DALAM salah satu babak filem Secrets & Lies (Mike Leigh, 1996), terdapat medium two-shot yang mengambil tempat di sebuah kafe yang hanya ditandangi dua individu sahaja – seorang gadis kulit hitam dan seorang wanita berkulit putih pertengahan usia. Kedua-duanya mendepani kamera sambil duduk mengeteh. Ini ialah pertemuan pertama kali si gadis, Hortense (yang menjejaki ibu kandungnya) dengan si ibu, Cynthia (yang pada mulanya tidak mempercayai hakikat tersebut kerana mendakwa “tidak pernah bersama lelaki kulit hitam”). Tetapi selepas beberapa saat sebaik saja menghembuskan asap rokoknya, si ibu tiba-tiba teringatkan hal sebenar. Lalu meletuslah esakan tangis hingga seluruh tubuhnya menggeletar. Tanpa suntingan – dengan durasi 7 minit 40 saat – kamera statik Leigh hanya merakam detik bersejarah bagi dua insan yang terdesak untuk berkomunikasi. Ada ketikanya mereka berbual bertanyakan hal-hal peribadi masing-masing. Pada ketika lain pula terdiam sejenak. Pada satu ketika, hilai tawa si ibu serta-merta berganti-sambut dengan sedu-sedan tangisnya.
Saya begitu terkesan dengan babak pertemuan ibu-anak ini semenjak kali pertama menonton filem ini pada 1996. Masih tidak jemu-jemu walaupun sudah berpuluh kali menontonnya. Yang terkini adalah ketika dilayarkan Wayang Budiman, Shah Alam, baru-baru ini. Babak yang berkuasa tadi terhasil dari pendekatan improvisasi Leigh yang duduk berlatih bersama pelakon berbulan lamanya sebelum penggambaran bermula. Terkenal dengan pembikinan filem tanpa skrip, inilah ‘metodologi’ Mike Leigh – figura terkenal sinema British yangjuga seorang aktivis dan pengarah teater, penulis, pelukis dan pelakon. Metodologi ini yang sentiasa menjadikan seni pengadegan beliau luar biasa. Kekuatan Secrets & Lies turut terletak kepada karisma dan kebijaksanaan barisan pelakonnya, terutamanya Brenda Blethyn (yang meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Cannes), Marianne Jean-Baptiste dan Timothy Spall. Malah boleh diakui yang filem ini melibatkan ensemble cast terbaik dalam filemografi beliau.
Filem sulungnya Bleak Moments (1971) adalah adaptasi naskah teaternya sendiri. Selepas itu, Leigh menempa nama dengan sejumlah filemnya yang tekal dengan signature tersendiri. Watak-wataknya punya keanehan tertentu; paparan slice of life berkisar hubungan kekeluargaan; dan, stail pengarahan yang mengangkat estetika realisme. Pengaruh Leigh dapat dikesan dari gaya pengarahan John Cassavetes, bapa sinema independent Amerika yang sering menekankan gaya lakonan realistik, kedalaman watak-perwatakan dan garapan emosi secara langsung, semulajadi. Selain itu, karya Leigh adalah legasi tradisi realisme kitchen sink yang mendasari filem-filem British New Wave era lewat 1950-an dan awal 1960-an, seperti karya Karel Reisz dan Tony Richardson dengan paparan realiti sosial dan senario domestik golongan kelas pekerja di Britain.
Sebelum Secrets & Lies, filem-filem yang melonjak naikkan nama Leightermasuklah Life is Sweet (1991) dan Naked (1993). Leigh ditabalkan sebagai Pengarah Terbaik di Cannes menerusi Naked, karyanya yang gelap tentang pemuda tanpa pedoman hidup yang lantang dengan omelan nihilistiknya. Secrets & Lies masih menerajui pencapaian tertinggi beliau (dengan memenangi Palme d’Or di Cannes 1996), selain menjadi filemnya yang paling popular dan mendapat perhatian ramai (hingga ke hari ini). Filem lain selepas itu yang masih mengekalkan reputasi beliau termasuklah Topsy-Turvy (1999), All or Nothing (2002) dan Vera Drake (2004). Vera Drake, filem period tentang keterlibatan seorang wanita kelas pekerja di tahun 1950 dalam aktiviti pengguguran haram, memenangi anugerah Golden Lion di Venice. Beliau kembali tahun lalu (2024) dengan Hard Truths, corat-coret sebuah keluarga kulit hitam di London dengan fokus derita kemurungan si ibu.
Jalur plot utama Secrets & Lies bukan sekadar memandu kisahan Hortense menjejaki ibu kandungnya (Cynthia) selepas kematian ibu angkatnya, tetapi juga turut menggerakkan hubungan Maurice dengan si isteri (Monica) dan kakaknya (Cynthia). Jalur plot ini dihubungkan pula dengan beberapa subplot lain, dari hubungan Roxanne (anak gadis Cynthia) dengan teman lelakinya hinggalah kemunculan pemilik asal kedai fotografi Maurice yang juga rakan lamanya secara tiba-tiba. Turut mengukuhkan jalur plot utama ini adalah rampaian sketsa-sketsa kecil dari tangkapan imej atau aksi para pelanggan Maurice di depan kamera – satu mikrokosmos fabrik sosial Britain. Terlihat para pelanggannya dengan pelbagai latar belakang, warna kulit, usia/generasi dan kelas sosial. Beberapa imej yang menonjolkan bayi dan kanak-kanak umpamanya, serta beberapa tangkapan majlis perkahwinan pelanggannya, kesemuanya satu cerminan (renungan?) terhadap kemelut rumahtangga Maurice yang tersembunyi.
Rampaian sketsa imej-imej tadi – di samping babak Hortense, seorang optometris yang sedang memeriksa mata seorang kanak-kanak – berhubung dengan trop berkaitan penglihatan dan persepsi, yang menunjangi jalur plot utama dan subplot-subplot tadi yang menyarankan kontras dan ironi, dan cerminan kepada watak-watak utama. Trop penglihatan-persepsi ini turut mengungkap tema-tema berkaitan seperti kerahsiaan dan pembohongan, penyembunyian dan pendedahan, dan, hakmilik dan rasa kepunyaan. Contohnya, sepasang pelanggan Maurice (dipercayai suami-isteri) terpaksa mengukir senyuman bagi perlihatkan keceriaan palsu mereka di depan kamera selepas sedikit pertikaian remeh-temeh. Seorang lagi pelanggan Maurice, seorang pakar kecantikan yang pada mulanya tidak kelihatan parut yang berbekas (akibat satu kecelakaan) di sebelah kiri pipinya kerana syot pertama babak tersebut (tangkapan kamera Leigh – juga kamera Maurice) mengambil potretnya secara pandangan sisi.
Idea penglihatan-persepsi ini turut melibatkan sudut pandang penonton, terutamanya kedalaman maklumat cerita yang dimanipulasi teknik/kaedah bercerita Leigh. Dalam banyak keadaan, walaupun Leigh memposisikan penonton sebagai pengamat ceritanya yang ‘maha mengetahui’ dengan bekalan akses terhadap lebihan maklumat cerita berbanding watak-wataknya yang terbatas pengetahuan (terhadap apa yang akan berlaku ke atas mereka). Namun, ada ketikanya pengetahuan penonton dilucutkan. Spektrum di antara ketahuan dan tidak ketahuan ini dimainkan Leigh sepanjang filem. Yang dilihat dan dipersepsikan penonton (secara visual) masih terbatas, seperti juga watak Maurice, yang walaupun menyimpan rahsia tentang Cynthia (yang mempunyai anak lain) tetapi maklumat/pengetahuannya masih kabur. Justeru, agak signifikan bila Leigh mencipta watak Maurice sebagai seorang jurugambar. Jika penonton tidak berkongsi sudut pandang Maurice, penglihatan-persepsi mereka terhadap potret-potret pelanggan Maurice boleh bersifat menipu-daya. Ini disebabkan pengetahuan penonton, seperti juga Maurice (yang menangkap potret-potret tersebut), melampaui pengisian bingkai kameranya. Namun pada satu tahap lain masih terbatas kerana penonton (dan Maurice) tidak dapat menjelajah masuk ke dimensi mental mereka. Dalam hal ini, Leigh ingin menyatakan tentang subjektiviti sebuah kebenaran, terutamanya yang dipacu penglihatan-persepsi kita.
Leigh juga adalah pakar dalam menyarankan kontras. Lihat saja kontras ketara watak-perwatakannya, terutamanya antara Cynthia dan Hortense. Cynthia, si ibu yang agak neurotik, pathetic dan tandus kasih sayang adalah watak yang sering menjorok emosinya (ke luar) dengan hamburan kata-kata dan curahan air mata. Sebaliknya, Hortense pula yang sentiasa tenang adalah pemendam rasa. Lihat saja genangan air matanya menitis jatuh ke pipi dalam babak pembukaan di pusara ibu angkatnya dan babak-babak beliau membelek-belek dokumen kelahiran. Bila menjadi tetamu majlis harijadi Roxanne, Hortense dilihat ‘jauh hati’ lagi terasing. Close-up kamera Leigh merincikan gelora pendaman emosi Hortense menerusi redup sinar mata dan sayu wajahnya. Busana Cynthia sering lebih cerah, kebanyakannya putih, manakala Hortense pula sentiasa dalam serba hitam. Yang lebih menarik, menerusi kontras perwatakan mereka, Leigh menterbalikkan paparan stereotaip kaum, dengan Cynthia (kulit putih, kelas pekerja, hidupnya berantakan) dan Hortense (kulit hitam, kelas menengah, profesional lagi sofistikated). Justeru tidak langsung mempermasalahkan isu politik kaum. Selain watak-wataknya, aspek ruang fizikal (latar set) juga dimainkan secara kontras. Contohnya, ruang kediaman Cynthia tampak sempit lagi menyesakkan dengan iringan tight framing, manakala rumah besar Maurice-Monica yang tersergam indah sering digambarkan dengan keluasan ruang bagi mengungkap kekosongan rumahtangga mereka. Babak pembukaan-penutup turut menyaksikan kontras yang mencipta satu pattern perkembangan naratif: Hortense di pusara, kehilangan ibu angkatnya (di pada babak pembukaan) dan pada babak penutup, Hortense yang berada di rumah Cynthia, si ibu kandung, mendapat keluarga baru.
Pendekatan estetik Leigh diselang-selikan antara gaya realisme (dengan teknik long take)dengan yang lebih bersifat formalis yang diserlahkan teknik suntingan. Ini dapat dikesan dalam sekuen kemuncak yang mengambil tempat di rumah Maurice bila kesemua ahli keluarga, termasuk Hortense, berkumpul meraikan harijadi Roxanne. Dalam babak courtyard barbecue yang membentuk sekuen ini, penonton dijadikan pemerhati yang aktif lagi objektif, malah diperlengkapkan seni blocking Leigh yang cermat lagi jitu. Dengan kahwinan teknik long take dan sinematografi deep focus, Leigh hanya memacakkan kameranya untuk merakam gelagat para tetamu mengelilingi sebuah meja, sibuk menikmati juadah, manakala Maurice (pada lapisan background)sibuk memanggang sosej dan stik, mundar-mandir ke sana-sini melayan tetamunya. Pada masa yang sama, para tetamu ini sibuk berbual-bual, masing-masing cuba penuhi rasa penasaran terhadap siapakah gerangan si Hortense, tetamu yang tidak pernah dikenali mereka. Pendekatan ini, yang menghormati ruang-masa sebenar, memahatkan rasa a sense of stillness di samping unsur kesatuan watak-wataknya dalam satu ruang (yang harmoni).
Leigh mengkontraskan pendekatan sinematiknya bagi babak seterusnya dalam rumah (masih sekuen yang sama). Babak yang bermula dengan kemeriahan acara memotong kek harijadi Roxanne ini tiba-tiba bertukar menjadi tegang bila dikejutkan pendedahan identiti sebenar Hortense oleh Cynthia. Satu persatu ledakan emosi tercetus. Pertengkaran dan pertuduhan, kecaman dan celaan menguasai detik-detik ini. Satu demi satu rahsia – termasuk isu rumahtangga Maurice-Monica – terbongkar, pembohongan terdedah. Beberapa persoalan terungkai, konflik terlerai. Dalam babak ini, Leigh melibatkan penonton secara subjektif bagi beridentifikasi dengan watak-wataknya. Beliau mencerai-beraikan kontinum ruang dan masa dengan suntingan. Perhatikan saja fasa akhir babak ini dengan close-up wajah Roxanne yang kebingungan, terlihat genangan-linangan air mata sambil menggigil, mengetap-ngetap bibirnya. Syot ini disandingkan dengan syot-syot reaksi beliau yang melihat Cynthia, Monica, Maurice dan Hortense – masing-masing dipisahkan menerusi framing atau ruang sinematikyang berbeza. Dalam menyalakan konflik antara mereka, Leigh bukan sahaja menekankan aspek lakonan tetapi juga memanfaatkan ruang sebagai manifestasi emosi. Secrets & Lies ini cukup berisiko menjadi sebuah soap opera ala East Enders yang sememangnya di Britain genre TV ini turut dipengaruhi realisme kitchen sink yang disebutkan awal tadi. Mujurlah pendekatan estetik Leigh berjaya membebaskan filem ini keluar dari kepompong kelaziman sebuah drama TV.
Leigh cukup mengenali dan memahami manusia-manusia ciptaannya dan dunia yang dihuni mereka, menjadikan filem ini melampaui sebuah drama ‘jejak kasih.’ Getir-nestapa watak-wataknya benar-benar terasa kerana pengisian ceritanya yang padu, persembahan lakonan yang hidup dan janaan emosinya yang tulen (tidak dipaksa-paksakan). Dengan memanfaatkan sekecil-kecil perkara kehidupan seharian, Secrets & Lies adalah sebuah oda yang meraikan kemenangan semangat dan fitrah manusiawi tentang hasrat menemukan kebenaran dalam konteks memiliki dan dimiliki, berhubungan dan bertali-ikatan. Dan Mike Leigh telah memotretkan semua ini dengan prospek pengharapan dan penyembuhan.
– NORMAN YUSOFF merupakan pensyarah kanan bidang filem di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM.

