanya mahu menyemarakkan api kebencian. Tapi sebaliknya datang dari mulut presiden sebuah parti Islam yang mendakwa dirinya seorang agamawan.
“Betapa mereka paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep Ad-din yang wajib menjadi panduan.
“Tambahan pula, mereka melantik kepimpinan negara daripada kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu dengan sokongan bukan Muslim, bukannya sokongan kaum Muslim yang mendominasi penduduk negara.
“Calon pemimpinnya berpindah-randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.”
Serasanya Chong yang acap kali dilabel bukan Islam dan bukan Melayu itu semacam mahu ditolak dan sungguh-sungguh hendak diketepikan.
Kewarganegaraan Chong yang disinggung seakan mahu disanggah sebagai rakyat.
Chong mempertanyakan semua itu bukanlah sangat kerana dia rasa tersinggung. Akan tetapi kerana dia bingung. Mengapa dia yang hanya mahu hidup secara harmoni dan cari makan dengan aman, hanya dapat melihat Islam sebagai gerakan yang kecanduan politik dan kemarukkan kekuasan.
Chong hanya cuba untuk memahamkan. Mengapa anjuran masyarakat madani yang mengajak seluruh rakyat untuk mengangkat keadilan sosial untuk saling hidup bahagia bersama masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam demi mencapai suatu kelestarian hidup yang lebih sentosa, lebih serasi dan lebih memahami demi mengecap kebahagiaan itu dipertikai dan diperbalahkan?.
Jawapannya adalah kerana adanya orang politik seperti Hadi yang seronok menyampingkan fungsi penting seni pada aspek sosial dan rasa puas bila dapat mengenepikan peranan besar kesenian dengan hubungan kepolitikan.

Politik yang seni sarankan adalah sesuatu yang saling menghubungkan antara kumpulan minoriti dan majoriti dalam suatu bentuk wacana yang menggerakkan.
Gerakan-gerakan hasil dari wacana berkenaan akhirnya akan memberikan ruang kepada pembebasan fikiran yang menentang penindasan.
Malah menurut seni, politik yang mengekslusifkan ras dan agama tertentu pasti pada akhirnya akan melahirkan kumpulan pelampau ras dan ekstreamis agama yang represif dan gemar menindas.
Tatkala kesejagatan agama tidak lagi mahu diraikan, fikiran manusia akan mudah dipenjarakan. Pemikiran manusia anti universal dengan cara kebobrokan politik bergini akan dengan pantas dan cepat sejuk dan membeku.
Pemikiran beragama gaya parti Melayu dan parti Islam berketuanan secara melampau yang kita lihat hari ini hanya akan merubah agama menjadi benda. Benda yang keras, pucat dan beku tak bergerak seperti berhala.
Melalui cara politik Hadi yang mengenepikan seni, agama tak ubah persis skrap getah yang boleh dijual beli dalam komoditi politik mengikut kehendak permintaan kekuasan yang ditentukan sepenuhnya oleh pasaran undi.
Mohon untuk aku kongsikan sedikit pengalaman dari masa kecil aku dahulu.
Sebelum Islamofobia, Cinafobia dan Madanifobia itu muncul jadi fesyen-fesyen pemikiran politik yang tular. Sudah wujud kelompok filemfobia dan tivifobia yang berlagak benar serta beracah-acah suci menyampaikan mesej-mesej pening yang dangkal. Ia malah diajarkan di atas pentas-pentas politik dan mimbar.
Aku membesar disebuah perkampungan setinggan dalam satu daerah dipinggir sempadan Selangor dan Kuala Lumpur. Pada waktu itu Amanat Haji Hadi yang diucap pada tahun 1983 di Banggol Peradong, Kuala Terengganu sudahpun menjadi pegangan.
Masih terngiang-ngiang dalam fikiran.
“Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan puak-puak ini, kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku.”
Sebagai budak setinggan, keinginan aku hanya lebih tertumpu kepada macam-macam joget dan tarian. Keseronokkan dan keterujaan aku waktu itu lebih tertumpu pada seniwati Rubiah Suparman yang aku kenal dalam acara-acara tayangan wayang pacak anjuran Jabatan Penerangan yang mengulang-ulang tayang filem ‘Bila Hati Telah Retak’ dan ‘Pertentangan.’

Dari segi fizikal, perkampungan setinggan Kampung Nakhoda tempat aku membesar itu memang tampaknya seperti kampung biasa-biasa yang dapat dilihat. Akan tetapi apa yang menarik adalah apabila orang-orang kampung yang hidup dalam perkampungan setinggan itu sebetulnya tidak juga begitu sangat kampungan dari aspek fikiran. Pada asalnya mereka berpegang pada faham-faham adat, agama, sosial dan politik yang universal. Kami yang hidup di sana pada asalnya sangatlah bersifat sejagat.
Dinamika asal fikiran dan kerencaman usul pemikiran yang dibawa dari penghijrahan bermacam latar ceruk ke perkampungan setinggan itu memang luar biasa universal.
Kampung Nakhoda tempat aku membesar yang aku kenal itu tidak pernah ada berlaku penindasan atau pemencilan terhadap mana-mana kumpulan. Kumpulan majoriti dan kelompok minoriti bisa saja hidup rukun dan damai sehinggalah kumpulan Al-Arqam dan Al-Qadiani datang membuat penempatan.
Buat beberapa tahun, dua kumpulan jemaah ajaran itu hidup bersama kami penduduk kampung setinggan itu dengan rukun dan aman. Sampailah muncul sejenis pemikiran beragama yang seakan-akan mahu mempertahankan agama dan dogma yang dilihat ‘defensive’, ‘over reactive’ yang akan cepat melompat mempertahan diri dari sangkaan diganggu-gugat oleh kumpulan Al-Arqam dan Al-Qadiani.
Kebangkitan gerakan-gerakan agama di kampung itu mula mengurang hingga menghilangkan segala joget dan tarian seperti kuda kepang yang aku sering lihat. Van Jabatan Penerangan sudah tidak lagi datang untuk menayangkan filem-filem lakonan Rubiah Suparman.
Parti UMNO dan parti PAS akhirnya saling bersaing hanya untuk meyakinkan penyokong mereka bahawa merekalah sajalah yang terpaling berjuang melawan Arqam dan Qadiani yang mereka mulai kata jahat dan sesat.
Pertarungan ini berterusan. Sehingga parti dalam kerajaan mengambil langkah menfatwakan Arqam dan Qadiani sebagai sesat dan harus dijauhi masyarakat. Ada banyak sekali prejudis dan sangkaan buruk yang bertebaran. Aku terpaksa menjauhi teman-teman Arqam dan Qadiani yang aku kenal.
Islam pernah menjadi emansipatoris. Yakni kekuataan dalam upayanya membentuk dan mendirikan tradisi yang sangat menitikberatkan metadologi tradisi pembacaan dan berfikiran walau dengan cara meminjam kebijaksanaan-kebijaksanaan yang berada diluar dari tradisi sendiri. Justeru bukan sesuatu yang aneh kalau Islam dahulu selalu meminjam pemikiran liberal atau falsafah-falsafah barat yang berdasarkan fakta keuniversalan humanis dan kesejagatan kemanusiaan demi menyelesaikan masalah-masalah manusia dalam kehidupan.

Inilah Islam yang pernah dilihat pada zaman nabi yang membebaskan manusia dari kezaliman, kejahilan dan penindasan.
Gerakan seni harus mengembalikan gerakan pembaharuan yang berkeupayaan melahirkan nabi. Seni melalui nabi yang dilahirkan itu nanti akan merubah kegilaan yang terjadi pada Chong. Apa yang pernah kita lihat berlaku pada Melayu di Banggol Peradong dan Kampung Nakhoda tidak perlu berulang dan harus mesti diubah dengan memperbaharui keimanan. Agar tuhan tidak lagi dilihat hanya sebagai berhala. Ibadah tidak hanya berbentuk formula dan kiraan matematik untuk ke syurga, dan kepercayaan bahawa kewujudan seni atas dunia harus diganti dengan ritual-ritual yang membodohkan pemikiran.
Seni perlu ada gerakan pembaharuan yang mahu kembali melihat sosok seperti Rubiah Suparman adalah manusia yang dapat menyatukan. Seni seperti kuda kepang akan bisa mencairkan agama yang telah menjadi benda itu kembali untuk menjadi Islam sebagai pembebasan amalan dan fikiran manusia dari kejahilan dan pembodohan yang sering digunakan oleh parti-parti politik dalam merebut kekuasaan.
Seandainya itu tidak kita lakukan semua senia akan hilang dan digantikan dengan ceramah-ceramah politik yang sebetulnya memperbodohkan fikiran dan membantutkan pemikiran.
******************
Tulisan yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak mewakili pendirian Seni Malaya.
