PADA hari Sabtu, 12 April 2025 lalu, saya telah diundang oleh Malaysia Design Archive di Zhongshan Building Kuala Lumpur untuk menyampaikan syarahan bertajuk “The Themes and Styles of Gila-Gila Cartoons” dan kebetulan pula Gila-Gila sedang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-47. Program itu telah dimudahcara oleh Dr. Tan Zi Hao, seorang pelukis dan pensyarah kanan di Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya.
Sebahagian daripada hadirin yang datang petang itu membesar bersama Gila-Gila, sebahagian lainnya pula merupakan generasi muda yang lahir selepas Gila-Gila terbit dan membesar di tengah-tengah kebanjiran pelbagai bentuk dan jenama majalah humor lain yang berteraskan komik dan kartun. Hal ini amat menarik, kerana mereka dapat mengalami dan membandingkan kepelbagaian itu, sementara generasi yang agak berumur berkesempatan merasai keterujaan ramai, khususnya kartunis dan peminat kartun sewaktu Gila-Gila mula diterbitkan pada 1 April 1978.
Dalam syarahan itu, saya merujuk kepada tulisan salah seorang pengasas majalah itu, Allahyarham Mishar bertajuk “The Making of Gila-Gila” yang diterbitkan dalam majalah Gila-Gila bersempena ulang tahun ke-40 (No. 805, April 2018: 18-23) untuk menceritakan perihal latar belakang dan sejarah bermulanya penerbitan majalah ikonik itu, sementara perkembangan tema dan gaya kartun Gila-Gila pula berdasarkan penyelidikan yang telah saya lakukan sewaktu mengambil cuti sabatikal pada tahun 2010.

Sewaktu mengambil cuti sabatikal setahun daripada memberi kuliah di Jabatan Pengajian Budaya Visual dan Jabatan Pengajian Siswazah, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM itu, saya memperuntukkan masa kira-kira enam bulan berulang-alik ke pejabat Creative Enterprise Sdn Bhd di Bangsar Utama untuk meneliti koleksi Gila-Gila dari edisi awal sehinggalah tahun 2010.
Saya terhutang budi dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Jaafar Taib, Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd yang telah menyediakan sebuah bilik untuk saya menjalankan kerja-kerja penyelidikan, juga kepada semua warga kerja, kartunis dan editorial yang telah memberikan kerjasama sepanjang saya di situ. Tanpa sokongan dan kerjasama mereka, tentu sukar untuk saya melengkapkan penyelidikan tersebut.
Hasil daripada penyelidikan tersebut, buku saya bertajuk Gila-Gila: Gaya dan Tema Kartun (1978-2008) telah berjaya diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada 2016 dan diulang cetak pada 2017. Buku ini menjadi asas kepada syarahan saya di Malaysia Design Archive itu dalam membicarakan perkembangan tema dan gaya kartun Gila-Gila.

Mishar dalam tulisannya menyebut, Creative Enterprise ditubuhkan oleh empat rakan kongsi yang terdiri daripada dirinya bersama-sama Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Azman Yusof, (sekarang Datuk) pada tahun 1976 bermodalkan “bakat dan semangat.” Mereka tidak terus menerbitkan Gila-Gila, sebaliknya menyambung penerbitan majalah Murni, yang sebelum itu diusahakan oleh Syarikat Penerbitan Murni, syarikat yang ditaja oleh Kumpulan Variapop. Asalnya Murni adalah majalah komik khusus untuk gadis sekolah.
Murni dijadikan sebagai asas kepada agenda penerbitan yang lebih besar, iaitu menerbitkan majalah Gila-Gila. Menurut Mishar, bagi menyasarkan kumpulan pembaca sasaran yang lebih luas dan pelbagai, Murni berusaha menarik nama-nama besar dalam dunia kesusasteraan dan seni kartun untuk menyumbangkan karya, termasuklah Lat, Nan dan Raja Hamzah.
Hal ini direncanakan bagi menarik penglibatan lebih ramai penulis dan kartunis lain untuk menyumbangkan karya mereka. Perkara ini juga menjadi asas bagi menjawab perihal kemunculan karya-karya kartunis penting seperti Lat, Nan dan Raja Hamzah dalam keluaran awal Gila-Gila, khususnya pada akhir tahun 1970-an dan awal 80-an. Strategi untuk memperluaskan skop pembaca Gila-Gila juga berhasil menerusi penglibatan nama-nama penting dalam dunia kesusasteraan dan kewartawanan seperti Pak Sako, Pak Samad Ismail dan Malungun. Jelasnya, Gila-Gila direncanakan untuk semua lapisan masyarakat dan karyawan.

Menurut Mishar lagi, idea untuk menerbitkan Gila-Gila tercetus ketika dia bersembang santai dengan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein ketika minum di kantin Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1974. Abdullah mencadangkan agar diterbitkan sebuah majalah humor seperti MAD di Amerika Syarikat dan dinamakan Gila-Gila. Kebetulan, sejak 1970 Mishar memang melanggan majalah MAD, justeru itu dia faham benar tentang bentuk dan konsep majalah tersebut, yang kemudiannya memberi inspirasi kepada Gila-Gila apabila mula diterbitkan pada 1 April 1978.
Isu sulung Gila-Gila dicetak sejumlah 9,000 naskah. Namun atas permintaan ramai, keluaran sulung itu diulangcetak. Pada isu kedua, iaitu Mei 1978, edarannya meningkat kepada 15,000 naskah, dan pada bulan Februari 1979, pengedarannya mencecah 120,000 naskah setiap keluaran dan majalah itu mula diterbitkan dua kali sebulan. Hal ini menunjukkan bahawa strategi penerbitan majalah itu mencapai sasaran dan matlamatnya.
Sewaktu menjalankan penyelidikan cuti sabatikal mengenai “Tema dan Gaya Kartun Gila-Gila” di pejabat Creative Enterprise pada tahun 2010 itu, saya meneliti kesemua koleksi majalah Gila-Gila yang telah dijilidkan dengan lengkap dan rapi oleh syarikat penerbitan itu. Hal ini memudahkan tugas saya kerana kesemua bahan ada di satu lokasi dan tidak perlu bagi saya mencarinya di arkib atau perpustakaan-perpustakaan lain. Koleksi majalah Gila-Gila itu menjadi sumber primer saya.
Penelitian saya terhadap kesemua bahan itu telah membolehkan saya mengkategorikan kartunis dan temanya berdasarkan masa, jelasnya dari satu dekad ke dekad-dekad berikutnya. Hal ini dilakukan dengan mengenalpasti dan menghayati setiap siri kartun atau kartun lerang yang diterbitkan dalam setiap keluaran dengan memberi tumpuan kepada tema, gaya dan kartunisnya.
Antara kartunis yang mula muncul dalam dekad 1970-an adalah pengasas majalah itu sendiri, Jaafar Taib, Mishar, Zainal Buang Hussein, Azman Yusof, di samping Rejabhad, Lat, Nan, Raja Hamzah, Don, Fatah, Reggie Lee, Mohas, Mansoor, Raz, Junhairi, Rossem, Imuda, Yusof M. Hashim, dan Zamriabu.
Tema-tema yang digarap mereka adalah perihal cerita binatang, perangai manusia, komedi situasi, kisah romantik, perangai anak muda, dunia niaga Melayu, kesusasteraan tradisional, kehidupan sosial, fiksyen sejarah, kehidupan di desa, drama masyarakat, kenangan masa kecil atau zaman kanak-kanak, drama jenaka, nostalgia, kisah kehidupan di Terengganu, kisah kehidupan seharian dan parodi filem.
Antara karya yang signifikan pada dekad 1970-an itu ialah “Periwira Mat Gila” oleh Rejabhad, siri “Jungle Jokes” oleh Jaafar Taib, “Asmaradana” oleh Mishar, “Tong Kosong” oleh Zainal Buang Hussein, “Pendekar Mato Tige” oleh Don dan “A. Mamud” oleh Fatah.

Watak-watak dalam siri kartun tersebut menjadi ikon Gila-Gila dan tersemat dalam ingatan banyak peminat bukan hanya kerana kelucuan, malahan naratif, konsep dan falsafah yang dibawa mereka. Seperti watak Mat Gila yang berpegang kepada falsafah “kalau ada wang semua boleh jadi” yang memungkinkan dia mengahwini puteri raja dan tinggal di istana. Dalam siri ini terdapat banyak mesej moral dan pengajaran selaras dengan falsafah Rejabhad dalam berkartun, bahawa kartun itu harus “menghibur, mengajar dan menyedarkan.”
Watak A. Mamud oleh Fatah pula benar-benar menggambarkan suasana kehidupan di Pantai Timur yang diperkukuhkan dengan dialog berdialek Terengganu serta suasana dan persekitaran yang realistik. Don menerusi watak Pendekar Mato Tige mengangkat tema purbawara yang sebelum ini digarap oleh pelukis-pelukis komik seperti Halim Teh dan Raja Hamzah secara realistik kepada bentuk kartun. Ragam haiwan yang mencerminkan perangai manusia diolah penuh kelucuan oleh Jaafar Taib, sementara sikap buruk dalam dunia niaga Melayu kerap kali disindir oleh Zainal Buang Hussein dalam “Tong Kosong.” Kesemua ini menunjukkan kepelbagaian ragam, gaya dan tema kartun Gila-Gila.

Kartunis yang muncul pada dekad 1980-an pula adalah Kerengge, Imuda, Long, Tazidi, Rasyid Asmawi, Rosman, Lee Inas, Ujang, Zunar, Cabai, Aman, Bor, Aza, Juragan, Roslim, Kulat, Boy P.J., Razali dan Li dengan tema-tema berikut: komentar sosiopolitik, travelog, alam dan tempat-tempat menarik tempatan, drama sejarah dan jenaka, bahasa, autobiografi, kisah binatang, parodi filem, drama romantik, nostalgia, sukan, budaya kerja, kenangan zaman kanak-kanak, budaya, persahabatan, wanita, kanak-kanak, seni dan kraf, kisah remaja, kehidupan harian, sejarah, rock’n roll, penjajahan, muzik dan kisah rumah tangga.

Menerusi tema-tema ini, kita dapati bahawa kartun-kartun dalam Gila-Gila bukan semata-mata berbentuk cerita rekaan atau jenaka, sebaliknya terdapat juga yang berbentuk dokumentari dan travelog seperti karya Boy P.J. “Malaysia Meriah” yang menggarap unsur-unsur budaya yang bersifat kemalaysiaan dan kemelayuan, seperti makanan tradisi. Kerengge juga pernah melukis kisah kembara ke Taman Negara dan Taman Pertanian Malaysia sementara Lee Inas melukis perihal Kuala Lumpur menyambut persidangan PATA (Pacific Asia Travel Association) bagi menggalakkan industri pelancongan.
Pendekatan dokumentari dan dokumentasi seperti ini diteruskan oleh beberapa kartunis alaf baharu seperti Ida dalam siri “Resipi Pilihan” yang memfokus kepada makanan tradisi seperti “Sagon” (Gila-Gila, 15 Januari 2006) dan “Jem Rambutan” (1 Februari 2006). Bob Asri menerusi kolum “Dokumentari Gila-Gila” pula memberi tumpuan kepada hal-hal misteri dan mistik, seperti santau dan rasuk (Gila-Gila, 1 Februari dan 1 April 2003).

Antara watak kartun popular pada dekad 1980-an ialah Aca dan Atuk oleh Ujang yang sering kali didukungi oleh jenaka luar jangkaan. Karya penting Ujang “Aku Budak Minang” bukan sahaja bersifat autobiografi, tetapi turut mengandungi mesej tersirat perihal kesungguhan dan usaha bagi memperbaiki kehidupan. Cabai menerusi kisah “Tiga Dara Pingitan” menampilkan kepintaran dan semangat tiga gadis desa dalam memperbaiki taraf kehidupan menerusi perniagaan, namun usaha dan persahabatan itu kadang kala diuji oleh rasa cemburu dan iri hati. Zunar pula menerusi “Liza” menampilkan watak Kadok, imej lelaki yang sentiasa malang dalam percintaan dan apa-apa yang diimpikannya.

Imej stereotaip wanita yang suka berbelanja dan kisah-kisah rumah tangga pula digarap oleh kartunis Aman menerusi “Kisah Orang Dapur,” Boy P.J. dalam “Dari Wanita untuk Wanita” dan Razali menerusi “Doyah & Talib.” Bor pula menggarap kehidupan anak muda dalam “Kisah Orang Bujang.” Dalam konteks ini, Gila-Gila berusaha memenuhi cita rasa kepelbagaian golongan pembacanya.
Kartunis yang muncul pada tahun 1990-an pula adalah Nud’s, Asan, Roy, Cik Li, Azhar Senapon, Aloy, Ambo, Gayo, Kid, Amir Astar, Ramzahurin, De’Usop 5050, Nik, Azam, Nat, Baha, Yob, dan Halia dengan tema-tema digarap mereka merangkumi komentar sosiobudaya, zaman kanak-kanak, nostalgia, budaya kerja, parodi filem, travelog serta pemandangan tempatan, jenaka, sukan, kisah romantik, kisah haiwan, rock’n roll, kehidupan harian, kisah remaja, kehidupan pelajar, penuaan, misteri dan kehidupan di kampus.

Pada alaf baharu muncul karya-karya oleh kartunis Azhar Senapons, Jibat, Hakim, Ida, Aiman, Kunyit, Bob Asri, Nat, Nuralmi, Ard-One, Oly, Saif, Pheno dan Epie. Tema-tema yang ditampilkan mereka termasuklah kisah haiwan, jenaka, persahabatan, kisah romantik, soap opera, dokumentari makanan, parodi filem, kisah misteri, travelog dan dokumentasi perjalanan, silat, dan kisah zaman kanak-kanak.
Pada alaf baharu, Gila-Gila menyiarkan banyak kartun yang dihasilkan oleh Asan, Aloy, Amir Astar, Bob Asri, Ida dan Cabai. Mulai tahun 2000 juga, Gila-Gila mula menyiarkan semula karya-karya dari arkibnya, seperti karya Rasyid Asmawi, Rejabhad, Ujang dan Jaafar Taib.
Di samping itu, terdapat juga kartunis-kartunis baharu seperti Azhar Senapons, Jibat, Hakim, Ida, Aiman dan Kunyit yang melukis atau menyambung siri kartun popular yang telah diperkenalkan kartunis-kartunis sebelum mereka, seperti kisah “Jaki Jipang,” “Tiga Dara Pingitan,” “Madu Tiga” dan “Atuk.” Pendekatan ini tidak disenangi semua peminat dan pembaca, dan ada yang mula mempersoalkan kartun Gila-Gila yang dianggap mereka mulai merosot mutunya sebagaimana diluahkan dalam ruangan surat pembaca, “Hai KP” (Gila-Gila, No.516, 1 Mac 2000 dan No.555, 15 Oktober 2001).
Data-data mengenai kartunis dan tema kartun ini adalah berdasarkan penelitian sebaik mungkin yang dilakukan penulis terhadap karya-karya kartunis yang tersiar dalam koleksi majalah yang diteliti sepanjang penyelidikan dilakukan, justeru itu diharapkan boleh menjadi asas kepada penyelidikan lanjutan bagi mereka yang berminat. Sekiranya terdapat nama kartunis dan tema yang terlepas pandang adalah tidak disengajakan.

Bagi banyak pembaca dan peminat Gila-Gila, tema dan gaya kartun dalam majalah itu membangkitkan kenangan dan nostalgia. Hal ini juga memungkinkan majalah itu masih bertahan dan terus berada di pasaran. Meskipun pada asalnya Gila-Gila mendapat inspirasi daripada majalah MAD, gaya kartun-kartunnya bersifat individu semakin majalah itu meningkat usia dengan kemunculan kartunis-kartunis baharu. Namun begitu, tema kartun-kartun yang ditampilkan masih kekal bersifat kemalaysiaan dan kemelayuan.
Mengimbau kembali asas dan strategi penerbitan majalah itu yang mencakupi pelbagai jenis pembaca sasaran dan menarik sumbangan daripada para karyawan berbagai-bagai bidang kesenian termasuk seni visual, kesusasteraan dan kewartawanan, memungkinkan kita faham hasrat pengasas dan perintisnya yang mahukan majalah itu diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Sejarah, tema dan gaya kartun majalah Gila-Gila sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia, justeru itu tidak menghairankan di akhir syarahan saya di Malaysian Design Archive pada 12 April 2025 lalu, ada hadirin mencadangkan agar Arkib Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia menghimpun dan memelihara koleksi majalah Gila-Gila sebagai khazanah warisan seni negara.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
