MANUSIA bercerita, lantaran itu manusia juga menciptakan objek-objek, termasuklah ‘percikan’ karya seni bagi menyenangkan pandangan mata. Naratif sebegini, kita kenalinya dengan nama sejarah seni.
Melalui definisi sederhana, sejarah seni selalunya akan memperihalkan bagaimana manusia mencitrakan perkara-perkara lepas, berdasarkan objek-objek seni yang tercipta, untuk dikenal pasti siapakah senimannya serta pengaruh lingkungan sosial sebagai ‘nafas’ dan ‘gerak’ zaman. Jadinya, di tangan dan di dalam buah fikir penuntut serta pengkaji senilah, kita berupaya untuk memaknai dengan jelas segenap karya dan sejarah perkembangannya.
Dalam masa yang sama, ada kecenderungan untuk dibuat bandingan dan perbezaan di antara ruang serta waktu-waktu tertentu dalam peredaran sejarah. Menjadi perhatian kita, tatkala memperkatakan tentang sejarah seni, mawduk pertama yang seringkali bermain di alam fikir, tentunya tentang karya, para seniman, isme-isme dan garis masa yang mencorakkannya.
Seyogia, dalam konteks pensejarahan, soal perakaman peristiwa, sejumlahan fakta, peranan sang seniman dan artifak-artifak seni, menjadi kayu ukur tentang kesahihan, aliran yang digeluti serta gaya yang dipesembahkan oleh setiap zaman.
Justeru, terbit persoalan, mengapa perlu, bahkan mengapa pentingnya sejarah seni disantuni? Apakah perbezaan yang mencolok, di antara sejarah seni dan disiplin sejarah umum terutamanya? Buat merungkai segala yang terbuhul, beberapa perkara dan isu perlu kita berikan perhatian.
Pertamanya, menekuni dan mempelajari sejarah seni, membolehkan kita berfikir dalam tindak yang berbeza. Kenapa dikatakan berbeza? Seperti yang dibicarakan oleh Anne D’Alleva, dalam bukunya How to Write Art History (2013), beliau menjelaskan bahawa dengan mempelajari sejarah seni, ia mengajarkan kita untuk bertanya persoalan-persoalan yang menarik, menghindari jawapan-jawapan cliché dan konvensional, mencermati sesuatu (karya) itu secara mendalam, agar segenap makna seni itu dapat diperhalusi secara kental, mendasar serta inspiratif.
Oleh yang demikian, pembelajaran sejarah seni dapat membantu kita mengasah dan meningkatkan kemahiran serta keupayaan melakukan analisis visual, disamping mendatangkan minat untuk menjadi pembaca yang kritis. Secara langsung, asuhan dalam mempelajari sejarah seni, dapat membuatkan kita melihat sesuatu hal dengan lebih terperinci, menyeluruh, malah bersulam simbolik.
Pernyataan ini berlandaskan kepada alasan disiplin pensejarahan seni itu sendiri, yang mengutamakan pengamatan dan perhatian yang mendalam. Tujuan utamanya adalah untuk memperkasakan seseorang pelajar atau pengkaji seni itu agar dapat mengemukakan argumen-argumen yang solid, kukuh dan ilmiah, berasaskan sudut pandang sejarah seni yang begitu ketat aturannya.
Latihan-latihan intensif sebegini sebenarnya banyak membantu seseorang pelajar atau pengkaji, supaya punya keupayaan mengupas sesuatu perkara berkaitan seni dengan lebih berkeyakinan dan berani. Ada keunikan tersendiri dalam usaha kita menekuni, mempelajari, dan seterusnya menjadi pengkaji seni. Kita dapat merasuk (access) ke masa lampau, dengan cara serta sudut pandang yang tersendiri.
Sejarah, bukanlah sekadar dimengertikan melalui dokumen-dokumen bertulis, rekod, binaan-binaan, prasasti, tatanan visual dan untaian bicara semata-mata. Sejarah seni, dengan lebih jauh, meneroka pengalaman serta perspektif yang lebih besar, melangkaui hal-hal yang telah disebutkan tadi.
Penerokaan dalam sejarah seni bolehlah dikatakan tersalur dan terbentuk, melalui pendekatan memahami serta menafsir (hermeneutics) sesuatu. Ia merujuk kepada karya-karya catan, lukisan, visual serta arca dengan memahami isi dan konteksnya secara menyeluruh (analisis formal dan kontekstual).
Hakikatnya, dalam acuan dan fenomena semasa, persoalan tentang sejarah seni agak kurang diperkatakan umum. Mungkin disebabkan dek rasa kurang minat, ‘lamban’ wacananya, resah dalam memberi erti, ditambah pula dengan ‘miskinnya’ gagasan untuk mendalaminya. Lantaran itu, jika direnungkan pada sisi yang berbeza, itulah sebenarnya keseronokan yang tertanam.
Nampaknya ada kegembiraan yang tidak terucap, yang hanya dapat difahami oleh mereka yang mendalami ufuk sejarah seni. Jadi, apakah jenis keseronokan dan kegembiraan yang boleh ditawarkan oleh pembelajaran Sejarah Seni? Mihaly (1990), melalui naskah FLOW: The Psychology of Optimal Experience, yang mengkaji kreativiti dalam sistem pemikiran manusia, menyatakan seolah-olah ada semacam semangat, seperti renjatan elektrik, jika kita bersemangat dan serius tentang mengejar sesuatu yang kita minat. Kemudian beliau menambah isi penulisan dengan menyatakan bahawa meneroka dan mempelajari sesuatu yang baharu itu sangat menyeronokkan, mengujakan malah penuh dengan keterujaan.
Salah satu misalan mudah yang dapat difahami oleh ungkapan Mihaly melalui gerak kreativitinya, adalah apabila kita mampu menjadi seolah-olah seorang seorang ‘detektif’ seni, yang dapat menyelidik karya-karya tersohor seniman lampau secara terperinci.
Kita misalkan, kesungguhan kita mencermati, memberi makna dan melakukan apresiasi terhadap karya agung Leonardo Da Vinci yang gemilang, lalu kita sandarkan pula inspirasi seniman ulung Renaisans ini, untuk diambil semangatnya kepada perkembangan seni di tanah air kita sendiri. Bukankah hal tersebut mengujakan? Dua lintas budaya yang berbeza, malah beragam, merentas zaman selama ratusan tahun, dapat ditemukan titik semangat persamaan, yang berhubung langsung dengan disiplin sejarah seni. Nyata, kita mampu menzahirkan naratif, meneroka nilai kebudayaan dan menginterpretasi karya dan para seniman, seiring beredarnya waktu. Pastinya akan terasa kehebatan merentas zaman yang tak tergugahkan.
Asas utama terhadap analisis karya
Keasyikan dan minat terdalam, apabila meneroka ke ranah sejarah seni, dapat juga dikaitkan dengan beberapa cabang disiplin ilmu, yang membolehkan bidang ini ditelusuri dengan lebih mendasar serta ilmiah. Para pelajar dan peneliti, akan merujuk kepada karya-karya seni, sebagai ‘alat’ untuk membahas serta memahami perkara-perkara lalu.
Namun, secara tidak langsung dapat kita pelajari bahawa, mereka sebenarnya menceritakan perihal sejarah manusia itu sendiri. Pelbagai kaedah yang bermuara, seumpama pemeriksaan dokumen dan arifak secara cermat serta teliti, wawancara langsung dengan sang seniman, bahkan disusuri jua dengan menjejak para penaung seni (patrons).
Ikhtiar ini demi memperoleh data-data yang terniscaya, asli bahkan dapat dipertanggungjawabkan. D’Alleva (2013), ada memperjelas berkenaan disiplin ilmu yang seringkali berkait secara langsung dengan penerokaan sejarah seni. Lapangan yang beliau maksudkan adalah ranah Kritikan Seni (Art criticism), Sosiologi, Antropologi, Estetik, Pengajian Budaya, Pengajian Budaya Visual dan Pakar Seni (Connoiseurship). Senjata utama yang diasuh, ditekankan serta dididik dengan cermat kepada pelajar sejarah seni, semestinya datang dengan pendekatan Analisis Formal dan Analisis Kontekstual.
Kedua-dua domain ini, merupakan mekanisme utama, yang menjadi pemangkin kepada para pengkaji, bagi memperoleh maklumat-maklumat mustahak yang mereka perlukan. Alhasil, D’ Alleva menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan oleh seseorang pengkaji sejarah seni, sewaktu menjalankan analisis terhadap karya. Untuk melakukan Analisis Formal, hal komposisi diberikan perhatian, dan seterusnya persoalan utama untuk dilengkapkan oleh pengkaji adalah seperti:
- Apakah yang diberi penekanan utama oleh pelukis dan apakah perkara yang menarik perhatian pemerhati?
- Bagaimanakah pelukis memberi perhatian kepada setiap karektor atau objek? Melalui teknik, skala, garisan, warna dan sebagainya?
- Adakah terdapat struktur geometrik, rentak atau corak pada komposisi?
- Adakah komposisi berada dalam kesatuan, yang bermaksud setiap elemen bersatu, terpisah atau berbeza di antara satu dengan yang lain?
- Bagaimanakah hal emosi dan perasaan dapat diterbitkan melalui setiap hasilan karya visual?
- Adakah komposisi tersebut berskala besar atau kecil? horizontal atau vertikal?
- Karya visual berbentuk figuratif atau abstrak?
Setelah perhatian-perhatian yang rinci ditekankan kepada Analisis Formal, bagi domain Analisis Kontekstual pula, De’Alleva menyarankan beberapa persoalan asas yang boleh digunakan. Tidak semua persoalan boleh digunakan untuk setiap karya visual. Misalnya, sekiranya seseorang pengkaji tidak mengetahui dengan jelas identiti seorang seniman, atau latar belakang persekitaran sesuatu karya visual, sudah semestinya beberapa persoalan tidak dapat menemukan jawapannya. Diantara skop persoalan yang boleh digunakan atau dipertimbangkan adalah seperti berikut;
- Siapakah penaung (patron), pelukis atau pemerhati?
- Apakah rekod yang ditinggalkan oleh seseorang pelukis, untuk setiap hasilan karyanya?
- Apakah motif penaung menaja sesuatu hasilan karya? Adakah penaung bertindak bersendirian atau bagi pihak sesebuah organisasi atau institusi?
- Siapakah yang melihat karya visual tersebut? Apakah keadaan semasa dan tindak balas pemerhati kepada karya visual tersebut?
- Bilakah karya dihasilkan?
- Dimanakah karya ini ditempatkan atau bersiaran?
- Untuk kegunaan apakah visual ini dihasilkan atau dipersembahkan?
- Adakah karya dihasilkan beradasarkan konteks politik, agama atau sosial?
- Apakah yang menjadi subjek pada karya visual
- Apakah mesej politik, agama atau sosial yang cuba disampaikan oleh pelukis melalui bahan subjek atau gaya sesuatu karya visual kepada khalayak?
Rujukan
Anne D’ Alleva (2013). How to Write Art History. London: Laurence King Publishing Ltd
Harold Osborne (1970). The Art of Appreciation. London: Oxford University Press
Mihaly Czikszentmihaly (1990). FLOW: The Psychology of Optimal Experience. New York :Harper & ROW.
Rudolf Arnheim (1954). Art and Visual Perception. London: University of California Press

