Amy Mastura datang dari tempat duduk penonton ke arah pentas sambil diikuti oleh lampu spot. Menampakkan dia sebagai satu sosok istimewa dalam persembahan dan pengkisahan Dr. Rosminah Tahir (Cik Ros). Dia kemudiannya ditegur oleh kawan rapat Cik Ros, Shahrul Mizad (yang suaranya viral di TikTok “Aku pasti dik. Kau akan terkenal dekat KL nanti”). Amy Mastura kemudiannya diusik kerana latahnya. Membuatkan suasana pentas disambut dengan gelak tawa. Selepas itu, Amy ditinggal berseorangan dan di sinilah Amy mempertaruhkan bakat lakonan dan nyanyiannya dengan lebih baik lagi!
Inilah sebahagian daripada sedutan Teater Cik Ros yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Teater ini diarahkan oleh Hamzah Tahir (Kit Kat Klub dan sinografer serantau dunia) yang merupakan insan yang selalu menghidupkan sinografi atau rekaan teaterikal bagi teater- teater arahan Cik Ros. Persembahan ini juga dihidupkan lagi dengan insan-insan seni yang pernah terlibat dalam pementasan-pementasan Cik Ros.
Sumbangan Cik Ros amatlah besar kerana beliau merupakan tulang belakang penubuhan Akademi Seni Kebanggan (ASK) yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Ini merupakan titik tolak awal kumpulan graduan yang mempunyai sijil akademik berkaitan seni persembahan mula diiktiraf dengan lebih baik apabila Cik Ros dan rakan-rakan menjadi antara kumpulan terawal graduan seni persembahan dari universiti tempatan iaitu USM dan UM untuk menghidupkan ASK yang pada waktu itu belum ada nama yang dicadangkan kepada Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia lagi.
Prosesnya amat rumit namun pada akhirnya pada tahun 1994 ASK berjaya menawarkan program akademik berkaitan seni kepada kumpulan pelajar pertama. Pemilihan pelajar sangat ketat pada waktu itu iaitu para pelajar perlulah mereka yang benar-benar ingin belajar dalam bidang seni. Nama-nama besar dalam industri seni dalam negara merupakan kumpulan graduan pertama daripada ASK seperti Juhara Ayob, Rosdeen Suboh, Norzizi Zulkifli, Nam Ron dan ramai lagi. Mereka juga mendapat pendidikan daripada aktivis seni yang mempunyai nama yang besar dalam dunia seni seperti Ahmad Yatim, Professor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ghouse Nasuruddin, dan Krishen Jit.
Di sinilah peranan utama Cik Ros terserlah. Bukan sekadar insan yang mulia hatinya dan menjadi guru yang sangat empati kepada jiwa pelajar.

Teater Cik Ros diterbitkan CTRA Production dan Abada Global Resources (AGR) dengan sokongan DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Persatuan Gerakan Anak Seni (GAS) serta Malaysia Gazette. Teater ini juga mendapat liputan meluas dari media massa Malaysia; menjadikan teater ini sebagai satu teater yang wajar untuk diangkat dalam negara kita.
Teater ini dipersembahkan dengan kaedah para pelakon yang rapat dalam hidup Cik Ros menyampaikan cerita-cerita mereka dengan Cik Ros. Setiap pelakon mempunyai kisah menaritentang tokoh hebat ini dan dipersembahkan secara berkumpulan atau secara individu. Dari sini kita lebih mengenali betapa mulianya insan bernama Cik Ros. Cik Ros juga sangat digeruni. Beliau terkenal dengan ketegasan dan para pelajar atau pelakon yang pernah terlibat dengan beliau menceritakan kepada penonton betapa mereka sangat takut kalau melakukan kesalahan dalam latihan. Ada antaranya seperti kucing ketakutan. Melangkah di hadapan bilik Cik Ros dengan perlahan-lahan tanpa bunyi. Satu bunyi tapak kaki sudah pasti membawa nahas.
Persembahan ini disusun bermula dengan jiwa Hamzah Tahir yang amat menyukai gerakan kontemporari (pengaruh kuat Kit Kat Klub Entertainment) kemudiannya diindahkan dengan peranan Cik Ros sebagai insan penting yang mengangkat drama-drama dan karya Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said iaitu Lantai T. Pinkie. Setiap pelakon yang terlibat memperlihatkan kepada kita bahawa inilah antara karya pengarahan penting Cik Ros sehinggakan nyawa T. Pinkie itu ada dalam jiwa mereka. Setiap gerak langkah dan peranan kebaya T. Pinkie tidak disia-siakan. Di sinilah kebijaksanaan pengarah terlihat. Memberikan perhatian penonton fokus tidak berhenti kepada kebaya T. Pinkie. T. Pinkie ialah jiwa wanita pejuang yang hebat. Lebih menarik lagi pemain watak T. Pinkie semuanya wanita hebat. Karya ini ialah karya A. Samad Said yang saya rasa sangat indah rencahnya dengan pelbagai latar. Singapura dan Telok Melano di Sarawak dimewahkan dengan pelbagai drama dari watak-watak yang ada. Pelajar teater wajib membaca karya ini!
Watak-watak yang hidup dalam dunia Cik Ros mula hadir seorang demi seorang. Pelakon bermain dengan lakonan yang lebih natural apabila menyampaikan naratif dan dalam sekelip mata berubah watak mengikut kepada skrip yang mereka mainkan. Pelakon berpengalaman dalam pementasan ini menjadikan karya ini kuat dan setiap perkara yang ingin dibicarakan berjaya disampaikan dengan sangat berkesan. Juhara Ayub sudah pasti menjadi pelakon yang tidak dapat dipersoal kehebatan lakonannya. Juhara dengan tanpa perlu kelihatan bersusah payah berubah watak dalam sekelip mata dan berjaya membawa momentum dan tenaga dengan sangat baik. Adegan Juhara dimarahari Cik Ros akan sentiasa diingati kerana rencahnya pelbagai. Kelakar, sedih, kesian.
Para pelajar teater perlu mengambil iktibar dari disiplin pelakon dalam cerita ini yang nantinya akan membawa kejayaan. Semua pelakon Cik Ros mempunyai disiplin yang baik dan sangat menghormati Cik Ros sebagai pengarah. Ada juga beberapa keadaan pelakon tidak bersetuju dengan kehendak Cik Ros tetapi ini dapat ditangani dengan baik memandangkan pelakon tahu akan peranan mereka. Liza Abdullah pernah mempersoalkan arahan pentas Cik Ros yang tidak mahu Liza meratapi kematian tetapi kemudiannya beliau sedar bahawa Cik Ros membawa mesej yang lebih besar. Cik Ros mahukan watak Liza kelihatan lebih kuat di atas pentas. Cik Ros kata yang beliau tidak mahu kematiannya diratapi. Satu falsafah yang sebenarnya sangat berat untuk dibawa tetapi berjaya dipersembahkan dengan baik oleh Liza Abdullah. Dari sinilah, Liza mula gian untuk berlakon lagi dengan Cik Ros. Ternyata, Cik Ros dikelilingi oleh orang yang tahu peranan mereka sebagai pelakon dan mereka juga tulus jiwanya.
Teater ini berjalan seolah kita merasakan bahawa Cik Ros sedang hidup bersama kita sehinggalah kita dikejutkan dengan adegan Cik Ros diberitakan meninggal dunia. Pada waktu itu, Shahrul Mizad sedang berada di tempat lain. Shahrul Mizad mendapat panggilan dan pada awalnya dia hanya santai seolah tiada apa berlaku kerana dia belum tahu lagi berita sedih itu. Apabila terlihat kesedihan dari Juhara, Shahrul Mizad mula merasa aneh. Hatinya mula tidak enak. Adegan pendek ini ditamatkan dengan Shahrul Mizad tahu akan berita Cik Ros meninggal dunia.
Dalam dunia sebenar (ini bukan dalam pementasan), kehilangan Cik Ros sebenarnya amat mengejutkan. Diceritakan tiada siapa tahu pada asalnya. Cuma, ada sedikit rasa janggal kerana Cik Ros tidak dapat hadir dalam pengebumian seorang keluarga terdekat. Semua mula sedar Cik Ros sudah tiada apabila rakan baik Cik Ros, Nasha Aziz tidak sedap hati dan mahu tahu apa terjadi.
Penamat teater ini (ini dalam pementasan) dipersembahkan dengan kehadiran Datuk Ahmad Tamimi Siregar menyampaikan adegan saat-saat terakhir Lantai T. Pinkie di dunia. Peperangan telah membawa kepada hilangnya nyawa T. Pinkie di Telok Melano. Tapi semangatnya tetap kuat. Semangatnya tetap ada dalam memperjuangkan jiwa merdeka. Begitulah Hamzah Tahir (yang merupakan juga adik kandung Cik Ros) menyampaikan semangat perjuangan merdeka kakaknya dalam teater ini. Hamzah, saya doakan yang terbaik untuk anda sekeluarga. Kami di UiTM akan sentiasa ada untuk anda.
Cik Ros akan terus diingat sebagai tokoh penting dalam seni persembahan di Malaysia. Semoga rohmu dicucuri rahmat. Akan kami ingat segala jasamu. Al – Fatihah.
