Pada 2007, saya diundang semula mengajar seni cetak di Jabatan Seni Halus UiTM Shah Alam setahun sebelum berhijrah ke Universiti Sains, Pulau Pinang (USM) sebagai Ahli Cipta.
Di Jabatan Seni Halus, saya ditemukan dengan pelajar-pelajar bernama Haslin Ismail, Azam Aris, Ruzzeki Harris, Zul Husni dan Samsudin Wahab a.k.a Buden. Juga Faizal Suhif dan Jamil Zakaria, cuma mereka berdua muda angkatannya.
Walaupun saya mengajar kelas khusus, suara saya yang lantang menembusi kelas bersebelahan. Maka ramai pelajar kongsi mendengar dan ini membuatkan ramai yang rapat dengan saya.
Setelah tamat pengajian seramai 11 orang pelajar jurusan seni cetak berpameran di Galeri Kebun Mimpi, Bangsar Julai 2007.
Sebagai kurator, saya mendapati ramai pelajar yang berbakat serta berpotensi tetapi hati saya sering bertanya, adakah mereka akan terus berkarya dalam cabaran yang sedia menunggu, menguji jiwa dan cita-cita?
Penghujung 2007, Samsudin Wahab dan Ruzzeki Harris memenangi pertandingan Salon Meets Art di Elle Six Gallery, Kuala Lumpur. Dari sini mereka berdua membuka Studio Sebiji Padi di Shah Alam.
Kemudian Samsudin Wahab memulakan pula studio peribadinya di Alam Budiman. Manakala Studio Tikus di Ampang, beliau bergerak bersama Zul Husni, Ruzzeki Harris, Hery Zain dan Azam Aris.
Mereka bergerak progresif secara peribadi dan kadangkala dalam berkumpulan seperti projek berkumpulan Tsunami dan Gaza.
Pada 2008, Faizal Suhif, Samsudin Wahab dan Zul Husni menubuhkan Kumpulan Cetak Kolektif, tetapi waktu berkarya di studio yang berasingan.

Galeri dan Muzium Pulau Pinang bersama Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2010 bekerjasama menganjurkan Penang International Print Exhibition (PIPE) dimana seramai 563 karyawan dari 46 Negara terlibat.
Manakala kumpulan Go Block meraikan seni cetak di atas pacuan beca sekitar Bandaraya Georgetown.
Pada masa yang sama juga di Galeri dan Muzium Tunku Fauziah (USM), sekumpulan artis memperagakan karya dalam pameran bernama Ketumbukan.
Dalam pameran ini Samsudin Wahab dan Zul Husni muncul dengan karya rumpun padi alami, ditanam dalam kotak kayu terbelenggu serta terbatas dalam lingkungan yang boleh dibaca sebagai “MUDA”.
Ini satu manifestasi paradoks yang sangat menarik bagi saya dari dua orang artis muda ketika itu.

Pada 2014 pula, Faizal Suhif, Samsudin Wahab serta Zul Husni mempamerkan Cetak Kolektif yang pertama dan kedua pada 2015 di Galeri HOM dengan kerjasama Mimi Baharudin.
Suatu pagi, saya menghubungi Samsudin Wahab “Buden, saya mahu membawa kamu ke Fukuoka dan kamu ada masa seminggu untuk membuat persediaan.
Awang Damit, Bibi Chew dan artis dari Jepun, Filipina, Indonesia dan Jordan akan menunggu kamu di Fukuoka.
Tanpa banyak bicara, beliau muncul dengan teksi di penginapan kami di Munakata dengan tambang yang hampir mencecah empat ratus ringgit.
Di Fukuoka, seramai 21 artis bergabung menjayakan Residensi Barehands 2016 di Fukuoka Education University serta berpameran di 5 lokasi dan galeri.
Ini detik-detik saya mengenali Samsudin Wahab a.k.a Buden. Memang benar sekali bahawa bekerja dan mengembara bersama-sama merupakan satu kaedah yang paling ampuh untuk mengenali peribadi seseorang.

Setelah pulang dari Fukuoka, beliau bersama Bayu Utomo dan Faizal Suhif, memulakan Chetak 12 di Taman Cempaka, Kuala Lumpur pada 2017. Pameran pertama mereka bertajuk Eulogi & Artist Book diadakan di AP Gallery.
Pada tahun yang sama, Faizal Suhif dan Samsudin Wahab ikut serta projek Residensi Barehands di Balai Seni Negara bersama 28 artis dari enam buah negara.
Samsudin Wahab menawarkan studionya di Alam Budiman sebagai hos studio dan dua orang artis dari Bandung dan seorang dari Fukuoka bermukim di sana.
Sambil tersenyum beliau memberi tahu bahawa Pantau Iraga dan Akaldiulu untuk artis senior manakala studio Alam Budiman hanya untuk artis muda seperti dirinya.
Saya tertawa tanpa bantahan, kerana saya memahami semangat setia kawan beliau.
Dia seorang yang prihatin dan bertanggungjawab tanpa perlu diberi arahan dan selalu boleh membaca perancangan saya.
Ini adalah sikap dan nilai peribadi yang payah ditemui dalam kalangan artis muda kita.
Meskipun kesempitan waktu, beliau mencari masa untuk berbincang bersama saya sambil ditemani oleh anak-anaknya yang masih kecil.
Setiap panggilan telefon saya pasti dijawab dan dalam kamus peribadinya, tidak ada perkataan alasan!


Bersama Shahrul Jamili, kami membuat keputusan untuk membawa Samsudin Wahab dan Faizal Suhif menyertai kumpulan Go Block.
Setelah menyepi selama 8 tahun, Go Block berpameran di G13 Kelana Jaya pada 2018.
Seterusnya atas dasar prinsip, pengalaman dan kepercayaan, saya menghantar Samsudin Wahab dan Faizal Suhif untuk menyertai residensi Barehands Cisanti di Institut Teknologi Bandung pada 2018.
Apabila pulang dari Bandung, sesuatu yang menarik berlaku. Chetak 12 telah menganjurkan residensi untuk 3 orang artis muda iaitu Yas Doctor dan Anton Villaruel dari Manila serta Immartyas dari Bandung.

Di penghujung residensi, mereka menganjurkan pameran 2nd edition pada Ogos 2019. Ketika wabak Covid melanda, Chetak 12 mengadakan pameran 3rd edition bersama Grafis Pinggiran dari Indonesia.
Penghujung 2019 hingga 2022 merupakan waktu-waktu yang sangat mencabar bagi penggiat seni sepenuh masa kerana wabak Covid-19 yang membelenggu pergerakan.
Ini satu ujian besar, demi memperlengkapkan Chetak 12 yang akan berpindah ke premis baru di Wangsa Melawati. Bayu Utomo, Samsudin Wahab dan Faizal Suhif dibantu oleh Haslin Ismail, Fadhli Ariffin dan juga Fadli Mokhtar.
Dalam masa ini juga Samsudin Wahab memulakan Studio Anak Tikus di Desa Melawati. Ketika ini saya menyaksikan betapa tingginya semangat dan jiwa anak-anak muda ini.
Bukan itu sahaja, cabaran yang mereka lalui merupakan satu simbol persahabatan yang harus dijadikan teladan serta rujukan dalam mendirikan Chetak 17 yang bersifat komuniti dan rapat pendidikan.
Ini dapat dilihat bagaimana bengkel dan ruang pameran digandingkan dalam satu tempat yang sama. Di sini proses pembuatan dan penghasilan akan mudah difahami serta dihayati oleh umum.
Chetak 17 mengingatkan saya nostalgia artis Malaysia seperti Long Thien Shih,Loh Foo Sang serta Mansoor Ibrahim yang melalui pengalaman di Atelier 17 Paris.
Di Malaysia kita memulakan seni cetak secara mandiri di Anak Alam bersama Latiff Mohidin. Dari sinilah Jailani Abu Hassan dan Rafiee Ghani mengorak langkah bersama Rahime Harun yang kemudian memulakan studio seni cetak di AP Gallery Melawati.
Kalau langkah sudah dimula, gerak dan teruskan saja!
Setelah pandemik (2023) ia merupakan kegiatan pameran yang berpanjangan dan `menguji ketahanan bagi kumpulan Go Block.
Tiga pameran dalam setahun iaitu di Muzium dan Galeri Tunku Fauziah USM Pulau Pinang, Galeri Puteh dan juga Cult Gallery di Kuala Lumpur.
Ketika ini ramai artis jemputan ikut serta dan memberi sokongan.


Samsudin Wahab memberi komitmen yang tidak berbelah bagi dan memberangsangkan dalam ketiga-tiga pemeran tersebut. Beliau sentiasa melangkah keras dan kukuh walaupun dikekang oleh kesihatan, waktu dan tanggung jawab.
When there is a will, there is a way! Beliau masih terus berkarya dalam kesihatannya yang semakin merosot perlahan-lahan sejak 2024.
Adakalanya dia akan mengirim sticker whatsapp yang khas kepada saya.
Dalam kepenatan pulang dari Institut Teknologi Bandung, saya dipandu oleh Luqman Yusri ke Pusat Kanser Negara untuk melawat beliau.
Samsudin Wahab masih melukis diatas katil, siap sedia untuk pameran ‘Stand Inside Your Love’.
Ketika itu dia bersuara, “Encik Jo, selepas ini hantar saya ke Bandung ya.” Saya tersenyum dengan hati sayu dan luluh.“Saya mahu berkarya bersama Pak Tisna.”
Ini semangat dan jiwa seorang seniman sejati, patah sayap bertongkat paruh!
Bukankah tanda orang-orang beriman itu tidak pernah menyerah atau berputus asa?
Juhari Said
Akaldiulu
Julai 18, 2026
Tulisan ini diambil dari katalog pameran ‘ The Snare Still Ringging’ (A Tribute to Buden) yang sedang berlangsung di Galeri PUTEH dari 1 hingga 29 Ogos 2026.

Silakan hadir dan alami sendiri pengalaman ini di GALERI PUTEH L3-01, Level 3, INC KL Eco City, 3, Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur (Stesen LRT – Abdullah Hukum) T: 03-2201 1922
Rujukan
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2026). Definisi “Pandai”. Dalam Kamus Edisi Keempat (Atas Talian). Dicapai pada 18 Julai 2026 daripada https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pandai
