Apabila sebuah karya seni dijual buat kali pertama, artis menerima hasil daripada penjualan tersebut.
Namun, apabila karya yang sama dijual semula beberapa tahun kemudian pada harga yang jauh lebih tinggi, artis asal tidak semestinya menerima apa-apa daripada peningkatan nilai itu.
Persoalannya, wajarkah pencipta terus terputus daripada perjalanan ekonomi karya yang dihasilkannya sendiri?
Persoalan inilah yang menjadi asas kepada Resale Royalty Right (RRR), atau Hak Royalti Jualan Semula. Secara asasnya, RRR memberikan hak kepada artis visual untuk menerima royalti apabila karya seni asal mereka dijual semula melalui transaksi pasaran seni yang memenuhi syarat tertentu.
Pada 19 Ogos 2026 yang lalu, saya bersama Dr. Ishak Ramli telah dijemput sebagai wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar ke Mesyuarat Sesi Libat Urus (SLU) Teknikal Mengikut Kluster bagi Pindaan Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332): Kluster Penciptaan Nilai Ekonomi dan Infrastruktur Hak Cipta, yang berlangsung di Menara MyIPO Petaling Jaya.
Sesi tersebut turut menghimpunkan wakil daripada pelbagai institusi dan agensi berkepentingan, yang antaranya adalah; Tribunal Hak Cipta, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara, Malaysian Bar Intellectual Property Committee, Arkib Negara Malaysia, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) serta Istana Budaya.
Kehadiran pelbagai pihak ini memperlihatkan bahawa perbincangan berkenaan pindaan Akta Hak Cipta, termasuk RRR merentas aspek perundangan, pentadbiran, kebudayaan dan ekosistem seni.



Sebagai penyelidik yang memberi tumpuan kepada pembangunan model RRR untuk seni visual di Malaysia, sesi ini cukup signifikan. Perbincangan mengenai RRR kini tidak lagi hanya berkisar kepada persoalan “adakah Malaysia memerlukan RRR?”, tetapi semakin bergerak kepada persoalan “bagaimanakah RRR yang sesuai dengan ekosistem seni visual Malaysia harus dibentuk?”
Dari Jurang Undang-Undang Kepada Hak Baharu Artis
Antara perkara asas yang dibincangkan dalam SLU ialah kedudukan RRR dalam kerangka Akta Hak Cipta 1987. Pada masa ini, Akta tersebut belum memberikan hak khusus kepada artis untuk menerima royalti apabila karya seni asal mereka dijual semula.
Dapatan perbincangan SLU mengetengahkan cadangan supaya RRR dibentuk sebagai hak remunerasi statutori yang khusus, berasingan daripada hak eksklusif hak cipta sedia ada. Hak tersebut dicadangkan bersifat automatik, tidak boleh dipindah milik atau diketepikan, tetapi boleh diwarisi selepas kematian artis.
RRR bukan bermaksud artis terus memiliki karya selepas karya tersebut dijual. Pemilik masih mempunyai hak terhadap objek yang dibelinya. Namun, apabila berlaku jualan semula yang memenuhi syarat tertentu, pencipta asal berpeluang menerima sebahagian daripada nilai transaksi tersebut.
Karya dan transaksi yang layak?
Tidak semua karya yang berada dalam kategori umum ‘artistic work’ semestinya sesuai dimasukkan dalam sistem RRR. Dapatan perbincangan SLU menunjukkan keperluan kepada definisi khusus “karya seni visual asal” yang benar-benar berkaitan dengan pasaran seni sekunder.
Antara kategori yang dibincangkan termasuk lukisan, catan, cetakan, fotografi, arca, seramik, ukiran, instalasi, karya tekstil, karya seni digital dan karya video. Edisi terhad turut berpotensi dimasukkan sekiranya keasliannya dapat disahkan. Sebaliknya, reproduksi besar-besaran, keluaran industri, salinan digital tanpa had dan karya tanpa bukti keaslian dicadangkan untuk dikecualikan.
Perkembangan seni kontemporari bagaimanapun menimbulkan persoalan baharu. Berapakah jumlah edisi yang masih boleh dianggap sebagai limited edition? Bagaimanakah keaslian karya digital hendak disahkan? Persoalan seperti ini masih memerlukan penelitian dan pandangan lanjut daripada pemegang taruh.
Begitu juga, RRR tidak bermaksud setiap kali karya bertukar tangan, royalti secara automatik dikenakan. Antara cadangan yang dibincangkan ialah RRR hanya terpakai kepada jualan semula komersial yang layak, iaitu transaksi selepas pemindahan pertama oleh artis dan melibatkan sekurang-kurangnya seorang profesional pasaran seni seperti galeri, rumah lelong, dealer, broker atau ejen.
Jualan pertama oleh artis, jualan persendirian antara individu tanpa penglibatan profesional pasaran seni, hadiah dan pewarisan pula dicadangkan tidak termasuk dalam skop RRR.
Pendekatan ini penting kerana penglibatan profesional pasaran seni menyediakan titik transaksi yang lebih jelas untuk tujuan rekod, pelaporan dan kutipan royalti.
RM3,000 dan 5% ?
Antara dapatan perbincangan SLU yang menarik perhatian ialah cadangan awal mengenai ambang RM3,000 dan kadar royalti 5% daripada harga jualan bersih.
Namun, angka tersebut bukan kadar yang telah dimuktamadkan. Ia merupakan cadangan awal bagi tujuan perbincangan dan masih memerlukan penelitian berdasarkan data serta realiti pasaran seni Malaysia. Pilihan lain seperti kadar berperingkat dan had maksimum bagi transaksi bernilai tinggi juga masih terbuka.
Sebagai contoh, sekiranya sebuah karya dijual semula pada harga bersih RM3,000 dan kadar 5% digunakan, royalti yang terhasil ialah RM150. Jika harga jualan bersih berada di bawah ambang tersebut, tiada royalti dikenakan berdasarkan cadangan awal ini.
Persoalan utamanya bukan sekadar sama ada 5% itu tinggi atau rendah. Ambang terlalu tinggi mungkin menyebabkan ramai artis tidak menikmati manfaat RRR, manakala ambang terlalu rendah boleh meningkatkan kos pentadbiran bagi transaksi bernilai kecil. Justeru, kadar dan ambang akhirnya perlu mencerminkan struktur sebenar pasaran seni tempatan.
Siapa bertanggungjawab?
Hak yang diwujudkan tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas mungkin sukar memberikan manfaat kepada artis. Dapatan perbincangan SLU memberi perhatian kepada pihak yang perlu melaporkan transaksi dan memastikan pembayaran royalti dilakukan.
Antara cadangan yang diketengahkan ialah tanggungan asal diletakkan kepada penjual, dengan tanggungjawab bersama profesional pasaran seni yang mengendalikan transaksi. Pendekatan ini mengelakkan artis daripada terpaksa menjejaki sendiri setiap kali karya mereka muncul semula di pasaran.
Dalam masa yang sama, mekanisme pelaporan perlu mengambil kira kerahsiaan komersial dan perlindungan data peribadi. Jenis maklumat yang perlu dilaporkan, tempoh penyimpanan rekod dan tatacara pembayaran masih perlu diperincikan.
Mengapa perlukan satu CMO?
Salah satu komponen penting yang dibincangkan ialah pengurusan RRR melalui Collective Management Organisation (CMO) khusus.
Cadangan tersebut mempertimbangkan model pengurusan kolektif mandatori melalui satu CMO khusus yang bertanggungjawab terhadap kutipan, rekod, pengenalpastian penerima dan pengagihan royalti. CMO juga dicadangkan boleh mengutip royalti bagi artis yang layak walaupun artis tersebut belum menjadi ahli organisasi berkenaan.
Pendekatan berpusat memberikan satu saluran kepada galeri dan rumah lelong untuk melaporkan transaksi dan membayar royalti. Namun, kuasa ini perlu disertai akauntabiliti. CMO perlu mempunyai tadbir urus yang telus, rekod yang baik, audit, akaun berasingan serta caj pentadbiran yang munasabah.
Sekiranya artis atau waris tidak dapat dikenal pasti atau ditemui, royalti dicadangkan dikategorikan sebagai wang royalti tidak dituntut, disimpan secara berasingan dan tidak digunakan untuk tujuan lain tanpa asas undang-undang yang jelas.
Hak artis selepas kematian dan pelaksanaan RRR
Nilai karya tidak semestinya meningkat ketika artis masih hidup. Justeru, antara cadangan yang dibincangkan ialah RRR boleh diwarisi dan tempohnya dikaitkan dengan tempoh perlindungan hak cipta. Bagi karya kolaborasi, pembahagian royalti boleh berdasarkan persetujuan antara artis atau dibahagikan sama rata sekiranya tiada persetujuan yang dapat dibuktikan. Perlindungan artis asing pula dicadangkan mengambil kira prinsip resiprositi.
Dalam aspek pelaksanaan, menggubal RRR tidak bermaksud sistem tersebut boleh terus beroperasi. Malaysia memerlukan CMO yang bersedia, sistem pelaporan, mekanisme kutipan dan agihan serta infrastruktur yang menyokong pelaksanaannya.
Atas sebab itu, dapatan perbincangan SLU turut memberi perhatian kepada pelaksanaan secara berfasa. RRR dicadangkan terpakai kepada jualan semula selepas tarikh kuat kuasa. Namun, karya yang dihasilkan sebelum undang-undang tersebut diperkenalkan masih berpotensi menerima RRR sekiranya dijual semula selepas tarikh kuat kuasa dan hak ciptanya masih berkuat kuasa.
Dari wacana ke penggubalan
Bagi saya, perkara paling signifikan daripada sesi ini bukanlah semata-mata angka RM3,000 atau kadar 5%. Yang lebih penting ialah perubahan pada tahap perbincangan itu sendiri.
Isu RRR kini telah bergerak daripada persoalan konseptual tentang keperluan melindungi kepentingan ekonomi artis kepada perbincangan mengenai bentuk hak, karya yang layak, transaksi, kadar, penerima, liabiliti, CMO dan pelaksanaannya.
Namun, perjalanan ini masih belum selesai. Kadar dan ambang akhir, skop karya digital dan edisi terhad, kaedah pengesahan keaslian, caj pentadbiran CMO serta pengurusan royalti tidak dituntut masih memerlukan penelitian dan keputusan dasar.
Sebagai penyelidik dan sebahagian daripada komuniti seni visual, penyertaan saya sebagai wakil UiTM dalam sesi ini memberikan pengalaman yang cukup bermakna. Setelah isu RRR dibincangkan melalui penyelidikan, wacana dan keterlibatan bersama pemegang taruh, melihatnya dibawa ke ruang perbincangan teknikal pindaan Akta Hak Cipta 1987 menunjukkan bahawa perbincangan mengenai hak ekonomi artis visual Malaysia sedang memasuki fasa yang lebih serius.
Pada akhirnya, RRR bukan sekadar tentang memberikan beberapa peratus daripada harga jualan kepada artis. Ia membawa persoalan yang lebih besar tentang kedudukan pencipta dalam rantaian nilai karya mereka sendiri.
Apabila sebuah karya berkembang nilainya seiring perjalanan masa, reputasi artis dan perkembangan pasaran, wajarkah pencipta terus berada di luar perjalanan ekonomi tersebut?
Mungkin kita belum mempunyai semua jawapannya. Namun, perkembangan ini menunjukkan bahawa persoalan mengenai RRR di Malaysia kini semakin berubah daripada “mengapa kita memerlukannya?” kepada “bagaimanakah kita mahu membentuknya supaya adil, praktikal dan sesuai dengan ekosistem seni visual Malaysia?”
Dan perubahan itu sendiri merupakan satu langkah yang penting.
