‘Jangan pernah berhenti mencintaiku, merinduiku, menyayangiku,
aku sayang kamu’…
(Sandra Dianne, Tulus 2020)
Hari ini, 11 September 2024, genaplah empat tahun pemergian seorang penyanyi dan penghibur bersuara merdu, Alessandra Dianne Ampuria berpulang ke rahmat Tuhan. Nahas jalan raya pada tengah hari Sabtu, 5 September 2020, telah meragut jasadnya sesudah enam hari bergalang nyawa dalam koma.
Peristiwa tragis ini seakan-akan mengulang jejak sejarah, tatkala penyanyi berbakat dari negara tetangga, Nike Ardilla yang turut hilang nyawa dengan cara yang serupa, pada hening subuh tanggal 19 Mac 1995, di Jalan RE Martadinata, Bandung, Indonesia.
Anak kelahiran kampung Kauluan, Tuaran, Sabah yang mempunyai cita-cita dan keazaman menggunung dalam industri seni suara negara, memulakan jejak awal dengan menyertai sebuah program realiti pada tahun 2014. Namun, ‘tuah’ tidak bersama beliau, saat tersingkir sebermulanya sayembara nyanyian ini. Takdir dan nasibnya yang tiada gemerlap, justeru melorongkan rezeki yang tiada terduga pula.
Seketika sang komposer, Tam Spider dan penulis lirik Iman Imran, jatuh hati dengan gemaan suara Sandra yang lunak, unik serta ‘menggetarkan’ rasa, mendorong percaya untuk mereka mengamanahkan lagu ‘Hey Kau’, berkumandang buat pertama kalinya pada tahun 2015.
Sandra Dianne, semanis namanya, mengukir serta menongkah nasib dalam persada seni suara dengan mempertaruhkan bakat yang diwarisi daripada sang ibu, tanpa perlu dihujat atau ‘ditumpangi’ oleh gosip-gosip lecehan nan murah.
Di sepanjang garis kerjayanya yang agak dini serta singkat, tiada kontroversi-kontroversi curang yang mencalarkan imej serta peribadi gadis polos ini. Ditambah pula dengan kebolehan bermain alat muzik (gitar), dan kemampuan untuk mengarang lirik-lirik puitis, Sandra dapat tegak serta mandiri dengan ‘anugerah alami’ kurniaan Tuhan, buat menciptakan senandung-senandung gemersik yang meruntun sukma.
Dengarkan sahaja lagu gubahannya berjudul ‘Tulus’, yang beredar di awal tahun 2020. Dengan lantunan suara memukau serta bait-bait senikata yang halus, menghiba dan ‘mencengkam’, kita seolah-olah dapat merasai derita serta perihnya tragedi ‘cinta’, yang cuba dikisahkan melalui resapan melodi nan penuh kesayuan.
Meski selepas empat tahun kembali ke Rahmatullah, pada tahun 2023 lagu nyanyian beliau, ‘Ku Tak Mahu Cinta’, kembali ‘menggema’ di platform sosial media, khususnya di TikTok. Lagu ciptaan Ammar Habir yang dilancarkan pada 2016 ini, telah digunakan lebih 100,000 kali di TikTok sebagai lagu latar dalam beragam perkongsian.
Sandra, seperti yang dikenang oleh para sahabat, mahu pun sesiapa jua yang mengenali dirinya, sering dikhabarkan sebagai seorang gadis ramah, merendah diri, sopan pekerti, petah berbicara, sentiasa mengukir senyum, bijak dalam kelakarnya, dan tidak suka bercerita buruk perihal orang lain.
Sandra juga mengajarkan erti bersetia dalam persahabatan, meletak rasa cinta serta keutamaan kepada keluarga dan kecekalan menghadapi gelora hidup (tanpa merasa segan serta malu, sang penyanyi sanggup berpanas, bahkan bersusah-susah berdagang ikan masin di pasar Tamparuli, tatkala Covid-19 sedang ‘merusuh’), disamping mempertaruhkan bakat seninya, sebagai sandaran yang teratas.
Sandra adalah ‘Sandra’, bahkan itulah kelebihannya, seraya memiliki ‘tone’ suara nan gemersik, yang tak akan mampu untuk diajuk mahu pun ditiru oleh sesiapa sahaja.
Pada hemat saya secara peribadi, Sandra merupakan penghibur yang begitu ‘underrated’, yang pernah dunia seni di negara kita ini, miliki. Hal ini jelas terbukti, kerana ramai pendengar yang kenal akan lagu-lagu nyanyiannya selain ‘Hey Kau’, seperti ‘Ku Tak Mahu Cinta’, ‘Aku dan Kekasih’, ‘Terkemuka’ (duet bersama Zizi Kirana dan Benzooloo), ‘Rasa’ serta ‘Kamu’ (kolaborasi dengan kumpulan Dona), namun, sedemikian ramai juga yang tidak mengetahui, bahawa pelantun yang bersuara merdu di sebalik kesemua lagu-lagu tersebut, adalah Sandra Dianne.
Dalam pada itu, dua buah lagu yang dikeluarkan secara anumerta, berjudul ‘Jelaskan’ dan ‘Sandra’, turut mengundang haru serta esak tangis penuh kerinduan, oleh para peminatnya.
Benarlah bagai dimadah, alunan lagu-lagu enak sememangnya menjadi halwa telinga, namun sekiranya ia mampu menerobos serta menusuk ke kalbu jiwa, itulah yang diertikan sebagai ‘Seni’.
Sepertinya kehendak takdir, di sela-sela keheningan dinihari yang memilukan, Jumaat 11 September 2020, telah menjadi saksi kelam pemergian penyanyi rupawan yang berbakat dan berjiwa besar ini.
Sedih bersulam redha, perjalananmu telah terhenti, bakatmu telah ternoktah, usiamu selama 26 tahun telah pun ‘ditutup’ Tuhan. Sandra sudah tiada, namun suara dan senandung lagu-lagunya tetap jua ‘bernyawa’,…
Bersemadilah dengan damai, moga-moga segala dosa dan segenap khilaf terampuni, diiringi rahmat serta kasih sayang Tuhan, agar mengalir terus menerus menemanimu di baqa’ yang abadi, Insya-Allah.
-Al-Fatihah-
(Alessandra Dianne Ampuria, 16 September 1994-11 September 2020).

Al- Fatihah untuk Arwah Sandra Dianne Ampuria 🤲🏻🤍 Terima Kasih Dr Saiful Akram untuk artikel hebat ini.. 😊🙏🏻
T.kasih atas nukilan ini Dr.Akram..
❤️❤️🤲🤲