“Back to Basics” atau “Kembali kepada Asas,” itulah semangat yang dapat saya rasakan dan cerap daripada beberapa sesi forum dan pameran seni cetak yang berlangsung dan sempat saya kunjungi serta ikuti sepanjang empat bulan ini.
Pada 23 Jun 2025 (Isnin) telah berlangsung majlis perasmian pameran “Blue Print: Red Edition” oleh Profesor TPr Dr. Jamalunialli Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM) di Galeri Seni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Shah Alam dan diikuti dengan sesi bicara seni “Legasi Seni Cetak” yang menampilkan seniman cetak Juhari Said, Haafiz Shahimi dan Faizal Suhif pada sebelah petangnya di Auditorium Seni Halus fakulti yang sama.
Turut diadakan bersempena pameran tersebut ialah “Printmaking Open Day: Ink, Inspire, Interect” (Hari Terbuka Seni Cetak: Dakwat, Inspirasi, Interaksi” dan “Art Market” (Pasar Seni). Pada kedua-dua program ini, pengunjung boleh mencuba serta menyaksikan demonstrasi seni cetak serta membeli karya-karya cetakan terutamanya potongan kayu dan lino yang dihasilkan dan dijual oleh para pelajar dengan harga serendah sepuluh ringgit.
Pada 16 Oktober 2025 (Khamis) telah berlangsung majlis perasmian pameran “Barehands Residency Kuala Lumpur” di Galeri Aswara yang telah dirasmikan oleh Profesor Madya Suzlee Ibrahim, pelukis dan Dekan Fakulti Seni Halus Aswara. Perasmian pameran itu disusuli pula dengan sesi forum bersama lima orang seniman cetak residensi yang terdiri daripada Juhari Said, Luqman Yusry, Faizal Suhif, Fadli Mokhtar dan seniman cetak Indonesia Dr. Budi Adi Nugroho, dimudahcara oleh Nazura Rahime, yang turut berkongsi pengalamannya menghadiri Konvensyen Residensi Seni di Sao Paulo.
Pameran “Blue Print: Red Edition” yang dikuratorkan oleh Dr. Khairul Zikri Abdullah memperagakan sekitar 300 karya seni cetak yang umumnya menggunakan teknik tradisional seperti cetakan potongan kayu, lino dan gurisan dan telah dihasilkan oleh para pengkarya daripada pelbagai latar belakang termasuklah pelajar institusi pengajian tinggi, institusi perguruan, seniman cetak, dan orang awam yang pernah mengikuti beberapa siri bengkel seni cetak yang dikendalikan oleh studio cetak seperti Port Cetak di Shah Alam. Ini antara pameran seni cetak terbesar yang pernah saya saksikan dengan penampilan karya-karya berskala kecil dan sederhana.

Di samping menunjukkan semacam suatu kecenderungan baharu terhadap seni cetak tradisi, pameran tersebut menggambarkan usaha gigih para seniman peneraju seni itu yang kerap menganjurkan bengkel seni cetak di banyak lokasi termasuklah di sekolah-sekolah terpilih dalam negara bagi memberi kesedaran kepada khalayak mengenai keunikan seni cetak sebagai karya seni dan medium komunikasi visual serta menerbitkan minat mereka terhadap cabang seni itu. Salah seorang seniman cetak yang gigih mengendalikan bengkel seumpama ini ialah Mursyidah Zainal Abidin, pensyarah seni cetak di UiTM dan pemilik studio cetak, Port Cetak di Shah Alam.
Di samping mengendalikan bengkel secara solo, Port Cetak juga menjalinkan kerjasama dengan institusi dan studio seni lain, khususnya dengan Studio Chetak 17 menerusi penganjuran Pameran Inking di Studio Chetak 17 yang memperagakan karya-karya para pelajar bidang Seni Cetak, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam pada tahun 2022. Selain itu, Port Cetak juga pernah mengadakan bengkel seni cetak dengan kerjasama AP Art Gallery, Segaris Art Centre dan Hin Bus Depot di Pulau Pinang.

Usaha gigih Syidah Zainal ini didorong oleh hasrat dan wawasannya mahu melihat bidang seni cetak mendapat tempat yang lebih baik dalam konteks perkembangan seni kontemporari tanah air. Dalam satu sesi temubual yang saya kendalikan bersamanya di Port Cetak pada 9 Mac 2025, Syida menjelaskan, “Port Cetak merupakan sebuah ruang peribadi saya dengan tujuan untuk berkongsi ilmu dan mengamalkan kegiatan seni cetak dengan khalayak umum. Studio ini terbuka kepada sesiapa sahaja terutamanya para pelajar atau individu yang berminat untuk belajar dan mendalami bidang seni cetak. Sebagai seorang pendidik, saya merasakan, ilmu seni cetak perlu disebarluaskan agar bidang kesenian ini terus berkembang dan diminati ramai.”
Aktiviti-aktiviti seni cetak yang digerakkan oleh Syida Zainal melalui Port Cetak, Juhari Said melalui Akal di Ulu, dan malahan penawaran bidang pengkhususan Seni Cetak di institusi-institusi pengajian seni menjawab dan mengingatkan saya kepada keresahan seniman cetak terkenal tanah air Long Thien Shih ketika beliau menjadi kurator tamu pameran “Komunikasi Melalui Grafik – Seni Cetak” di Balai Seni Lukis Negara daripada 27 April hingga 30 Mei 1993 yang menyebut bahawa seni cetak tempatan masih berada di tahap pinggiran dan belum menerima sepenuhnya pengiktirafan masyarakat dan institusi tempatan.

Menurut Long Thien Shih, beberapa faktor yang melembapkan perkembangan seni cetak tempatan ialah tanggapan ramai bahawa seni cetak merupakan media ekspresi estetik sampingan dan kefahaman masyarakat yang cetek tentang keupayaan media seni ini untuk menghasilkan cetakan asli yang banyak. Dia turut menyebut seni cetak terhimpit kerana kurangnya penajaan badan-badan tertentu terhadap kegiatan seni ini jika dibandingkan dengan bentuk kesenian lain seperti catan dan arca (Muliyadi Mahamood, Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2001 Cetakan keempat 2011: 71).
Kini, keresahan yang diluahkan oleh Long Thien Shih kira-kira 32 tahun lalu itu sudah terubat dan terjawab jika ditinjau perkembangan seni cetak kini yang semakin mendapat sambutan ramai, khususnya melalui pelbagai aktiviti seperti bengkel, pameran, residensi, forum, dan seminar yang digerakkan sendiri oleh para seniman peneraju dengan sokongan institusi-institusi kesenian dan pusat pengajian tinggi.
Melalui usaha berterusan ini, semangat untuk melihat seni cetak berkembang serta kecenderungan terhadap teknik cetak konvensional atau tradisional dapat saya rasakan dalam sesi-sesi forum yang sempat saya hadiri bersempena pameran-pameran yang diadakan.

Dalam sesi bicara seni “Legasi Seni Cetak” yang menampilkan seniman cetak Juhari Said, Haafiz Shahimi dan Faizal Suhif, meskipun mereka menyuarakan kecenderungan terhadap penerokaan-penerokaan baharu dalam seni cetak, seperti yang diterajui Juhari dalam “Go Block” yang menampilkan cetakan alternatif dan cetak lanjutan, penekanan terhadap asas-asas seni cetak itu tidak pernah dikesampingkan dan malahan bertidak sebagai asas kepada penerokaan-penerokaan baharu: jelaslah, menguasai yang asas itu amat penting bagi menghasilkan sesuatu yang baharu dan inovatif.
Malahan, Haafiz Shahimi yang ketika ditanya apakah kaedah terbaik untuk menyemarakkan bidang seni cetak atau mengajar kesenian ini di institusi pengajian seni menyarankan agar pendekatan pengajaran pensyarah-pensyarah seni pada tahun-tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan yang tegas, garang dan teliti itu harus dikembalikan dan dihidupkan semula. Menurutnya, pada tahun-tahun itu, adalah suatu kebiasaan bagi tenaga pengajar untuk mengoyakkan, mencampak dan membuang karya-karya pelajar yang tidak mencapai mutu yang dikehendaki atau dihasilkan sambil lewa. Menurutnya, pendekatan pengajaran seperti ini akan membuatkan pelajar lebih serius, komited dan bersungguh-sungguh dalam berkarya dan menuntut ilmu.
Di samping mengendalikan bengkel seni cetak dan gerakan “Go Block,” Juhari Said amat dikenali menerusi Barehands Residency yang dikelolakannya bermula dengan projek “Tanpa Dinding Tanpa Tapak, Pameran Arca dan Instalasi,” (“Off Walls Off Pedestal, Outdoor Installation and Sculptures”) di kediaman dan studionya Akal di Ulu pada tahun 2002. Menurut Juhari dalam sesi forum di Aswara, sejarah residensi itu bertitik-tolak daripada minatnya untuk mengembara. Jelasnya, sejak berusia 15 tahun lagi dia sudah mula mengembara, bermula di Malaysia, kemudiannya Asia dan Eropah.
Sambil menyifatkan bahawa program residensi itu sebagai suatu “post-learning process,” bagi Juhari kepentingan mewujudkan residensi itu bermula daripada kesedaran perlunya diwujudkan suatu jaringan atau hubungan persahabatan antara para seniman.

Justeru itu, Barehands Residency itu menekankan kepada nilai persahabatan, kejujuran dan keikhlasan. Di sini seniman “merendahkan” ego masing-masing, boleh berbincang dan berbalah, dan dalam masa yang sama bekerjasama antara satu dengan yang lain, tanpa mengira usia dan pengalaman, yang veteran dengan yang muda. Dalam konteks ini, residensi ini sebenarnya menekankan kepada nilai-nilai asas yang murni, iaitu kejujuran dan keikhlasan dalam diri, bukan hanya dalam seni, jelasnya kembali kepada asas: “back to basics.”
Faizal Suhif pula menjelaskan dia menjalani latihan amali atau “internship” di bawah bimbingan Juhari Said pada tahun 2007, namun hanya sepuluh tahun kemudian baru mendapat jemputan daripada seniman cetak itu untuk menyertai Barehands Residency. Sepanjang menjalani latihan amali di situ, dia melihat ramai seniman antarabangsa yang datang menemui Juhari dan terlibat dengan program residensi itu.
Dari situ dia mula faham konsep residensi yang Juhari Said perjuangkan dan amalkan, lantas kemudiannya memberi laluan kepada Luqman Yusry, bekas penuntutnya di Aswara untuk menjadi pembantu kepada Juhari Said. Justeru itu, tidak menghairankan karya-karya Luqman meneruskan kehalusan pendekatan cetak tradisi seperti gurisan dan potongan kayu yang halus lagi terperinci, seperti tercermin dalam pameran di Aswara ini.

Barehands Residency turut diadakan di kota-kota lain seperti Fukuoka, Jepun dan Bandung, Indonesia. Dr. Budi Adi Nugroho, pensyarah seni dari Institut Teknologi Bandung (ITB) yang terlibat dalam program kali ini mengimbau pengalamannya mengendalikan residensi itu di Bandung pada tahun 2017. Program itu dapat dilaksanakan di ITB berdasarkan adanya keperluan untuk seniman antarabangsa datang ke institusi pengajian itu sebagai salah satu penanda aras memenuhi keperluan penarafan, di samping mewujudkan jaringan seniman antarabangsa dan silaturahim seni.
Ketika Faizal Suhif dan Fadli Mokhtar menyertai residensi di Bandung, mereka sempat menyaksikan pelbagai peristiwa sosiopolitik yang berlaku termasuk demonstrasi jalanan, yang Budi Adi Nugroho sifatkan sebagai suatu “bonus” kerana mereka dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri realiti kehidupan di samping berkarya dengan menekankan aspek dan suasana persekitaran Bandung yang kaya dengan budaya tradisi. Bagi Budi, apa yang mereka lakukan dalam residensi ini adalah meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh seniman-seniman besar Bandung yang telah meninggalkan mereka buat selama-lamanya, seperti Setiawan Sabana dan A.D. Pirous.
Pameran dan forum Barehands Residency yang berlangsung di Aswara telah memberi peluang kepada audiens bukan sahaja menghayati karya-karya seni cetak yang cenderung kepada pendekatan dan teknik tradisional atau konvensional, malahan untuk memahami semangat, falsafah, konsep dan pendekatan residensi seni biaya kendiri itu.
Itu yang Juhari Said sifatkan bahawa residensi ini dibina atas dasar persahabatan, keikhlasan, kejujuran dan pengorbanan para seniman yang menyertainya. Pendekatan ini yang menurut Nazura Rahime dikagumi oleh penganjur-penganjur residensi global lain ketika dia membentangkan kisah Barehands Residency di persidangan rantarabangsa residensi seni di kota raya Sao Paulo baru-baru ini. Jelaslah, dalam dunia seni cetak kontemporari, masih terdapat kecenderungan untuk kembali kepada pendekatan, teknik, medium dan nilai tradisi.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
