AWAL 2000-an merupakan tempoh yang menarik untuk muzik, khususnya pop. Mungkin sebab kalendar Gregorian dah masuk milenium baharu, maka ada desakan untuk perubahan, dalam apa-apa hal pun.
Penghujung 1990-an menyaksikan muzik pop Amerika Syarikat mula mengangkat tinggi pengaruh Eropah. Europop sudah gemilang sejak 1970-an tetapi pada tahun-tahun terakhir sebelum Y2K, artis pop baharu sanggup terbang ke Sweden untuk mendapatkan khidmat penerbit di sana. Maka lahirlah sensasi pop baharu seperti Backstreet Boys dan Britney Spears bersama lagu-lagu bercorak tari dengan cangkuk melodi yang kuat.
Di Malaysia, pengaruhnya tertangguh beberapa tahun. Penghujung 1990-an, kita dikuasai kugiran rock mendayu, world music dan revival muzik asli (selain balada cinta yang memang popular sepanjang zaman). Saari Amri, Eddie Hamid, M. Nasir dan Pak Ngah jadi nama besar dalam penciptaan lagu.
Sejak 1997 hingga 2001, semua pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah dalam kategori muzik asli kontemporari, world music dan balada. Sehinggalah 2002, tiba-tiba lagu pop, iaitu Keliru ciptaan Aidit Alfian menjadi juara. Keputusan itu mencetuskan kontroversi, pastinya. Jangkaan ramai, Pak Ngah dan Siti Nurhaliza akan menang lagi melalui lagu Nirmala.
Saya secara peribadi merasakan Nirmala lebih berkualiti berbanding Keliru tetapi demi meraikan kesubjektifan penilaian muzik, ada hal lain yang perlu diambil kira selain kualiti teknikal sesebuah lagu. Untuk itu, saya bersetuju dengan keputusan mengangkat Keliru sebagai juara AJL17.
Sebab keputusan itu menggerakkan muzik Malaysia, menjadikan ia tidak bertakung dengan dominasi gaya yang sama selama bertahun-tahun. Keliru mendukung perubahan yang sedang berlaku dalam muzik pop dunia dan kemenangannya menandakan kita di Malaysia turut merayakan perubahan sama.
Dan saya fikir juga, kewujudan internet ada peranan dalam kebangkitan muzik yang lebih bersifat urban. Ia paradoks sebenarnya, sebab muzik sebelum internet lebih demokratik. Media utama seperti radio dan tivi boleh diakses hampir semua rakyat, termasuk di ceruk kampung. Melalui talian telefon dan surat-menyurat, semua orang boleh buat permintaan. Berbanding internet, populasinya lebih dikuasai masyarakat bandar, menyebabkan selera urban mula mendominasi.
Saya buka artikel ini dengan latar zaman supaya anda lebih faham dengan apa yang nak saya hujahkan sekejap lagi. Sebab saya mahu bercerita tentang album yang semakin dalam dikambus zaman. Yang, saya percaya, sangat asing bagi pendengar muzik umum di Malaysia.
Saya mahu bercerita tentang Fathullah Luqman Yusof, yang melalui projek solonya, Fathullistiwa Soundscapes, menerbitkan album Romantikarat pada 2005, 20 tahun lalu.
Bapak segala yang renyam
Fathul merupakan nama besar dalam muzik bawah tanah Malaysia. Dia berada dalam kugiran metal/grindcore Infectious Maggots dan mengasaskan antara kugiran indie awal, Spiral Kinetic Circus (SKC). Malah, dia juga dikatakan terlibat dengan kugiran indie pop yang lebih awal, Deflowered walaupun tak jadi anggota rasmi atau terlibat dalam rakaman.
Joe Kidd meletakkan SKC dan Deflowered sebagai kugiran terawal yang bermain muzik indie pop di Malaysia, selain Flop Poppy (yang ketika itu dianggotai Radhi OAG). Ini lama sebelum khalayak massa di Malaysia kenal perkataan indie melalui letusan dari kugiran seperti Hujan, Meet Uncle Hussein dan Bunkface pada pertengahan 2000-an. Era SKC dan Deflowered juga lama sebelum Fathul menerbitkan Romantikarat.
Saya merasakan karya terunggul Fathul ialah lagu Iris oleh SKC. Tidak ada lagu dalam Romantikarat dapat menandingi lagu itu tetapi Romantikarat sebagai sebuah album ada kepentingannya yang tersendiri.

Ia merakam zaman, walaupun bukan gelora besar yang membadai negara ketika itu. Romantikarat lebih ekstrem serba-serbi. Elektroniknya ekstrem, renyamnya ekstrem, malah kalau dinilai pada gaya nyanyian Fathul, alternatifnya pun ekstrem. Tapi ia tidak meninggalkan hal paling penting dalam penciptaan lagu, iaitu melodi. Itu kekuatan Fathul.
Tentang renyam, saya menganggap Romantikarat sebagai bapak pop renyam Malaysia walaupun dua terbitan renyam OAG, Opera Radhi-o Friendly dan Satelit Ink terlebih dahulu terbit. Ini sebab Romantikarat lebih gedik, mengada, jiwang karat dan memetik Jaafar Onn, “melellleh!”.
Ini juga saya kira rakaman zaman sebab tempoh itu, Malaysia sangat merenyam. Filem-filem romantik komedi yang penuh muka Yusry KRU dan Erra Fazira meletup-letup di pawagam. Anak muda sedang menggedik-gedik mencari jodoh di MIRC dan meletakkan kekasih dalam Activ5 Maxis demi caj SMS yang lebih murah.
Generasi sekarang takkan faham. Bagi kami, ejaan singkat bukan sebab malas, tapi kemandirian. Setiap SMS perlu dibayar. Nak topup, kena pergi kedai dengan bekal syiling untuk menggores kod.
Fathul merakam hal ini dalam R.I.N.D.U, setanding dengan apa yang dibuat Senario dan Adibah Noor dalam Zapin Cinta SMS. “Mama…dikirim RM-nya / nak reload lagi ni / dah habis surut kreditku”, nyanyi Fathul.
Lapis-lapis jiwa
Kisah renyam yang lebih di luar nalar saya jumpa dalam Sekontena Boneka, sebuah kisah cinta dengan gadis Indonesia yang, mungkin, bernama Kalingga. Naratif lirik lagu ini bermula dengan hasrat penyanyi untuk membawa Kalingga ke Kuala Lumpur dan melawat Menara Berkembar Petronas serta Mid Valley Megamall.
Kemudian, liriknya menyebut: “pulang bersama Jabatan Imigrasi Indonesia / kembalikan 60 hari / tak cukup hanya sebulan saja”, membuatkan saya membuka laman web Jabatan Imigresen, memeriksa apa yang dahulunya 60 hari kemudian jadi sebulan?
Jawapan tepat saya tak dapat tapi mungkin itu merujuk Pas Lawatan Sosial yang biasanya diberi sehingga sebulan sekarang. Tak cukup sebulan, kata Fathul, dia mahu 60 hari bersama Kalingga. Otak kreatif mana yang boleh bikin benda sebegini menjadi lagu?
Namun, dua lagu paling gemilang dalam album ini ialah Fakta Nyata dan Sirna. Kedua-duanya kuat dari segi melodi dan melaluinya, saya dapat menghidu lapis makna yang spiritual.
Saya melihat ada cubaan menjadikan beberapa lirik Fathul ke arah spiritual tapi saya tak rasa semua lagu ada lapis makna sebegitu. Contohnya seperti Sabar & Dengar dan Sekontena Boneka, ia lagu cinta manusia tulen, bagi saya.

Tetapi Fakta Nyata ada bermain dengan unsur pasti yang muktamad. Baris “fakta nyata / bebas ragu” contohnya. Juga unsur penyerahan dalam “tak mahu kutahu lokasi dan destinasi” dan “percaya tak percaya / itu kan bukan urusanku”. Seterusnya, unsur ketakjuban dalam “terpaku kaku aku di sini / tanpa kata bicara”.
Sirna juga, selain melodinya yang sangat menangkap, ada kemungkinan lapis makna ketuhanan. Apabila Fathul menyanyikan lirik “hanya kaulah yang satu bagiku”, dia menerangkan keesaan.
Ku Hanya Aku (yang turut dirakam Flop Poppy) lebih jelas kandungan rohaninya. Tentang kewujudan dan kefanaan.
Merakam kealternatifan
Saya tak kenal Fathul secara peribadi. Tidak pernah berbual panjang berdua. Tapi Mohd Jayzuan ada pengalaman itu, malah menganggap Fathul seperti guru spiritualnya. Itu yang ditulis dalam Menten Selekes.
Saya percaya kata-kata Mohd Jayzuan, maka saya percaya bahawa Fathul seorang manusia spiritual. Saya percaya, kandungan Romantikarat yang sekarang saya anggap sebagai album renyam agung hanya menunggu untuk diteroka kedalaman rohaninya. Saya hanya perlu ulang dengar berkali-kali, dalam rentang waktu berbeza dan dalam situasi fikiran berbeza.
Buat masa ini, biar saya hargai Romantikarat sebagai album pop renyam yang ulung. Ia maju bertahun-tahun dari masanya tapi masih mampu merakam semangat zaman pada tahun ia diterbitkan.
Jika Keliru merakam arus perdana muzik negara, Romantikarat membawa arus bawah, yang tidak dilihat dan dipeduli mereka yang memandang dari atas. Ia memberi gambaran yang lebih membumi terhadap apa yang berlaku dalam muzik dan dalam masyarakat pascamilenium.
Tidak mungkin mana-mana artis perdana mahu berjudi nasib dengan gaya nyanyian, penulisan lirik serta permainan dram mesin dan bunyian elektronik seperti yang dibuat Fathul. Tapi Fathul menunaikan kifayahnya dengan penerbitan Romantikarat.
Sebab itu lagu-lagu yang diciptanya, apabila dirakam artis yang lebih perdana seperti Flop Poppy dan Def Gab C, kedengaran lebih tergilap. Ia difahami, sebab mahu tembus lebih ramai pendengar.
Tapi kementahan versi Fathul juga diperlukan – ini yang saya maksudkan dengan kifayah – sebagai rujukan dan perbandingan. Begitulah ulungnya Romantikarat – yang canggih dan tersendiri.
Fathul sudah beberapa kali berkongsi pautan untuk memuat turun Romantikarat di Facebooknya, jadi saya sertakan juga di sini. Boleh tekan pautan ini dan anda akan bertemu fail lengkap Romantikarat dan album eksperimental SKC, The Overwhelming Power of Sleep and The Sudden Change of Heart.
Dan untuk terus menyokong Fathul, salurkan sedikit sumbangan melalui kod QR ini. Bayar berapa yang anda fikir layak untuk kedua-dua album tersebut.

– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
