BAGAIMANA kalau saya kata, selera itu tidak sepenuhnya subjektif?
Betul, pada satu tahap, selera terhadap apa pun – muzik, filem, lukisan, makanan, pasangan – subjektif dan peribadi. Tak bijak untuk membahas selera atas sifat permukaannya yang subjektif; macam berbahas tentang sungai yang mengalir dari hulu ke hilir. Memang sifatnya begitu.
Tapi sungai boleh berubah. Memang akan selamanya mengalir dari hulu ke hilir tapi bentuknya, luas-lebarnya, dalam-ceteknya boleh berubah. Boleh jadi perubahannya terjadi secara alami, boleh jadi juga ia berubah kerana tangan manusia.
Begitu juga pandangan saya tentang selera, terutamanya selera estetik terhadap produk seni seperti muzik. Ia subjektif dan peribadi tapi dalam masa sama, ia juga sebuah konstruk, sebuah binaan. Sebab itu ada muzik yang digelar pop—nama panjangnya popular, diterima sekumpulan besar manusia dalam dunia.
Muzik pop sudah lama memasuki daerah politik melalui kuasanya yang lunak dan ia tidak bermula dengan kebangkitan K-Pop oleh Korea Selatan. Amerika Syarikat dalam era unipolarnya sudah lama menjadikan muzik sebahagian daripada kuasa lunak mereka sehingga istilah pop menjadi milik mereka.
(Korea Selatan perlu letak K di depan K-Pop untuk membezakan pop mereka dengan pop Amerika dan di Malaysia, pop, secara umum, merujuk muzik rancak Barat, bukan gaya muzik popular seperti sepatutnya. Perasan tak?)
Atas dasar itu, saya berpendapat bahawa selera muzik tidak sepenuhnya subjektif dan peribadi, sebaliknya boleh dibina dengan pengaruh dan jentera. Itu yang menyebabkan sebahagian gaya muzik popular lama dalam satu-satu industri manakala sebahagian gaya lain sampai ke sudah tak boleh pergi mana.
40 Tahun Sheila Majid
Saya hadir ke Konsert Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November lalu dengan jangkaan tinggi sebab saya tahu, Sheila bukan penyanyi biasa-biasa. Letaknya pada tahap elit. Dari cerita yang saya dengar dan baca, konsertnya sering bermutu tinggi.
Tapi mungkin saya terlambat. Tahun ini, usia Sheila Majid sudah 60 tahun. Saya terlepas kemuncaknya.

Secara keseluruhan, saya seronok dan berpuas hati dengan konsert tersebut, cuma ia tidak mencapai jangkaan saya yang terlalu tinggi. Dari segi produksi, semuanya mantap. Pasukan PR-nya cemerlang dengan pengurusan media yang lancar. Pencahayaan, letak duduk penonton, reka bentuk pentas, semuanya cemerlang.
Saya juga seronok melihat Jemput Dengar membuka konsert tersebut. Saya pernah lihat dia beraksi di gig kecil yang jual 20 tiket sampailah malam itu, dia megah di pentas besar. Pemilihan Kayda sebagai artis jemputan, walaupun berbaur nepotisme, tetap menggembirakan. Artis besar perlu beri ruang kepada artis baharu dalam konsert-konsert mereka. Ini amalan sihat—penyerahan obor, kata orang.
Cuma, saya tak jumpa Sheila Majid yang banyak dicerita orang sebelum ini. Sama ada yang bercerita sebelum ini terlalu mengangkat atau memang beliau sudah melepasi era kemuncaknya. Saya lebih percaya kemungkinan kedua.
Ada beberapa pendapat tentang konsert itu yang saya tak setuju. Pertama, yang kata vokal Sheila masih ‘maintain’.Tak, kualiti vokalnya sudah merosot. Tapi itu biasa, sebab dia manusia. Umurnya meningkat dan tak semua kemampuannya sewaktu muda terus kekal sampai ke tua. Itu normal.
Kedua, ada yang kata konsert itu mengukuhkan tempat Sheila sebagai Ratu Jazz. Itu mungkin jolokan yang diberi kepadanya sejak dulu tapi konsert itu tidak menyerlahkan sisi jazz Sheila. Pemilihan lagunya tidak berat ke arah jazz dan banyak susunan yang lebih ke arah pop.
Ketiga, tentang susunan muzik yang bagi saya, agak mengecewakan. Tiada masalah dari segi permainan sebab yang mengiringnya semua pemuzik yang hebat. Tapi dari segi susunan, ia agak membosankan untuk konsert sebesar itu. Dinamik-dinamik menarik dalam lagu-lagunya tidak dimanfaat sepenuhnya, terutamanya tiga lagu terakhir yang terlalu mahu di-synth-pop-kan sehingga meninggalkan pikat asal.

Tindakan menggelapkan pencahayaan pada bahagian pemuzik dalam banyak masa boleh difahami tapi saya tak fikir itu sesuai untuk Sheila. Memang yang perlu tampil gah dan ulung pada malam itu ialah beliau tapi dengan lagu-lagunya yang menuntut kemahiran muzik tinggi, saya mahu lihat para pemuzik beraksi. Terutamanya pemain bass yang sangat jarang disuluh kamera.
Saya perlu letak penjelasan di sini supaya tak disalah tafsir. Secara keseluruhan, ia konsert yang gemilang, malah berada di atas par. Tapi pujian-pujian yang dihambur tidak sepatutnya berlebihan. Untuk kata seolah-olah Sheila tidak terkesan dengan peningkatan usia langsung, untuk lambung konsert itu sebagai magikal, saya fikir itu berlebihan.
Saya lebih suka melihat Sheila atau sesiapa saja seniwan legenda sebagai manusia biasa yang selalu dimusuhi masa. Itu juga membantu saya menghargai tempoh panjang keseniwanan mereka yang berkembang, memuncak dan merudum seperti lazimnya semua perkara dalam dunia.
Legasi gemilang
Beberapa kelemahan dalam konsert gemilang itu tidak akan memadamkan legasi Sheila Majid yang, bagi saya, boleh dibaris dalam lima penyanyi perempuan terbaik yang Malaysia pernah ada.
Saya membaca catatan Zahid Ahmad tentang beliau dalam buku Tuk Tak (2021). Bagaimana album Emosi (1986) melonjakkan namanya bukan saja di Malaysia, malah di Indonesia. Zahid menulis, ketika jelajah Sheila Majid ke lapan bandar di Indonesia pada 1988, sambutannya sangat luar biasa. Di pekan Jember, dalam stadium berkapasiti 10,000 orang, peminatnya bersesak sehingga merusuh.

Bagi Zahid, faktor kecanggihan muzik buat Sheila diterima di Indonesia, terutamanya komposisi orchestral hit dalam Persis Kekasihku ciptaan Michael Veerapen yang selepas itu mempengaruhi muzik Indonesia. Saya fikir itu betul tapi tak boleh diketepikan charm seorang Sheila Majid itu juga.
Gaya vokalnya tersendiri dan memikat. Ia tenang, effortless tetapi ada kemerduan yang tersendiri. Malah, sosoknya sebagai penyanyi juga karismatik. Itu membantu mendorong namanya mendadak naik.
Satu lagi faktor penting, muzik yang dibawa Sheila adalah lonjakan dari muzik pop generik di Malaysia, malah Indonesia sewaktu itu. Banyak kredit perlu diberi untuk hal ini—Roslan Aziz, Michael Veerapen, kelab All That Jazz dan sesiapa saja yang membentuk muzik dalam Emosi waktu itu.
Gaya muzik tersebut dianggap lebih bermutu dan terkehadapan waktu itu. Dan ini label yang sering dilekat pada nama Sheila Majid—muziknya sofistikated dan biar saya buka subtajuk baharu untuk hal ini.
Selera kampung, selera bandar
Dalam konsert itu, beberapa kali Sheila mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang menurut beliau, “have a great taste in music”.
Betulkah muzik Sheila Majid mewakili selera yang baik dan tinggi? Yang tidak mendengar lagu beliau itu seleranya buruk dan rendah? Bagaimana kita menentukan selera muzik yang baik dan tinggi?
Persoalan ini rumit dan pastilah tidak mampu dijawab dalam beberapa perenggan. Penulis Indonesia, Idhar Resmadi pun perlu menulis satu bab khusus untuk membahas selera dalam bukunya, Jurnalisme Musik dan Selingkar Wilayahnya (2018). Tapi menarik untuk saya bawa idea Idhar di sini, terutamanya soal “kampungan vs gedongan” yang dibawa dalam buku tersebut.
Kalau di Indonesia disebut kampungan dan gedongan, di sini bolehlah kita sebut sebagai muzik kampung dan muzik urban. Secara mudahnya, muzik kampung itu muzik yang pekat elemen Melayunya, seperti balada meratap, dangdut dan muzik asli. Muzik urban pula pekat pengaruh Baratnya.

Gaya muzik Sheila Majid ialah muzik urban dengan elemen pop Barat dan jazz. Di mana-mana sudut dunia kecuali Barat, muzik urban yang dianggap lebih bermutu dan sofistikated. Tapi, di mana-mana sudut dunia kecuali Barat, muzik urban akan tewas dari segi populariti.
Mengapa muzik urban dianggap lebih bermutu dan sofistikated? Kita berbalik kepada perenggan awal saya dalam artikel ini, bagaimana selera boleh dibentuk dan dibina. Bagaimana dengan kuasa politik negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, sesuatu gaya muzik boleh diposisi sebagai tinggi, bermutu dan cool.
Idhar memetik pemikir Perancis, Pierre Bourdieu yang melihat selera sebagai sesuatu yang dibina secara sosial dan menjadi sistem pemisah dalam masyarakat. Ia boleh dikait dengan kebangkitan kaum borjuis di Eropah suatu masa dulu yang perlu memisahkan diri dari kumpulan masyarakat lain, yang sebahagiannya ditanda dengan selera seni mereka. Mereka hanya mendengar muzik tertentu dan menikmati karya tertentu.

Mungkin ini yang mengalir dalam pemikiran para pengulas muzik dalam media sosial selepas menonton konsert Sheila Majid. Saya tak salahkan Sheila per se sebab tugasnya bikin muzik dan dia memilih muzik yang urban sebagai identitinya. Tapi bila ada dalam kalangan peminatnya yang membezakan selera muzik sendiri dengan yang lain sebab mereka melayan Sheila Majid, dan memandang rendah pula mereka yang tidak, itu tanda-tanda kewujudan borjuis muzik di Malaysia.
Saya melihat gaya muzik Sheila Majid mewakili selera tinggi dan berkelas dalam kalangan pendengar dan ini dipengaruhi faktor ekonomi—muzik yang dibawanya biasa dimain di kelab-kelab yang harga airnya jauh lebih mahal berbanding teh o ais kedai tomyam yang buka pentas karaoke, tempat brader-brader rock jiwang nyanyi lagu Data, Lovehunters dan Jamal Abdillah.
Tetapi selera tinggi dan berkelas tidak mewakili mutu dan kualiti, begitu juga sebaliknya. Sebab selera itu subjektif, peribadi dan boleh dibina dengan kuasa politik mahupun sosial. Kalau kita boleh ketepikan semua faktor-faktor yang membentuk selera itu, barulah mutu dan kualiti boleh dinilai secara objektif.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
