“Sebenarnya kesungguhan untuk menubuhkan sebuah kumpulan drama di DBP timbul atas kekecewaan saya melihat seni bangsawan tiba-tiba dilupakan orang dengan bermulanya siaran TV pada tahun 1960-an.” Demikian tulis Sasterawan Negara Usman Awang pada buku cenderamata teater Sungai Mengalir Lesu pada September 1997.
Teater arahan A. Wahab Hamzah itu diadaptasi daripada novel Sungai Mengalir Lesu karya Sasterawan Negara A Samad Said dan dipentaskan oleh Badan Budaya DBP di Auditorium DBKL. ‘Kumpulan drama’ yang dimaksudkan oleh Usman Awang dalam buku cenderamata itu adalah Badan Budaya DBP yang pada awalnya dikenali sebagai Keluarga Seni DBP.
Badan Budaya DBP diasaskan oleh Usman Awang dan membuka langkah dengan pementasan teater sulungnya Tamu Di Bukit Kenny arahan Baha Zain pada 1967. Naskhah Tamu Di Bukit Kenny ditulis oleh Usman Awang. Bermula Tamu Di Bukit Kenny, badan budaya itu terus giat mementaskan teater.
Ismail Dahaman misalnya mementaskan tiga teater – Senirama Serirama (1971), Nasib Di Tanganku, Takdir Di TanganMu (1973) dan Setangi Zaman (1977). Pelukis tersohor di Jabatan Reka Bentuk, Mior Shariman Hassan (Mishar) mengarahkan teater Ikan-Ikan Di Kaca (1973).
Pada tahun-tahun sekitar 1980-an hingga 2000, Badan Budaya DBP merupakan satu-satunya kumpulan yang banyak mementaskan teater berskala besar serta menggabungkan pelakon-pelakon terhebat dari luar DBP. Antaranya Fauziah Nawi, Jalil Hamid, Mior Hashim Manap, Wan Maimunah, Liza Othman, Buyong Zasdar, Ahmad Busu dan Wan Hanafi Su.
Kalau dihitung, mungkin sudah ratusan pelakon teater dari luar DBP diberi peluang berlakon bersama produksi Badan Budaya DBP. Itulah caranya DBP atau lebih tepat lagi Badan Budaya DBP menyumbang dalam pembangunan teater. Pelakon-pelakon berkenaan mendapat pendedahan berharga yang sekaligus menjadi satu tanda aras yang dipandang tinggi dalam bidang teater.
Masa yang sama Badan Budaya DBP juga turut membina bakat-bakat baharu dalam lakonan teater dari dalam DBP sendiri. Sabri Yunus, Shahrizan Ahmad (Abon), Imuda, Ali Osman, Bohari Ibrahim dan Badrulhisham antara pelakon yang menggilap nama melalui penglibatan dalam Badan Budaya DBP. Sebenarnya itulah juga antara tujuan mewujudkan badan budaya iaitu membangunkan bakat dari dalam DBP.
Hampir semua teater yang dipentaskan oleh Badan Budaya DBP diarahkan oleh karyawan DBP sendiri, antaranya Baha Zain, Ismail Dahaman, Othman Haji Zainuddin, Anwar Ridhwan, Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, A Wahab Hamzah dan pengarah generasi baharu seperti Aris Othman yang juga Pengerusi Badan Budaya DBP.

Karya yang dipentaskan itu menjadi tanda aras teater negara ini secara umumnya. Pertama, disebabkan sebahagian besar pengarah hebat adalah pegawai DBP dan dengan sendirinya menghasilkan teater yang juga hebat. Keduanya, dari sudut kuantiti, Badan Budaya DBP adalah yang paling banyak mementaskan teater.
Maka kalau memperkatakan mengenai teater Malaysia, sebahagian besar teater yang dipentaskan oleh badan budaya itu dijadikan rujukan. Mahu tidak mahu, itulah hakikatnya dan semua karya itu turut membina landskap dan tanda aras teater di negara ini.
Bagaimanapun hal itu bukanlah menafikan hasil kerja karyawan dan kumpulan yang hebat di luar DBP dan sama-sama membangunkan teater seperti Mior Hashim Manap bersama Kumpulan Teater Kreatif, Mustapha Noor (Drama Centre) malah sumbangan karyawan dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Malah tidak dilupakan juga tokoh teater seperti Wan Ahmad Ismail dan Marzuki Ali dari Terengganu, Samad Salleh dan Ghouse Nasaruddin (USM Pulau Pinang), Kamarul AR dari Kumpulan Teater Hidayah dan Khalid Salleh atau Latip Arif dari Kumpulan Teater Artis Penjuru Alam (APA) dan Faridah Merican dengan The Actor’s Studio.
Salah satu kelebihan Badan Budaya DBP adalah banyak dalam kalangan pengarah, pelakon dan pasukan teknikal hingga tukang solek terdiri daripada pegawai dan petugas DBP. Itulah yang dilakukan sejak hampir enam dekad lalu dan pasukan itu silih berganti orangnya.
Badan Budaya DBP pernah mewakili negara ke Pesta Teater ASEAN pertama di Manila pada 1987 menerusi Tok Selampit arahan Zakaria Ariffin dan naskhah oleh Dr Anuar Nor Arai. Tok Selampit pernah dipentaskan di Auditorium DBKL sempena Malaysia Fest.
Pada 1992, Badan Budaya DBP sekali lagi diberi kepercayaan mementaskan teater Matinya Seorang Pahlawan karya Usman Awang dan diarahkan oleh Zakaria Ariffin di Minggu Sastera Malaysia di Universiti London.
Kini setelah menjangkau usia 67 tahun, Badan Budaya DBP terus mara dengan pementasan teater Haji Murat pada Jun lalu. Haji Murat yang diarahkan oleh A Wahab Hamzah dan Aris Othman sebuah teater yang meneruskan kegemilangan Badan Budaya DBP. Diadaptasi dari novel karya sasterawan besar Rusia, Loy Tolstoy oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan yang juga Pengerusi DBP.

Teater itu menyingkap ketokohan Haji Murat pejuang pembebasan minoriti Chechen yang ditindas oleh Rusia. Haji Murat dalam sejarah perjuangan Chechen adalah pemberani yang tidak pernah mati selepas kematiannya. Rusia yang besar daripada segala sudut itu tidak mampu menundukkan Chechen ketika zaman kemuncak Haji Murat tahun 1818 hingga kini.
Tahun lalu Badan Budaya DBP mementaskan teater Balada Si Angsa Hitam adaptasi daripada cerpen tunggal Sasterawan Negara Noordin Hassan. Balada Si Angsa Hitam yang diarahkan oleh A Wahab Hamzah menyingkap isu rentas benua – pergolakan geopolitik di Asia Barat.
Sebenarnya kelangsungan Badan Budaya DBP bukanlah disebabkan dokongan biaya semata-mata. Memang benar badan budaya itu mendapat dokongan biaya daripada DBP, termasuklah kemudahan dewan berbanding kumpulan lain yang terpaksa menyewa premis untuk membuat pementasan.
Itu hanya sebahagian sahaja yang menyumbang pada kesinambungan dari dekad ke dekad. Sebab utama adalah tradisi kecemerlangan yang sentiasa ditekankan oleh kepimpinan badan budaya itu dan juga pengurusan tertinggi DBP. Badan Budaya DBP tidak memilih jalan singkat mencipta populariti, akan tetapi mempertahankan kecemerlangan dengan mengutamakan kualiti.
Hal itu terbukti apabila teater yang dipentaskan oleh Badan Budaya DBP tidak terpisah dengan akar sastera, misalnya mengangkat pemikiran besar yang terdapat dalam karya sastera ke pentas teater. Tidak sahaja hasil karya sasterawan tempatan tetapi juga sasterawan antarabangsa.
Kegemilangan dua dekad terakhir abad ke 20 diisi dengan teater seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Salina arahan Johan Jaafar, Pelayaran Inderaputra (Othman Haji Zainuddin), Zaman Gerhana (Othman Haji Zainuddin), Pentas Opera (Zakaria Ariffin), Raja Lawak (Zakaria Ariffin), Penghuni Paya (Anwar Ridhwa), Sungai Mengalir Lesu (A Wahab Hamzah), Patah Sayap Terbang Jua (Othman Haji Zainuddin).

Tidak ketinggalan juga teater, Imam (Zakarian Ariffin), Perempuan Seorang Leftenan Inggeris (Zakaria Ariffin), Rumah Kedai Jalan Seladang (Johan Jaaffar), Sandera ( A Wahab Hamzah) dan Intan Yang Tercanai (A Wahab Hamzah).
Itu adalah sejarah gemilang sebuah badan budaya yang bernaung bawah DBP. Masa yang sama mendapat dokongan yang cukup memberangsangkan daripada Ketua Pengarah institusi bahasa dan persuratan seperti Syed Nasir Ismail, Hassan Ahmad, Haji Jumaat, A. Aziz Deraman, Awang Sariyan hinggalah Ketua Pengarah DBP sekarang, Dr Hazami Jahari.
Pada dekad gemilang dulu DBP dinahkhodai oleh ketua yang bukan sahaja seorang birokrat malah mempunyai cakna dan pemikiran seni yang tinggi. Mereka itulah yang menjadi pemangkin kepada lonjakan Badan Budaya DBP menghasilkan teater-teater hebat. Banyak dalam kalangan warga DBP bukan sekadar ‘pegawai kerajaan’ tetapi masa yang sama adalah karyawan yang turut berada di gelanggang seni.
Kegiatan berteater ini digerakkan oleh warga DBP daripada semua bidang dan lapisan. Mereka mengemudi hal-hal teknikal, pengurusan dan artistik. Antara pegawai tinggi dengan pekerja biasa tidak dibatasi jurang apabila mengambil bahagian dalam Badan Budaya DBP.
Johan Jaaffar misalnya adalah nama besar dalam kelompok generasi teater 1970-an yang mempelopori teater absurd. Beliau menggilap nama dengan beberapa naskhah sendiri antaranya Angin Kering, Kotaku Oh Kotaku dan Sang Puteri.
Masuknya Johan Jaafar dalam kelompok seniman di DBP telah turut membina reputasi Badan Budaya DBP dengan teater-teater adaptasi yang cemerlang sepanjang zaman – Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Salina dan Rumah Kedai Jalan Seladang.

Saya menonton semua teater yang dipentaskan Badan Budaya DBP sejak 1984, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman hingga Balada Si Angsa Hitam pada 2023. Hanya tidak menonton Haji Murat pada Jun lalu kerana berada di luar Kuala Lumpur.
Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir pada 9 hingga 12 Disember 1984, dan saya menonton pada setiap malam. Kalau tidak silap itulah teater pertama Sabri Yunus yang memegang watak Tok Selampit (pencerita) dalam teater itu.
Walaupun baharu, Sabri Yunus memberikan lakonan yang luar jangkaan. Wan Hanafi Su memegang watak Pak Hasan seorang tukang cerita penglipur lara yang berdepan zaman kejatuhan apabila radio mula diperkenalkan di negara ini.
Saya melihat dekad kegemilangan teater di Kuala Lumpur di mana sebahagian besar disumbangkan oleh badan budaya itu. Bahkan selepas berdirinya Istana Budaya sekalipun, pada pengamatan saya tidak banyak teater di situ yang dapat menandingi teater-teater Badan Budaya DBP.
Malah perlu juga disebut bahawa Badan Budaya DBP adalah pendekatan DBP memartabatkan seni teater selain tumpuan kepada bidang persuratan dan kesusasteraan. Inilah formula DBP yang diperkenalkan oleh bekas Ketua Pengarah DBP, Syed Nasir Ismail. Beliau mempunyai keupayaan untuk melihat bakat luar biasa anak-anak buahnya di DBP dalam seni dan budaya.
Bayangkan kalau dipadamkan semua pementasan selama hampir enam dekad oleh Badan Budaya DBP, apakah yang ada dalam direktori teater Malaysia sepanjang enam dekad itu? Tentulah jumlahnya amat kecil kerana sebahagian besar disumbangkan oleh Badan Budaya DBP.
Pengarah teater Aris Othman yang kini menerajui Badan Budaya DBP mengakui hakikat itu dan beliau terus berusaha untuk meletakkan badan budaya itu pada landasan yang dibina oleh generasi terdahulu. Beliau realistik bahawa itu bukan suatu yang mudah, apa lagi berdepan dengan khalayak dan persekitaran sosial yang berbeza.
Menurut Aris, sekalipun badan budaya pada zamannya dipisahkan oleh sejarah yang berbeza dengan tokoh-tokoh terdahulu, beliau dan pasukannya tidak pernah terbeban untuk mencipta sejarah baharu dengan sokongan daripada DBP.
“Sekalipun sukar untung mengulangi kegemilangan dekad 1980-an dan 1990-an, saya percaya dengan sokongan pihak pengurusan DBP, Badan Budaya DBP akan terus menghasilkan karya yang boleh menjadi penanda zaman ini, “ kata Aris ketika dihubungi baru-baru ini.
Suatu yang perlu diingat adalah kemudahan prasarana dan biaya sahaja bukan menjamin satu sejarah kegemilangan yang panjang seperti dicatatkan oleh Badan Budaya DBP. Kejayaan Badan Budaya DBP bertolak daripada iltizam yang tinggi daripada teraju DBP untuk mengangkat sastera dan budaya menerusi teater. Maka tidak ada salahnya sekiranya kesungguhan badan budaya itu diambil sebagai suri teladan oleh kumpulan teater yang lain.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

