DATUK M. Nasir mencipta kira-kira 15 lagu raya sepanjang kerjayanya. Ada yang kita tahu, ada yang mungkin tak ramai tahu.
Kumpulan nasyid, Al-Jawaher, ada dua lagu raya dalam album Permata (1980), Ku Pohon Restu Ayah Dan Bonda (yang kemudiannya dinyanyi dan dipopularkan Mamat Exist) dan Selamat Hari Raya. Selamat Hari Raya dicipta M. Nasir.
Penyanyi balada nusantara, Sheqal juga ada lagu raya sentuhan M. Nasir, iaitu Tari Lebaran. Lagu raya yang orang kata tak berapa nak raya, Halaman Asmara nyanyian Awie dan Ziana Zain juga dicipta M. Nasir.

Ini termasuk juga lagu-lagu raya yang dinyanyikan M. Nasir sendiri, seperti Satu Hari di Hari Raya, Salam Dunia dan Pening Raya (bersama Salleh Yaacob).
Legasi penciptaan lagu raya yang tidak konvensional oleh M. Nasir akan diraikan dalam Konsert Cipta Raya pada 13 April ini di Zepp KL.
Ia sebuah konsep yang segar, seperti yang dinyatakan sendiri oleh M. Nasir dan penganjur acara, Iman Tang dalam sidang akhbar konsert tersebut pada 10 Mac.
Jika selama ini kita dihidang program televisyen yang khusus untuk sambutan Aidilfitri, kali ini ada konsert khas. Malah, konsepnya juga disusun seperti rumah terbuka apabila pembeli tiket berpeluang menjamu selera dengan juadah hari raya sebelum konsert bermula.
“Saya jangka ia akan jadi sebuah konsert yang seronok,” kata Iman, pengasas Icon Entertainment yang menganjurkan siri Konsert Cipta M. Nasir sejak tahun lalu.
Bagi M. Nasir, konsert itu dilihat sebagai peluang untuk mengetengahkan lagu-lagu raya ciptaannya selain untuk meraikan Aidilfitri bersama peminat.

“Saya suka sebab ini pertama kali dibuat (konsert khas hari raya) dan saya selalu, setiap kali hari raya, buat rumah terbuka.
“Tahun ini tak tahu akan buat atau tidak rumah terbuka sebab ia dah dibuat dalam konsert itu. Rasa lega sebab tanggungjawab itu dah diambil Iman, jadi saya tak perlu belanja banyak. Saya gembira kerana itu,” katanya berseloroh.
Dalam konsert tersebut, sebanyak 20 lagu akan dipersembahkan M. Nasir dengan 17 daripadanya ialah lagu berkaitan hari raya.
Selain lagu ciptaan sendiri, M. Nasir turut akan menyanyikan lagu raya ciptaan komposer lain yang menjadi kegemarannya.
Tiket konsert tersebut sudah mula dijual sejak 5 Mac lalu melalui platform Ticket2U.
