“Usaha membawa karya sastera kita sebagai komoditi ke peringkat antarabangsa perlu dilaksanakan sebagai satu pasukan dan mendapat dokongan pihak berwibawa.”
Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Patriot. Jamalee Bashah, selaku ahli panel dalam dialog “Sastera Sebagai Komoditi: Ruang dan Peluang” pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional Ke-IV yang berlangsung hotel Royal Park @ UNITEN Bangi baru-baru ini.
Sebelumnya, dalam dialog yang menampilkan Zaharanum Kamarudin selaku pemudah cara dan Penolong Pengarang Berita, akhbar Berita Harian, Hafizah Iszahanid, sebagai ahli panel yang lain, Jamalee mengakui betapa persoalan bagaimana menghantar sastera sebagai komoditi ke luar negara adalah satu persoalan yang perlukan perhatian dan fokus yang amat dititikberatkan.
Sastera sebagai komoditi perlu disampaikan dalam bentuk yang orang boleh terima masyarakat, dan mudah difahami.

Menurut Jamalee lagi, soal untung dan rugi juga perlu diambilkira. Persoalan lain yang perlu juga diperhatikan adalah sebagai komoditi, sastera yang ditampilkan tidak hanya dalam bentuk kertas atau fizikal. Sebaliknya sudah tiba waktunya sastera ditampilkan sebagai konten dalam bentuk dan media yang lain.
“Tetapi soalnya, apakah sastera kita masih ada ruang dan peluang untuk didagangkan?” soal beliau dan mencabar untuk sama difikir serta dijawab oleh peserta yang memenuhi dewan acara yang dingin dan nyaman.
Bagi Hafizah Iszahanid pula, sastera sebagai komoditi perlukan sokongan orang sastera dengan cara membeli karya sastera dan tahu hak serta menghormati hak cipta intelek dan penyiaran sesebuah karya.
Selaku pengelola ruang sastera di akhbar Berita Harian, Hafizah mendedahkan ada kalangan pengkarya yang terlalu ghairah hendak berkongsi penyiaran karya mereka secara penuh dan utuh di media sosial hingga melupakan hak penyiaran sebuah karya di akhbar adalah tujuh hari sebelum dapat diulang siar oleh pihak lain.
Hafizah turut menegaskan, sastera sebagai komoditi masih boleh dijual jika aspek pemasarannya kuat. Di samping itu, seorang pengkarya yang ingin memasarkan karyanya di sesuatu wadah perlu juga mengkaji aspek-aspek kebolehpasaran dan penyiaran karya yang dikehendaki oleh wadah tersebut.
Dalam acara anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama GAPENA menerusi Inisiatif Belanjawan 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Kota Buku dan Institut Terjemahan Buku Malaysia ini, panel sependapat menimbulkan betapa keunikan sastera kita wajar dijadikan bahan tarikan dan komoditi.
Jamalee Bashah menegaskan, ketika negara Jepun, Korea Selatan menjadikan mitos dan lagenda rakyat mereka sebagai komoditi, bahan kandungan animasi dan tarikan pelancong, kita pula seakan mengabaikannya. Malah menurut beliau, Hollywood juga turut menunjukkan minat untuk menampilkan komoditi tersebut ke layar perak.
Pendapat ini turut dipersetujui oleh Hafizah Iszahanid. Menurut beliau, khazanah sastera tradisional Melayu kita, wajar diangkat sebagai kandungan yang lebih luas dan diikhtiarkan agar boleh menjadi tarikan pelancong.
“Jika selama ini kita cuma menjadikan tempat-tempat menarik, keunikan budaya dan kelazatan makanan sebagai tarikan, kini sudah waktunya khazanah sastera Melayu tradisional kita seperti legenda dan hikayat turut diangkat sebagai daya tarikan pelancong dari luar negara,” tegas Hafizah.
– MARSLI N.O merupakan seorang penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian.

