Sesuatu yang mendatangkan kegembiraan di hati apabila penulis yang kita ikuti perkembangannya sejak awal kemunculan mereka kini bukan sahaja masih lagi produktif dalam berkarya, malahan namanya semakin disebut-sebut (bersama beberapa lagi orang pengkarya muda kontemporari yang lain yang saya turut kagumi juga) sebagai barisan baru yang akan memacu ranah sastera Melayu maju ke depan.
Orang yang saya maksudkan itu ialah Jack Malik, penyajak kelahiran Ipoh yang kini menetap di Lembah Klang. Sejarah hubungan saya dengan Jack tidaklah setebal seperti orang lain, kerana kami cuma pernah bersua muka hanya beberapa kali di luar dan banyak berhubung melalui WhatsApp dan direct messaging di dalam platform seperti Instagram.
Keterlibatan terus saya dengan pekerjaan puisi Jack ialah ketika dia meminta saya untuk menyumbangkan prakata di dalam buku kumpulan puisi sulungnya, Wannabe Sasau, yang diterbitkan pada tahun 2019.
Walaupun saya sudah pun terdedah dengan kerja-kerja persajakan Jack lebih awal lagi, kebanyakannya melalui video-video spoken words beliau di YouTube (dan saya perasan Jack juga memiliki suara yang merdu bila dia cuba melagukan sajaknya dalam salah satu video tersebut), penerbitan buku tersebut menguatkan telahan saya lagi tentang betapa dia adalah antara penyajak muda yang sangat berpotensi untuk mengambil tempat pengawal-pengawal lama dalam mengusung tandu sastera Melayu menuju ke singgahsana yang selayaknya.
Dengan penerbitan kumpulan puisinya yang terkini, Semesta Bougainvillea Di Penjuru Mata, telahan saya tersebut mungkin sudah hampir menjadi satu kenyataan.

“Homage” dan Intertekstualiti
Salah satu kelebihan Jack Malik berbanding penyajak-penyajak lain ialah luasnya capaian pembacaan luaran Jack yang menjadi penyubur benih dalam setiap penulisan sajak-sajak beliau.
Kebanyakan penulis cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan rembesan pengaruh luar terhadap penulisan mereka, tapi Jack bukan saja tidak segan untuk “menayang” susuk-susuk pengaruh tersebut dalam mana-mana tajuk sajak-sajaknya, malah pengaruh itu sudah tergaul rapi menjadi dirinya sendiri dan menemukan suara yang bertonakan harmoni Jack.
Saya tak mahu pembaca menyalahanggap bahawa Jack Malik kurang keaslian dalam penulisannya (adakah penulisan yang benar-benar “asli” dalam kesusasteraan?), kerana faktor keaslian bukan sekadar datang dalam bentuk gaya penulisan sahaja, tetapi juga suara dan pengalaman penyair itu sendiri.
“Homage” atau penghormatan Jack kepada para penulis yang menjadi hero dalam perkembangan kepenyairan beliau sehingga kini memang terpancar dengan lebih hebat dalam SBDPM; intertekstualiti dengan susuk-susuk ini dikarang dengan begitu berkesan tanpa saya merasakan ia sebagai sesuatu yang dipaksa-paksa.
Membaca Jack juga mengundang kita untuk turut “membaca” penulis-penulis Beat Generation dan Dadaisme, “membaca” T. Alias Taib, “membaca” AGI, “membaca” Latiff Mohidin, “membaca” Saleh Ben Joned, “membaca” tradisi sastera, di dalam dunia dan pengalaman yang uniknya adalah Jack Malik.
Itu salah satu faktor yang membuatkan saya tertarik dengan sajak-sajak beliau. Walaupun saya memang dari dulu sudah meyakini bahawa setiap penulis membawa seribu semangat penulis-penulis yang sudah mati, Jack ternyata mengesahkan posisi saya melalui kerja-kerja persajakan beliau di dalam Semesta Bougainvillea.
Tema Kerinduan Dalam SBDPM
Satu tema utama yang Jack Malik angkat dalam Semesta Bougainvillea ialah tema kerinduannya kepada tempat asalnya iaitu Ipoh. Ini tidak menghairankan bagi yang mengenali sajak-sajak Jack kerana tema berkenaan kampung halamannya memang sentiasa muncul dalam kebanyakan penulisan sajaknya.
Dalam SBDPM, tema tersebut juga menjadi lebih dominan lagi (petunjuknya ada pada tajuk itu sendiri, “Bandar Bougainville” juga merupakan nama gelaran untuk Ipoh menurut Jack) dan intensiti kerinduan itu dapat saya rasakan dalam mungkin sebahagian besar sajak-sajak dalam buku tersebut, terutamanya pada sajak-sajak dalam bab “Tujuh Gubahan Bunga Kertas Dan Sebuah Senandung Berputik” dan bab “Blues Lembah Kinta Dalam Tujuh Harakat” (juga sebuah penamaan tajuk yang sangat cool, saya kira).
Dan seperti apa yang diberitahu oleh Jack sendiri kepada saya, perlambangan “bunga kertas” itu memang merujuk kepada jati diri dan identiti serta asal-usul dan suatu ingatan kepada kampung halaman; sesuatu yang dia boleh kembali bila-bila masa di waktu-waktu keperluannya sebagai seorang individu di kota-kota asing.
Saya ingin mengambil contoh salah satu sajak yang membawakan tema seperti yang saya sebutkan di atas. Di dalam sajak “Bunga Kertas: Sonet”, selain mempamerkan kemahiran teknik Jack dalam membina sebuah sajak dengan bentuk dan gaya yang menarik perhatian visual pembaca, ia turut menggambarkan keresahan seorang pengembara pada tempat pulangnya dengan begitu berkesan.
Terutamanya pada rangkap ketiga dan dua baris terakhir sonet tersebut:
senandung batu kapur memanggil
dengan desah-desah sebuah lembah
yang ditinggalkan: betapa degil
jantungku: cahaya pun disimbah
pada bunga kertas yang menjalar
dalam dadaku: warnanya malar.
Pada baris pertama dan kedua di dalam rangkap ketiga tersebut, Jack merujuk secara tidak langsung melalui elemen yang berkait rapat dengan kampung halamannya, dan sekali lagi di sini, melalui dua baris terakhir sonet tersebut, perlambangan “bunga kertas” itu semakin jelas dimaksudkan sebagai jati diri atau identitinya yang terkait dengan sebuah tempat asal-usul; sesuatu yang “menjalar” dalam diri penyair dan bagaimana “warnanya” itu “malar”; tidak berubah walau sedikit pun.
Intensiti yang saya dapat rasakan melalui pembacaan berkali-kali pada sajak ini mengoncangkan perasaan saya dengan deras dan keras. Ini mungkin juga disebabkan oleh keterkaitan saya dengan tema tersebut kerana seperti penulis sajak ini, saya juga seorang perantau yang walaupun sudah agak selesa menetap di kota “angkat”, masih menyimpan seribu kerinduan kepada tempat yang menjadi tapak asal kelahiran saya.
Dan bagi Jack, “kesementaraan adalah sesuatu yang agak lama sebenarnya”. Di dalam keberadaannya sebagai seorang “penetap”, dia mencairkan dirinya dalam kepekatan tempatan, melalui keterperincian pemerhatiannya menerusi satu-satu persekitaran tersebut dan menyimpannya dalam ingatan kolektif yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk gubahan bahasa yang dinamakan puisi. Oleh yang demikian, ingatan-ingatan tadi akhirnya menjadi suatu penetapan yang kekal untuk beliau, walaupun bukan dalam bentuknya yang literal.

Jack Adalah “Penyair Kota” Yang Matang
Oleh kerana itu, saya melihat Jack sebagai seorang “penyair kota” yang matang, mengikuti jejak langkah barisan “hero” kepenyairan beliau seperti T. Alias Taib, Saleh Ben Joned. Pyanhabib dan mungkin juga Frank O’Hara.
Menterjemahkan dunia kota yang penuh ragam melalui penceritaan satu-satu hal yang mungkin bagi sesetengah orang sebagai “banal” dengan penuh kemahiran olahan bahasa persajakan merupakan salah satu kelebihan Jack Malik.
Pembaca boleh merujuk kepada sajak-sajak yang terkandung dalam bab pertama buku ini bertajuk Petaling Jaya Dalam Tujuh Korus sebagai contoh kerana saya tak mempunyai ruang yang mencukupi untuk satu esei yang pendek sebegini untuk membuat bacaan rapat bagi beberapa sajak yang berkaitan. Mungkin di ruangan yang lain.
Pendek katanya, buku koleksi puisi Semesta Bougainvillea ini bagi saya mungkin satu naskhah yang penting untuk dimiliki oleh semua yang menekuni perjalanan sastera Melayu masa kini, terutamanya di dalam ranah persajakan yang sudah tentunya begitu rancak ketika ini, dengan kehadiran ramai penulis-penulis muda semasa yang semakin meningkat mutu dan juga semangat penulisan mereka.
Saya berpendapat Jack Malik dan hasil kerja penulisannya yang terbaru ini merupakan salah satu pemacu yang berada di barisan paling hadapan.
Bandar Bukit Mahkota, Kajang
22 Julai 2026
Dapatkan Buku: Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata
