DALAM ruang studio tanpa sebarang pencahayaan buatan, tubuh para penari mula bergerak perlahan dengan memenuhkan setiap sudut lantai dengan menabur kapur biru membentuk satu bulatan. Cahaya hadir dari pantulan sinar matahari yang menembusi dinding kaca. Tanpa iringan muzik, kesunyian mula menyelubungi ruang persembahan itu. Begitulah visual pembukaan persembahan Searching Blue, karya tari kontemporari oleh Kuik Swee Boon yang mengajak penonton menyelami keindahan dan kesederhanaan gerak yang berhubung antara ruang dan alam sekeliling. Searching Blue dibawakan oleh T.H.E Dance Company dari Singapura dan dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 17 hingga 19 Oktober 2025 lalu.
Pada hemat penulis, karya ini menampilkan pendekatan site-adaptive iaitu satu bentuk persembahan yang menyesuaikan koreografi dan pengalaman penonton mengikut keunikan ruang sebenar. Di bawah sentuhan artistik Kuik Swee Boon, Searching Blue bukan sekadar persembahan tari, tetapi satu perjalanan visual dan emosi yang mempertemukan tubuh, tanah, sinar matahari dan udara dalam sebuah kesatuan.
Sebagai pengkarya atau penonton, kita sering keliru dengan dua terminologi ini iaitu site-specific dan site-adaptive. Jadi, sebelum penulisan ini membincangkan kepada kerja seni oleh T.H.E Dance Company ini, izinkan penulis membentuk pemahaman pembaca mengenai kedua-dua terminologi tersebut agar tidak berlaku kekeliruan.
Site-specific merujuk kepada karya yang dicipta khas untuk satu lokasi tertentu. Ia lahir daripada sejarah, bentuk dan suasana ruang itu sendiri. Setiap ketentuan artistik seperti pergerakan, bunyi, cahaya dan jarak antara penonton dengan penari bergantung sepenuhnya kepada ruang asal. Jika karya ini dipindahkan ke tempat lain, sebahagian besar maknanya akan hilang kerana konteks ruang merupakan sebahagian daripada jiwanya. Dalam karya site-specific, ruang bukan hanya latar tetapi menjadi sebahagian daripada tubuh persembahan itu sendiri. Maka, sekiranya anda berlatih di studio kemudian hadir melakukan persembahan disesebuah ruang persembahan yang terbuka sifatnya, jangan gelarkan persembahan anda sebagai site-specific. Anda hanya memenuhkan ruang tersebut dengan karya anda, bukan jiwa ruang itu sebagai landasan karya anda.
Berbeza dengan site-specific, site-adaptive lebih fleksibel. Ia masih berasaskan elemen ruang tertentu seperti tangga, taman, kolam atau laluan awam tetapi boleh disesuaikan di pelbagai lokasi yang mempunyai ciri yang serupa. Tokoh penting dalam bidang ini, Stephan Koplowitz, menjelaskan bahawa karya site-adaptive dicipta dengan meneliti ciri ruang yang boleh ditemui di banyak tempat. Ia mengekalkan semangat asal karya tetapi memberi peluang kepada pengkarya untuk menyesuaikan bentuk dan tenaga persembahan mengikut ruang baharu. Dengan cara ini, setiap pementasan menjadi pengalaman yang unik walaupun berpunca daripada karya yang sama.
Dalam konteks Searching Blue, karya ini menggunakan konsep site-adaptive performance, iaitu bentuk persembahan yang direka untuk menyesuaikan diri dengan ruang fizikal sebenar tanpa bergantung pada struktur pentas konvensional. Pendekatan ini amat sesuai kerana Searching Blue merupakan karya yang dibawa dalam siri jelajah ke beberapa lokasi berbeza, termasuk di Batu Pahat, Malaysia (25–26 Julai), di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (17–19 Oktober), dan di OzAsia Festival Plaza, Adelaide, Australia (23–25 Oktober).
Pandangan ini selari dengan huraian Stephan Koplowitz, seorang tokoh penting dalam bidang seni persembahan yang melibatkan permainan ‘ruang’. Dalam kerangka kerjanya, beliau menjelaskan bahawa kategori kedua dalam seni persembahan ruang ialah site-adaptive:
“Site-adaptive, which is created by exploring a particular feature found in multiple locations, such as a subway, a beach, a staircase or a quarry. The artist takes inspiration from the feature’s design, history, and current use. But they focus primarily on the element that kindled their interest… and then adapted to all six of these sites.”
(PillowVoices: Dance Through Time).
Melalui pemahaman ini, Searching Blue dapat dilihat sebagai karya yang bukan sahaja menyesuaikan koreografi dengan ruang terbuka yang dipilih, tetapi juga menghidupkan hubungan antara tubuh, alam, dan penonton. Kuik Swee Boon tidak menjadikan ruang sebagai latar, tetapi sebagai rakan dialog yang sentiasa memberi tindak balas terhadap setiap gerak dan nafas penari.
Koplowitz memberikan definisi yang jelas tentang konsep site-adaptive, iaitu karya yang tidak terikat pada satu lokasi unik, tetapi berasaskan eksplorasi elemen ruang yang boleh wujud di pelbagai tempat dan disesuaikan mengikut konteks. Pendekatan ini amat relevan untuk menganalisis Searching Blue, kerana karya tersebut bergerak secara dinamik antara ruang dalam (indoor) dan luar (outdoor), sambil memanfaatkan unsur ruang yang boleh diubah atau diadaptasi. Ketika dipersembahkan di KLPAC, Searching Blue tidak terhad pada satu kawasan persembahan. Sebaliknya, ia bergerak melintasi beberapa lokasi dari ruang tertutup ke kawasan terbuka, menjadikan pergerakan itu sendiri sebahagian daripada struktur naratif. Adaptasi ini membolehkan setiap ruang memberi sumbangan tersendiri terhadap makna persembahan, memperlihatkan bagaimana ruang tidak lagi berfungsi sekadar latar, tetapi sebagai entiti dramatik yang hidup dan mempengaruhi perjalanan emosi serta persepsi penonton.
Persembahan bermula di Studio 5, kemudian bergerak ke kawasan taman sekitar KLPAC. Kuik Swee Boon menekankan kesedaran ruang sebagai bentuk komunikasi emosi dan spiritual. Apa yang menarik minat penulis adalah karya ini turut memperlihatkan pengaruh falsafah Jepun, khususnya konsep ‘Ma’ (ruang dan kesunyian) yang telah membentuk ritma dan mood keseluruhan persembahan.

“Bentuk adalah kekosongan, kekosongan adalah bentuk”. Ungkapan yang kelihatan bertentangan ini sebenarnya menjadi falsafah teras dalam reka bentuk dan budaya Jepun di mana ketiadaan boleh jadi sama pentingnya dengan kewujudan. Dalam konteks Searching Blue, ia telah bermula sejak dalam studio lagi dimana Kuik Swee Boon dengan sedar atau tidak meletakkan seorang penari duduk di ruangan penonton dan memerhati rakan lain dalam ruang persembahan. Emosinya terasing, matanya sayu dan tubuhnya kelihatan tidak selesa dengan apa yang dilihat. Kuik Swee Boon menolak struktur naratif linear dan menggantikannya dengan pengalaman ruang yang bersifat kontemplasi, di mana tubuh penari menjadi instrumen utama dalam meneroka makna kehadiran dan kesunyian.

Huruf Jepun bagi “Ma” terdiri daripada dua unsur iaitu bawah dan atas. Bahagian atas bermaksud “pintu gerbang” dan bahagian bawah bermaksud “matahari.” Ia melambangkan cahaya yang menembusi ruang kosong di antara pintu, seolah-olah menghidupkan ruang yang tidak terisi. Dari sini, falsafah itu diterjemahkan ke dalam persembahan dimana ruang persembahan dipilih iaitu di atas (dalam studio tertutup) dan di bawah (kawasan padang) yang disinari cahaya matahari petang.
Seperti perenggan awal yang telah penulis coretkan, persembahan ini dimulakan dengan penari mula bergerak perlahan dengan memenuhi setiap sudut lantai dengan menaburkan kapur biru membentuk satu bulatan, inilah pintu gerbang di mana semua emosi dan pergerakkan diatur, tersturktur dan penuh dengan kawalan. Bulatan inilah yang dimaksudkan sebagai pintu gerbang dalam konsep Ma. Dalam satu aksi di luar pula, penari-penari ini mula bergerak sendirian, kemudian menghulurkan tangan pada penonton yang paling hampir dengan mereka. Penari-penari ini seterusnya mengajak penonton untuk turut sama-sama bergerak dalam lingkaran. Disinilah bahagian bawah dalam konsep Ma iaitu “matahari” yang bebas menembusi ruang seperti pergerakan yang diciptakan oleh penari dan penonton yang dipilih.

Di akhir gerak itu, penari dan penonton bersatu membentuk satu gelombang yang berirama dan diakhiri dengan penari menghantar penonton kembali ke tempat asal. Hal ini jelas dimana konsep ‘Ma’ yang menekankan keseimbangan antara kehadiran dan ketiadaan untuk menciptakan ruang.

Melalui Searching Blue, Kuik Swee Boon tidak sekadar menonjolkan keindahan tubuh dalam gerak, tetapi juga memperlihatkan bagaimana keheningan dan ruang yang tidak diisi boleh menjadi sebahagian daripada ekspresi dramatik. Di sinilah letaknya keindahan ‘Ma’ di mana ia bukan tentang apa yang dilihat, tetapi tentang apa yang dirasakan di antara detik-detik yang sunyi itu. Kawasan tepi tasik yang sebelum ini sunyi dan sekadar menjadi pemandangan diisi dengan pergerakan dan bunyi ketukan perkusi.

Foto: Way Studios
Dalam konteks site-adaptive, ruang bukan lagi sesuatu yang tetap, tetapi hidup dan berubah mengikut persepsi tubuh. Lima orang penari mempersembahkan pergerakan lahir daripada tindak balas terhadap ransangan rakan tari di hadapan dan suasana persekitara. Dalam kes Searching Blue, penonton tidak hanya duduk dan pasif. Mereka digalakkan bergerak, memilih sudut pandang sendiri, dan kadangkala berada sangat dekat dengan penari. Ini menjadikan pengalaman menonton bersifat peribadi dan dinamik. Pendekatan ini sekaligus menonjolkan prinsip embodied spectatorship dimana penonton turut menjadi sebahagian daripada koreografi sosial dan ruang persembahan. Hubungan antara tubuh penari dan tubuh penonton membentuk suasana yang reflektif, memperkuat dimensi dramatik yang berpaksikan kesedaran terhadap ruang. Embodied spectatorship ialah pengalaman menonton yang berakar pada kesedaran tubuh. Ia mengubah penonton daripada menjadi pemerhati pasif kepada peserta aktif yang turut mengalami ruang, masa, dan emosi persembahan melalui sensasi fizikal mereka sendiri.

Sebagai karya site-adaptive, Searching Blue membuktikan bagaimana tubuh dan ruang boleh digabungkan untuk mencipta pengalaman dramatik yang mendalam tanpa memerlukan naratif konvensional atau rekaan cahaya, set, kostum yang kompleks. Kuik Swee Boon memperlihatkan keupayaan untuk mentafsir ruang sebagai dramaturgi yang hidup di mana setiap adaptasi lokasi membawa pembacaan baharu terhadap makna karya.
Penulis dapat memahami Searching Blue bukan hanya sebagai persembahan yang berlaku di ruang bukan konvensional, tetapi sebagai karya yang ‘menyesuaikan’ dan ‘menyahut’ ruang tersebut. Searching Blue bukan sekadar pertunjukan tari, tetapi satu bentuk renungan tentang manusia, ruang, dan pencarian makna yang sentiasa berubah.
– NAQUE ARIFFIN merupakan penggiat, pengkritik dan pendidik dalam bidang seni persembahan.
