SAYA bangun lambat pagi Sabtu di Langkawi sebab berjumpa Cikgu Anugerah pada malam sebelumnya. Kami tak jumpa dah lama, kali terakhir melihat dia bersanding di Perlis pada zaman prakorona.
Kawan baik saya di universiti itu ambil Ijazah Pendidikan Kemahiran Hidup tapi lepas graduasi, subjek Kemahiran Hidup dah tak diajar di sekolah-sekolah. Punyalah kelakar sistem kita. Tapi Anugerah dapat juga jadi cikgu, cuma saya tak pasti dia mengajar subjek apa. Katanya ada ajar Pendidikan Jasmani.
Memang saya bangun lambat tapi masih sempat sampai di Balai Seni Negara Langkawi sebelum acara bermula. Cuma terlepas makan sarapan pagi di hotel dan terpaksa ambil Grab sendiri. Ini kali kedua saya pergi acara di situ naik Grab.
Saya tak salahkan sesiapa tapi hari Jumaat, sehari sebelum acara itu, kehidupan saya agak hedonis. Sampai di Langkawi, petugas Balai Seni belanja kopi Zus. Zeus dalam filem Thor: Love and Thunder sangat hedonis. Dia pakai skirt pendek dan banyak bercakap tentang orgi.
Kemudian, selepas makan tengah hari, kami dibawa ke Rumah MawArt untuk makan lempeng sambil dengar minah saleh menyanyi. Malam pula makan tomyam meja besar di Pantai Cenang.
Saya tak salahkan sesiapa tapi mungkin gaya hidup yang diterap sesampainya saya di Langkawi yang buat saya bangun lambat. Kalau betul, Zuriyadi dan Intanlah yang salah.
Aneka bahan, yang pelik-pelik
Di Balai Seni Negara Langkawi, masih berlangsung pameran Ilustrasi Botani yang saya hadiri pelancarannya pada Februari lalu. Saya menulis ulasannya kemudian ditempelak Abdullah Jones sebagai apologetik di portal Malaysiakini.
Saya terima sebab lama dulu, waktu pertama kali berjumpa, Bang Dolah dah pesan supaya saya hormat pada orang tua. Saya juga terima sebab memang betul, ulasan saya itu apologetik, atau lebih tepat — apologedik. Saya perasan yang saya sengaja tonjolkan ketidaktahuan sebagai perisai dari kritik. Kalau orang kritik ulasan itu, saya boleh bagi alasan yang saya tak tahu. Begitulah strateginya.
Kali ini, saya dijemput menghadiri pelancaran pameran lain pula, yang dibuat di tingkat atas Balai Seni Negara Langkawi. Pameran LAVAA 15 diadakan sempena ulang tahun ke-15 Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA).

Ada 23 karya dipamerkan dan ia terdiri daripada pelbagai bahan. Ada yang guna kertas yang digam, fotografi, pasir, tanah liat, kain, kayu kapur, konkrit dan bermacam lagi. Itu, bagi saya, keunikan pameran tersebut.
Saya cuba selidik latar belakang LAVAA dan saya dapati, ia persatuan seni yang berasaskan geografi. Maknanya, ikatan ahli-ahlinya bukan pada sekolah seni, falsafah atau gaya yang sama tetapi tempat mereka berkarya. Sesiapa sahaja artis seni visual yang berpusat di Langkawi boleh menjadi ahli.
Mungkin sebab itu wujud kepelbagaian dalam karya-karya yang dipamerkan. Atau mungkin juga, memang seniwan Langkawi suka bereksperimen.
Seperti Khairudin Abdul Hamid, dia memang mahu cari keunikan sewaktu mula-mula berkarya dengan bahan kertas. Sekarang, ia sudah menjadi identiti seninya — gambar pemandangan dalam gua yang dihasilkan melalui kertas-kertas yang digam dan akrilik.
Kalau mahu cari persamaan yang menyerlah dalam karya-karya yang dipamer, saya akan sebut ke-Langkawi-annya. Langkawiana. Sebab kebanyakan karya memancarkan identiti Langkawi — pulau, bot, gua, kampung, pantai, gamat, menara.
Sebab Langkawi bukan sekadar Pantai Cenang penuh orang. Pameran itu membawa kita melawat kawasan-kawasan dan perincian yang tak dicari pelancong.
Resah pulau yang berpuput
Pulang dari bertemu Cikgu Anugerah, saya berbual panjang dengan pemandu Grab. Dia bercerita tentang Langkawi, Mahsuri dan mencadangkan kedai makan yang orang Langkawi pergi.
Saya baca sikit-sikit tentang Mahsuri selepas pulang dari sana. Rugi. Kalau baca awal boleh minta pendapat dia, sama ada betul atau tidak wajah Mahsuri iras Erra Fazira. Saya jumpa komen di blog, ada orang kata muka Mahsuri macam Erra Fazira. Dua kali dia komen.
Mungkin angin malam, mungkin bayu laut, tapi saya dengar nada resah dalam cerita pemandu Grab itu. Seperti ada yang tak sedap. Bunyinya macam penat menghadap ketepuan.
Sebagai pemandu Grab, pastilah dia banyak berhadapan pelancong. Mungkin dia tepu dengan situasi itu. Sebagai anak jati Langkawi, mungkin dia dah bosan apabila pulau itu hanya dilihat sebagai produk pelancongan.
“Banyak yang orang luar tak tahu pasal Langkawi,” kurang lebih begitu katanya. Saya bersyukur sebab dapat meneroka serba sedikit kedalaman Langkawi melalui Pameran LAVAA 15.

Macam lukisan akrilik The Moon & Me oleh Rahimah Ali Mohamed Ali, ada budak perempuan bermain buaian yang tergantung di dahan pokok tak berdaun. Latarnya rumah tunggal berhalaman luas. Langitnya separuh cerah macam debur ombak, separuh gelap macam laut tenang. Di bucu atas ada bulan benderang.
Budak perempuan dan buaiannya berona gelap. Wajahnya tak jelas. Seperti gelap tubuh pemandu Grab tadi yang saya pandang dari tempat duduk belakang.
Langit bagai lautan itu mengingatkan saya pada Langkawi, selain Sun Ra yang bernyanyi, “the sky is a sea of darkness / when there is no sun”.
Lebih jelas imej Langkawi atau Kedah dalam Pulau Singa oleh Arjan Che Rus, Gua Cherita LUGG oleh Khairudin Abdul Hamid, Tok Peran II oleh Muhammad Izzat Md Isa, Jauh Jalan oleh Nor Haliza Ariffin, Mentari Senja . Maha . Mega oleh Shureeza Faris Abdul Shukor dan Gamat Oh Gamat 1 oleh Mohammad Radzi Ismail.
Tulen dari perut
Ada juga karya yang lebih umum yang tak kurang menarik. Yang cepat menangkap mata saya ialah Mizan al-Hakikat: (II) Kanan oleh Mohamad Jazli Safwan Ali. Ia dihasilkan dengan bahan campuran dan cetakan saring sutera (silkscreen) atas kanvas.
Gambar neraca berat sebelah itu jelas mesejnya, lebih-lebih lagi melihat nama karyanya. Namun, teknik saring sutera dengan warna merah buat saya merenung dalam. Ia kotor dan garang.
Begitu juga Ku Cari Damai Abadi oleh Rominoe Jamiran. Lukisan akrilik anaknya yang baru pulang kelas Kafa bersama binaan masjid dan latar belakang gelap buat saya menggeledah semula wawasan murni Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kepolosan anak itu menangkap.

Dan mungkin yang paling unik, Sleeping Ladys oleh Lim It Leang. Lukisan pen yang asalnya beberapa buah bot di penampang membentuk wajah wanita tidur. Entah sengaja atau tidak, wanita itu nampaknya tidur dalam resah.
Resah ialah aroma Langkawi selama dua hari saya di sana. Ia terkenal dan gemilang, namun macam ada yang tak cukup, yang tak beres.
Kalau mahu berbual makna, banyak tafsiran boleh terbit dari setiap karya yang dipamer tetapi yang paling bermakna, bagi saya, ialah langkah Balai Seni Negara mengusahakan pameran untuk para seniwan Langkawi.
Kalau mahu cantik, di mana-mana ada cantik. Kalau mahu lukisan mahal, di mana-mana ada lukisan mahal. Tapi karya yang datang tulen dari perut Langkawi hanya boleh terbit dari seniwan Langkawi.
Pameran ini berlangsung sepanjang Julai ini. Singgahlah kalau anda ke Langkawi. Lepas lihat pameran boleh beli coklat, kemudian cari bilis mata biru di kedai minyak gamat popular yang tak jauh dari Balai Seni Negara Langkawi.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
