Bitumen (tar) tentunya bukan material untuk melukis apatah lagi membuat kerja-kerja kreatif.

Bahan industri ini juga dipanggil aspal (asphaltum) atau lebih dikenali sebagai ‘Shilajit’ nama aslinya yang berasal dari India dalam merujuk kepada bahan mentah yang terhasil dari lapisan-lapisan komponen mineral alami terutamanya di sekitar dataran tinggi batu-batan muka bumi. Material dari keladak perut bumi ini lantas menjadi bi-produk petroleum (crude oil) yang berkurun umurnya sebelum dikisar ke fungsi industri. Walau asal usul bahan ini sungguh jauh susur galur kejadiannya namun kisahnya agak jarang kedengaran dalam dunia seni rupa tempatan sebagai medium sehingga sekitar tahun 2000.

Mengimbas kembali pendedahan saya kepada iklim seni rupa ‘pluralisme’ di kota New York di awal 1990an memberi kesedaran akan kepentingan nilai ekpresif bahan terutama yang dibawa oleh pelukis-pelukis New York School sejak 1960an. Kesan pasca – Perang Dunia Kedua telah membawa kesedaran baru kepada pelukis untuk membebas seni rupa dari cengkaman tradisi. Lalu eksplorasi bahan, proses dan perkakas melukis menjadi tesimoni kepada bantahan ini yang membawa kepada kelahiran ‘Post-conceptualism’ hingga kepada ‘Contemporary Formalism’ sekitar 1980an. Pada awal 1990an eksplorasi bitumen dalam karya-karya awal saya ketika di kota New York ternyata membuka lembaran baru dalam usha mengenali kepentingan bahan dalam pengkaryaan.

Saya sesungguhnya semakin yakin bahawa medium keramat ini sebenarnya menjadi ‘interlocutor’ yang petah dalam praktik dan dialog kreativiti saya. Liat kepekatan, legam kehitaman, pudar keperangan dan pekat melekit umpamanya menjadi antara bahasa rahsia catan yang perlu saya kupas dan terokai. Akhirnya pada tahun 1995 buat pertama kalinya saya membawa pulang dan memperkenalkan bitumen dalam pameran solo saya ‘Life Form’ di sebuah galeri di Kuala Lumpur. Ketika itu saya merasakan belum ada pelukis sebelum ini, termasuk seniman Modernis kita yang pernah mempulopori bahan industri ini dalam karya-karya mereka. Alangkah janggal bercampur bangganya saya dengan kelainan ini.

Saban hari saya terus menyedari bahawa bitumen bukan lagi sekadar medium untuk kepakaran teknikal atau penghias imej tapi sebenarnya juga organ yang berdenyut sebagai jantung epistemik saya. Lalu itu catan bagi saya bukan sekadar menyusun imej menjadi aksi representasi atau gema suara pemikat estetika tapi jauh lebih matang fungsi dan peranannya. Ketidaktentuan ragam kesan umpamanya, dek campuran larutan atas permukaan yang berlainan, membuatkan bitumen sukar diramal konsistensi tona sepianya (sepia tonality). Justeru, ia tentunya bukan bahan yang selesa tapi mencabar daya kreativiti dan inovasi saya sebagai pelukis.
Inilah antara ragam dan suara bahan yang diam tapi penting dan sering terlepas pandang atau diabaikan oleh pelukis kerana kerenyahanya. Apatah lagi bila unsur ini tidak lagi dilihat sebagai bahasa bahan yang perlu difahami dan dirai agar sebati mendukung struktur lapisan makna dan epistemologinya. Kita harus memahami bahawa setiap makna (tersurat/tersirat) dalam catan bukan tumbuh terus dari dahan-dahan imajan atau termateri dalam lubuk representasi, tapi berputik dari kesuburan sifat medium yang digali (excavate) dan dinegosiasi (negotiate) antara representasi, makna, memori, material dan budaya dalam nahu semiotik.

Ini yang dimaksudkan sebagai ‘material intelligence’ oleh Barbara Roger – ‘Concept of knowledge gained through physical and conceptual engagement with material’. Martin Heideggier juga pernah menyarankan pendekatan ‘phenomenology’ ini dalam eseinya – ‘The Origin of The Work of Art’ yang memberatkan proses pembuatan karya melebihi segalanya.
Nah, bukankah ini juga antara ilmu catan yang wajar dieksplorasi sang pelukis? Agar setidak-tidaknya dialog seni kita tidak lagi secetek buku lali dalam mengharungi lautan ilmu. Dalam wacana epistemologi seni, saya melihat bitumen juga sebagai metafora budaya yang mengupas kerak sosiologi dan histori dengan mengimbang skala tradisi dan modernisasi, antara sekular dan sakral malah antara ideologi dan autoriti. Karya saya tidak sekali-kali mencari penyelesaian kepada konflik ini tapi membuka luas pintu kontradiksi sebagai ‘generative force’ melalui satira, parodi, kiasan dan sindiran. Sebab itu catan bagi saya bukan saja produk/objek budaya apatah lagi sekadar halwa mata ( baca: ‘pretty picture’) tapi pencetus ilmu di mana setiap siri mengunkit persoalan lebih dari jawapan.

Karya itu menebarkan pertanyaan bukan perhatian, mengusik resah jiwa bukan mengusap ego rasa. Semuanya diungkit melalui tabiat bahan, proses percubaan/eksperimentasi, bacaan kritikal sejarah dan pengalaman ilmu hidup pelukis. Bagi saya bitumen itu panas keperangan ronanya seperti Melayu. Dan narasi kemelayuan dalam catan saya bukan imbasan nostalgia mau pun bergema ortodoksi tapi ekskavasi atau pemetaan kritikal tentang ritual, mitos, pengalaman dan kepercayaan sebagai sistem kehidupan. Sebab itu saya tembungkan kitsch, taboo, parodi, satira dan ragam politik dan budaya dalam menyantuni narasi sosial melalui karya-karya bitumen saya.
Saya juga sememangnya tidak lupa untuk membilas bitumen saya dengan lapisan naratif pasca kolonial dengan mengunkit kerakusan industri imperialis. Dalam diam saya menolak ‘Western universalism’ dan ‘romantic traditionalism’ yang digembar-gembur dalam sejarah kolonialisasi. Dalam kontek ini bitumen adalah muntahan sejarah hasil bumi yang tenggelam dek banjir propaganda kolonial. Keruh hitam lapisannya mengingatkan kita akan kegelapan era penjajah yang merampok hasil bumi ibunda.

Siri Sepia Tak Sepi, 2025, merupakan kemuncak kematangan penggunaan medium dominasi ini dalam praktik saya sebagai pelukis bitumen. Selain kekuatan simbol dan imajan, narasi karya terus didakap erat oleh logik bahasa bahan, proses pembikinannya dan sejarah makna.
Penulisan ini walau tidak semestinya bertujuan validasi tapi sebagai pemberat kepada dakwaan kematangan teknikal dan intelektual saya dalam mengendali material, proses dan permaknaan karya sepanjang kareer artistik ini. Tanpa pendedahan kepada budaya visual (visual culture), semiotik, sejarah bahan (material history) dan sandaran teori-teori kritikal, maka imej hanya sekadar pencetus nikmat (consumption) bukan pencetus ilmu (knowledge).
Semoga usha ini menjadi benih-benih ilmu yang tumbuh menjalar melingkari batas-batas hermeneutik sekali gus membebaskan kita dari kejahilan visual (visual illiteracy).
Insya Allah
Dr. Jalaini A. Hassan – 22 Disember 2025
