TEMBOK batu di kawasan itu sudah lama menyimpan rahsia. Bau besi berkarat masih menusuk, meski pintunya tidak lagi dikunci rapat. Di lorong sempit Kota Jail, masa seakan terhenti. Bayang-bayang sel berlapis di kiri dan kanan, seakan menunggu sesuatu untuk dihidupkan kembali.
Kali ini, bukan jeritan banduan yang kedengaran, tetapi suara pelakon yang menghidupkan cerita. Teater ini tidak berlampu mewah, tidak berbaju glamor, tidak berbicara dengan mikrofon. Ia hanya bernafas dengan ruang yang pernah menjadi saksi keterkurungan.
Di situlah Sabri Yunus memilih untuk berdiri sebagai pengarah. Teater Dalam Penjara bukan sekadar pentas, tetapi sebuah eksperimen yang menguji tubuh penonton. Bagaimana rasanya menyaksikan lakonan dalam sel yang pernah menyimpan manusia sebenar? Bagaimana merdeka boleh terasa begitu dekat, tetapi juga begitu jauh, ketika pintu besi hanya terbuka separuh?

Sabri tidak pernah merancang untuk menghasilkan sebuah teater dalam penjara. Idea itu bukan ilham lama yang disimpan, jauh sekali cita-cita besar yang dikejar. Segalanya bermula dengan ajakan pihak penganjur Makar Fest untuk meninjau tapak Kota Jail, sebuah bangunan bersejarah yang sarat dengan kisah silam. Dari kunjungan itu, timbul gagasan untuk menghidupkan lorong sel dan menjadikannya pentas.
“Bila penganjur ajak buat satu teater yang sesuai dengan tapak event Makar Fest di Kota Jail dan kami pergi sama ke tapak tu, maka timbul idea untuk buat persembahan ni.
“Set teater di lorong sel, empat sel saya guna untuk pelakon yang memegang watak banduan,” kata Sabri.
Bagi beliau, keputusan itu bukan sahaja logik dari segi ruang, malah memberi nilai tambah kepada pementasan. Ia membuka peluang untuk memindahkan penonton daripada sekadar melihat teater kepada benar-benar merasai teater. Sel bukan lagi hiasan latar, tetapi roh yang mengikat cerita.
Tajuk Teater Dalam Penjara sendiri membawa pertembungan sejarah dan seni. Sabri mengaitkannya dengan kenangan kepada karya Dinsman, yang pernah mencipta Teater Dalam Sawah Padi dan Teater Atas Pokok. Bezanya, Dinsman hanya menggunakan sawah dan pokok sebagai set, manakala Sabri membawa penjara bukan sahaja sebagai lokasi, tetapi juga inti. Naskhah ini benar-benar berkisah tentang banduan, tentang manusia yang sedang menunggu kebebasan.
“Idea tajuk ni bila kenangkan Dinsman buat Teater Dalam Sawah Padi dan Teater Atas Pokok.
“Tapi Dinsman ada tajuk lain cuma set dia sahaja di sawah dan atas pokok.
“Yang saya buat ini kisah banduan yang masing-masing akan bebas tak lama lagi,” jelasnya.
Di sinilah letak kekuatan teater ini, ia berdiri di atas ketegangan antara ruang yang mengikat dan watak-watak yang ingin membebaskan diri.
Pengarahan Sabri kali ini menolak kemewahan teknikal. Tidak ada lampu sorot berwarna-warni, tidak ada mikrofon, dan tidak ada muzik latar. Semua dibiarkan kosong, supaya penonton dan pelakon sama-sama menghirup rasa sebenar ruang penjara.
“Set ini sesuai dengan teater kecil macam ni. Tak guna lighting yang mewah, tak pakai mic.
“Sebenarnya nak bagi kelainan pada dua event Makar Fest yang lepas, sesuai dengan tapak di Kota Jail dan hari Merdeka,” kata Sabri.
Dengan itu, suara pelakon bergema dalam ruang batu yang keras, langkah kaki penonton menjadi sebahagian daripada bunyi pentas, dan setiap hembusan nafas membawa rasa sesak yang tidak dapat dielakkan.
Kesannya bukan sahaja pada estetika, tetapi juga psikologi penonton. Ramai yang barangkali pertama kali menjejakkan kaki ke dalam penjara, lalu merasai keterkurungan yang pernah dialami banduan.
“Mungkin ada yang pertama kali melawat penjara. Walaupun bukan dengan naskhah dan lakonan pelakon, sekurang-kurangnya set sebenar boleh menyentuh rasa kesesakan pada penonton,” jelas Sabri.
Di sinilah Teater Dalam Penjara mencapai keistimewaannya. Ia tidak hanya ditonton dengan mata, tetapi dirasai dengan tubuh. Penonton bukan sahaja menyaksikan kisah banduan, tetapi juga seolah-olah turut dihukum oleh ruang itu.
Isu buli turut disentuh dalam teater ini, tetapi Sabri berhati-hati untuk tidak menjadikannya ceramah moral. Beliau mengakui bahawa isu itu hadir secara semula jadi dalam dunia penjara, tetapi tidak perlu dijadikan tema utama.
“Saya cuba untuk tidak jadikan buli sebagai content teater ini.
“Kami tak beri penekanan pada isu ini, sekadar sekali lalu.
“Sama juga dengan isu merdeka walaupun malam itu malam sambut merdeka. Kebetulan dua isu itu terkait dengan penjara,” katanya.
Bagi Sabri, banduan boleh datang dari pelbagai latar. Ada yang menjadi mangsa buli, ada yang menjadi pembuli, ada juga yang sekadar terperangkap dalam kitaran kekerasan. Tetapi di penjara, mereka semua berkongsi nasib sama, menunggu kebebasan.
Merdeka pula hadir sebagai gema yang tidak dapat dielak. Kebetulan pementasan berlangsung pada malam sambutan Merdeka, tetapi Sabri tidak mahu menjadikannya slogan. Baginya, setiap banduan dalam cerita sedang menuju pintu kebebasan mereka sendiri, dan itulah makna merdeka yang sebenar.
Apabila dibandingkan dengan medium lain seperti filem, televisyen atau media digital, Sabri mengakui bahawa teater punya kekuatan tersendiri, walaupun khalayaknya kecil.
“Teater selama ini dianggap medium serius berbanding drama TV atau filem yang lebih dilihat hiburannya.
“Media sosial satu platform baru yang lebih luas, masing-masing berperanan.
“Namun sayangnya audiens teater tak ramai dan tak meluas. Oleh sebab itu teater menjadi lebih kecil berbanding yang lain dalam berperanan untuk saperti ini.
“Khalayak teater hanya orang yang nak menikmati teater semata, bukan kerana isunya,” katanya.
Jawapan ini barangkali kedengaran sederhana, tetapi ia mengandungi realiti yang tidak mudah diubah. Teater tidak pernah bertujuan mengejar jutaan tontonan. Ia adalah seni yang intim, seni yang mencari penonton yang sanggup datang, bukan penonton yang ditemui secara kebetulan. Dan dalam keterbatasan itu, teater menemukan kedalamannya.

Soal masa depan Teater Dalam Penjara, Sabri tidak berhasrat menjadikannya karya kembara. Ia dicipta khusus untuk Makar Fest di Kota Jail.
“Saya belum bercadang apa-apa. Naskhah ni dibuat untuk mengisi event Makar Fest semata-mata.
“Namun mungkin ada perkiraan lain selepas ini, bergantung lah.
“Kalau dibuat pementasan lain pun saya tak fikir mencari penjara lagi. Set boleh dibuat.
“Tapi sekiranya ada penjara lain yang nak buat macam tu okey saja. Ini cuma naskhah kecil sahaja,” katanya.
Jawapan ini sekali lagi mencerminkan kejujuran Sabri. Beliau tidak meletakkan beban besar kepada karyanya. Baginya, Teater Dalam Penjara hanyalah satu episod kecil dalam perjalanan seni. Justeru itu, ia menjadi berharga. Kecil tidak bermakna remeh, kadangkala yang kecil lebih menusuk.
Akhirnya, Teater Dalam Penjara berdiri sebagai pertemuan unik antara seni dan sejarah. Kota Jail menjadi saksi bagaimana ruang yang dahulu mengekang kini memberi kebebasan kepada seni. Penonton bukan sahaja menonton lakonan, tetapi turut merasai perasaan banduan, turut dihimpit oleh dinding yang sama, turut menunggu pintu kebebasan terbuka.
Sabri menyebutnya sebagai naskhah kecil. Tetapi kesannya kepada penonton mungkin tidak kecil. Ia bakal meninggalkan jejak emosi yang kuat, terutama pada hari di mana seluruh negara meraikan Merdeka. Dari lorong sel yang sempit, Teater Dalam Penjara menyampaikan peringatan senyap, kebebasan bukan sekadar kata, tetapi pengalaman tubuh.
Di tengah keriuhan pesta, suara banduan rekaan itu bergaung sebagai gema yang lebih dalam. Teater mungkin hanya sebuah seni kecil dengan khalayak terbatas, tetapi seperti yang ditunjukkan oleh Sabri di Kota Jail, ia masih mampu menyentuh perkara paling asas dalam hidup, makna kebebasan.
NOTA: Sebahagian kecil artikel ini ditulis dengan bantuan ChatGPT.
