LANGKAWI menjadi saksi sebuah pertemuan yang tidak akan mudah padam dari ingatan. Selama lapan hari bermula dari 24 hingga 31 Ogos, 26 individu dari pelbagai negeri berkampung di pulau ini, berkongsi ruang, riuh, dan karya dalam Printlab Festival anjuran Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Kami menetap di Hotel The Pure, Kuah yang dahulunya dikenali sebagai Goldsand. Dari lobi hotel, setiap pagi kami menaiki van, dibawa ke balai seni. Di situlah, dakwat dan kertas bertukar menjadi alat mengikat persahabatan. Ramai antara kami bukan dari disiplin seni cetak, malah ada yang belum pernah menyentuh lino atau kayu ukiran. Namun,semua itu bukan halangan untuk berusaha biarpun ada ketikanya berlaku salah yang tidak sepatutnya hingga pecah tawa berulang kali. Suasana bengkel kadang seperti pesta kecil, kadang seperti dapur bunyi yang mendidih.
Pada malam suai kenal, semua gelaran ditinggalkan. Pensyarah, pelukis yang sudah menjual karya ribuan ringgit, pengarah seni, pelajar, usahawan, penulis atau siapa sahaja kembali menjadi pelajar. Kami berdiri setara, memperkenalkan diri dengan semangat seperti malam pertama mendaftar di asrama. Rozaree Mohamed, anak muda penuh santun, menjadi hos yang mengikat suasana. Malam itu, segala jarak lenyap.
Pagi berikutnya, hujan turun lembut, berlarutan dari bilik hingga ke jeti. Tilam 13 inci yang empuk seakan menggoda, tetapi semua sudah bersedia di kafe. Dari Jeti Pekan Rabu, berbaju hujan kuning, kami menyeberang laut menuju Pulau Tuba. Bot yang kami naiki masih baru, hanya sebulan beroperasi, dan kami antara penumpang awalnya.

Hujan tidak memadamkan selera. Singgah di kedai bahulu, aroma panas dan manisnya berpadu dengan dingin hujan. Tidak jauh kemudian, kami dihidangkan keropok keping garing bersama sos cili buatan tangan. Bob, dengan gaya bersahaja, menjadi jurujual sukarela, membahagi sekeping seorang sambil mengusik kami yang akhirnya ramai membeli.
Di Ombak Chalet, setiap peserta diberi tangkul ketam berlabel nama sendiri. Tangkul diturunkan dengan sorakan, seakan memanggil ketam gemuk masuk ke perangkap. Raja Paddy sudah menyebut masak lemak cili api, Cikgu Pa pula membayangkan ketam manis pedas. Tangkul diikat, menunggu rezeki.
Perjalanan diteruskan. Buggy membawa kami melihat batuan berlapis, pokok getah, pagar daun nipah, pagar kawat, siput kecil dan lereng bukit. Kami berhenti di Pantai Batu Hampar. Di situ, kertas, pensil, pemadam dan dakwat diagih. Ada yang melakar daun. Ada yang mencetak di atas batu. Ada yang hanya memandang luas, seolah kertas A3 terlalu kecil untuk menampung Pulau Tuba.
Tengah hari kami makan di kedai Tg Peluru. Lauk ringkas tetapi segar. Nasi putih, udang sambal, gulai ikan, ayam masak merah, sotong goreng tepung, ulam dan sambal belacan. Selepas itu kami singgah solat di Masjid Al Wafa. Di stor masjid tersimpan sebuah beduk lama sebesar kereta kecil. Sudah tidak digunakan lagi.
Perjalanan kemudian membawa kami ke sawah. Kerbau sedang berkubang. Pemandangan biasa tetapi menjadi istimewa kerana disaksikan bersama. Suara peserta bercampur dengan nyanyian Kak Fazz. Lagu Vincent memenuhi udara. Dalam masa yang sama peserta lain mencari objek untuk karya. Kerbau, hornbill, akar bakau, ketam, bronok dan cendawan pada batang pokok. Semua dilihat sebagai bahan cetakan.
Pendakian di Bukit Kecik memperlihatkan batuan berusia 350 juta tahun. Batuan enapan dengan jalur hitam dan hijau, ada juga kapur dengan bintik putih kesan kulit siput. Kisah lama menyebut Pulau Tuba dibuka oleh Tok Bagus. Penduduknya Melayu Kedah.

Petang, kami kembali ke tangkul ketam. Hanya tangkul Paddy yang berisi seekor besar. Yang lain kosong. Zuhdi kecewa. Sebagai ganti, kami menyelongkar selut mencari bronok. Bronok muda dikutip, yang tua dilepaskan semula. Perut bronok dibersihkan, dipotong nipis, sedia untuk dimakan.
Hujan berhenti ketika bot membawa kami pulang ke Langkawi. Sampai di hotel jam lapan empat puluh lima malam. Semua mandi, kemudian tidur kepenatan.
Hari berikutnya bengkel berlangsung mengikut jadual. Peserta turun sarapan tepat masa, naik van, tiba di balai. Dakwat, papan dan kertas jadi pusat tumpuan. Bunyi geseran lino, bau dakwat, tumpahan kecil, semuanya mengisi ruang. Karya satu demi satu terhasil lalu digantung untuk pameran.
Hari kelima peserta dipecah kepada tiga kumpulan. Papan besar diberikan untuk dilorek. Ada yang tidak suka dipisahkan daripada kawan baru tetapi tugasan tetap dijalankan. Kami beruntung kerana kolektif seni cetak Pangrok Sulap hadir dari Sabah. Bam dan Mamink mengajar kami dua cara. Pertama dengan memijak kertas berlapik karpet untuk meratakan dakwat. Kedua dengan jentera penggelek jalan. Setiap helaian kain yang terangkat dari papan disambut sorakan.
Malam terakhir, malam merdeka. Kami berkumpul di tingkat tiga belas. Dari jauh bunga api meletus dari Dataran Helang dan Maha Tower. Lampu dipadam. Hakiki memainkan biola. Kami menyanyi bersama. Lagu Sudirman berkumandang dengan suara sumbang dan lirik bercampur. Semangat lebih penting daripada ketepatan. Malam itu berakhir dengan puisi di bawah bintang.
Selepas bengkel berakhir, kumpulan WhatsApp masih hidup. Gambar bertukar, gurau dan usikan bersambung. Zuhdi menulis bahawa hatinya masih tertinggal di Langkawi. Lapan hari meninggalkan kesan yang tidak mudah hilang. Cerita hidup, kisah luka, resipi, petua, semua bercampur.
Begitulah 26 karya yang terhasil di Printlab Festival—setiap satunya menyimpan cebisan cerita: Mustafa Mahamud (Tarian Bakau), Morne Hashim (Tok Siput Mengering Ikan), Fazz Ramli (Alunan Mengkuang), Nor Harliza Ariffin (Tapak Jalan), Eng Jun Yi (Nada Alam Tuba), Qamarina Rusly (Penyaksiaan Alami), Shu Ogasawara (Seeing Tuba Island), Muhammad Hakiki Syahruddin (Seratus Tahun), Zainuddin & Rafidah (Teduh Batik, Lilit Masa), Aminah Abd Rahman (Wild Flower – Pulau Tuba), Mohammad Firdaus Ibrahim (Rimba Pesisir Tuba), Amirul Firdaus Mohd Zulkifli (Tuba), Nazri Abdullah (Si Belut Laut), Nur Adibah Nadiah (Teman Hingga Senja), Mohd Nafis Saad (Arus), Aslinda Ahmad (Ceritera Tuba), Raja Azhar Idris (Natural Form of Stone Pulau Tuba), Mekkolupo (Buffalo II), Syahril Azwan (Jeti Terawal Pulau Tuba), Wan Maisarah Wan Zailani (Di Bawah Bayu Tuba), Khairul Amar Khairul Bazli (BronokRonok), Zuhdi Nusuki (The Old Charm), Raja Fadzilah RBS (Bronok Pulau Tuba), Rico Leong @ Shahmer Aizam (Panggilan Laut), Mazlina Saidin (Seratus Tahun).

Tahniah kepada Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Zaslan Zeeha Zainee (yang mesra dipanggil kembar Awie), Noordila Omar yang sentiasa tersenyum, Rozaree yang tidak pernah tidur, Nurin Afiqah yang tinggi lampai, dan Illya Natasya yang tekun menjaga balai. Juga kepada Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Ameruddin Ahmad.
Bengkel ini bukan hanya tentang seni cetak. Ia tentang akar yang saling berpaut, tentang kenangan yang akan terus hidup. Printlab Festival di Langkawi bukan sekadar bengkel, tetapi sebuah jalan kenangan yang akan panjang maknanya kepada kami semua.
Setiap karya membawa kisah lapan hari itu. Pulau Tuba, hujan, bronok, ketam yang terlepas, nyanyian di rooftop, beduk besar, kerbau berkubang, batuan purba. Semuanya bercampur dalam bentuk cetakan. Seperti kerabu bronok yang berisi hirisan bawang merah, perahan limau, cili kering, kelapa parut, beras disangai, lengkuas, mangga, belacan, daun gajus dan daun cemumak.
Bengkel ini berakhir tetapi ikatan yang terjalin kekal. Seperti akar bakau yang berpaut kuat pada bumi, ia tidak mudah tercabut.
Terima kasih Balai.
