“Penyair selalu mengeluh dan mencerca-cerca kesulitan, ketidakadilan, dan penderitaan. / Tapi yang benar, jauh di sudut hati dia tak mahu semua itu berakhir; di syurga, sajak-sajak akan dilupus”
VIII, Hadi Jaafar
Kuat Hadi berpegang pada kepercayaannya bahawa puisi datang dari daerah gelap. Muse sebenar bukan manusia, sebaliknya kesepian dan penderitaan. Tiada yang benderang pada benih puisi.
Di syurga, sajak-sajak akan dilupus.
Saya selalu mengingati buku Di Pinggulmu Ada Bulan sebagai buku sajak romantik kegemaran. Mungkin dahulu, bacaan saya banyak tertumpu pada bab kedua (Naratif Romansa Dari Daerah Walldavia) dan ketiga (Sajak Cinta-Kematian).
Dua sajak kegemaran saya sebelum ini ada pada bab pertama (Halo, Kesunyian!) dan kedua. Gemar sampai boleh hafal beberapa baitnya.
Saya gemar sebab dua sajak itu dibacakan Hadi dalam sebuah video persembahannya di 77 Mayford sambil diselang nyanyian lagu Fatal, antara lagu Laila’s Lounge kegemaran saya. Video persembahan itu dimuat naik pada April 2015 di Youtube. Entah berapa kali saya sudah ulang tonton.
Hidup Solitud (Dalam Variasi Sonet): V dan Sonet Pertemuan | Romansa Di Angkasa dibaca dengan karismatik. Intonasinya malah saya jadikan rujukan untuk menulis beberapa sajak.

Selesai membaca semula Di Pinggulmu Ada Bulan baru-baru ini, dua sajak itu mula dicabar. Walau belum dapat diputuskan sepenuhnya, Surreal dan Sepuluh Peratus dari bab dua, Mengenal Muse-ku dari bab empat, VIII dari bab lima dan Pengebumian Si Pengarang dari bab enam bertanding untuk menjadi kegemaran baharu.
Penyair meta abad ke-21
Di syurga, sajak-sajak akan dilupus.
Saya fikir, penting untuk dimaklum puisi-puisi yang dinyatakan itu datang dari bab mana sebab setiap bab membawa semangat dan tema berbeza.
Saya tak pasti konsep buku puisi sebegini selalu diguna pakai atau tidak tetapi ia cocok dengan Hadi. Mungkin sebab Di Pinggulmu Ada Bulan, setakat hari ini, merupakan kumpulan puisi tunggalnya. Kalau dia lebih prolifik, saya mahu setiap bukunya membawa tema spesifik.
Saya paling tertarik dengan bab lima (Meta Kopiko-Puitika) kerana Hadi mengkhususkan sebuah bab untuk puisinya yang bersifat meta. Penyair yang bercakap tentang kepenyairan.
Ia boleh jadi kritikannya kepada penyair lain tapi saya yakin, lebih pekat lagi renungannya terhadap diri sendiri.
Dalam IX, contohnya, Hadi tulis:
“Ini perumpamaan buat si penyair sepi di kota: / Seorang lelaki yang duduk di tengah gua yang dalam, / melaung dan meraung menanti pantul gema / yang tak akan pernah muncul.”
Sajak pendek ini merumus perasaan penyair yang tidak yakin diri, terlalu berat menapis karya sendiri dan selalu menyesali kata-kata. Kita tak kata hal-hal sebegini kepada orang lain. Nuansanya kekecewaan kepada diri sendiri.
Lagu dalam kepanjangan
Saya menikmati Di Pinggulmu Ada Bulan kerana kepelbagaiannya. Ada puisi pendek, puisi panjang malah prosa.
Yang mengikat kepelbagaiannya ialah gaya penulisan Hadi yang tersendiri. Saya menganggap dia pakar dalam dua perkara: menulis ayat-ayat panjang dan mengalun lagu dalam kata-kata.
Ayat Hadi banyak yang lewah. Mungkin ada yang tak suka (terutamanya para editor) tetapi saya melihatnya sebagai sebuah pilihan kreatif. Dan pastinya, ia diselamatkan lenggok bahasanya yang berlagu.
Maksud saya, kita boleh membacanya dengan intonasi yang sedap dan sedap itu datang kerana ayatnya yang panjang.
Contohnya dalam petikan sajak Ibu, Minta Tolong Ya, Bu ini:
“Akan ku kuncikan gerbang masuk supaya tidak ada bayang yang akan tembus; yang mahu rempuh pondok-pondok yang kugarap dengan keping-keping hatiku yang terkecai dihentak-hentak jalang.”
Banyak sajaknya yang sarat dengan kata ganda. Saya tak fikir fungsinya pada makna (untuk membawa makna jamak) tetapi lebih kepada intonasi. Kedudukan kata ganda itu juga seolah tersusun, menjadi panduan melodi untuk mereka yang membaca.
Walau bagaimanapun, di syurga, sajak-sajak akan dilupus.
Sajak gelap berpasir
Kandungan Di Pinggulmu Ada Bulan pekat dengan imej-imej gelap, sesuai dengan reka kulitnya yang menampilkan potret hitam putih bersama pencahayaan yang menyerlahkan bayang.
Sajak paling terang mungkin yang diangkat menjadi judul buku, Di Pinggulmu Ada Bulan.
Imej-imej gelap dalam buku ini boleh dikaitkan semula dengan tafsiran saya terhadap pandangan Hadi tentang muasal ilhamnya, iaitu kesepian, kesunyian dan penderitaan. Lebih-lebih lagi, di syurga, sajak-sajak akan dilupus.
Kegelapan sajak Hadi konsisten dengan karya muziknya, seperti When You Unfold Me, Prindu dan Sedar. Dalam buku ini, tidak begitu terlihat jelmaan Mawar Khayalan, Warm Cherry House dan Bebastereo.
Kegelapan itu juga, saya fikir, konsisten dengan diri Hadi sampai sekarang, walau banyak hal lain mungkin telah berubah. Di Instagram, dia banyak berkongsi koleksi foto hitam putih berpasir (grainy).
Kegelapan yang dibawa sebenarnya cocok dengan generasi sekarang. Generasi sama yang mengangkat genre shoegaze jadi popular. Generasi yang lebih banyak melihat hitam daripada putih. Generasi estetik berpasir yang merangkul pulihdiri (healing) separa nihil.
Hadi Jaafar terkehadapan, saya percaya. Cuma ayat panjang saja yang tak cocok dengan dunia hari ini.
Selepas 10 tahun, saya melihat Di Pinggulmu Ada Bulan sebagai naskhah wajib baca buat peminat sastera tempatan. Saya juga melihatnya sebagai naskhah yang cemerlang melawan arus zaman.
Andainya di para gobok tua Hadi masih tersimpan banyak himpunan kata (seperti mana banyaknya lagu Laila’s Lounge dan Hadi Jaafar yang tidak diterbit secara rasmi), saya menyeru dia keluar. Terbitlah buku lagi. Bunuh dahaga kami.
