EKSPLORASI dan eksperimentasi yang lebih luas haruslah dilakukan dalam seni seramik. Seni seramik, khususnya seni arca, tidak semestinya hanya tertumpu dalam konteks peragaan dalam ruang galeri, sama ada di atas pedestal, ataupun digantung di dinding, malahan boleh digabungkan dengan pelbagai media lain seperti kayu, besi, kaca, logam dan berbagai-bagai jenis bahan alami lain. Seramik adalah medium yang tahan cuaca, oleh itu, seni ini boleh ditempatkan di ruang terbuka, di luar, bukan sahaja tertumpu atau terbatas dalam ruang galeri.
Itu adalah sebahagian daripada saranan dan isi penting ucapan Ham Rabeah Kamarun, seniman seramik tersohor tanah air serta mantan professor madya di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (AD), Universiti Teknologi MARA (UiTM) ketika melancarkan pameran seni seramik, “Laluan Terbuka” di PantauIRAGA Art Space, di Sijangkang pada 21 September 2024 lalu.
Di PantauIRAGA Art Space milik pelukis terkenal Awang Damit Ahmad ini, terletak juga Bangkita Studio Seramik yang diterajui anaknya Muhamad Iqbal, malahan kesemua pengkarya yang terlibat dalam pameran “Laluan Terbuka” ini berkait langsung dengan studio ini.

Mereka yang terdiri daripada Aidil Khai, Dila Im, Faizal Majid, Hayaatii Mazlan, Haziqah Hasdan, Mohd Azrul Aldan, Nadz Amin dan Trihanawati Supriyono merupakan lulusan bidang seni daripada universiti-universiti dan institusi pengajian seni tempatan, khususnya UiTM, Unimas, UMS dan IKN yang pernah menjalani latihan industri mereka di sini. Sebahagiannya terus bertugas di studio ini setelah menamatkan pengajian masing-masing, sama ada sebagai pengarca, pentadbir mahupun karyawan di sektor pengeluaran dan penghasilan produk.
Menurut Suhana Nordin, Pengurus Program Seni, PantauIRAGA Art Space, “Laluan Terbuka” adalah satu platform kebebasan untuk mereka bereksperimen serta membuat eksplorasi kemahiran teknikal dan artistik melalui medium seramik. Pameran ini tidak sekadar menjadi ruang pameran seni, tetapi juga platform penyelidikan yang mendalam, dalam mentafsirkan pengalaman peribadi dan budaya mereka (Katalog Pameran Laluan Terbuka, PantauIRAGA Art Space, 2024).
Pendekatan ini amat menarik memandangkan petugas di sektor industri kreatif khususnya yang berorientasikan pelanggan sering kali berkarya atas dasar memenuhi kepuasan hati pelanggan, berbanding kehendak dan kepuasan naluri estetik sendiri. Justeru itu, pameran “Laluan Terbuka” memberi mereka ruang berkarya atas inisiatif dan hasrat mereka sendiri, lantas pendekatan itu diangkat sebagai slogan pameran ini: “eksplorasi berdasarkan idea pelukis.” Mereka seolah-olah “berehat” sebentar daripada berkarya atas dasar tempahan dan berorientasikan pengkomersialan: mereka menjadi “pelukis” bukan semata-mata “pereka.”
Rentetan daripada itu, hal ini sebenarnya membezakan kaedah penghasilan karya seramik industri berbanding dengan seramik sebagai sebuah karya seni. Dalam penghasilan produk komersial, ketepatan dan keseragaman rupa bentuk buatan amat kritikal bagi sesebuah produk seperti set makan minum contohnya, berbanding dengan karya seni arca yang membenarkan kesan kespontanan seperti rekahan misalnya sebagai suatu aspek keindahan. Kesilapan dalam proses pengkaryaan seni seramik boleh melahirkan kesan visual penuh kejutan atau “element of surprise” yang indah, tetapi tidak dalam produk industri yang mementingkan pengulangan dan persamaan rupa dan reka bentuk, motif serta corak.
Sebagaimana disebut oleh Ham Rabeah, keindahan dalam seramik itu kadang-kadang tercetus daripada kesan kesilapan, tetapi bagaimanakah kaedahnya untuk mengulangi atau mendapatkan semula kesan “kesilapan” itu merupakan suatu cabaran, khususnya dalam produk seramik industri.
Lantaran itu, eksplorasi dan eksperimentasi amat penting dalam seramik bagi mendapatkan kesan estetik yang diinginkan. Tidak menghairankan, bidang seni seramik itu dilihat sebagai pertemuan di antara seni, sains dan inovasi.
Antara cabaran utama bagi mendapatkan sesuatu kesan estetik yang diinginkan ataupun bagi memastikan ketahanan sesebuah penciptaan, mutu dan sumber tanah liat yang merupakan medium asas seni ini amat kritikal. Hal ini kerana, tanah liat itu mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang berbeza dan luar jangka. Kalau dalam konteks negara ini, ia bergantung pada dari mana asal usul sumber asasnya. Ini adalah antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para seniman seramik tanah air.
Menurut Ham Rabeah, hal ini agak berbeza jika dibandingkan dengan luar negara, seperti di United Kingdom misalnya, di mana kita boleh membeli tanah liat yang telah siap diproses dengan perincian yang jelas dari segi ciri-cirinya serta kesan visual yang boleh dihasilkannya. Dalam konteks ini, membeli tanah liat untuk seni seramik, seolah-olah sama seperti kita membeli cat minyak atau akrilik untuk membuat catan.
Hal ini tidak sama seperti di Malaysia kerana sifat tanah liat yang berbeza-beza itu menyukarkan pengkarya untuk mendapatkan kesan visual yang serupa. Walaupun demikian, ini tidak menjadi masalah bagi karya seni, tetapi sukar bagi produk seni yang memerlukan kesan visual yang sama atau seragam.
Secara umumnya, empat tema utama dapat dikesan dalam karya-karya pameran “Laluan Terbuka,” iaitu alam semula jadi, persoalan jati diri, budaya tradisi dan nostalgia. Meskipun demikian, terdapat karya-karya yang saling bertindanan dari segi tema yang dimaksudkan.

Kepelbagaian sifat tanah liat tempatan memberi cabaran dan ruang kepada para pengkarya ini untuk membuat eksplorasi dan eksperimentasi. Ini yang disahut Trihanawati Supriyono menerusi karya-karyanya seperti “Sandad Siri 3” (2024) dan “Andang-andang Siri 2” (2024) yang menghubungkan medium tersebut dengan kiasan jati diri dan budaya Sabah menerusi penggunaan tanah liat dari negeri kelahirannya itu.
Menyentuh tema alami, karya Trihanawati mencerminkan sifat alam semula jadi yang kaya menerusi variasi bentuk, ritma dan warna. Ini yang Suhana Nordin sebutkan dalam tulisannya, “menyampaikan perspektif unik berdasarkan pengalaman hidup, tradisi dan interaksi dengan alam sekitar” (Ibid).
Karya-karya Dila Im seperti “Daeng Diki-Diki” (2024) dan “Lumah-Lumah Daeng” (2024) pula dengan jelas berhubungan dengan semangat memelihara dan memulihara kelestarian alam, khususnya pada ekosistem laut yang menjadi habitat pelbagai jenis hidupan seperti ikan dan terumbu karang. Peri penting penjagaan alam sekitar adalah bagi memastikan kelangsungan ekosistem hidupan laut yang terus terjamin di samping memelihara keindahan semula jadi dan menjamin sumber makanan. Lebih daripada itu, ini adalah perihal tanggung jawab manusia terhadap alam ciptaan Tuhan.
Menurut Dila Im, pendidikan formal asas seninya adalah dalam bidang multimedia, justeru itu dia perlu bekerja keras untuk mempertajamkan kemahiran dalam bidang seramik. Hasilnya amat memberangsangkan jika dihayati pada karya-karya arcanya yang kemas dan teliti dalam menggarap kehidupan laut dengan tajuk-tajuk karya menggunakan bahasa ibundanya bagi mengekalkan aspek budaya tradisi masyarakat Sabah.

Persoalan jati diri dan budaya tradisi menjadi fokus karya-karya Boy Azrul Aldan, Hayatii Mazlan dan Haziqah Hasdan. Karya Boy Azrul Aldan “Bahani Hansu” (2024) memperlihatkan kecekapan teknikal dalam mengolah bentuk yang rumit sebagai kiasan cabaran kehidupan, sementara Hayatii Mazlan menerusi karya-karyanya seperti “Cempaka Merah” (2024) dan “Cempaka Ungu” (2024) mengabadikan seni batik Pantai Timur dalam arca seramik. Pendekatan ini amat menarik dan luar kebiasaan, berbanding dengan penampilan seni batik dalam bentuk catan.
Haziqah Hasdan pula menimba inspirasi daripada kesusasteraan tradisional dengan mengabadikan cerita-cerita rakyat yang diketahuinya dalam bentuk arca dinding seperti “Sang Kancil dan Buaya” (2024) dan “Si Tangang” (2024).
Unsur-unsur nostalgia yang kuat dapat dihayati dalam karya-karya Faizal Majid, Nadz Amin dan Aidil Khai. Faizal Majid terkenangkan jasa ibu dan bapanya sewaktu membesar di tanah rancangan Felda, membantu bapa di kebun kelapa sawit sementara ibunya tidak pernah lupa untuk menyediakan teh dan kuih muih minum petang. Justeru itu, motif teko teh menjadi subjek arcanya seperti “Awal Perjalanan” (2024) yang digabungkan dengan motif buluh sebagai kiasan jasa ibu dan bapanya yang mendidik sedari kecil, bagaikan melentur buluh dari rebungnya.
Menggunakan pendekatan diorama, Nadz Amin mengimbau zaman kanak-kanak menerusi penampilan pelbagai jenis permainan yang dilaluinya semasa kecil, seperti dalam “Lompat Getah Zero Point” (2024) dan “Kejar-kejar Polis Entry” (2024). Aidil Khai pula menerusi “Siri Rumah Kampung” seperti karya berjudul “Ruang” (2024) dan “Khazanah” (2024) menampilkan inti pati dan simplifikasi bentuk menerusi satah-satah bagaikan dinding rumah yang masih berdiri. Ini bagaikan cebisan-cebisan nostalgia masa lalu tinggal di rumah kampung yang penuh memori.

Meskipun tanah liat merupakan antara medium seni tertua dalam tamadun manusia, seperti tulis Aizat Ahremi dalam esei pendeknya, “Tanah Li(h)at: Dari Asal ke Karya” (Katalog Pameran Laluan Terbuka, 2024), Ham Rabeah Kamarun dalam ucapannya menyebut bahawa seni seramik dalam konteks negara ini masih boleh disifatkan sebagai baru.
Mungkin apa yang dimaksudkan Ham Rabeah itu merujuk kepada perkembangan seni moden dan kontemporari Malaysia. Seperti seni cetak dan fotografi, seni seramik juga bergelut untuk mencari tempat dalam perkembangan awal seni moden Malaysia. Pelbagai usaha seniman perintis, kemunculan sekolah seni yang menawarkan program pengajian Tembikar dan Seramik seperti ITM dan keluasan pengertian serta kaedah pengkaryaan seni visual kini memperlihatkan keadaan itu kian berubah, malahan batasan definisi disiplin seni juga menjadi semakin kabur.
Pada peringkat awal perkembangan seni moden di negara ini, seperti seni cetak dan fotografi, seni seramik juga memerlukan peralatan dan kelengkapan studio dan bengkel yang khas, justeru menjadi sebahagian daripada rintangan yang melambatkan perkembangannya, berbanding seni catan.
Dalam perkembangan seni moden Malaysia, antara nama-nama penting selain daripada Ham Rabeah Kamarun yang turut menghasilkan karya-karya arca seramik signifikan termasuklah Yeoh Jin Leng, Faridah Yusof, Wan Ahmad Wan Mohamod, Hamdzun Harun, Abdul Rahim Jalil dan kini Umibaizurah Mahir@Ismail. Dr. Salwa Ayob dalam esei “Ceramic Works of Art: A Survey of the Permanent Collection of the National Art Gallery 1958-2007” (Susurmasa: Seni Lukis Malaysia Bersama 50 Tahun Balai Seni Lukis Negara. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 2008) memberi huraian dan tinjauan menarik mengenai perkembangan seni seramik di negara ini dan pastinya boleh dipadankan dengan apa yang dihasilkan oleh para pengkarya muda dalam pameran “Laluan Terbuka” ini.
Karya para seniman perintis seramik merentasi pelbagai tema dan subjek, daripada hal alam sekitar, keamanan sejagat, kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, sehinggalah kepada hal-hal berkaitan diri, tradisi, kemodenan dan pengucapan nilai keislaman. Dalam konteks ini, seni seramik Malaysia sebenarnya turut menjawab kepelbagaian tema, subjek dan isu yang turut diangkat oleh para seniman cabang seni lain seperti catan, arca, instalasi dan cetakan.
Pameran “Laluan Terbuka” di PantauIRAGA ini menunjukkan bahawa perjalanan kreatif yang masih jauh menanti pengkarya-pengkarya muda ini, namun seperti judulnya, laluan sudah dibuka untuk mereka membuat eksplorasi, eksperimentasi dan berpameran bagi mengikuti jalan yang telah dirintis oleh para seniman yang mendahului mereka. Jelasnya, “Laluan sudah Terbuka!”
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

