Oleh kerana sebuah perjalanan seni tidak pernah benar-benar lurus, DENAI 2026 hadir sebagai catatan visual tentang bagaimana graduan Seni Halus Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, membentuk bahasa seni masing-masing melalui eksperimen, kritikan dan pembelajaran.
Tema “DENAI” melambangkan perjalanan sebagai graduan seni, sebuah laluan berliku yang dibentuk langkah demi langkah melalui eksperimen, kritikan, dan pembelajaran di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam.
Pameran yang telah berlangsung pada 3-8 Ogos 2026 yang lalu menghimpunkan seramai 76 graduan Seni Halus, yang terdiri daripada lima pengkhususan: Painting, Printmaking, Sculpture, Seramik, dan Time-based Media.
Berkat ilmu serta pengalaman luas dari para pensyarah dan kakitangan fakulti, di samping semangat kebersamaan rakan seperjuangan dan juga sokongan keluarga, pameran ini selayaknya didehkan lagi ke dalam ekosistem dunia seni sebenar.
Umum mengetahui sudah berpuluh dekad wujudnya fakulti ini di sini. Tidak disangkalkan lagi bakat-bakat seni halus kelahiran FSSR UiTM ini. Mereka selayaknya dibukakan peluang jalan dan terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak industri dan komuniti seni.
Sebagai alumni UiTM walaupun dari fakulti berbeza, saya sendiri amat terpesona dan berbangga dengan bakat yang dimiliki oleh para graduan tahun akhir di FSSR ini. Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang pameran tersebut, saya seperti merasa berada di pameran seni galeri komersial di luar sana.
Sambil ditemani dan diterangkan oleh Pengurus Projek Pameran DENAI; Saudara Abdul Hakim, saya bagaikan terlupa sejenak, yang saya sebenarnya sedang berada di fakulti sebuah universiti. Perasan saya bagaikan ‘in the zone’.
Hadir pada hari perasmian, majlis tersebut diresmikan oleh pelukis tersohor tanahair Dato’ Haji Yusof Ghani, saya terkesima, ada hasil karya dari para pelajar ini sudah ‘dipinang’ oleh para pengumpul karya. Wow, satu pencapaian!
Di sini saya ingin berkongsi antara beberapa hasil karya para graduan akhir tahun tersebut berdasarkan lima pengkhususan yang telah mereka pelajari sepanjang bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, di UiTM Shah Alam.












Dapat disimpulkan, para graduan di FSSR UiTM Shah Alam ini adalah antara perintis kepada warisan seni visual negara. Mereka wajar terus diberikan sokongan dan dimasukkan ke dalam ekosistem seni halus negara yang seimbang dan saling melengkapi dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi seni kratif negara.
Apa yang dipamerkan di DENAI 2026 bukan hanya 76 karyawan dan sejumlah karya daripada lima disiplin. Ia adalah 76 kemungkinan perjalanan. Ada yang mungkin menuju ke studio, galeri, muzium, dunia akademik, industri kreatif atau bidang yang belum dapat dibayangkan hari ini.
Dalam dunia seni, laluan seperti itu memang jarang lurus. Ia berliku, kadangkala terputus, dan sering kali perlu dibina semula.
Barangkali itulah makna sebenar DENAI, bukan tentang destinasi, tetapi keberanian untuk terus melangkah dan meninggalkan jejak.
Bagi generasi muda seni halus Malaysia, jejak itu wajar dilihat, didokumentasikan dan yang paling penting, diberikan ruang untuk berkembang.
DENAI 2026 mengingatkan kita bahawa masa depan seni halus negara tidak hanya berada di muzium atau galeri; ia sedang dibentuk di dalam studio-studio universiti, melalui tangan generasi yang baru sahaja memulakan perjalanan mereka.
Teks & Foto: Azimah Hashim
Alumni UiTM Shah Alam – Fakulti Pengurusan Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perniagaan Antarabangsa (2005); Diploma Pengurusan Perniagaan (2001)
